Jalan Masih Panjang: Menuju Balıkesir

20130205_160647

Oh

Jalan masih panjang

Terbentang di hadapan

Tak hanya sekadar dunia

Lihatlah ke depan yang lalu biar berlalu

Jadikan pemicu kalbu

Jalan hidup takkan pernah lurus

Pasti ada salah lewati segalanya

Tapi Tuhan tak pernah berhenti

Membuka jendela maaf untuk kita

“Ustaz menyanyi lagu siapa tu? Saya tak pernah dengar” tanya Nabhan.

“Kumpulan Edcoustic dari Indonesia. Bagus lagu-lagunya. Lirik bermutu, muziknya pun bagus. Dua orang sahaja” saya memberitahu.

Perjalanan kami masih jauh. Sebentar tadi kereta kami menaiki feri untuk menyeberang Laut Marmara dari Eskihisar di Gebze ke Topçular. Biar pun pemandangannya tidak seindah Üsküdar ke Eminönü, banyak kenangan yang sempat saya imbas apabila melakukan perjalanan yang sama lebih 10 tahun yang lalu.

Cuma kali ini saya memandu sendiri.

Bebas untuk berhenti di mana-mana, pada bila-bila masa.

“Ustaz ada mp3 nasyid tu ke?” pinta Halim.

“Ada. Di Istanbul nanti ingatkan ana. Ana simpan dalam Itunes selepas membelinya di situ” saya memberitahu.

Oleh kerana kami tidak mempunyai cd, dan tidak berselera mendengar radio Turki, saya memecah kesunyian dengan melalak seorang diri untuk menghilangkan rasa mengantuk. Habis kesemua trek album kumpulan Edcoustic saya nyanyikan.

Halim dan Nabhan hanya menggelengkan kepala.

“Sayang ya. Sebentar lagi matahari tenggelam. Hilang peluang melihat persekitaran” saya mengomel.

“Pemandu tak boleh melihat kiri kanan, ustaz. Hanya pandang ke hadapan melihat jalan” kata Nabhan.

“Betul juga, kan. Anta nak ganti ana?” saya bertanya.

“Hehe” mereka berdua tersengih.

“Kalau banyak masa, hendak juga rasanya ana menyinggah ke Bursa. Kali terakhir ke sana sudah begitu lama. Ramadan, bersama sahabat ana Hamizul. Sempatlah kami bertarawih malam itu di Ulu Cami” saya bercerita.

Teringat kisah lucu semasa di masjid berkenaan, yang saya nukilkan dalam buku Secangkir Teh Pengubat Letih. Semasa selesai Imam membaca al-Fatihah, Hamizul telah mengaminkan bacaan imam secara jahriyyah (kuat) sedangkan umat Islam di Turki mengaminkannya secara sirriyyah (perlahan). Rasanya sampai ada jemaah yang tertoleh kepada kami kerana terkejut.

Mudah-mudahan ada kesempatan lain untuk ke Bursa. Kami mesti meneruskan perjalanan yang masih panjang. Malam ini kami sasarkan untuk ke Balıkesir dan bermalam di sana. Esok kami akan ke Birgi yang saya tidak pasti sejauh manakah ia. Namun saya menjangkakan lusa barulah kami dapat melakukan dokumentasi di kota bersejarah berkenaan.

“Silap sungguh. Sepatutnya pagi tadi ana pergi tukar duit dahulu. Tetapi letih sangat. Semalam terlalu padat. Pergi ke İSAM, kemudian berjumpa rombongan Raudhatussakinah. Kemudian berjumpa rombongan ABIM Mesir. Hampir jam 2 pagi baru sampai ke rumah. Kita kena cari ATM sebab ana nak bayar duit hotel nanti” saya berkata.

“Tak apa, ustaz. Ana pun ada duit tunai. Boleh dahulukan” balas Halim.

“Terima kasih. Kita jadikan itu, pilihan terakhir. Ana tak nak susahkan antum. Malah sepanjang perjalanan ini, antum berada di bawah tanggungjawab ana” saya memberitahu.

Kami berhenti di sebuah pekan kecil bernama Aziziye untuk mencari ATM atau pun Döviz Bürosu bagi menukar wang. Tetapi mustahil di pekan sekecil ini ada tempat menukar wang di tengah malam. Lainlah jika di Istanbul.

Saya singgah di sebuah pusat ATM bersebelahan stesyen minyak.

Cubaan mengeluarkan wang tunai menggunakan kad bank Malaysia sepatutnya tidak menimbulkan apa-apa masalah.

“Allah!” saya tergamam.

Kad bank saya tersangkut di feeder mesin berkenaan. Apabila ditarik keluar, jalur magnetiknya terkoyak sedikit. Berdebar-debar jantung saya dibuatnya. Bimbang jika kad ATM rosak, saya akan menghadapi masalah kewangan selama berada di Turki. Dan saya masih ada dua minggu tempoh sebelum pulang ke tanah air.

atmtr

“Hmm, rasa berat hati pula nak tanya orang. Teruk kan?” saya mengomel.

“Betullah ustaz. Saya pun sama. Selalu rasa berat hati nak bertanya. Usaha dahulu. Kalau betul-betul tidak boleh selesaikan, barulah tanya” ulas Halim.

“Oh, dalam bab ni, perangai kita sama. Mazmumah ke mahmudah ye?” saya tertarik dengan kenyataan Halim.

Selama ini, saya beranggapan ia adalah sisi karakter saya sebagai seorang yang introvert. Saya tidak suka membuat sesuatu yang menarik perhatian orang. Suka datang senyap-senyap dan beredar tanpa disedari. Tetapi itulah yang hampir hilang dalam kecenderungan peribadi saya apabila entah bagaimana, saya menjadi seorang yang dikenali.

Meminta tolong hanya apabila perlu, ini adalah sesuatu yang telah disentuh oleh Imam Birgivi di dalam Tariqah Muhammadiyyah. Di dalam Bab ke 20 berkaitan dengan penggunaan lidah, Imam Birgivi menyentuh tentang persoalan “meminta daripada orang”

Katanya:

“…Mungkin waktu yang paling utama bagi kita memerhatikan kelakuan lisan ialah apabila kita mahu meminta sesuatu daripada orang lain. Ia bukan hanya teraplikasi kepada perbuatan meminta wang atau sesuatu yang bersifat material, malah juga semasa meminta pertolongan, nasihat, pendapat dan meminta doa.

Hanya apabila seseorang itu benar-benar tidak dapat melakukannya, fakir dari upaya dan tidak berdaya, sangat sakit atau lemah, tidak mampu membantu dirinya sendiri, demikian juga ahli keluarganya di tahap tidak cukup makan minumnya untuk memperolehi khasiat tenaga bagi satu-satu hari, maka barulah dia itu wajar meminta bantuan orang lain. Perbuatan merayu pertolongan dalam keadaan yang sebenarnya tidak perlu adalah sesuatu yang ditegah oleh agama kita. Celakalah orang yang merayu atau meminta sedekah dengan tujuan untuk menambah apa yang telah dia miliki…”

ما يزال الرجلُ يسألُ الناسَ ، حتى يأتي يومَ القيامةِ وليس في وجهِه مُزعَةُ لحمٍ

“Tidaklah seorang lelaki itu meminta-minta daripada manusia, melainkan pada hari Kiamat dia akan dibangkitkan dalam keadaan wajahnya tiada cebisan daging!” [Hadith riwayat Muslim]

Islam mengajar kita berdikari. Suka membantu. Tetapi tidak suka meminta-minta dibantu tanpa keperluan. Ia bukan sahaja penting untuk memupuk sikap lebih berusaha, malah Allah mahu hamba-Nya menjadi manusia yang memelihara maruah, menjadi orang yang lebih baik. Yang lebih baik itu adalah yang suka membantu, bukan yang suka meminta-minta untuk dibantu.

“Lagi pun, bila kita usaha dahulu dan bukan senang-senang meminta tanpa keperluan, kita cari satu dapat tiga” saya mengulas.

Cari dahulu.

Pusing dahulu serba sedikit.

Bukan sekadar bertemu dengan apa yang dicari, tetapi pelbagai manfaat lain yang kita temui.

“Sebab itu ana panas hati apabila tulis sesuatu di Facebook atau Twitter, laju sahaja sesetengah kita berkata ‘sorry tak faham, mohon pencerahan. Rasanya 8 daripada 10 komen begitu adalah komen pemalas. Malas berfikir. Semuanya mahu disuap-suap” saya mengomel.

“Sabar ustaz” kata Nabhan.

Sedar tidak sedar, kami sudah pun tiba di Balıkesir. Tempat kelahiran Imam Birgivi. Kami mengambil keputusan untuk makan, sebelum mencari hotel penginapan. Kalau perut lapar, selalu tersilap membuat keputusan. Emosi tidak stabil, akal pun tidak konsisten.

20130206_080855_HDR

Pekan Balıkesir, tempat kelahiran Imam Birgivi

“Hocam, minta maaf. Kami tidak merokok!” kata Nabhan.

Pakcik yang sedang melepak di kedai ayam golek itu tersengih-sengih. Beliau memadamkan rokoknya dan mempersilakan kami makan. Saya rasa sangat lucu memikirkan sifat selamba Nabhan menegur pakcik berkenaan. Jika saya yang introvert ini, saya mungkin akan mencari meja yang jauh, atau buat tidak tahu sahaja. Halim juga begitu.

Benarlah, musafir ini mendidik kita untuk lebih kenal mengenal. Apa-apa pun, saya bangga dengan dua anak muda ini. Halim belajar di sekolah yang sama dengan saya iaitu Sekolah Izzuddin Shah di Ipoh. Manakala Nabhan pula belajar di Sekolah Hira’ yang mana pengetuannya, Ummi Jasmin, adalah sepupu saya.

Selepas makan, kami meninjau-ninjau sekitar pekan Balıkesir untuk mencari hotel. Hotel Basri nampak bagus. Malangnya penuh. Hebat juga pekan ini. Ramai pengunjungnya.

“Dan untuk itu, rasanya inilah hotel terbaik untuk kita malam ini, kan?” saya bertanya pendapat mereka.

Kami berhenti di Hotel Asya yang terletak di tengah-tengah pekan Balıkesir. Perut pun sudah kenyang. Masa untuk berehat.

Esok, kita sama-sama cari Masjid Imam Birgivi.

Cari dahulu.

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

 Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (157) Pelawat

Comments

3 comments

  1. Jzkk ustaz. InsyaAllah mendapat mesejnya

  2. sesuatu ilmu baru..membuat saya terfikir adakah budaya suka bertanya yang sering digalakkan mutakhir ini suatu sifat yang baik? ayah saya seorang ahli akademik sejak kecil saya sudah diajar sebelum bertanya fikir dahulu kaji dahulu kemudian kalau masih tidak tahu baru bertanya..maka sehingga saya dewasa saya pratikkan begitu terutama bila berurusan dengan bah ;).. sewaktu ingin menyiapkan tesis sarjana saya meskipun ayah saya seorang professor statistik sebelum bertanya dengan beliau saya baca 2 buah buku teks statistik agar saya tidak “dimarah” :). Sahabat yang mengenali saya dan ayah berasa pelik mengapa saya begitu berusaha membaca dan mengkaji sedangkan kalau saya bertanya pastinya jawapan dapat diberikan secara terus oleh ayah saya :) sebelum ini saya beranggapan bila mahu berurusan dengan seorang professor itulah kaedahnya :) namun setelah membaca artikel ini rupanya ada sarjana islam (imam birgivi) yang menyeru kepada kaedah itu :)

    jazakkallah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>