Mengapa USA Berbelanja Besar Untuk Regim Z Itu?

1. Reaksi terhadap kemungkaran perlu mempunyai unsur MENGUBAH, bukan sekadar mencegah atau menyuarakan bantahan.

من راى منكم منكرا فليغيره بيده فإن لم يستطع فبلسانه فإن لم يستطع فبقلبه وذلك أضعف الإيمان  – متفق عليه

“Barangsiapa dari kalangan kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mengubah kemungkaran itu dengan tangannya. Andai tiada keupayaan, maka lakukan dengan lisannya. Andai tiada juga keupayaan, maka lakukan ia dengan hatinya. Dan demikian itu adalah selemah-lemah iman

– Muttafaq ‘alayh

2. Untuk itu, isu Palestin memerlukan kita meneroka balik punca asal ia berlaku.

3. Literatur Muslim sebagaimana yang Almarhum Sheikh Solah Abdul Fattah al-Khalidi ulas, menegaskan dalam pusingan kejahatan musuh itu kali ini, kekuatan mereka datang dari luar, dari jauh. Beliau merujuk kepada firman Allah swt:

“Kemudian, Kami kembalikan kepada kamu kekuasaan untuk mengalahkan mereka, dan Kami PERPANJANGKAN kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan dan anak pinak, serta Kami jadikan kamu kaum yang lebih ramai pasukannya.” (Al-Israa’ 17: 6)

4. Berpegang dengan penafsiran ini, boleh menjadi dorongan kita meneliti peranan yang dimainkan oleh USA dalam isu Palestin.

5. Laporan Fiskal USA tahun 2022, negara itu menyumbang USD13.1 juta sehari untuk bantuan ketenteraan, manakala bantuan umum untuk penduduk Palestin berjumlah USD0.73 juta sehari. Lihat laporan terkini di https://crsreports.congress.gov/product/pdf/IF/IF10644

6. Kisah asal sokongan USA kepada regim Z berkenaan, berkait rapat antaranya dengan penemuan minyak di rantau negara Arab sekitar 1920an. Standard Oil of California menemui minyak di Bahrain pada akhir 1930an. Dua syarikat USA, Standard Oil of California dan TEXACO, memenangi konsesi penerokaan minyak di Saudi pada 1930an. Selepas Perang Dunia II, kawasan teluk menjadi fokus utama Polisi Luar USA.

7. Kata Secretary of State John Foster Dulles semasa Lebanese crisis 1958, “The United States must regard Arab Nationalism as a flood which is running strongly. We cannot successfully oppose it, but we could put sandbags around positions we must protect first group being Israel and Lebanon and the second being the oil positions around the Persian Gulf.”

8. 1922, Kongres Amerika meluluskan Deklarasi Balfour. Selepas Perang Dunia II (Nov. 1947), UN General Assembly mengundi dengan suara majoriti untuk mengusulkan pembahagian Palestin kepada Negara Arab dan Yahudi, kedua-duanya bersatu di dalam kesatuan ekonomi dan Jerusalem ditadbir oleh UN. Arab mendapat 43% dari kawasan, dan Yahudi memperolehi 57%. USA bukan sahaja menerima plan UN itu malah mempromosikannya secara agresif kepada anggota UN yang lain.

9. Kata Harry S. Truman, Presiden USA ke-33, ““I have to answer hundreds of thousands who are anxious for the success of Zionism: I do not have hundreds of thousands of Arabs among my constitutions.”

10. Ketegangan ketenteraan antara Israel dan Mesir selepas perang 1948, memberi kesan kepada pelayaran di Terusan Suez. USA membatalkan tawaran bantuan kewangannya kepada Mesir untuk membiayai pembinan Empangan Aswan. Jamal Abd al-Naser menentang Baghdad Pact (Turkey, Pakistan, Iran & Iraq) . Soviet Union menyokong Jamal Abd al-Naser mengukuhkan ketenteraan dan membina semula Empangan Aswan.

11. Perang 6 Hari (1967) adalah pengaruh polisi luar USA. Presiden Johnson telah memindahkan Sixth Fleet ke timur Mediterranean, beberapa hari sebelum perang meletus. 23 Mei, ketika mengisytiharkan pembekalan senjata ke kawasan itu, Johnson secara sulit meluluskan penghantaran udara senjata dan spare-part kepada Israel. Selepas perang bermula, USA mendesak Security Council mengarahkan Israel kembali ke sempadan sebelum perangnya, tetapi Johnson enggan mengkritik Israel yang memulakan perang. Tentera Israel telah membinasakan kekuatan tentera udara dan daratan Mesir, Syria, Jordan serta menawan Sinai, Semenanjung Gaza, Bukit Golan, Tebing Barat dan Jerusalem Timur.

12. Idea hubungan strategik antara USA dan Israel muncul selepas Krisis Suez, apabila pentadbiran Presiden Eisenhower menyedari bahawa kedua-dua negara mempunyai kepentingan untuk menyingkirkan pengaruh Jamal Abd al-Naser. Presiden Kennedy menjadi pemimpin pertama yang membekalkan Israel dengan senjata pintar dan secara rasmi memberikan komitmen untuk mengukuhkan ketuanan tentera Israel di rantau itu. 19 tahun pertama penubuhan Israel (1948 – 1967), USA telah memberikan hampir USD1.5 billion kepada Israel dalam pelbagai format. Bantuan terbesar yang pernah diberi kepada mana-mana negara.

13. Perang Yom Kippur (1973) menyusul. 6 Oktober, Yahudi sibuk bersiap menyambut Yom Kippur, hari paling utama mereka. Mesir dan Syria telah melancarkan serangan dengan tujuan mendapatkan kembali kawasan yang terlepas pada 1967. Secretary of State, Henry Kissinger menggerakkan UN Security Council untuk mengeluarkan 3 resolusi gencatan senjata untuk membantu Israel. Alasan Kissinger, perang itu akan meningkatkan pengangguran di USA dan meruncingkan lagi ketegangan selepas perang yang lalu. Propaganda untuk mempengaruhi pandangan awam di USA.

14. Perjanjian Camp David pula hadir. Selepas perang, terdapat usaha untuk menyelesaikan pertikaian antara Mesir dan USA dengan ‘menjual’ Palestin dan tuntutan-tuntutannya. Paradigma baru di dalam polisi luar USA ini membolehkan Israel mengekalkan penguasaannya ke atas Tebing Barat, Jerusalem Timur dan Bukit Golan. Ia juga memberi ruang kepada pemimpin Mesir untuk menyertai Blok USA bagi mendapatkan bantuan kewangan untuk memajukan Mesir dan mendapatkan kawasan yang terlepas pada 1967 (Sinai).

15. USA dan Soviet Union mengubah strategi hasil kebijaksanaan Kissinger. Mereka bekerjasama untuk merangka plan komprehensif bagi menyelesaikan konflik Arab – Israel. Presiden Sadat membuat lawatan mengejut ke Jerusalem pada 9 November 1977. Menachem Begin membalas lawatan ke Kaherah pada bulan Disember. Presiden Carter campur tangan dalam mengendalikan diskusi antara Begin dan Sadat.

16. Perjanjian Kem David itu menghasilkan keputusan: (i) Israel berundur dari Sinai (ii) Kedaulatan Mesir dikembalikan untuk Sinai. (iii) Kapal laut Israel bebas melalui Terusan Suez, Selat Tiran dan Teluk Aqabah. (iv) Penempatan tentera PBB di Sinai dan sempadan-sempadannya.

17. Penduduk Palestin menentang Perjanjian Camp David. Liga Arab menentang, menggantung keahlian Mesir dan memindahkan pejabat dari Kaherah ke Tunis. Dan pada Oktober 1981, Khalid Islambuli menembak mati Sadat di Kaherah.

18. Di era tercetusnya intifadah, pentadbiran Reagan menutup pejabat PLO di Washington dan New York dengan menganggap PLO sebagai organisasi pengganas. USA telah mendesak Palestine National Council bertemu di Algiers pada Nov, 1988 dan menerima resolusi PBB 242 dan 338, mengiktiraf kewujudan Israel dan hak keselamatannya, serta bersetuju menolak kesemua bentuk keganasan. Pentadbiran Bush menyokong usaha Shamir pada Mei 1989 untuk mengadakan pilihanraya bagi kawasan yang dijajah, bagi memilih delegasi Palestin ke meja perundingan.

19. Tiba era Perang Iran – Iraq pada tahun 1980-1988 pula. Pentadbiran Carter membantu Iraq, melalui Arab Saudi, membuat laporan yang berlebih-lebihan tentang kelemahan ketenteraan Iran untuk menggalakkan Iraq menyerang Iran. Iraq dikeluarkan dari senarai negara yang menyokong keganasan. USA menyokong rejim Iraq (kewangan dan ketenteraan) dengan alasan, kemusnahan rejim Iraq akan membuka kepada perluasan pengaruh Iran, mengancam bekalan minyak, menggugat rejim Pro Amerika yang lain dan menjejaskan imbangan hubungan Arab – Israel . Negara-negara Teluk dan Arab Saudi dinasihatkan oleh White House supaya menyokong rejim Iraq.

20. Akhirnya Iraq bertindak menakluk Kuwait. Penaklukan Saddam Hussein ke atas Kuwait pada 2 Ogos 1990, membuka laluan kepada berterusannya campur tangan Amerika Syarikat di rantau itu. Perang Teluk II ini menandakan berakhirnya Perang Dingin dan munculnya era baru (New World Order). Sekatan ekonomi dan politik dikenakan ke atas Iraq. Negara berkenaan, Syria, Libya, Sudan disenaraikan sebagai negara yang menyokong keganasan.

21. Manakala PLO, peranannya signifikan di era ‘New World Order’. Pada Oktober 1991, PLO dan negara-negara Arab mengadakan rundingan secara langsung dengan rejim Zionis di Madrid . Persetujuan Oslo 1993 dan pengiktirafan PLO ke atas Israel, menjurus kepada menyetujui penguasaan Israel ke atas 77% tanah Palestin. Kepimpinan PLO diiktiraf oleh Israel sebagai wakil rakyat Palestin, dan dikurniakan kuasa otonomi terhad di Semenanjung Gaza dan sebahagian Tebing Barat.

22. Edward Said kecewa dengan Perjanjian Oslo ini dan menganggapnya sebagai penamat kepada harapan untuk melihat Palestin kembali kepada keadaan asalnya sebelum konflik.

23. Krisis berlarutan hingga ke era September 11, 2001. Sentiasa sahaja ada insiden untuk meneruskan alasan USA campur tangan dengan isu rantau berkenaan, masih dengan motif yang sama, antaranya minyak.

24. Samuel P. Huntington mempelopori gagasan “The Clash of Civilizations?” yang berasal daripada artikel yang disiarkan di jurnal akademik Foreign Affairs in 1993. Terma itu kali pertama digunakan oleh Bernard Lewis di dalam artikelnya The Roots of Muslim Rage pada September 1990 di dalam majalah The Atlantic Monthly. Ia menekankan bahawa identiti budaya dan agama bakal menjadi punca konflik selepas era Perang Dingin.

25. Terbitnya nama Bernard Lewis ini, menyampaikan saya kepada penutup perkongsian kali ini. Ia menjelaskan peranan yang dimainkan oleh pakar-pakar akademik di balik tabir. Di sebelah kanan, kajian-kajian akademik Bernard Lewis sangat hebat dan menjadi rujukan kita dalam mengkaji sejarah umat Islam, tetapi di sebelah kiri, beliau menyumbang kepakaran untuk menasihat kaedah membentuk pandangan awam melalui laporan berita, pemilihan istilah dan manipulasi sejarah. Kecuaian umat Islam pada memberi perhatian terhadap disiplin sejarah, current affairs, politik antarabangsa, dan ilmu secara umumnya, menjadi modal untuk musuh terus menerus memposisikan penduduk Palestin dan kita semua di daerah penindasan.

Semoga Allah tunjukkan jalan buat kita semua.

Facebook Notice for EU! You need to login to view and post FB Comments!

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share