Fikiran Malang Merobohkan Lembah Bujang

lembahbujang02

 Sebahagian binaan Candi 11 di Lembah Bujang yang musnah (kredit foto: The Malaysian Insider oleh Hasnoor, 4 Disember 2013)

Bukanlah tugas saya asalnya, untuk menjelaskan tentang kepentingan ilmu arkeologi. Ia bukan bidang saya dan bidang itu ada pakar-pakarnya yang tersendiri. Cuma saya berasa amat sedih membaca komen-komen yang dikongsi, yang menampakkan kejahilan (izinkan saya menggunakan perkataan ini) si penulis komen, dan kejahilannya disertakan bersama dengan sifat sombong kerana enggan bertanya tetapi rakus membuat kesimpulan-kesimpulan yang jengkel.

Orang Melayu merumuskan ia sebagai sikap BODOH SOMBONG.

Ada yang kata Candi itu tempat manusia mensyirikkan Allah, apa pentingnya Lembah Bujang itu, robohkan sahaja semuanya dan mana-mana yang penting simpan di muzium, dan pelbagai lagi telahan yang tidak menghormati ilmu pengetahuan. Mereka melihat dengan mata kasar, sedangkan Allah memberi ra’a, nazara dan basara untuk kita memerhati dengan mata kasar, dengan akal, dan dengan hati serta iman. Bukan hanya memandang apa yang terlintas di depan mata, tanpa keinginan memahami mesej-mesej di sebaliknya.

LENGGONG

Kita ke Lenggong seketika.

Di Bukit Bunuh, Lenggong Perak, para arkeologis tempatan telah menemui sebilah kapak, dan setelah dianalisa di sebuah makmal di Jepun, kapak itu dikenal pasti berusia 1.83 juta tahun! Ia adalah kapak buatan tangan manusia yang tertua di dunia. Penemuan ini penting untuk membina pemahaman kita tentang sejarah tamadun manusia. Penemuan-penemuan lain diperlukan untuk mencantumkan kefahaman seperti kepingan puzzle untuk memahami siapa yang tinggal di Lenggong pada masa itu.

Bagi kita umat Islam, pelbagai lagi persoalan timbul.

Setakat ini, saintis telah mengesan kira-kira 15 spesis awal manusia. Tetapi sulit untuk dikategori dan ditentukan bagaimanakah hubungan di antara spesis ini dan bagaimanakah setiap satu spesis itu berakhir. Spesis seawal Australopithecine yang dianggarkan berusia 5 ke 2 juta tahun dahulu, membawa kepada spesis Neanderthal yang dianggarkan berusia 200,000 ke 24,000 tahun yang lalu, kesemuanya ini menimbulkan persoalan berkaitan penciptaan Adam, dan pendirian Islam terhadap evolusi itu sendiri. Apakah Adam itu hidup seawal era Australopithecine atau bagaimana?

Alim ulama dahulu meneroka persoalan ini.

Kita boleh melihat perbahasan al-Tabari, al-Masoudi, walaupun tanpa makmal dan sains arkeologi untuk menyokong proses mereka mencari jawapan.

Atau apakah pembuat kapak di Lenggong itu adalah manusia yang hidup di zaman sebelum Adam kita, iaitu zaman yang telah sempurna keseluruhan perjalanan mereka, dikiamatkan dengan hentaman meteorit dan bermula satu pusingan Adam seterusnya?

Persoalan-persoalan ini adalah penting untuk memahami di mana agama, sains, teknologi, dan kita dalam apa yang dinamakan sebagai kehidupan ini.

Kecualilah jika kita tidak kisah dengan semua itu sebab yang penting cukup makan minum.

Iaitu falsafah lembu dan kambing semasa keluar kandang setiap pagi.

Lembukah kita?

Kambingkah kita?

Jika kita manusia, kita khalifah dan tugas kita adalah untuk memahami kehidupan ini dan mengaturnya menurut kehendak Sang Pencipta.

Bacaan lanjut, jenguk-jenguk artikel lama saya di http://saifulislam.com/2013/07/adam-adam-sebelum-adam/

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

 

Maklum Balas

Maklum Balas

Check Also

syrianchildreninistanbul

Jangan Beragama Sekadar di Pinggiran

kredit foto: demotix.com “Ammu, Ammu, fi sabilillah!” seorang kanak-kanak kecil menarik baju saya. Dia bukan …

2 comments

  1. Sangat mendalam, saya setuju dgn ust. Tinggalan sejarah dan ilmu pengetahun perlu dijaga, merentasi agama dll..

  2. Termenung saya memikirkannya. Saya terlepas membaca entri ini di dalam blog tapi saya selamat membacanya di buku ustaz. Mungkinkah ada manusia sebelum Adam kerana tidak logik Dinosour memakai Kapak? Sejarah itu penuh dengan kerahsiaan yang belum terungkapkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *