Antara Orang Agama Dan Orang Beragama

beragama

Petikan ebook Tak Kenal Maka Tak Cinta

“Abah tak paksa. Terpulang kepada kamu. Cuma dulu arwah Tok ada pesan, keluarga kita keluarga ulama. Kalau boleh biarlah ada anaknya yang mengikut jejak. Tak dapat anak, cucu pun Alhamdulillah” itu sisa-sisa memori saya tentang dialog bersama abah lebih 20 tahun yang lalu.

Dialog itu mengisi perbualan kami semasa abah menghantar saya ke peperiksaan kemasukan MRSM di Sek. Cator Avenue.

Saya termenung.

Biar pun latar belakang kehidupan saya semasa kecil, tidaklah terlalu berhias dengan agama, namun kecenderungan itu terjadi sendiri. Bermula dengan aktiviti mewakili sekolah di dalam pertandingan tilawah al-Quran, hafazan al-Quran dan minat yang mendalam kepada subjek agama di sekolah rendah yang tidak seberapa itu.

Lalu dilorongkan Allah, semua tawaran menyambung pengajian yang saya terima semasa melangkah ke alam sekolah menengah, terdiri daripada sekolah agama belaka. SMKA Sultan Azlan Shah, SMAP Labu Negeri Sembilan, SMA Idrisiah Kuala Kangsar dan SMA Izzuddin Shah Ipoh. Atas sebab yang pelbagai, SMA Izzuddin Shah jua yang dipilih. Saya mensyukurinya.

Tidak perlu menunggu lama, semenjak di minggu orientasi lagi, saya sudah mengalami keributan jiwa. Seakan-akan lahir semula, perasaan beragama jadi begitu mendalam. Sering sahaja mata basah dengan air mata mengenang kehidupan, dan mula belajar mengikat serban. Saya suka ke depan, dan kini saya bertemu dengan sebab yang lebih tulen untuk ke depan. Kerana agama.

SIMPANG KEHIDUPAN

Panjang likunya.

Keputusan peperiksaan yang baik di simpang SRP, SPM dan semasa temuduga biasiswa, akan mencabar nekad diri untuk menjadi ‘orang agama’. Tatkala dibentangkan dengan pelbagai peluang dan ruang untuk memilih jalan yang lain, saya terus dilorongkan dan melorongkan diri hingga akhirnya sampai ke tempat saya bakal diacu menjadi ‘orang agama’.

1993 saya tiba di Jordan.

“Kenapa ambil bidang agama? Kenapa tidak buat ekonomi?” tanya bapa saudara saya.

Terkejut dengan pilihan yang saya buat.

Saya hanya mampu tersenyum, kelat. Tidak berkata-kata. Malah harus kuat semangat untuk melawan persepsi yang bertentangan.

KEJUTAN

Keberadaan saya di gelanggang ilmu selama bermastautin di Jordan banyak likunya. Saya tersepit di antara pengajian yang saya sendiri pilih, dengan kegagalan mencari kepuasan di dalam apa yang saya lakukan. Entah di mana silapnya, serba serbi jadi tidak kena. Minat kepada subjek-subjek Syariah tidak hilang, tetapi keghairahannya berpindah, tumpah ke bidang Sejarah.

Apabila direnung-renungkan balik, syukurlah bidang itu bidang yang saya pilih. Bukan sesuatu yang dipaksakan ke atas saya. Tatkala dihinggap kejemuan, teringat kembali kepada segala peluang lain yang dilepaskan untuk INI. Bukan saya sendirian, malah rakan-rakan yang lain juga.

Dalam komuniti pelajar agama’, pelbagai kerenah dan insiden yang berlaku. Bukan sedikit nanah yang membusung. Semuanya mencetuskan jatuh bangunnya maruah pelajar Malaysia di rantau orang. Apatah lagi pelajar agama. Tatkala puncanya cuba dikesan, bertemu kita dengan beberapa peringatan.

Antara yang paling utama, jangan sesekali berjuang dalam paksaan. Ibu bapa, paksalah anak belajar dan faham agama, tetapi jangan dipaksa anak itu menjadi ‘orang agama’. Ilmu agama itu perlu untuk bekalan diri, tetapi memaksa anak menjadi ‘orang agama’ tanpa kerelaan hati si anak, bukan sahaja merosakkan dirinya, malah anak itu ada upaya pula merosakkan orang lain.

Ayah dan ibu manakah yang tidak mahu melihat anaknya mendalam pengetahuan dan penghayatannya terhadap agama? Segala kepedihan, cabaran dan pengorbanan selama membesarkan anak, terasa berbaloi dan berbayar kembali tatkala si anak merendangkan seisi keluarga di bawah teduhan agama.

Bacaan al-Qurannya…

Kepimpinannya di dalam solat…

Penghargaan yang diterimanya dari masyarakat…

Itulah anak soleh juga solehah, yang bakal mendoakan si ayah dan ibu tatkala berangkat pergi, di suatu hari nanti.

Impian itu diterjemahkan di dalam keinginan ibu bapa melihat anaknya memilih bidang agama. Mungkin manifestasi awalnya ialah pada memasukkan si anak ke sekolah Tahfiz. Mungkin dimasukkan ke sekolah agama. Atau apa-apa platform ke arah menjadikan anak itu beragama.

Tetapi ada kalanya ibu bapa keliru di antara menjadikan si anak beragama dengan menjadikannya orang agama. Apa yang dihajatkan oleh seorang ibu dan seorang bapa itu hakikatnya sudah sempurna tercapai apabila si anak menjadi manusia beragama. Tidak semestinya hingga jadi orang agama.

Sedangkan usaha menjadikan anak sebagai orang agama, adalah sesuatu yang mesti dinilai dan dipertimbangkan dari banyak sudut.

MINAT DAN KECENDERUNGAN

Pertama, apakah si anak itu ada minat dan kecenderungan?

Pengalaman saya di sekolah agama, dan kemudiannya pergi bermusafir di negara Arab dan menuntut di fakulti agama, memperlihatkan banyak ‘sampel’ yang sulit, antaranya berpunca daripada anak yang dipaksa ibu bapa melakukan sesuatu yang anak itu langsung tidak minat. Hidup bertahun dalam jiwa yang memberontak, bukanlah sesuatu yang sihat.

Sama sahaja dengan bidang-bidang yang lain. Ibu bapa yang menentukan destinasi kerjaya anak-anak mungkin berhasil dalam keluarga tertentu, tetapi ia adalah suatu penderitaan dan beban yang besar bagi kebanyakan.

Minat anak-anak berkembang dan bercambah hasil interaksi dirinya dengan persekitaran, semenjak kecil. Tidak semestinya anak seorang doktor akan terpengaruh untuk turut sama menjadi seorang doktor suatu hari ini. Ia bergantung kepada cara si anak diperkenalkan dengan kerjaya ibu atau bapanya yang doktor itu, serta bagaimanakah beliau menafsirkannya.

Mungkin si anak kagum dengan kerjaya kedoktoran orang tuanya, mungkin sahaja si anak membenci kerjaya itu, kalau tak kena gaya. Atau mungkin sahaja si anak tidak menunjukkan rasa benci atau suka, sebaliknya cenderung sahaja kepada minat-minat yang lain.

Maka, memaksakan kerjaya tertentu kepada anak, bukanlah suatu pendekatan yang mudah. Ia terlalu subjektif untuk saya katakan positif atau negatif, tetapi bagi diri saya… anak-anak bebas memilih kerjaya yang sesuai dengan bakat, minat dan kelebihan yang ada pada dirinya.

Daripada Jabir bin ‘Abdillah, sabda Rasulullah SAW:

خيرُ الناسِ أنفعُهمْ للناسِ

“Sebaik-baik manusia adalah orang yang paling bermanfaat untuk manusia” [al-Jami’ al-Saghir oleh al-Suyuti no. 4044]

Itulah yang seharusnya diberi perhatian. Bahawa kerjaya yang dipilih itu harus menjadi saluran manfaat dirinya kepada manusia. Dan untuk nilai ini menjadi asas pemilihan kerjayanya, si anak harus dibentuk dari awal untuk menjadi manusia yang berakhlaq dengan sikap berbudi dalam berbahasa dan memberi dalam menerima.

Saluran manfaat itu pelbagai. Seeloknya biarlah saluran itu saluran yang berjaya mengahwinkan manfaat dengan minat.

pangkor

KILANG MANUSIA TERCEMAR

Terlalu berat untuk saya ungkapkan di sini, tetapi saya khuatir dengan nasib sekolah agama malah fakulti-fakulti agama. Kita meyakini bahawa agama adalah bahan paling utama dalam membentuk manusia kita. Maka amat besarlah musibahnya apabila institusi agama menjadi tempat berkumpulnya manusia yang runtuh jiwanya, musnah akhlaknya, dan kebanyakan kelakuan tidak senonoh di kalangan bakal ‘orang agama’ ini adalah berpunca daripada paksaan ibu bapa ke atas mereka.

Paksa anak belajar agama, tetapi jangan paksa anak jadi orang agama!

Keduanya, jika anak mahu dipaksa masuk ke bidang agama untuk menjadi orang agama, apakah telah jelas di fikiran ibu bapa dan anak-anak apakah kerjaya yang bakal disandang oleh anak selepas tamat pengajian nanti?

Soalan yang sering saya tanya, KENAPA MAHU JADI USTAZ?

Saya sudah pun mengungkapkan dengan panjang lebar di dalam artikel saya dengan tajuk yang sama. Tetapi perspektif ibu bapa terhadap hal ini juga mesti dinilai kembali.

Kita mahu anak kita menjadi orang yang beriman dan bertaqwa, atas keyakinan kita bahawa anak seperti ini ‘menyelamatkan’. Inilah anak yang bakal mengemudi keluarga, menghulurkan doa selepas ketiadaan kita, menyejukkan mata, jiwa dan telinga dengan bacaan al-Quran dan lafaz hadith pada bibirnya, tetapi perlukah untuk mencapai semua itu, seorang anak menjadi ‘orang agama’?

Menjadi orang agama dengan menjadi orang yang beragama adalah dua perkara yang boleh bertindan, tetapi nyata ia adalah dua identiti yang berbeza. Khususnya apabila ia dikaitkan dengan kerjaya.

Peluang pekerjaan untuk orang agama itu agak berbeza. Jika dia mahu mengikut spesifikasi kerja yang bersesuaian dengan kelulusannya, maka berapakah jumlah tenaga manusia yang diperlukan untuk mengisi jawatan guru KPLI, J-QAF, jabatan-jabatan agama, Baitulmal dan guru-guru di pelbagai sektor lain? Berapakah jumlah kekosongan untuk menjadi pensyarah di bidang agama?

Pendek kata, persaingannya sangat tinggi. Untuk si anak pergi mengisi kekosongan ini, mereka harus outstanding dengan kelebihan masing-masing.

Malah sebelum mereka pergi mengisi kekosongan itu, apakah selaras minat mereka di bidang agama dengan minat mereka untuk mengisi kerja-kerja admin di jabatan-jabatan agama?

Bagaimana pula dengan tugasan sebagai Imam sepenuh masa di sebuah masjid? Tidak dinafikan, status sosial seorang Imam di dalam komunitinya memang baik.Tetapi penghormatan yang diberikan oleh masyarakat mungkin tidak setimpal dengan keperluan hidupnya. Bertugas sebagai imam belum lagi secara umumnya boleh menjadi suatu profesyen di negara kita.

Saya bukan sahaja memaksudkan ia dari aspek penggajian, malah Imam-imam di masjid kita masih dibayar secara elaun, bekerja dengan taraf kontrak, tiada pencen, EPF atau yang seumpama dengannya, malah skop kerja yang membosankan. Disebabkan oleh kongkongan pelbagai pihak terhadap peranan sebuah masjid, para Imamnya juga turut terbantut perkembangan diri.

imamraya

Semasa saya bertugas sebagai Imam sepenuh masa di Ireland Utara, kebebasan yang dinikmati oleh masjid-masjid di sana telah menjadikan tugasan saya bercabang kepada peranan-peranan berikut:

  • Mengimamkan solat lima waktu dan Jumaat.
  • Mengajar jemaah masjid kitab Nuzhat al-Muttaqin Sharh Riyadh al-Salihin.
  • Menjadi jurunikah untuk menikah kahwinkan pasangan, serta menguruskan hal ehwal rumahtangga termasuk penceraian dan konflik rumahtangga.
  • Menjadi pegawai agama (Muslim Chaplain) di hospital, penjara dan universiti (QUB).
  • Menjadi pengetua sekolah.
  • Menjadi guru pada masa yang sama.
  • Membangunkan silibus pendidikan sekolah.
  • Mengendalikan dialog interfaith dengan tetamu masjid.
  • Menjadi webmaster halaman web masjid.
  • Bertindak sebagai ‘kaunselor’ untuk membantu menyelesaikan masalah-masalah yang pelbagai oleh komuniti

Skop kerja ini memang agak ‘gila’ dan saya tidak dapat menafikan trauma yang saya alami akibat beban kerja yang teramat sangat itu. Tetapi tekanan itulah yang kemudiannya tanpa sedar telah memaksa diri saya untuk berkembang.

Apakah seorang imam di dalam sistem yang menguruskan masjid kita (jika ada sistem) memberi ruang yang luas untuk seorang anak muda berkembang? Tatkala seorang imam muda bertemu dengan rakan-rakannya yang menyambung pengajian peringkat sarjana, atau masuk ke bidang kerja yang kelihatannya punya prospek yang lebih baik, ditambah dengan rutin kerja seorang imam yang sangat hambar lagi membosankan, saya tidak terkejut jika perjawatan imam tidak mampu kekal lama. Sering sahaja berganti.

Jika seorang ibu dan bapa mahu menyalurkan anak kepada kehidupan seperti ini, mereka harus cuba untuk memahami apakah bentuk dilema dan cabaran yang bakal membelenggu mereka.

Terjun ke masyarakat sebagai seorang ustaz dan ustazah jadi lebih mencabar apabila dirinya tidak cukup kompetetif dalam menangani keperluan masyarakat. Seorang Imam yang hafiz 30 juzuk, menjadi Imam di sebuah masjid yang dikelilingi masyarakat korporat dalam keadaan Imam itu tidak mampu berbahasa Inggeris, tidak mengetahui dan memahami kehidupan ahli jemaahnya yang sangat urban itu, pasti akan berdepan dengan konflik.

Jika tidak dengan kaum ibu dan kaum bapa, mungkin sahaja berdepan dengan konflik tatkala berinteraksi dengan anak-anak mereka yang English Oriented itu.

Kesimpulannya, apabila seorang anak muda memilih atau dipaksa memilih untuk menjadi orang agama, dirinya harus membuat persediaan yang sesuai dengan cabaran yang bakal menanti. Pelajar yang cemerlang semasa di alam persekolahan, tetapi kemudiannya memilih untuk menjadi orang agama, harus bersedia untuk mungkin bertemu semula dengan rakan sekolah 15 tahun selepas SPM dalam keadaan taraf kerjaya yang jauh berbeza. Mungkin yang paling cemerlang itu bukan yang hidupnya paling senang.

KEMAMPUAN

Terakhir, jika soal minat dan kesediaan terhadap cabaran itu sudah diambil kira, maka keputusan untuk membuat pengkhususan di bidang agama mestilah pula mengambil kira soal keupayaan.

Kita tidak mahu bidang agama menjadi ‘tong sampah’ tempat mengumpul manusia buangan yang tidak mempunyai peluang di tempat lain. Kita tidak punya harapan yang tinggi jika bidang agama dipenuhi oleh pelajar yang lemah kemampuan. Ketika agama semakin dicabar oleh masyarakat hari ini, ia diburukkan lagi oleh agama yang dipimpin oleh orang agama yang mundur, tiada keupayaan untuk berdiri sama ada dengan kesarjanaan yang baik, mahu pun jati diri yang cemerlang.

Orang agama yang selekeh ilmu dan selekeh sikap hanya memburukkan lagi keadaan masyarakat kita.

“Susah sangatkah bidang agama ini?”, mungkin ada yang bertanya begitu.

Memang tidak susah. Jika sasarannya ialah sekadar mahu lulus. Cukup sekadar pulang dengan maqbul.

Tetapi jika seseorang itu mahu menjadi orang agama yang ada kesediaan terhadap challenge and response yang sentiasa berubah dan menuntut perubahan, bidang agama memerlukan pelajar yang ada kelayakan untuk ke bidang perubatan, kejuruteraan dan undang-undang.

ANTARA BERAGAMA DAN MENJADI ORANG AGAMA

Justeru, ibu bapa harus mempertimbangkan sebaiknya, bahawa untuk waladun sooleh yad’uu lahu (anak soleh yang mendoakannya) itu berhasil, mungkin anak itu tidak perlu dipaksa untuk menjadi orang agama. Keutamaannya ialah pada memastikan si anak menjadi manusia beragama.

Tiada masalah untuk anak-anak meneruskan minat mereka di bidang Sunnatullah, kerana jalan untuk mereka itu melengkapkan diri dengan Syariatullah itu pelbagai dan terus ada sepanjang masa. Namun untuk seorang anak yang cemerlang masuk ke bidang Syariatullah, biarlah ia berlaku hasil minat, kemahuan dan kemampuan anak itu sendiri. Paksaan ibu bapa untuk anak ‘berkorban’ dengan masuk ke bidang agama, tanpa kesediaan minda yang betul, akan menjadi racun yang membinasakan.

ALTERNATIF

Mungkin kini, peluang melanjutkan pelajaran ke bidang perubatan di negara-negara seperti Mesir, Jordan malah mungkin juga di negara seperti Indonesia dan India, anak-anak ini mempunyai peluang yang luas terbuka untuk turut sama mengambil peluang mengukuhkan ilmu agama mereka. Selain dari silibus yang mengintegrasikan di antara subjek-subjek teras perubatan dan agama, peluang menambah ilmu melalui universiti yang didominasi bidang pengajian Islam, peluang bertalaqqi dan mengambil manfaat dari ulama’ yang ramai… boleh membantu.

Soal anak menjadi orang agama atau tidak, seeloknya biarlah atas pilihan dan perancangan. Namun untuk menjadi orang yang beragama, ia bukan pilihan, biar pun mungkin dengan sebuah paksaan!

Saya bercakap tentang realiti, jauh dari ilusi dan fantasi. Anda mungkin tidak enak membacanya.

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

 

Maklum Balas

Maklum Balas

Check Also

Generasi Y Teruji Kesetiaannya

Dalam setahun dua ini agak ramai pelajar perubatan dan doktor pelatih menghubungi saya, menyatakan keletihan …

4 comments

  1. Islam sebagai way of life. Maka orang beragama mesti menjadikan agama itu sebagai cara hidupnya. Itulah mungkin kekonfiusan ibubapa pada menentu arahtuju anaknya. Mungkin sistem pendidikan yang mainstream tidak menjurus anak kepada kehidupan beragama, maka anak dihantar ke tahfiz, sek agama, sek pondok, IPT di Timur Tengah dsb. Tujuannya supaya dia jadi orang beragama. Pada masa sama aliran pendidikan yang dipilih meletakkan anak tadi kepada bidang formal yang melayak dia jadi Orang Agama pula. Kita doa Allah jauhkan Orang Beragama dan Orang Agama daripada sisi fitnah yang boleh memburukkan Agama. Kedua-duanya perlu skil ‘street smart’ untuk menangani kehidupan masakini. Yang penting tiada istilah rehat dalam pencarian ilmu Allah ini.

  2. Kerana salah kefahaman dan penilaian terhadapa agama dan beragama inilah yang menjadikan umat islam sekarang huru-hara. Disangka ilmu memberi hidayah tetapi betapa ramai berilmu tanpa petunjuk hanya menambah fitnah pada agama. Soleh dan alim dua istilah berbeza.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *