Taubat Seorang ‘Televangelist’

televisyen

Ramadan ini saya mengenang kembali permohonan-permohonan saya pada Ramadan lalu.

Doa.

Hajat.

Apakah rentetan hidup yang terjadi selepas Ramadan tahun lalu, ketika Ramadan kali ini sudah surai seminggu?

Pada tahun lalu, saya berasa sangat tertekan. Ada sesuatu yang tidak kena dengan diri, kaitan masyarakat dengan diri dan dakwah secara keseluruhannya. Tetapi saya tidak pasti apakah ia. Hanya hati yang tidak tenteram. Rasa gelisah semasa berkata-kata, dan gelisah semasa mendengar perkataan.

Saya tidak dapat berfikir dengan baik kerana terlalu sibuk dengan program demi program. Dan program yang menjadi dakwah itulah yang saya minta daripada Allah untuk ia reda seketika agar saya mendapat ruang untuk berfikir.

“Ya Allah, berhentikan aku seketika daripada kesibukan ini agar aku mendapat ruang berfikir”

“Ya Allah, bantulah aku untuk keluar daripada tempat di mana aku berada pada masa ini”

“Ya Allah, bantulah aku untuk menutup syarikatku”

“Ya Allah, selamatkan aku daripada kesibukanku”

“Ya Allah, dekatkanlah aku kepada ilmu, kepada-Mu”

Itulah doa yang saya ulang, berulang-ulang kali, sepanjang Ramadan lalu. Terima kasih juga kepada sahabat saya Azizulhasni Awang yang ketika itu berkomunikasi dengan saya dalam kemuncak Olimpik 2012 yang berlangsung di bulan Ramadan. Semangat beliau memercikkan kemanisan berdoa buat saya, sesuatu yang turut pudar, dalam sebuah kehilangan manisnya perjuangan.

Usai Ramadan, saya berusaha mengatur hidup ke arah apa yang saya doakan. Syukur Allah permudahkan segalanya.

BELAJAR SEMULA

Saya diterima masuk ke program sarjana pengajian Islam di UKM sebagai pelajar sepenuh masa. Sahabat di dalam STC berhijrah ke UK dan juga menyambung pelajaran seperti saya. STC berjaya ditutup. Pembelajaran di UKM berjaya mententeramkan kembali diri. Saya kembali dapat membuka kitab, membaca, mengkaji, dan satu kenikmatan besar yang sukar dipercayai ialah, nikmat kembali menjadi ‘orang yang tidak tahu’. Pendapatnya diterima dan ditolak. Ditegur, dibetulkan.

Sedikit demi sedikit elemen selebriti terhakis, walaupun tidak seselebriti mana.

Semester 1 berakhir dengan baik. Saya mendapat peluang yang seterusnya, Allah izinkan saya ke Turki selama 3 minggu. Biar pun perit meninggalkan isteri dan anak-anak, 3 minggu itu sangat penting pada menjernihkan kembali apa yang saya fikir tentang diri, dan kehidupan.

Saya tekad untuk meninggalkan bidang motivasi.

Saya tidak mahu lagi banyak berada di hadapan lensa.

Saya mahu berusaha keras menjauhkan diri daripada menjadi Muslim Televangelist!

TELEVANGELISM

televangelist

Biar pun istilah ini asing daripada umat Islam, namun kita semakin terkait dengannya. Televangelism adalah fenomena di mana penceramah-penceramah Kristian menggunakan medium Televisyen sebagai saluran untuk mereka menyebarkan ajaran mereka. Ia juga tidaklah terhenti setakat kepada televisyen, malah membabitkan radio pada peringkat awalnya, dan kemudian berkembang kepada media sosial semasa seperti Youtube dan lain-lain.

Ia telah banyak dibahaskan oleh dunia Barat antara pro dan kontra. Seawal S. Parkes Cadman, yang menyampaikan ‘ceramah’nya di radio pada tahun 1923 sehinggalah membawa kepada era Jimmy Swaggart, Jerry Fallwell dan Pat Robertson pada masa ini.

Antara kritikan yang banyak dikemukakan adalah pada elemen komersil, populariti, mengidolakan diri yang kesemuanya itu mengkaburkan realiti sebenar bahawa yang bercakap itu sebenarnya bukan seorang yang berkelayakan, atau dalam bahasa mudahnya jahil yang petah berbicara.

Apabila ‘Amr Khaled menjadi popular di Mesir, diikuti dengan generasi seterusnya seperti Moez Masoud, penganalisis Barat melihat Dunia Islam mula terjebak dalam fenomena ‘ceramah agama versi televangelist’ yang sudah lama wujud di dunia mereka sebelum ini.

Yasmin Moll, di dalam sebuah artikel yang disiarkan oleh Majalah Economist, menyebut tentang hal ini:

SCREAMING hordes of teenage girls are a common sight at pop concerts and film premières. They are less usual when waiting to hear a religious preacher. But such girls—one gasping “I can see him, I can see him” through the folds of her niqab—awaited Moez Masoud, an Egyptian televangelist, recently in Cairo. He is part of a growing band of Islamic preachers who are true celebrities

Selebriti agama di kaca televisyen keluar daripada imej berjubah berjambang, dengan penerangan-penerangan yang kaku. Kini mereka tampil kacak bergaya dan sedap dipandang mata.

Perubahan yang berlaku juga bukan hanya kepada imej yang diprojekkan ke skrin. Ia turut membabitkan mesej yang disampaikan. Ajarannya lebih lunak, meraikan, mudah dihadam, menjadikan mereka yang bergantung kepada penyampaian sebegini berasa yang agamanya terisi.

Kebaikannya ada.

Kebaikan itulah yang sedang berkembang dan dipertahankan.

 

Namun dalam kebaikan itu ada keresahan yang membimbangkan. Sesuatu yang sukar hendak diungkapkan dengan kata-kata. Tetapi setiap insan yang duduk sama ada di hadapan atau di belakang kamera, jika jujur mendengar bisikan hati, dan berusaha menjernihkan fikiran serta perasaan, tidak dapat lari daripada mengakui bahawa ADA SESUATU YANG TIDAK KENA.

‘Ada sesuatu yang tidak kena’ itulah yang menyeksa diri saya.

Kali pertama saya menyebutnya ialah di dalam coretan buku Bercinta Sampai ke Syurga, di bawah tajuk “Fitnah di Hujung Lensa”. Rasa tidak kena itu bertambah sedikit demi sedikit semasa wajah saya ditampal dengan compact powder sebelum ke pentas. Rasa tidak kena itu makin terasa semasa percakapan saya perlu dikawal di pentas dengan soalan-soalan yang dikemukakan, sensitiviti yang mesti dirai, hitungan masa untuk memberi laluan kepada mesej komersil serta wajah yang perlu sentiasa sedap dipandang senyumnya.

Dan paling membebankan saya ialah apabila orang berebut-rebut mahu bergambar bersama, anak muda dan dara berbisik-bisik “eh, Ustaz Hasrizal la tu, kan kan kan!”

Ini bukan kesan yang sepatutnya lahir daripada sebuah dakwah.

Kalau saya yang gemuk dan tidak fotogenik ini, beriya-iya mereka mahu bergambar dan rasa teruja bersua muka, bagaimana pula dengan yang kacak, jelita, baby face penuh bergaya?

Inilah fenomena Muslim Televangelism yang menakutkan saya. Dan ia dikaburi oleh mesej dan imej agama.

Akhirnya cakap yang didengar bukan lagi yang paling kuat ilmunya, tetapi yang paling popular.

Malah populariti itu mungkin boleh mengenengahkan artis-artis dan selebriti yang berhijrah daripada jahiliah kepada Islam, mengatasi agamawan dalam erti kata yang sebenar.

Akhirnya yang diminati terus menerus adalah tazkirah dan motivasi, bukan lagi ilmu yang merupakan isi utama sebuah firman IQRA’.

Dalam budaya televangelism ini, si jahil boleh meletakkan syarat ke atas si alim agar kejahilannya dihormati, justeru si alim yang mesti bekerja keras mencairkan penyampaiannya agar si jahil tidak penat dalam usaha memahami.

Justeru dalam kegilaan semua ini, saya menguatkan semangat untuk berundur selangkah demi selangkah, bersama doa buat rakan-rakan yang lain, agar TAQWA yang menuntut diri sedar dan terkawal itu, menyedari di mana kita sedang berada, dan apakah langkah yang sepatutnya diambil.

Teringat saya kepada pesanan Imam Birgivi di dalam Tariqah Muhammadiyyah. Di dalam bab ke 11 tatkala membicarakan tentang mengenal pasti kejahatan, Imam Birgivi berkata:

“…Wahai kamu yang telah menerima kurniaan besar berupa kebijaksanaan daripada Tuhanmu, gunakanlah ia. Gunakan ia untuk menguji amalmu serta pujianmu terhadap Tuhanmu. Dia mengetahui apa yang engkau kerjakan. Sesungguhnya cukuplah pencapaian itu bahawa engkau sahaja yang mengetahui apa yang engkau kerjakan. Orang lain tidak perlu tahu. Tidakkah Dia yang menciptamu dan segalanya di alam ini, cukup buat kamu?

Apabila engkau memuhasabah amalanmu, jangan lupa kepada manfaat keikhlasan dan mudarat kemunafikan terhadap hidupmu. Keputusan yang terbaik adalah pada berhenti mempamerkan amal kebaikanmu. Hanya dengan cara ini pintu kemunafikan akan tertutup sepenuhnya. Tanpa menafikan, ada situasi tertentu yang mana engkau perlu menunjukkan perbuatan baikmu dengan maksud untuk menggalakkan orang ramai mencontohimu.

Biar pun niatmu baik, engkau tetap bertanggungjawab memelihara hatimu daripada jahatnya keghairan egomu. Kemunafikan itu menyelinap masuk ke hatimu melalui tiga pintu: keinginan agar kebaikanmu diketahui orang ramai, harapanmu agar engkau dipuji serta dianugerahkan dengan kemuliaan serta kedudukan sebagai ganjaran perbuatanmu, dan keakuranmu dan rasa enak terhadap kemasyhuran dan ganjaran yang engkau perolehi…”

Kepulangan saya dari Turki, terutamanya selepas menziarahi pusara Imam Birgivi yang mati dalam kemiskinan pada tahun 1572, menyebabkan saya tidak lepas daripada membaca dan terus membaca Tariqah Muhammadiyyah. Demi mempertahankan hati, sebagai erti seorang manusia, dan paksi kepada kehidupan dan tamadun seluruhnya, Imam Birgivi nekad meninggalkan kemasyhuran dan kedudukannya di Edirne dan Istanbul.

Tariqah Muhammadiyyah siap dikarang kurang setahun daripada kematian Imam Birgivi. Di dalam bab yang sama, beliau menyambung lagi:

“… Kita mesti menolak semua keghairahan ini. Kita mesti mengambil kira bahawa dalam realiti kehidupan, untuk diri kita tertonjol di khalayak, walaupun dengan pujian orang ramai terhadap ketaatan, sifat wara’, jujur dan pemurahnya diri, itu sudah cukup untuk mendorong kita kepada bencana paling besar dalam kehidupan di dunia ini, dan di Akhirat. Kita mesti percaya, bahawa orang yang gemar memuji-muji itu adalah musuh kita. Beliau adalah pembantu kepada sifat ego, musuh terbesar kita. Dan kita juga perlu tahu bahawa kegagalan menolak keinginan ini akan mengundang kemurkaan dan seksaan Allah ke atas diri kita.

Jika engkau menolak dengan cara ini, penolakanmu itu akan membolehkan engkau melihat kehodohan yang berada di sebalik daya tarikan yang bersifat sementara ini. Dengannya, engkau akan benar-benar boleh menolak (kemasyhuran itu).

Keputusan untuk menolak daya tarikan kemunafikan itu dibuat oleh akal fikiran kita. Akal fikiran itu patuh kepada apa yang lebih kuat, sama ada daya tarikan kepada, atau upaya mengelak daripada, sumber rangsangannya…”

Ia bukan pilihan yang mudah.

Dalam surat menyurat Imam Birgivi kepada Sheikh Ataullah Efendi, beliau sebagai manusia biasa, mengadu akan keperitan hidupnya di Birgi.

Harga yang dibayar oleh Imam Birgivi.

Keputusan yang menjadikan beliau miskin dan terpencil dalam perjalanan hidupnya. Namun mencetus fenomena besar selepas keberangkatannya pulang ke rahmat Allah.

Sesungguhnya tidak akan selamat umat hari ini kecuali dengan apa yang telah menyelamatkan umat yang silam. Dan kerana itu, kematu tumit bersila di dalam majlis ilmu saya usap demi mencari sebuah kekuatan, buat perjalanan yang masih panjang.

Rahmati kami ya Allah.

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

 

Maklum Balas

Maklum Balas

Check Also

syrianchildreninistanbul

Jangan Beragama Sekadar di Pinggiran

kredit foto: demotix.com “Ammu, Ammu, fi sabilillah!” seorang kanak-kanak kecil menarik baju saya. Dia bukan …

13 comments

  1. Interesting subject raised here. Come to think about it, it is true that popularity become more important nowadays in the commercial world including TV stations. By the way I still prefer Ust Hasrizal with jubah and kopiah against the current ‘nehru style’ jacket with kopiah no more up there. Back to basic is good but with innovation and creativity as always. I doa the truth reveal and Islam win no matter what. All the best Ust Hasrizal.

  2. ummuninasmaysar

    Salam’alaik. I was glad to see you in the limelight but I am even happier to see you staying true to what you are.

  3. Alhamdulilah ustaz, ..semoga tercapai usaha ustaz. dan yang paling penting ustaz jujur… semoga semua ustaz dan penceramah di bebaskan jiwanya dari populariti semata-mata

  4. Mohd Dzulhuzmi Nasruddin

    Saya menghormati keputusan Ust. Setelah membaca keseluruhan entry, sememangnya langkah kaki yang diundur setapak demi setapak yang ust terangkan di atas itu mempunyai basis yang kukuh. Walaubagaimana pun, kerisauan saya tetap ada. Risau yang susah untuk digambarkan dengan kata-kata untuk masa sekarang….hmm
    (keep thinking)

    • Terima kasih Dzul kerana setia berkunjung ke blog ni. Terima kasih juga atas kiriman doa. Juga oleh pengunjung-pengunjung yang lain

  5. Subhanallah, Ust. Jujur saya katakan yang saya sudah lama berpendapat sebegini terhadap ustaz-ustaz, penceramah-penceramah yang popular. Saya lebih suka dengar ceramah mereka-mereka yang orang kebanyakkan tetapi ilmu agamanya tinggi dan tidak meninggi diri walaupun ustaz popular itu tidakpun berniat meninggi diri. Tapi itulah desakan dan ujian untuk orang yg beramal.

  6. As salam..
    Interesting. Pendedahan jujur ustaz…adakah teknologi puncanya…maksimakan output!

    Tinggalkan terus….?

    Atau back to basic…or sederhana dalam apa jua hal lebih baik!

    Wassalam

  7. alhamdulilah….a pro-active actions from a pro-active thinker. semoga Allah permudahkan segala urusan dakwah ustaz…ameen.

  8. semoga berjaya, dunia dan akhirat… ustaz!

  9. Semoga pilihan ini diberkati Allah

  10. Out of the box. Hoping to be like that too.

    Ustaz fikir xsama macam ordinary people fikir.
    SubhanaAllah TabarakaAllah. Semoga Allah meredhai. Bittaufik!

  11. Benar,kata kata ustaz.Secara tak langsung…populariti jadi keutamaan..saya tidak bersetuju dgn program sebegini..tak pernah ingin mengikutinya,bakal ustaz,ustazah yg dipilih disamakan dgn pemilihan penyanyi,pelakon dan pelawak…ada pula selebriti artis dipilih sbg juri ,nanti akan ada pula ustaz,ustazah jadi juri utk program hiburan,tak mustahil akan berlaku ..moga yg terlibat cepat sedar ….

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *