Dari Birgi ke Ankara: Mengelamun Sempena Usia 40 Tahun

map-denizli

“Ustaz masih mampu memandu?” tanya Nabhan.

“Inshaallah. Jangan bimbang. Jika ana terlalu penat, ana akan beritahu. Ana memang suka memandu. Tambahan pula jalan seperti ini. Kalau di Malaysia, semasa duduk di Ampang, adakalanya selepas solat Subuh, ana akan memandu sendirian menuju ke KL, menikmati jalan kosong di hari cuti” saya bercerita.

“Tapi yang ini memang kosong sungguh” usik Halim.

Memang kosong.

Selepas meninggalkan Birgi dan melepasi pekan Ödemiş, jalan kami sedikit demi sedikit meninggalkan kawasan penempatan dan mula membelah hutan belantara berpohon pine yang sunyi dan sepi.

Birgi dan Ödemiş terletak di sebuah lembah di pergunungan. Jika pengembara mahu sampai ke situ mereka perlu mendaki lereng pergunungan dan jika mahu meninggalkannya melalui mana-mana arah sekali pun, mereka perlu mendaki semula puncak banjaran dan turun sedikit demi sedikit ke sebelah sana.

Ada beberapa jalan keluar dari Birgi. Tetapi saya berhajat untuk singgah ke Bolvadin. Biar pun Fatih berada di Istanbul, dan Ahmet gagal saya hubungi kerana mungkin sudah bertukar nombor telefon, dapat melihat kelibat Bolvadin di gelita malam pun jadilah. Bau ‘telur busuk’ atau sebenarnya bau sulfur dari mata air panas yang terdapat di merata tempat di wilayah sekitar Afyon, amat saya rindui.

Walaupun tidaklah pula sampai mahu memberi tajuk buku seterusnya, “Rindu Bau Telur Busuk Bolvadin.”

Walaupun sebenarnya, saya memang rindukan ia.

Kereta Renault Fluence yang sedang saya pandu ini adalah amal jariah seorang sahabat. Beliau bertegas mahu berkongsi saham dalam kajian berkenaan Imam Birgivi, justeru mahu perihal sewaan kereta ini beliau uruskan.  Dua hari yang lalu juga, saya menerima emel daripada seorang sahabat yang berkeras meminta saya berikan kepadanya nombor akaun bank saya kerana beliau mahu menyumbang sama.

Syukur kepada-Mu ya Allah.

Saya datang ke Turki dengan bajet dan persiapan yang amat terbatas. Tetapi satu demi satu kemudahan yang hadir tanpa disangka-sangka. Biar pun perbuatan menolong orang lain, tidak saya lakukan kerana mengharapkan balasan, namun peraturan alam ini, bahawa sesungguhnya Allah tidak pernah mensesiakan kebaikan. Sentiasa kebaikan akan disusuli dengan kebaikan.

Janganlah jemu berbuat baik kepada sesama insan.

Jangan kedekut senyum.

Jangan kedekut kudrat.

Jangan kedekut duit.

Jangan kedekut masa.

Jangan terlalu berkira.

Seperti dunia ini, sedikit benar bahagiannya.

Terlupa kepada rahmat Allah.

tariqah-m

Di dalam bab ke-16 di dalam Tariqah Muhammadiyyah, Imam Birgivi menyebut bahawa sifat kedekut dan terlalu berkira itu, adalah akibat daripada lemahnya keyakinan seseorang kepada Allah. Orang yang kedekut itu bukan sahaja mencetuskan kesusahan kepada dirinya, tetapi juga kepada mereka yang berada di bawah tanggungannya. Dia menahan harta yang dimilikinya daripada dibelanjakan untuk keperluan kerana dia berimaginasi tanpa sedar bahawa pada masa hadapan dia kehilangan apa yang sedang dia miliki. Si bakhil ini, disebabkan oleh ketakutannya terhadap kesusahan yang diimaginasi itu, dia mencetuskan kesusahan segera yang semasa.

Si kedekut ini tidak mempunyai iman yang diperlukan untuk dia meyakini bahawa apa yang berada di tangan, bukan miliknya. Dia percaya bahawa masa depannya bergantung kepada usahanya semata. Manusia ini juga hilang kemanusiannya, dan hilang kebijaksanaan fikiran untuk memahami bahawa apa yang diberikan oleh Allah kepadanya adalah untuk disalurkan kepada keperluan diri dan keperluan orang lain di sekelilingnya.

Sifat bakhil itu mematikan kehidupan diri dan tamadun insan.

Ia adalah kebinasaan.

Firman Allah Azza wa Jalla:

2_195

Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan perelokkanlah perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperelokkan amalannya. [Al-Baqarah 2: 195]

PERJALANAN YANG SEPI

Halim di sebelah saya sudah lena.

Demikian juga Nabhan di belakang.

Mereka kelihatan begitu letih.

Saya juga mungkin sebenarnya sangat letih. Tetapi adrenaline saya masih kencang. Masih bagai bermimpi untuk berada di Turki, selepas 10 tahun terpisah antara benua. Sejujurnya saya amat berterima kasih kepada isteri saya yang tanpa saya duga, begitu bersahaja menyetujui hajat saya untuk ke Turki. Ia bukanlah sesuatu yang mudah. Sebulan saya ke Turki, ertinya sebulanlah isteri saya perlu menguruskan empat anak kami yang bukan calang-calang budak.

Ada banyak kerja yang saya buat dalam hidup ini, isteri saya antara setuju dengan tidak setuju.

Beliau gembira dan menyokong dakwah saya. Tetapi apabila dakwah di Malaysia sedikit demi sedikit berubah daripada perjuangan menegakkan keadilan dan kebenaran kepada ‘blink blink‘, Saya juga hairan! Bagaimanakah dakwah Islam yang dicemuh suatu ketika dahulu, kini menjadi sesuatu yang glamour!

Agamawan menjadi selebriti!

selebriti

Selalu juga kami berbalah tentang isu ini.

“Dakwah, itu dalam circle of influence abang. Ia abang kendalikan dengan taqwa, agar sentiasa sedar apa yang sedang berlaku. Tetapi glamour, publisiti, semua itu adalah benda yang kita tidak boleh kawal. Apa yang penting ialah, kita sentiasa percaya satu sama lain, dan membutakan mata serta memekakkan telinga terhadap apa sahaja bentuk reaksi masyarakat kepada kita. Mereka puji, mereka keji, mereka nak ambil gambar, mereka nak baling telur busuk, sama sahaja. Kerja kita adalah dakwah” saya bertegas.

Isteri saya gelisah.

Sama ada atas sifat kewanitaannya, atau sebagai orang yang paling mengenali saya, elemen glamour yang menimpa dunia dakwah di Malaysia memang memeningkan. Saya juga membencinya.

Crush on sheikh?

Hodoh sangat bunyinya.

Tetapi itulah yang berlaku. Tambahan pula bagi ustaz-ustaz yang popular dengan topik cinta, rumahtangga dan kekeluargaan. Makin diberi nasihat, makin gemar bergayut dengan ustaz-ustaz, ketagih nasihat. Tidak percaya pada kemampuan sendiri menguruskan konflik domestik.

Argh… semua itu sangat merimaskan.

Saya sudah hilang sabar.

Dulu-dulu saya boleh justifikasikan ia dengan isteri. Kini saya juga tepu. Sebulan di Turki ini, saya mengambil masa yang seluas-luasnya untuk bermuhasabah.

Hajat saya untuk meninggalkan dunia dakwah arus perdana, dan berdikit-dikit merangkak ke dunia akademik, menerima sokongan padu isteri.

“Tempat abang memang di situ. Cuma, elok juga sudah berpengalaman masuk ke dunia glamour. Tidaklah nanti jadi ahli akademik yang kemaruk populariti” kata isteri saya, semasa topik ke Turki ini kami bualkan.

PERJALANAN YANG SUNYI

beydag

Lereng pergunungan Beydağ begitu sunyi.

Di hadapan saya tiada kereta, di belakang saya tiada kenderaan. Tiada manusia di tepi jalan. Hanya hutan tebal berpohon pine seluas mata memandang.

Sesekali saya ternampak ladang buah tin dan buang berangan.

Perjalanan yang sunyi ini mempunyai seribu satu erti. Ia penting untuk membekalkan saya penilaian-penilaian hidup menjelang usia 40. Saya rasa seperti saya akan mati muda. Saya mesti pastikan usia 40 ini hadir dengan diri saya yang lebih baik. Dan tiada yang lebih penting selain mati dengan husn al-khatimah dan masuk ke Syurga.

Saya bukan orang yang kuat ibadah. Tetapi saya suka tolong orang. Terutamanya dengan serba sedikit ilmu dan pengalaman yang saya ada. Sebab itu saya selalu bermonolog sendirian, memohon kepada Allah agar memelihara fikiran saya daripada rosak oleh apa-apa cabaran duniawi. Fikiran itulah tempat wahyu Allah saya hargai. Fikiran itulah tempat pengalaman saya cernakan. Agar yang terbit dari lisan bicara dan tangan berpena, adalah legasi yang membantu manusia, dan kemudiannya membantu diri saya.

Ampunkan saya ya Allah.

Maafkan kekurangan saya.

 Sunyinya perjalanan ini membawa saya mengimbau sunyinya alam barzakh nanti. Sepi tanpa isteri dan anak-anak. Sunyi tanpa keluarga, sanak saudara dan taulan. Hanya amal yang menjadi teman. Andai amal itu amal yang baik, peneman di barzakh itu meriah dalam nikmat kebaikan. Andai amal itu amal yang buruk, maka barzakh itu riuh dengan siksaan dan penderitaan.

Allah… amankan jiwaku.

Kecamuk politik dan kebejatan akhlaq di tanah air sungguh melemaskan. Pergaduhan antara agamawan, caci mencaci, fasad memfasad dan ada yang terpesong hingga ke takfir, terasa terlalu berat untuk dihadap di detik bersulam masa.

Ada masanya terasa sesak dada dan sukar bernafas.

Di Malaysia, jika dilihat pada jaringan sosial terutamanya Facebook dan kemudian Twitter, hampir setiap saat orang Malaysia mencarut dan bercakap hodoh. Apabila orang di Malaysia tidur, orang di UK menyambut carut dan cela. Apabila orang di UK tidur, mereka yang di USA pula menyambung. Mereka tidur, warga Malaysia di Australia pula bangun pagi mencarut-carut. Dan terbit sahaja mentari di Timur negara, rakyat Malaysia mencarut lagi.

Tercabut rahmat Allah.

Hilang ketenangan dan bahagia.

Teringat saya kepada sebuah cerita:

عن زاذانٍ أبي عُمَر عن عُليمٍ قال : كنت مع عبْسِ الغِفَاريّ على سطحٍ له فرأى قوما يتحملونَ من الطاعونِ فقال : يا طاعونُ خذنِي إليكَ ثلاثا يقولها ، فقال له عُليمٌ : لم تقولُ هذا ؟ ألم يقلْ رسولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم : لا يتمنّى أحدكُم الموتَ فإنه عند انقطاعِ عملهِ ولا يردّ فيستعتبُ ، فقال عَبْسٌ : إني سمعتُ رسولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم يقول : بادِرُوا بالموتِ ستا : إمرةُ السفهاءِ وكثرةُ الشّرطِ وبيعُ الحكمِ واستخفافا بالدمِ وقطيعةُ الرحمِ ونَشْوا يتخذونَ القرآنَ مزامِيرَ يقدمونَ الرجلَ ليغنيهِم بالقرآنِ وإن كان أقلهم فقْها

Daripada Zadan Abi Umar daripada ‘Ulaym beliau berkata, pada suatu ketika aku bersama dengan ‘Abis al-Ghifari di atas bumbung rumahnya. Beliau ternampak sekumpulan manusia mengusung jenazah yang meninggal dunia kerana penyakit taun. Lalu beliau berkata, “wahai taun, bawalah daku bersamamu!” Beliau menyebutnya sebanyak tiga kali.

Lalu berkata ‘Ulaym kepadanya, “mengapa engkau berkata begitu? Apakah engkau tidak mendengar Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam bersabda: jangan sesekali sesiapa di kalangan kamu meminta mati. Sesungguhnya mati itu menutup peluang beramal dan tiada lagi peluang untuk kembali dan bertaubat.

Lalu ‘Abis berkata, aku mendengar Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam bersabda: apabila enam musibah menimpa manusia, bersegeralah kamu menuju kematian:

  1. Apabila orang-orang bodoh dilantik menjadi ketua kamu
  2. Apabila ramainya polis dan mereka menganiaya kamu
  3. Apabila para hakim menjual keadilan untuk wang dan kepentingan dirinya
  4. Apabila jenayah dan pertumpahan darah menjadi biasa
  5. Apabila berleluasanya perbuatan memutuskan silaturahmi
  6. Apabila Al-Quran dijadikan nyanyian lalu penyanyi berkenaan ditolak ke hadapan untuk (untuk mengimamkan solat) biar pun dialah yang paling sedikit pengetahuannya.

Hadith masyhur riwayat Ibn ‘Abd al-Barr di dalam al-Tamhid ini mengundang rasa sedih dalam diri saya. Tambahan pula ia dipetik oleh Imam Birgivi dalam bab ke-20 pada membicarakan soal penyakit lisan.

Semoga teguh hatiku untuk terus berjuang, oleh badai-badai halus yang berbau Dajjal, memusnahkan manusia dan ketamadunannya seperti api di dalam sekam yang membakar.

Selepas lebih 200km memandu meredah hutan belantara, kami tiba di sebuah pekan kecil bernama Arslanlı yang berhampiran dengan bandar Nazilli.  Ada singakah di pekan ini?

Arslan itu bukankah singa?

Saya mengejutkan Halim dan Nabhan dari tidur mereka. Perut pun sudah berkeroncong.

“Jom kita makan” saya mengajak mereka berdua.

“Aduh, lamanya tidur. Maafkan kami ustaz. Sedapnya tidur. Sudah sampai mana ni?” Nabhan mengeliat di belakang.

arslanli

Kami singgah di sebuah gerai kecil bernama Zafer Pide Salonu milik Hüseyin Usta! Itu yang tertulis di pintunya.

Gerai comel, tuan kedai yang baik hati, pekerja yang bersungguh melayan, kami dihidangkan dengan nasi bersama daging yang dibakar bersama kentang dan terung segar. Seperti biasa, minuman pilihan saya adalah Şalgam yang pedas. Sedap dan menyegarkan, walaupun kebanyakan orang bukan Turki, tidak suka dengannya.

“Ustaz buat apa tadi? Rasanya hampir dua jam kami tertidur” tanya Halim.

“Tak ada apa-apa. Orang tua macam ana ni, beranganlah. Fikir macam-macam” saya tersenyum.

Jika ada rezeki, perjalanan ini boleh dibukukan sebagai travelog seterusnya. Inshaallah di situ nanti bolehlah monolog-monolog saya dikongsi dan dibaca. Menceritakannya, rasa seperti tidak enak. Sedap di hati. Tawar di gusi.

Kami segera meneruskan perjalanan.

Semasa menempuh daerah Denizli yang terkenal dengan Pamukkale, hati saya kembali berbunga semasa melihat pelangi penuh di kaki langit.

pelangi

“Indahnya!” saya menjerit.

Nabhan segera mengambil kamera pintar Samsung saya untuk merakam pelangi itu.

Semua insan inginkan bahagia di hati
Tiada sengketa meluka diri
Bagaimana mungkin hadirnya pelangi
Tanpa hujan menyimbah hari?

“Halim Khayat, Saifuddin dan Ahmad Ammar akan bertolak dengan bas sebentar lagi” kata Halim selepas berbual dengan telefon.

“Kalau mereka sampai awal, boleh kita tinggal di hotel bersama” saya membalas.

“Mereka tidur dalam bas sahaja, ustaz” jawab Halim.

“Kami memang selalu buat begitu” sampuk Nabhan.

“Orang muda, begitulah rentaknya. Mudah ke sana sini. Sebab itu kalau mahu adventerous, jangan kahwin cepat sangat!”  saya membuat rumusan.

Seperti biasa, apabila tajuk kahwin timbul, kereta kami menjadi sepi.

Matahari sudah tenggelam.

“Apa-apa, kita singgah di Afyonkarahisar. Ana sudah kehabisan baju. Dah macam bau gajah mati. Kena beli sehelai dua baju dan seluar nampaknya” saya memberi cadangan.

“Betullah, ustaz. Lari bajet. Kami pun senasib!” kata Halim.

Selepas singgah membeli belah pantas di Afyonkarahisar, kereta kami membelah gelap malam. Hasrat untuk ke Bolvadin juga terpaksa dibatalkan. Kami kesuntukan masa dan semua nombor telefon warga Bolvadin yang saya ada tidak dapat dihubungi.

1300 kilometer selepas meninggalkan Istanbul beberapa hari yang lalu, kami tiba di Ankara. Kali terakhir saya tiba ke bandar bersemadinya Mustafa Kemal Atatürk ini ialah pada tahun 1997. Ankara bukanlah sebuah bandar yang masuk dalam senarai destinasi lawatan, jika masa dan bajet kita terhad. Tidak banyak boleh dilihat di sini.

Namun Kedutaan Besar Malaysia berada di sini.

Saya juga mempunyai sebab yang tersendiri untuk datang semula ke Ankara ini.

Imam Birgivi merupakan seorang tokoh penting dalam Tarekat Bayramiyyah.

Rujukan saya menunjukkan bahawa Tarekat Bayramiyyah diperkenalkan di Balıkesir oleh moyang kepada Imam Birgivi iaitu Sheykh Lütfullah yang bertemu secara peribadi dengan pengasas kepada Tarekat Bayramiyyah ini iaitu Hacı Bayram-ı Velî (meninggal dunia 1429).

Esok Jumaat. Mudah-mudahan kami dapat solat Jumaat di Masjid Hacı Bayram dan menziarahi maqamnya di Ankara.

Selepas check-in di Hotel Murat pada jam 1 pagi, tanpa bertangguh lagi, kami lelap merehatkan diri.

Dengan nama-Mu ya Allah aku mati dan aku hidup. Bismillah…

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

 

 

Maklum Balas

Maklum Balas

Check Also

syrianchildreninistanbul

Jangan Beragama Sekadar di Pinggiran

kredit foto: demotix.com “Ammu, Ammu, fi sabilillah!” seorang kanak-kanak kecil menarik baju saya. Dia bukan …

3 comments

  1. Satu perkongsian yang menarik ustaz. Moga-moga bisa memberi nafas baru kepada dai’e-dai’e untuk terus memberikan bimbingan kepada masyarakat bukan melalui program riang ria, tetapi melalui manhaj ilmu berteraskan Quran dan Sunnah.

    Moga Allah menetapkan hati kita semuanya. Amin.

  2. Alhamdulillah. Bab agamawan menjadi selebriti ini telah mengakibatkan penyampaian agamawan perlu mengikut gaya selebriti seperti penggunaan visual & audio yang lengkap. Pengisian yang terbaik pula sebenarnya yang mengocak emosi semata-mata.

    Mungkin perlu ada kajian yang perlu dibuat terhadap kesedaran beragama rakyat Malaysia kerana rancangan – rancangan tersebut atau ianya dianggao sebagai hiburan semata-mata.

    Wallahu a’lam. Jzkk jaza ustaz kerana berkongsi monolog peribadi.

  3. moga Allah permudahkan rezeki ustaz untuk mmbukukan travelog ini.terlalu banyak pengajaran yg boleh diambil dari sebuah perjalanan seorang insan yang mencari dan mengkaji.
    secangkir teh pengubat letih edisi Birgi 😉

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *