Arkeologi Membantu Memahami Sunnatullah

Ziggurat

Ziggurat, Ur (kredit foto: bucks.instructure.com)

Manusia mengulangi proses yang sama untuk membina atau meruntuhkan kehidupannya. Ia dikaji dalam ilmu ketamadunan. Sebab-sebab manusia dan tamadunnya berkembang adalah sama. Sebab-sebab manusia dan tamadunnya merosot malah menemui ajal juga sama.

Untuk memahami proses jatuh bangun manusia ini, kita memerlukan banyak sampel. Kebanyakan sampel itu terlalu tua untuk ditemui catatan mengenainya dalam bentuk tulisan di dalam buku. Sampel itu dikenali melalui penemuan bahan galian arkeologi.

Apabila sebuah kota ditemui, seperti kota Ur di Iraq, bentuknya geometrik agak sekata. Bahan-bahan yang ditemui dalam penggaliannya, memberikan corak tertentu. Ada barang mewah ditemui dalam struktur rumah dan ada barang biasa ditemui di rumah sebelah.

Ini menjelaskan kepada pengkaji sejarah bahawa rumah orang kaya dan rumah orang kebanyakan adalah berjiran. Corak ini tidak ditemui dalam penggalian kota lama lain seperti Petra. Barang mewah di lokasi tinggi di atas bukit, manakala barang murah ditemui di lokasi berasingan. Ertinya orang kaya tinggal di lokasi berasingan berbanding orang miskin.

Kota Ur itu menampakkan adanya kerjasama yang baik antara orang kaya dan orang miskin. Mereka hidup bersama. Mereka hidup berjiran. Kerjasama terhasil apabila manusia menikmati rasa sama rata. Tiada upaya menimbulkan rasa sama rata dalam komuniti berkasta. Ia hanya tercetus dalam dominasi agama yang luhur. Manusia semua sama, di hadapan Tuhan. Agama kuat di kota Ur. Ia dibuktikan oleh Ziggurat, rumah ibadah yang menjadi paksi kepada kota Ur.

Kota Ur ini digali dan dikaji sekitar tahun1853 dan 1854 oleh John George Taylor, British vice consul di Basra.

Hasil penemuan didokumentasi.

Ia boleh dimanfaatkan oleh semua manusia tanpa mengira bangsa dan agama.

Sebagai Muslim, kita juga mempunyai maklumat tentang kaum terdahulu menerusi Wahyu. Kita kenal Nabi Nuh AS dan banjir besar di zamannya.

Di bandar Ur itukah Nuh berada?

Jawapan itu tidaklah begitu penting.

Yang penting kita memahami corak bahawa apabila manusia kuat agama tauhidic, maka manusia sama rata, bekerjasama, dan tamadunnya makmur. Apabila manusia hamba memperhambakan, manusia tidak bekerjasama, tamadunnya jatuh. Arnold Toynbee mengkaji hal ini dalam karya gergasinya A STUDY OF HISTORY. Nicholas Hagger juga mengkaji tamadun-tamadun yang panjang ini di dalam karyanya THE LIGHT OF CIVILIZATION.

Terkini, kajian di Göbekli Tepe di Turki sangat penting untuk menjawab soalan, manusia ini asalnya primitif atau bertamadun. Tamadun dulu baru agama (agama dicipta manusia) atau agama dulu baru tamadun…

Firman Allah SWT:

 

قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِكُمْ سُنَنٌ فَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَانظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُكَذِّبِينَ

Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu (contoh kejadian-kejadian berdasarkan) peraturan-peraturan Allah yang tetap; oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan (Rasul-rasul). [Al Imran 3: 137]

 

Meneliti umat-umat terdahulu mustahil terjadi dengan mata kasar tanpa ilmu, gurunya mustahil pemandu pelancong yang memetik apa sahaja cerita yang mencelikkan mata penumpang bas persiaran. Ada ilmu yang diperlukan untuk meneliti umat terdahulu. Ada ilmu yang mesti disuburkan untuk menjadikan umat Islam celik dan bukan sekadar beretorik.

Berilah sokongan kepada bidang arkeologi, sejarah, sains, dan pengajian Islam untuk bidang-bidang ini bersinergi membongkar Sunnatullah yang boleh membantu kita menjawab soalan:

“Ke Arah Manakah Tamadun 2013 Sedang Menuju?”

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

 

Maklum Balas

Maklum Balas

Check Also

Jangan Beragama Sekadar di Pinggiran

kredit foto: demotix.com “Ammu, Ammu, fi sabilillah!” seorang kanak-kanak kecil menarik baju saya. Dia bukan …

One comment

  1. Artikel yang membuka mata, thanks utk sharing ust.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *