13. Dakwah Kreatif Perlu Cermat Antara Hikmah dan Bid’ah

20130310-193210.jpg

[IA ADALAH PERKONGSIAN PANDANGAN SAYA TENTANG PENDEKATAN YANG DIPAKAI OLEH PEMBANGUN-PEMBANGUN MODUL LATIHAN YANG MENYANDARKAN MODUS OPERANDI INOVASINYA KEPADA PEMIKIRAN LATERAL EDWARD DE BONO YANG BANYAK DIKONGSI OLEH PUAN AINON MOHD DI DALAM BUKU-BUKU PEMIKIRAN BELIAU YANG SAYA LANGGANI. NAMUN IA MENJADI MUHASABAH BERSAMA SEBAB SAYA PUN SANGAT BERMINAT LAGI TERKESAN DENGAN PEMIKIRAN LATERAL INI DAN SERING MENGGUNA PAKAI IA DALAM SEDIKIT MASA PEMBABITAN SAYA DI INDUSTRI LATIHAN]

Berfikir secara kreatif, sangat diperlukan untuk merobohkan halangan kepada sesuatu yang lebih baik, lebih bermanfaat buat diri dan umat. Oleh kerana kreativiti itu terhasil melalui ruang akal yang dijamin oleh agama, umat Islam semenjak kurunnya yang awal telah melakukan 1001 inovasi tanpa terjebak ke dalam perangkap bid’ah. Bekalannya adalah pada benar-benar menguasai ilmu-ilmu alat, yang sifatnya bukan pengongkong kepada kreativiti umat, sebaliknya alat selamat paling berkesan untuk terus progres merentas zaman.

Dalam kerangka itulah, Islam mengalu-alukan aplikasi pemikiran kreatif dalam pelbagai jenama semasa.

Akan tetapi, manusia harus sedar akan permainan akalnya, yang bersimpang siur dengan nafsu di dalam diri. Seorang yang sangat kreatif, dalam pemikiran lateral yang diguna pakai untuk meroboh kebekuan inovasi, boleh menjadi sangat angkuh hingga memperlekehkan sebarang kritikan terhadap kreativitinya dengan menganggap kritikan sebagai bukti kebenarannya kerana ada banyak inovasi akan kelihatan menyanggah status quo. Maka sanggahan yang datang, akan membuktikan ‘kebenaran’ yang diperjuangkannya secara kreatif itu.

Ini sudah diperingatkan sendiri oleh De Bono tentang ‘pride’ yang boleh menimpa seorang yang berpemikiran lateral.

Akhirnya, lahir satu ironi apabila yang lateral itu lebih vertikal dalam pemikirannya.

Sebab itu, aplikasi Surah Yusuf ayat 67 yang sering dirujuk dalam pengembangan kreativiti, tidak wajar diambil separuh jalan.

وَقَالَ يَا بَنِيَّ لَا تَدْخُلُوا مِن بَابٍ وَاحِدٍ وَادْخُلُوا مِنْ أَبْوَابٍ مُّتَفَرِّقَةٍ وَمَا أُغْنِي عَنكُم مِّنَ اللَّهِ مِن شَيْءٍ إِنِ الْحُكْمُ إِلَّا لِلَّهِ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَعَلَيْهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُتَوَكِّلُونَ

“Dan ia berkata lagi: “Wahai anak-anakku! Janganlah kamu masuk dari sebuah pintu sahaja, tetapi masuklah dari beberapa buah pintu yang berlainan. Dan aku (dengan nasihatku ini), tidak dapat menyelamatkan kamu dari sesuatu takdir yang telah ditetapkan oleh Allah. Kuasa menetapkan sesuatu itu hanya tertentu bagi Allah. KepadaNyalah aku berserah diri, dan kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri””

Biar pun Yaaqub alayhi al-salaam menasihatkan anaknya agar kreatif dalam menerobos Mesir melalui lebih daripada satu pintu, ia harus terus tertakluk kepada kepada ketentuan Allah sama ada pada hukum asal (Syariatullah) atau hukum kemudian pada bukti masa terhadap sebab musabab (Sunnatullah).

Penentu kepada pemikiran kreatif itu, sama ada masih di landasan yang benar atau tidak, ialah pada titik mula yang sejahtera. Sebab itu, kritikan saya kepada modul-modul latihan berjenama Islam adalah pada langkah mula penghasilannya, bukan produk akhir yang pada hari semasa, sedang berkesan dan mengundang testimoni positif pengguna. Krisisnya adalah di ‘kilang’, bukan di pasar.

Jangan berkreatif, kemudian meminta kreativiti itu dilesenkan sebagai mesra Syariah, andai permulaannya sudah tidak di atas premis yang benar.

Penolak al-Quran sudah besar. Pengamalnya pula, berhadapan dengan fitnah berupa liku-liku Syaitan sebagai faktor luar dan nafsu kita semua sebagai ancaman dari dalam.

Sama-samalah kita merendah diri dalam saling mangajak makruf dan menegur munkar. Saya juga terbuka kepada pembetulan agar pendapat saya ini, andai salah, dibetulkan dalam wacana yang sejahtera.

Ya Allah tunjukkanlah kepada kami yang benar itu benar dan rezekikan kami untuk mengikutnya. Tunjukkan kami batil itu batil dan rezekikan kami untuk menjauhinya, ameen.

HASRIZAL @ 43000 BSP

 

Check Also

Menamatkan Pendidikan Kiasu

Entahlah dunia apa yang kita hidup di dalamnya hari ini. Setelah anak nekad terjun membunuh …

3 comments

  1. Sains yang perlu ikut Islam, bukan Islam yang kena ikut sains. Sesetengah orang tak paham 😀

  2. “…andai permulaannya sudah tidak di atas premis yang benar.”
    Boleh ustaz bagi 1 atau 2 sebagai contoh?
    Saya agak meminati buku dari barat, mungkin kerana bahasa yg digunakan lebih mudah difahami dan mudah didapati. Tetapi buku2 tersebut masih seperti buku2 hasil tulisan muslim yang lain kerana memerlukan sedikit sebanyak editing daripada pembaca sendiri agar isi yg diambil selaras dengan anjuran quran dan sunnah. Tapi ia agak menyukarkan juga kerana pembaca seperti saya mempunyai pengetahuan yg terhad tentang quran dan sunnah. Walaupun pengajian quran dan sunnah adalah yg paling utama pada saya, tetapi penambahan ilmu dalam -terutamanya bab thinking- tetap saya anggap penting untuk menghadapi dunia yg memang kucar kacir sekarang. Muslim, yg bukan sekadar pada nama, bukan hanya diperlukan di malaysia, tetapi di beberapa negara yg kritikal juga.
    Walaupun saya menyukai Edward de Bono, tetapi ia disebabkan oleh buku How to have a beautiful mind. Saya lebih menyukai penulis yg memberikan dorongan kepada pemikiran yg mendalam dan menyeluruh seperti Dr Scott Peck dan Prof. Tariq Ramadan. Tetapi saya memerlukan bantuan daripada ulama untuk meletakkan batasan mana yg dibolehkan dan xbolehkan.

  3. Bismillah.

    Keseluruhan isi entri ustaz ini saya sangat setuju malah inilah yang saya cuba perjuangkan dulu apabila memberikan komentar kepada drama atau filem dakwah. Mungkin selepas ini dakwah kreatif dalam drama atau filem tidak boleh lagi beralasan tadarruj yang tak berhati-hati antara hikmah dan bidaah.

    Saya juga ada berkomentar mengenai komik yang dianggap berdakwah yang menggunakan ilustrasi yang dilarang atau plot yang khurafat atas alasan kreativiti dan teknik. Saya harap prinsip dakwah kreatif yang berpegang pada garis panduan islam supaya tidak terjebak dalam kancah bidaah malah haram bukan saja dalam konteks modul motivasi atau buku sejarah yang diperkatakan ustaz kebelakangan ini, tapi merangkumi program tv, drama dan filem dakwah, begitu juga komik dakwah yang ada di pasaran sekarang.

    Mohon mencadang.

    Sekian, terima kasih.

    mfr

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.