Ankara: Murshid, Murabbi, Ukhuwwah dan Mahabbah

Kocatepe_Camii_Ankara

“Pelik betul rekaan dalaman Hotel Murat ini. Macam That 70’s Show” saya mengomel.

Selepas solat subuh, kami bermalas-malasan di bilik. Terasa berat benar hendak bangun. Letih selepas perjalanan panjang bermula zohor semalam hingga ke jam 1 pagi. Puas kami berpusing di sekeliling kawasan Çankaya kerana mahu mencari hotel. Tidak mahu yang mahal-mahal. Tetapi takut pula dengan hotel murah yang banyak kegiatan ‘sampingan’.

Syukur.

Rasanya, Hotel Murat di Esat Caddesi memberi peluang kami tidur dengan tenang. Pada kadar sekitar RM200 semalam bersama sarapan, hotel sederhana di tengah-tengah ibu kota Ankara ini boleh memotong masa untuk kami bertemu dengan rombongan Istanbul sebentar lagi.

“Assalamualaikum” Halim menjawab panggilan telefon.

“Orang Istanbul, kot?” saya bertanya.

Nabhan mengangguk.

Alhamdulillah, ‘Bujang Lapok’ bertiga dari Istanbul sudah sampai. Mereka kini berada di Stesyen Bas Besar Ankara. Ia lebih dikenali sebagai AŞTİ iaitu singkatan kepada Ankara Şehirlerarası Terminal İşletmesi. Mereka mahu bersarapan dahulu sebelum kami bertiga pergi mengambil mereka di sana.

“Jom kita sarapan!” saya mengajak Nabhan dan Halim.

Ada baiknya kami kemas barang dan turun untuk check out terus bagi menjimatkan masa.

20130208_080658_HDR

Sambil mengambil giliran ke bilik air, mata saya memandang lepas ke luar, melihat Ankara disimbah mentari pagi. Kali terakhir saya datang ke Ankara adalah pada tahun 1997. Kali kedua, adalah pada tahun 1995. Saya masih ingat, pada masa tersebut saya datang ke Ankara bersama Munawwar, Arief, Baihaqi, Sabri dan Abdul Rasyid. Kami berpakat untuk mengembara merentas Turki.

Saya tinggal di asrama Milli Gençlik Vakfı di Ankara bersama Hasan Hakikatoğlu, abang kepada sahabat saya Hüseyin. Hasan pada masa itu menuntut di Dil ve Tarih – Coğrafya Fakültesi (Fakulti Bahasa dan Sejarah – Geografi) di Universiti Ankara. Beliau menghadiahkan saya beberapa keping salinan manuskrip era Sultan Süleyman I sebagai pengenalan kepada sumber primer sejarah Dawlah Uthmaniyyah. Fakulti beliau mengajar secara khusus kaedah membaca dokumen-dokumen sejarah seperti manuskrip berkenaan.

Saya sudah lama terputus hubungan dengan Hasan, juga adiknya Hüseyin. Mungkin kini mereka berada di Jerman kerana keluarga mereka tinggal di sana pada masa tersebut.

Di kala itu, kami bermusafir jauh dari Ankara ke Trabzon, Rize, turun ke Antakya dan kemudian naik ke Konya hinggalah ke Istanbul. Kisah perjalanan itu ada saya catatankan dalam travelog lalu, Secangkir Teh Pengubat Letih. Ketika itu kami hanya berbelanja sekitar USD200 untuk keseluruhan perjalanan. Berbeza dengan Turki hari ini. Malam ini sahaja kami membayar hampir USD1o0 untuk hotel!

Biar pun perbelanjaan di Turki kini mahal dan menjadi cabaran buat ‘pelancong’ seperti saya, andai ia menjelaskan tentang meningkatnya taraf hidup rakyat Turki, saya bersyukur. Itulah yang baik buat saudara saya di Turki, petanda kejayaan mereka bangkit daripada gelombang politik radikal era 1990’an yang mengorbankan ekonomi.

Usai bersarapan pagi dan check-out, kami pergi mendapatkan kereta. Kasihan. Si kacak berwarna putih itu kelihatan comot selepas menempuh lebih 1000 kilometer perjalanan. Inshaallah ia bukan comot sebarangan. Jika dahulu kala, itulah barangkali debu-debu yang melekat di kaki kuda jihad di medan perang dan menuntut ilmu.

bab-ilm

Teringat saya kepada kisah yang dibawa oleh Kathir bin Qays sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam Birgivi di dalam Bab Fadhilat ilmu bahawa seorang lelaki datang dari Madinah menemui Abu Darda’ radhiyallahu ‘anhu yang ketika itu berada di Dimashq. Beliau bertanya kepada lelaki itu, “apakah yang membawa engkau ke mari?”

Lelaki itu menjawab, “ada sebuah hadith yang telah dimaklumkan kepadaku bahawa tuan meriwayatkannya daripada Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam!”

Abu Darda’ bertanya, “apakah engkau datang untuk hajat (selain itu)?”

Lelaki itu menjawab, “tidak”

Abu Darda’ bertanya lagi, “apakah dengan urusan perniagaan?”

Lelaki itu menjawab lagi, “tidak. Aku tidak datang ke mari kecuali untuk mempelajari hal berkaitan hadith ini”

Abu Darda’ berkata, aku mendengar Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam telah bersabda:

مَن سلَك طريقًا يطلُبُ فيه عِلمًا سلَك اللهُ به طريقًا مِن طُرقِ الجنَّةِ والملائكةُ تضَعُ أجنحتَها رضًا لطالبِ العِلمِ وإنَّ العالِمَ يستغفِرُ له مَن في السَّمواتِ ومَن في الأرضِ والحِيتانُ في الماءِ وفَضْلُ العالِمِ على العابِدِ كفضلِ القمرِ ليلةَ البدرِ على سائرِ الكواكبِ إنَّ العلماءَ ورَثةُ الأنبياءِ إنَّ الأنبياءَ لَمْ يُورِثوا دينارًا ولا دِرهمًا وأورَثوا العِلْمَ فمَن أخَذه أخَذ بحظٍّ وافرٍ

“Barangsiapa yang berjalan menuntut ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan menuju Syurga. Sesungguhnya para malaikat meletakkan sayap – sayapnya. Karena redha kepada penuntut ilmu. Sesungguhnya orang menuntut ilmu akan dimintakan ampunan oleh yang ada di langit dan di bumi hingga ikan yang ada di dalam air. Sesungguhnya keutamaan seorang alim (ulama) dibandingkan seorang ahli ibadah seperti keutamaan bulan atas seluruh bintang. Sesungguhnya para Ulama adalah pewaris para Nabi. Dan Sesungguhnya para Nabi tidak mewariskan dinar ataupun dirham. Tetapi mereka hanya mewariskan ilmu. Barangsiapa yang mengambilnya, maka dia telah mengambil bagian yang banyak.” [Sahih Ibn Hibban]

Janganlah semasa membaca hadith ini, kita membayangkan setting yang terikat dengan bayangan medieval. Ia relevan sepanjang zaman. Biar pun pada masa ini maklumat memang berada di hujung jari, bermusafir untuk meneliti keabsahan ilmu masih diperlukan. Terutamanya di bidang sejarah.

Malah bidang sejarah juga bukanlah bidang yang terasing daripada ilmu-ilmu yang lain.

Andai kita belajar al-Quran, al-Hadith, Fiqh, atau apa sahaja cabang ilmu Islam, ia sampai kepada kita sebagai bahan sejarah. Penelitian bukan hanya kepada huraian, tetapi di belakang minda seorang penuntut ilmu, mesti ada pertanyaan bagaimana ilmu ini sampai kepadanya?

Biar pun hari ini kami memandu Renault Fluence dan bukan lagi kuda atau unta, motifnya masih sama.

Demi ilmu.

Demi memudahkan perjalanan untuk ke Syurga.

“Ustaz, itu dia mereka!” kata Nabhan.

“Ahlan wa sahlan, masuk, masuk!” saya mempersilakan anak muda bertiga itu masuk.

Halim Khayat, Ammar, Saifuddin kelihatan letih dan kusam. Penat menaiki bas barangkali.

“Assalamualaikum ustaz!” Halim Khayat memberi salam.

Ammar dan Saifuddin juga memberi salam. Mereka bertiga menyumbat-nyumbatkan diri ke dalam kereta.

“Apa khabar? Antum sihat semua? Ok ke perjalanan bas malam tadi?” saya meramahkan diri.

“Alhamdulillah. Semuanya lancar” jawab Ammar.

“Itulah, ana ajak ikut sekali ke Birgi, korang sombong. Tak nak ikut” saya mengusik.

Mereka semua tersenyum.

Halim Khayat menuntut bidang Sosiologi. Ahmad Ammar pula belajar di bidang Sejarah. Manakala Saifuddin pula menuntut bidang Sains Politik. Ketiga-tiga mereka belajar di universiti yang sama, Universiti Marmara di Istanbul. Berbunga-bunga hati saya dikelilingi anak muda yang hebat. Di dalam kereta saya ada seorang ustaz cabuk, bersama dua sejarawan, seorang pakar sains hubungan antarabangsa, seorang sosiologis dan seorang saintis politik.

“Ya Allah peliharalah anak-anak muda ini di jalan menuntut ilmu ini” hati saya berbisik dalam kebanggaan.

Tanpa berlengah lagi, kami berenam bergerak menuju ke Kedutaan Besar Malaysia di Jalan Mahatma Gandhi. Pengalaman memandu di tengah-tengah kota Ankara agar mendebarkan. Biar pun tidak sesibuk dan sepadat Istanbul, jalanraya di Ankara tetap sibuk dengan kenderaan berpusu-pusu ke sana sini. Tambahan pula memandu di sebelah kiri, sesuatu yang asing buat saya.

kedutaanditurki

Di Kedutaan, mereka semua pergi menguruskan pasport masing-masing. Melalui perbualan saya bersama mereka, saya berasa gembira dengan hubungan yang baik antara pegawai-pegawai diplomat Malaysia dengan para pelajar di Turki. Ia adalah hubungan yang penting. Sesuatu yang tidak dapat kami kecapi semasa saya belajar di Jordan. Sentimen politik dan permusuhan yang berbalas-balas antara para pegawai dengan pelajar telah banyak mengundang musibah dan kesusahan kepada kedua belah pihak.

Salah satu sebab mengapa travelog Rindu Bau Pohon Tin saya nipis.

Jordan meninggalkan kenangan yang pahit, sebelum kematangan fikiran memaniskan ibrah daripada semuanya, sedekad kemudian.

Saya tidak masuk ke bangunan Kedutaan kerana menjaga kereta. Kami tidak dapat mencari petak parkir yang amat terhad di sekitar kawasan Kedutaan.

“Ustaz, minta maaf, saya kena buat gambar” kata Halim Bohari.

Kali ini di kereta saya ada dua Halim.

“Oh tak ada masalah. Anta tahu ada kedai gambar dekat-dekat sini?”

“Saya rasa saya tahu. Ada di bawah sana tu” jelas Halim.

Terima kasih Renault. Terima kasih Azri Izdan jurutera budiman di Istanbul. Banyak jasa kereta ini.

Saya membawa Halim pergi ke kedai gambar. Suasana sekitar Kedutaan Malaysia di Çankaya berbukit bukau. Memang agak sukar untuk memandu. Mujur kereta automatik dan bukannya manual. Di Turki juga, kami belajar menguruskan ruang parkir dengan semaksima mungkin. Mesti mahir memasukkan kereta ke kotak. Perlu rapat-rapat, jimatkan masa. Seperti saf solat.

Malah lebih rapat dari saf solat barangkali.

Alhamdulillah urusan di kedai gambar lancar. Urusan di Kedutaan juga bagus dan pantas. Dalam tempoh sekitar sejam, semuanya siap.

“Pasport nanti akan dipos atau kena ambil by hand?” saya bertanya.

“Kena ambil by hand, ustaz” jawab Saifuddin.

“Oh, maknanya kalian kenalah datang ke Ankara lagi nanti, ya?” saya menyoal.

“Tak apa. Bukan selalu ustaz. Kami pun sudah biasa dengan Ankara. TÖMER dulu pun di sini” jawab Halim Khayat.

“Khair Inshaallah. Ok, sekarang ni kita nak ke mana? Bagitahu sahaja, I am all yours!” saya membuat tawaran.

Mereka memandang sesama sendiri, kemudian ketawa.

“Kami nak shopping baju bundle, boleh tak ustaz?” tanya Halim Bohari.

“Haha, di Turki pun kalian menyelam? Ingatkan di Jordan sahaja” saya ketawa.

Di Jordan, memang aktiviti mencari jersi bola, baju jaket, kasut kulit dan jeans mahal-mahal di deretan kedai pakaian terpakai, adalah aktiviti yang amat popular. Istilah yang dipakai ialah ‘menyelam’. Mungkin longgokan pakaian bundle yang luas bagai lautan, menyebabkan pelajar-pelajar Malaysia berangan-angan seperti mereka itu berenang di perairan Eropah mencari pakaian terpakai berjenama dengan harga yang murah.

Dulu, siapa yang pakai baju berkenaan?

Soalan itu tidak relevan.

Biar second hand, asal bergaya!

“Haha, jom, jom. Antum tunjukkan jalan, ok” saya mula memandu.

Kami menuju ke Ulus.

Cabaran pertama, adalah kesusahan untuk memakir kereta. Setelah berpusing-pusing di sekitar pasar, perkarangan sebuah sekolah telah dibuka untuk tujuan parkir. Saya mengambil keputusan untuk meninggalkan kereta kami di situ. Kunci kereta juga kami tinggalkan seperti yang diminta oleh pengusahanya.

Tawakkal sahaja.

20130209_130003

Kawasan lama untuk membeli belah, lorong-lorong berbecak dengan bau kot yang sangat epic itu, mengingatkan saya kepada novel Adhan Over Anatolia oleh Marian Kazi. Ia adalah novel berformat travelog pertama yang saya baca tentang Turki. Novel berkenaan adalah catatan Marian Kazi seorang wanita Amerika Syarikat yang memeluk Islam dan mengikut suaminya bekerja di Turki pada tahun 1970’an. Kehidupan di Ankara digambarkan dengan begitu baik di dalam buku berkenaan.

Indahnya sebuah novel berbanding filem, novel memberi kebebasan kepada pembaca untuk membina imaginasi, memilih pelakon sendiri untuk cerita yang dibaca. Lorong-lorong sempit di Ulus ini, sangat menepati imaginasi saya semasa membaca tentang Marian Kazi dan kehidupannya ketika itu.

“Jaket Matrix ada?” tanya Halim Bohari kepada pekedai.

“Wah, Keanu Reeves! Sesuai, sesuai!” saya ketawa.

Seronok saya melihat gelagat mereka. Teringat zaman muda-muda dulu. Oleh kerana baju sejuk di kedai bundle di Jordan murah, memang pelajar sering teruja untuk membelinya. Selepas saya membeli jaket Adidas di Istanbul pada tahun 1996, saya sudah sangat selesa dan bahagia dengannya. Tidak lagi tercari-cari. Dan oleh kerana baju sejuk Adidas itu begitu sinonim dengan saya, anak Vietnam yang menaiki double decker di London semasa saya bekerja di sana pun, memanggil saya sebagai ‘Mr. Adidas’! Nukilan travelog Di Hamparan Shamrock Kuseru Nama-Mu.

“Ustaz ada apa-apa hajat di Ankara ini?” Nabhan bertanya.

“Mengikut prioriti, tiada apa-apa. Tetapi jika cukup masa, banyak juga hajatnya” saya menjawab.

“Apa dia?” tanya Nabhan.

“Ana harap kita dapat solat di Masjid Hacı Bayram. Kemudian kalau dapat ana nak melawat Universiti Bilkent. Dan ketiga, ana nak bawa antum bertemu dengan sahabat baik ana, Dr. Cenksu Uçer” saya membentangkan pelan tidak terancang ini.

“Ustaz dah hubungi Dr. Cenksu?” soal Nabhan.

“Ana sudah emel tempoh hari. Dia pesan, apabila sampai di Ankara, telefon dia. Kalau dia tahu kita tidur di hotel malam tadi, mesti dia marah” saya tersenyum.

Nabhan telah membantu saya menelefon Cenksu. Seperti yang dijangka, beliau memang marah dengan perbuatan saya bermalam di hotel. Saya hanya tersengih mendengar perbualan Nabhan dengan Cenksu. Melalui panggilan telefon berkenaan, Cenksu mencadangkan kami singgah di pejabatnya di ibu pejabat Diyanet Vakfı jam 3 petang, kemudian ke kampus Bilkent yang terletak berdekatan dengan pejabat itu dan kemudiannya ke rumah beliau serta bermalam di sana.

Mumtaz!

Pelan yang bagus.

20130209_135157_HDR

Semasa kembali ke kereta, kami terkejut melihat kereta yang disusun bagaikan sardin di dalam tin! Bagaimana hendak dikeluarkan kereta kami sedangkan ia berada jauh di sebelah dalam dan sekurang-kurangnya ada 10 kereta lain yang disusun menghalang jalan keluar?

“Aduh, pening kepala” saya sudah mula tertekan.

Geram dengan sistem yang tidak bersistem itu.

Manakan tidak, boleh pula penjaga parkir itu menyuruh kami pergi menyambung membeli belah dalam sejam dua lagi!

Setelah didesak, akhirnya beliau setuju mengalihkan semua kereta untuk memberi laluan kepada kereta kami keluar. Kecut perut juga saya dibuatnya sebab beliau hanya mengeluarkan kereta saya daripada kotak parkir. Namun saya perlu memandu sendiri secara mengundur kereta berkenaan ke luar daripada kawasan sekolah hingga ke jalanraya.

Aduh!

Teringat kembali kepada kemalangan jalanraya di Jordan dahulu.

Trauma.

Kesemua anak muda tadi menunggu di luar dan membantu memberi isyarat kepada saya. Selepas bersusah payah lebih 10 minit akhirnya kereta berkenaan berjaya dibawa ke luar dan kami bergegas menuju ke Masjid Hacı Bayram.

Biar pun jarak antara Ulus dan Masjid Hacı Bayram itu dekat sahaja, kami perlu berpusing-pusing untuk mencari ruang parkir yang sesuai. Masjid Hacı Bayram terletak tidak jauh dari Hotel Murat di Çankaya.

“Allah, ramainya orang!” saya tergamam melihat jemaah solat Jumaat yang melimpah hingga ke luar perkarangan masjid. Ia adalah masjid paling utama di Ankara, walaupun bukan yang terbesar. Kali terakhir saya hadir ke sini, masjid ini masih dalam saiz asalnya, dikelilingi oleh banyak kedai buku antik. Kini, ia sudah dibesarkan berkali-kali ganda, siap dengan eskalator dan ruang wudhu’ bertingkat.

Kami tiba agak lewat, maka mustahil untuk solat di dalam bangunan masjid.

Saya hanya solat di celah pagar dan bersujud seadanya.

Teringat kenangan semasa bersolat Jumaat dengan Dr. Aziz Hanafi di Malaysia Hall London lama dahulu. Disebabkan oleh hujan lebat dan kami tiba lewat, kami hanya dapat bersolat Jumaat di koridor yang sempit. Bingung saya berfikir bagaimana untuk sujud. Dr. Aziz Hanafi mengingatkan saya kembali tentang apa yang sebenarnya telah saya pelajari di Jordan dahulu.

64_16

“…Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu” [Al-Taghabun 64: 16]

Kami hanya rukuk dan sujud ke tahap yang kami termampu.

Rukuk tunduk sedikit.

Sujud, tunduk sebanyak yang termampu, melebihi tunduk rukuk tadi.

hacibayram

ANKARA DAN HACI BAYRAM

Siapakah Hacı Bayram?

Hacı Bayram dilahirkan di sebuah perkampungan kecil di Ankara sekitar tahun 1352. Beliau menukar nama asalnya Nu’man kepada Bayram selepas pertemuannya dengan gurunya, Somuncu Baba yang terjadi semasa Hariraya Aidiladha. Di dalam Bahasa Turki, Aidiladha disebut sebagai Kurban Bayram.

Hacı Bayram merantau dari satu tempat ke satu tempat di wilayah Anatolia untuk menuntut ilmu. Semasa berada di Kayseri beliau bertemu dengan Shāikh Hāmeed Hāmeed’ūd-Dīn-ee Wālī, salah seorang daripada murshid kepada Sheikh Khoja Alā ad-Dīn Alī, yang menggerakkan Tarekat Sāfavīyyah.

Hubungan yang akrab antara Tuan Guru, Shāikh Hāmeed’ūd-Dīn-ee Wālī dan anak muridnya Hacı Bayram berterusan semasa mereka bermastautin di Bursa. Ketika itulah mereka pergi menunaikan Haji bersama dan di sepanjang perjalanan menuju ke Tanah Suci, Sheikh Hāmeed’ūd-Dīn-ee Wālī menyampaikan ajarannya dalam disiplin Tasawwuf kepada Hacı Bayram. Shāikh Hāmeed’ūd-Dīn telah meninggal dunia pada tahun 1412 dan mewariskan kepimpinannya dalam gerakan Tasawwuf kepada Hacı Bayram-ı Veli, Beliau telah kembali ke Ankara dan mengasaskan gerakan yang kemudiannya dikenali sebagai Tarekat Bayramiyyah, iaitu salah satu daripada empat tiang utama Tasawwuf di bumi Anatolia; Şa’ban Veli di Kastamonu, Rumi, Hacı Bektaş dan Hacı Bayram.

Hacı Bayram telah membangunkan pusat pengajian ilmu Islam dan gerakan Dervish di lokasi di mana Masjid Hacı Bayram dan maqamnya berada.

MENUJU PEMBUKAAN CONSTANTINOPLE

Perkembangan gerakan-gerakan sebegini di Anatolia menimbulkan kebimbangan kepada Sultan Murad II di Edirne. Untuk menyiasat pelbagai khabar angin, baginda telah memanggil Hacı Bayram ke Edirne untuk bersoal jawab dengannya.

Hacı Bayram pergi ke Edirne bersama salah seorang anak muridnya yang utama iaitu Akşemseddin. Hasil soal jawab yang berlaku, Sultan Murad berpuas hati dan menganggap khabar-khabar angin tentang gerakan Hacı Bayram di Anatolia itu sebagai tidak benar. Malah Hacı Bayram dan Akşemseddin diberikan ruang untuk mengajar di Edirne untuk beberapa ketika.

Sultan Murad II yang memberikan fokus kepada penawanan Constantinople telah bertanya pendapat Hacı Bayram, “siapakah yang akan menawan kota itu?”

Hacı Bayram menjawab “Tuanku tidak akan melakukannya. Sebaliknya ia akan dilakukan oleh si anak kecil ini. Ketika itu engkau dan aku sudah tiada. Tetapi anak muridku Akşemseddin akan berada bersamanya”

Bayi yang Hacı Bayram maksudkan itu adalah Amir Muhammad, iaitulah Sultan Muhammad al-Fatih, sang penawan kota Constantinople pada tahun 1453, di bawah didikan gurunya, Sheikh Akşemseddin. Hacı Bayram yang meminta daripada Sultan Murad II agar anak muridnya Akşemseddin diterima sebagai guru kepada putera sultan dan ia merupakan sebuah perancangan yang amat berhasil, dengan izin Allah. Hacı Bayram telah beberapa kali melawat Edirne selepas itu sebelum beliau meninggal dunia pada tahun 1429/1430 dan menyerahkan kepimpinan Tarekat Bayramiyyah kepada Akşemseddin.

Pada masa yang sama seorang lagi anak murid kepada Hacı Bayram iaitu Sheykh Lütfullah. Beliau menerima ijazah daripada Hacı Bayram untuk mengembangkan Tarekat Bayramiyyah di Balıkesir. Imam Birgivi, adalah cicit kepada Sheykh Lütfullah dan beliau merupakan anggota kepada Tarekat Bayramiyyah itu juga.

Di situlah saya hubungkan Birgi dengan Ankara, serta Istanbul.

GELAGAT ANAK PERANTAU

Antara kata-kata Hacı Bayram yang penting untuk diingat oleh para pelajar ialah:

Önce ilim tahsil ediniz, sonra helalinden para kazanıp evleniniz.

Tuntulah ilmu terlebih dahulu, kemudian engkau akan berkahwin dengan bekalan wang yang halal.

Saya amat berharap agar anak-anak muda yang meneman saya hari ini bersungguh-sungguh menuntut ilmu. Saya tidak sama sekali menafikan kepentingan berkahwin untuk kesempurnaan agama. Namun sulit sekali untuk proses menuntut ilmu yang memerlukan seorang lelaki itu membelah bumi Allah, ditunaikan. Belajarlah bersungguh-sungguh. Jangan pening dengan tekanan gambar-gambar perkahwinan rakan di Malaysia.

“Kita nak makan tengah hari di mana?” saya bertanya kepada mereka.

Saya berhasrat mahu membawa mereka semua makan di tempat makan istimewa di Ankara. Saya tidak tahu apa yang istimewa di Ankara. Dan bagi anak-anak muda ini, mereka bersetuju untuk makan tengah hari di Restoran Cina di Kentpark Shopping Centre yang terletak di Eskişehir Yolu.

“Bagus, bagus. Sebab ana nak belanja antum” saya memberitahu.

Saya masih ingat semasa saya ke Jogjakarta untuk program pelajar di sana. Mereka mahu mahu membelanja saya makanan istimewa di Jogjakarta. Niat yang suci itu membawa kami ke sebuah Restoran Thai dengan hidangan tomyam di Pulau Jawa. Ia nyata amat istimewa untuk pelajar Malaysia yang duduk di Jogjakarta. Namun bagi saya yang datang dari Malaysia beberapa hari yang lalu, makanan Thai bukanlah apa yang akan saya katakan sebagai istimewa.

Sahabat-sahabat saya di Jogjakarta terkejut semasa saya mengusik mereka tentang hal ini. Mereka mahu memberikan yang istimewa kepada saya, apa yang istimewa kepada mereka. Biar pun hasrat mereka gagal (haha), saya sangat gembira melihat mereka bersungguh makan makan Thai malam itu.

Rindukan kampung halaman gayanya.

20130209_151412_HDR

Dan bagi Halim Khayat, Halim Bohari, Nabhan, Saifuddin dan Ammar, makanan Cina yang Halal di Kentpark itu semestinya sesuatu yang istimewa buat mereka, juga buat saya yang sudah berminggu-minggu menjamah kebab!

Alhamdulillah.

BERTEMU CENKSU UÇER

“Hasrizal!!!” Cenksu mendakap saya.

Kami berpelukan melepaskan rasa rindu.

Sudah lebih 10 tahun kami tidak bertemu.

Saya ada banyak kenangan manis bersama Cenksu, ketika menuntut di Jordan. Semasa biasiswa saya digantung, kehidupan yang terumbang ambing membawa saya keluar meninggalkan rumah sewa kami dan berpindah ke rumah Cenksu. Sebuah rumah di atas bukit berhadapan al-Bab al-Ra’isi berhampiran University of Jordan, adalah rumah tempat saya menumpang teduh.

Kami tinggal berlima di rumah itu. Saya bersama Cenksu, Said Bolat, Mustafa Demirci serta Adnan Çevik. Cenksu berkongsi bilik dengan saya, dan paling rapat berbanding rakan yang lain. Beliaulah yang selalu memujuk saya semasa saya menangis seperti budak kecil kerana tertekan dengan masalah hidup yang saya hadapi pada masa itu.

Cenksu berasal dari Bolvadin, sekampung dengan Fatih Kayacan.

Tanpa pengetahuan saya, Cenksu menceritakan keadaan diri saya kepada Fatih dan ia menyebabkan Fatih marah kepada saya kerana menyembunyikan masalah penggantungan biasiswa berkenaan daripada pengetahuan beliau. Melalui Cenksu, Fatih telah mengirim sejumlah wang daripada keluarganya untuk membantu meringankan beban. Semuanya telah saya nukilkan di dalam travelog Di Hamparan Shamrock Kuseru Nama-Mu.

Dr. Cenksu kini bertugas di Diyanet Vakfı di Ankara. Beliau menguruskan hal ehwal pelajar. Saya gembira dapat menemukan Cenksu dengan adik-adik ini. Saya tidak pasti apakah bentuk kerjasama yang boleh dihasilkan, namun saya yang tinggal jauh di Malaysia, saya yakin ukhuwwah saya bersama Cenksu lebih bermakna jika ia boleh diperpanjangkan kepada mereka yang tinggal di Turki.

“Anta Hasrizal, kenapa  tidur di hotel semalam? Aib, sungguh mengaibkan!” kata Cenksu antara marah dan ketawa.

“Kami sampai jam 1 pagi dan kami sebenarnya tidak pasti pukul berapa kami akan sampai ke Ankara. Tidak mengapalah malam tadi tidur di hotel. Malam ini kami tidur di rumah anta, boleh?” saya bertanya.

“Bukan boleh, tetapi WAJIB!” kata Cenksu.

Bahasa Turki saya entah ke mana. Tambahan pula ada pelajar-pelajar Malaysia yang fasih berbahasa Turki. Lagilah saya terkelu lidah. Maka saya berbual di dalam bahasa Arab dengan Cenksu, manakala beliau pula berbual rancak dengan yang lain di dalam Bahasa Turki.

Selepas kira-kira satu jam kami berbual, saya meminta izin untuk ke Universiti Bilkent berdekatan dan akan kembali semula ke pejabat Cenksu untuk mengambil beliau menuju ke rumahnya.

“Tamam, kita berjumpa jam enam nanti, ya” Cenksu bersetuju.

Universiti Bilkent terletak tidak jauh daripada Diyanet Vakfı. Saya ke Bilkent benar-benar kerana Halil İnalcık yang mengajar di situ. Saya tidak rasa saya mempunyai peluang untuk bertemu dengannya. Tetapi sekurang-kurangnya menjejakkan kaki ke Bilkent, boleh menyuntik semangat untuk saya meneruskan usaha mengkaji sejarah Dawlah Uthmaniyyah.

“Ada ke pelajar Malaysia di universiti ini?” saya bertanya.

“Setakat yang kami tahu, tiada, ustaz” jawab Halim Khayat.

“Antum pernah datang ke universiti ini?” saya menyoal lagi.

“Tak pernah, semua first time!” jawab Nabhan.

bilkent

Di kampus Universiti Bilkent, kami telah pergi ke kedai buku universiti untuk mendapatkan buku-buku terbitan universiti. Kami hanya punya waktu sejam untuk melawatnya. Ia adalah sebuah universiti swasta dengan Bahasa Inggeris sebagai medium pengajaran dan pembelajaran. Banyak tesis sarjana dan PhD di Universiti Bilkent saya rujuk untuk kajian berkenaan Turki dan Dawlah Uthmaniyyah.

“Eh, ana belum solat Asar. Allahu Rabbi. Tadi semasa di masjid, tak boleh nak solat sebab pergerakan manusia begitu sesak” saya memberitahu.

Usai membeli beberapa buah buku, kami mencari-cari surau.

Susah sekali hendak bertemu dengan tempat solat. Universiti Bilkent sangat berbeza daripada perkembangan Islam di Turki. Di dalam kampus, kita merasakan ia seperti Turki pada tahun 1970’an dahulu. Tetapi ada jugalah beberapa orang mahasiswi bertudung yang berselisih dengan kami.

“Anta tanyalah mereka di mana masjid” saya meminta Halim Bohari bertanya.

Dengan muka merah padam, Halim bertanya. Mereka juga kelihatan teruja bertemu dengan kami orang Malaysia. Tunjuk arah yang mereka berikan agak memeningkan kami. Sedangkan yang belum bersolat hanya saya dan Saifuddin.

“Anta ada pengalaman solat atas rumput?” saya bertanya.

Saifuddin ketawa kecil.

Ya pun tidak. Tidak pun tidak.

Lucu juga.

Dalam ramai-ramai di kalangan mereka, Saifuddin dan Ammar adalah yang paling pendiam tetapi cermat memerhati.

“Jom kita solat sahaja di bawah pokok ini” saya mengajak beliau bersama.

Di Turki, seperti tiada keperluan untuk solat di rumput sebab masjid berada di mana-mana. Tetapi tidak di Bilkent. Solat di bawah pokok terjadi dan enaknya sujud di rumput, adalah pengalaman lama saya semasa bermastautin di UK dan Ireland, dahulu kala.

Di Turki, sulit sedikit untuk menghayati hadith Nabi sallallahu alayhi wa sallam:

جُعِلَتِ الأرضُ كلُّها مسجِدًا وجُعِل تُربتُها لنا طَهورًا

“Bumi ini dijadikan keseluruhannya sebagai masjid (buat umatku) dan dijadikan tanahnya bagi kita suci lagi menyucikan” [Sahih Ibn Hibban]

Jam 6, kami kembali ke pejabat Cenksu.

Satu pemandangan baru buat saya apabila saya dapati Diyanet Vakfı dan pejabat-pejabat yang lain menyediakan bas untuk mengangkut pekerja dari rumah ke pejabat dan ke rumah semula. Mereka tidak memandu. Krisis bahan api di Turki sangat meruncing. Harganya begitu mahal.

Sebahagian kami menaiki kereta.

Manakala sebahagian yang lain menaiki bas Diyanet Vakfı

Cuaca Maghrib itu sangat sejuk. Mencucuk-cucuk. Saya teringat kembali kepada imej Ankara di dalam memori. Angin sejukkan tidak ubah seperti cuaca di padang pasir Jordan. Kali terakhir saya datang ke Ankara pada tahun 1997, tasik di Gençlik Parkı itu beku dengan suhu -13ºC.

Di rumah, kami disambut oleh ayah mertua Cenksu, isteri serta tiga anaknya yang comel-comel.

cenksu-ev

Ya Allah, kali terakhir berjumpa, kami masih budak bujang. Saya dan Cenksu sibuk menyelesaikan tesis sarjana beliau iaitu tahqiq kepada karya klasik Ali b. Ahmed el-Hittî iaitu Es-Seyfu’l-Bâtır Adlı Eseri ve Mezhepler Tarihindeki Yeri. Setiap hari kami berbincang tentang metodologi Syiah dan perkembangan sejarahnya, terutamanya di luar era Abbasiyyah, iaitu era yang kurang diberi perhatian dalam tumpuan semasa.

“Ya sahabat semua, inilah ukhuwwah. Selepas berbelas tahun tidak berjumpa, persaudaraan jangan dilupa. Walaupun semalam beliau tidur di hotel, dia tetap saudara saya yang saya kasihi!” kata Cenksu kepada kami.

Saya ketawa.

Belum habis lagi beliau mengungkit kesalahan saya tidur di hotel semalam.

“Hasrizal, saya mengikuti serba sedikit perkembangan kamu di Malezya. Dan dahulunya di Irlanda. Tahniah. Buku perkahwinan kamu itu nampak begitu sukses!” ujar Cenksu.

Aduhai, segan pula saya.

“Alhamdulillah. Tetapi saya jauh ketinggalan. Cenksu sudah selesai PhD dan kini bergelar doktor. Saya masih terumbang ambing menyelesaikan kajian di peringkat sarjana” saya menjawab.

“Itu semua bukan keutamaan tertinggi. Apa yang penting ialah kita menyumbang kepada ummah” jawab Cenksu.

Semasa Cenksu berbual dengan Halim Khayat, Halim Bohari, Nabhan, Saifuddin dan Ammar, saya tersenyum kepuasan. Sepatutnya saya cemburu. Tetapi saya terlalu tua untuk berasa cemburu. Perasaan yang melimpah-limpah di dalam hati adalah rasa bangga dan gembira melihat anak muda ini petah berbual dengan Cenksu, yang turut sama teruja apabila mendapat tahu ada anak-anak muda hebat yang belajar di Turki pada masa ini.

Saya tidur dalam perasaan yang nyaman, senyaman salji putih yang mula turun menyelimuti Ankara.

Terima kasih ya Allah atas ukhuwwah ini.

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

Maklum Balas

Maklum Balas

Check Also

syrianchildreninistanbul

Jangan Beragama Sekadar di Pinggiran

kredit foto: demotix.com “Ammu, Ammu, fi sabilillah!” seorang kanak-kanak kecil menarik baju saya. Dia bukan …

3 comments

  1. Masha-Allah. Satu perjalanan yang sungguh bermakna. Ukhuwah yang berpanjangan. Moga Allah memberikan kekuatan kepada ustaz untuk terus melakukan jihad ilmu ini. Amin.

  2. menyeronokkan dan sarat dgn ilmiah kolum ustaz.
    teringin rasanya belajar di turki, jordan, uk…
    semoga ALlah permudahkan urusan ustaz dan anak muda
    yg meneruskan dakwah di sana.

  3. fauziah muhamed

    Assalamualaikum tuan anak saya akan melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di turkey ramaikah pelajar malaysia disana dan macam mana kehidupan di sana mohon jasa baik tuan untuk pencerahan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *