Menghambarkan Kehebatan Sebuah Potensi

versales

Melawat The Palace of Versailles, Paris pada tahun 2001

“Saya hairan, bagaimana mereka boleh begitu terkesan dengan buku. Satu buku keluar, macam-macam perubahan berlaku!” saya memberikan komen tentang diskusi kami di dalam kelas.

Pagi itu, Prof. Abdullah al-Ahsan membawa kami kepada meneliti beberapa buku yang memberi impak sehingga mencetus perubahan kepada masyarakat Eropah. Setiap satu buku, seperti menandakan satu peralihan kepada Eropah dari satu era ke era yang berikutnya.

Bermula dengan Utopia (1516) oleh Thomas Moore, Discours de la methode (1637) oleh Rene Descartes dan Emile ou de l’Education (1762) oleh Jean-Jacques Rousseau, perjalanan kami diteruskan hinggalah ke era terbitnya buku Manifest der Kommunistischen Partei (The Communist Manifesto) (1848) oleh Friedrich Engels dan Karl Marx.

Setiap satu buku, menganjak Eropah ke era yang baru.

“Bagaimana boleh sebuah buku memberikan perubahan sehingga begitu? Itu yang menghairankan saya” saya cuba mendapatkan komen Prof. Abdullah al-Ahsan.

“Buku yang hebat, dibaca oleh pembaca yang hebat?” ringkas sahaja komen beliau.

Menarik juga jawapan Prof.

Tersenyum saya berfikir mengenainya.

Prof. pernah menyindir kami di dalam kelas semasa berbincang tentang kemunculan Girondin di Salon milik Madame Roland.

salon

“Supaya kamu semua lebih faham tentang fungsi dan peranan Salon para Girondin ini, saya analogikan ia sebagai usrah kamu” kata Prof al-Ahsan.

“Bezanya, usrah para Girondin ini bertenaga. Mereka berbincang secara kritis dan perbincangan mereka mengubah sejarah”, ulas Prof. lagi.

Ya, kata kunci Prof ialah, menulis dengan kritis dan membaca dengan kritis.

MENJUMUDKAN BUKU YANG DINAMIK

Buku yang hebat, akan menjadi jumud, beku dan statik apabila ideanya dihafal oleh pembaca dengan hafalan semata. Idea yang hebat perlu merangsang pemikiran. Lalu mereka yang membacanya akan menjadi manusia dinamik dan bukannya statik.

Sejarah Eropah, terutamanya yang berkaitan dengan Revolusi Perancis memperlihatkan sekumpulan manusia yang begitu responsif terhadap buku dan idea. Sebuah buku sudah memadai untuk mengubah perjalanan sejarah.

Mengenangkan diskusi hari itu, saya tertarik kepada apa yang cuba diungkapkan oleh Fathi Aris Omar di dalam artikel klasiknya ‘Usrah Membodohkan Ahli?’ Usrah sepatutnya menjadi tempat menjana sesuatu yang asli. Keaslian idea tidak semestinya dengan menafikan apa yang telah ada, tetapi harus terbit dari kesimpulan faham, bukan penghafalan tahu.

Sudah tentu, ada 1001 kumpulan tempat manusia berkumpul. Tetapi usrah duduk di kelasnya tersendiri. Usrah mendefinisikan dirinya sebagai tempat berkumpul amilin, pejuang Islam, yang bekerja untuk memenangkan Islam. Maka usrah mesti menjadi tempat yang kritis. Majlis lahir idea yang mengubah, bukan mengangguk mengiyakan idea-idea warisan.

Antara faham dan tahu, ada bezanya. Tahu hanya proses mengutip bahan. Namun faham adalah hikmah yang terbit daripada apa yang kita tahu. Hikmah itu adalah buah fikiran yang menepati sasaran dan keperluan.

Saya kira, pandangan Fathi Aris Omar susah direnung isi kandungannya jika pembaca membacanya dengan paradigma yang defensif, mahu mempertahankan apa yang kita percaya, tanpa membuka ruang muhasabah. Idea beliau juga tidak boleh dimanfaatkan jika kita-kita ini sudah muktamad berpegang pada satu imej tentang beliau yang menjadikan kita tidak jujur dalam menilai.

Saya mengambil risiko untuk menyatakan persetujuan saya dengan jelas, betapa temubual bertajuk ‘Intelektualisme Melayu, Pertarungan Wacana Agama dan Budaya Politik Malaysia‘ telah menyebabkan saya lemah lutut apabila akhirnya apa yang terbuku di hati saya, terungkap dengan begitu tepat oleh Fathi Aris Omar. Saya katakan ia suatu risiko, kerana saya dikelilingi oleh mereka yang sudah ada keputusan mengenai beliau, sehingga saya sendiri lambat mengambil peluang memanfaatkan ketajaman minda dan penanya.

Belenggu tebal yang membekukan impian amilin-amilin gerakan Islam.

france2

TULISKAN IDEA KAMU SENDIRI

Itulah yang saya serukan kepada peserta Simposium Intelek Muda Islam suatu ketika dahulu, “tulislah Petunjuk Sepanjang Jalan kamu sendiri. Tulislah Ma Za Ya’ni kamu sendiri!”

Apa yang saya maksudkan dengan seruan ini ialah supaya kehebatan buku Sayyid Qutb dan Fathi Yakan itu, jangan dihambarkan oleh ketumpulan minda kita membacanya. Sayyid Qutb telah menempuh satu perjalanan yang panjang, dari loceng gereja atas kematian Hasan al-Banna, hingga terpenjara di atas jalan yang sama. Hasil menceburkan diri kepada realiti, terhasillah buku sehebat Petunjuk Sepanjang Jalan, iaitu kombinasi ilmu, analisa, pengalaman dan cita-cita Sayyid Qutb.

Memang hebat. Sehingga Sayyid Qutb ungkapkan di muqaddimah Tafsirnya, “kemanisan hidup di bawah lembayung al-Quran, tidak dapat diketahui rasanya melainkan oleh orang yang menjamahnya”

Soalnya, mampukah anda yang membaca Tafsir fi Dhilal al-Quran merasai apa yang dirasai oleh Sayyid Qutb, jika pembacaan kita terhadap gagasannya hanya berupa sebuah hafalan. Kehebatan kita pula ditonjolkan hanya pada keupayaan kita menaqalkan sebanyak mungkin ungkapan-ungkapan manusia hebat itu.

Tambahan pula, menjelang era jaringan sosial hari ini, anak-anak muda yang dikurniakan rahmat untuk keluar daripada belenggu kejumudan usrah, berekreasi seperti pengunjung pasar raya. Mereka mengadakan window shopping terhadap idea-idea di rak pameran.

Yang ini bagus, yang itu tidak bagus.

Namun kebagusan itu masih menanti sebuah hasil.

Sebuah revolusi!

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

 

 

Maklum Balas

Maklum Balas

Check Also

tahiayam

Generasi Y Teruji Kesetiaannya

Dalam setahun dua ini agak ramai pelajar perubatan dan doktor pelatih menghubungi saya, menyatakan keletihan …

3 comments

  1. miqa ben lativ

    Revolusi di Malaysia dapat berlaku sekiranya terjadi peralihan kuasa kerajaan pusat. Give back the power to the people.

  2. assalamualaikum ustaz..artikel yang bagus. masalah utama dalam kalangan umat islam di tanah air ini (khususnya Melayu) adalah kegagalan kita berfikir.kegagalan kita berfikir itu banyak faktor terjadinya perkara ini.tapi yang paling jelas adalah kerana wujudnya satu suasana dan sistem yang membunuh keinginan masyarakat kita untuk berfikir.suasana itu telah membunuh kemandirian kita sebagai manusia sebenarnya!

    artikel yang bagus.semoga ustaz terus menyumbang .insya-Allah akan ada anak2 muda yang terkesan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *