Diktatorkah Yang Mangkat di Beylerbeyi Sarayi Itu?

beylerbeyi-00

“Sudah lama saya mahu ziarah istana ini. Tetapi selalunya ia hilang keutamaan” saya teruja.

Tengah hari ini selepas kelas kami di Fatih Sultan Mehmet Vakıf Üniversitesi selesai, kami semua dibawa melawat Beylerbeyi Sarayı. Istana berkenaan merupakan salah satu istana utama di Istanbul, selain Topkapı, Dolmabahce dan Yıldız. Istana yang dibina pada tahun 1860’an ini berdiri semasa pemerintahan Sultan Abdul Aziz (1830–1876).

Istana berkenaan dibina oleh Sarkis Balyan. Keluarga Balyan adalah keluarga arkitek yang sangat terkenal di dalam sejarah senibina Dawlah Uthmaniyyah. Keluarga berbangsa Armenia ini memainkan peranan yang penting pada kurun ke-18 dan 19 dalam membawa arus baru kepada senibina Dawlah Uthmaniyyah yang semakin cenderung kepada seni Eropah.

Tetapi yang menyebabkan saya teruja dengan Istana Beylerbeyi ini bukanlah seni binanya semata, walaupun Prof. Selim Karahasanoğlu rancak menerangkan kepada kami mengenainya. Fikiran saya melayang kepada kejadian yang berlaku di dalam istana tersebut.

Tragedi yang perlu diingat iktibarnya oleh umat sepanjang zaman.

“Lokasi ini, pasti penting buat kamu, Abdelwahab. Sultan Abdul Hamid II mangkat di sini” saya berbisik kepada rakan dari Mesir. Pengkhususannya adalah Sultan Abdul Hamid II.

Ya, di salah sebuah bilik di istana inilah, Sultan Abdul Hamid II yang hidup dalam kurungan, menghembuskan nafasnya yang terakhir. Pada tanggal 10 Februari 1918, Sultan yang berusaha keras untuk menyelamatkan Dawlah Uthmaniyyah daripada runtuh oleh pelbagai asbab yang akumulatif, direhatkan oleh Allah daripada hiruk pikuk hayat terakhir kerajaannya.

fsq-beylerbeyi

“Selain isu Palestin dan Theodor Herzl, apakah signifikasi Sultan Abdul Hamid II kepada kamu, atau mungkin juga kepada umat Islam?” tanya Ville.

“Sultan Abdul Hamid II adalah sampel penting untuk menguji pelajar seperti kita, Ville. Yang mengkaji sejarah pemikiran. Tindakan-tindakan Sultan Abdul Hamid II semasa hayatnya adalah tindakan yang kontroversi menurut perspektif kontemporari. Bagaimana dengan konteks masa ini, dan sampel yang dirujuk oleh baginda sendiri?” saya berkongsi.

Tambahan pula ketika Mesir sedang bergelut dengan pelbagai masalah, dan Morsi bertindak dengan pelbagai tindakan yang tidak popular, bagaimana kita memahaminya? Jika kita bandingkan Morsi, Sultan Abdul Hamid II atau mungkin juga Erdoğan, dengan teori politik semasa, kita juga perlu mengambil kira model-model yang dirujuk oleh mereka, untuk memahami rasional tindakan kontroversi berkenaan.

Antara pemimpin dan demokratik dan diktator, bagaimana kita memahaminya?

SIASAH SULTAN ABDUL HAMID II

abdulhamid_ii

Sultan Abdul Hamid II semasa berhadapan dengan rombongan yang membawa watikah pemecatan beliau daripada jawatan khalifah (1909M)

Selepas menaiki takhta pada tahun 1876, Sultan Abdul Hamid II, telah melakukan pelbagai transformasi khususnya perundangan.

Baginda telah memperkenalkan Perlembagaan Baru dengan format Parlimen yang lebih tersusun dan semasa (First Constitution Era 1876-1877M). Krisis antara baginda dan Midhat Pasha selaku Perdana Menteri ‘durjana’ yang sangat berkuasa, hutang negara yang begitu membebankan serta pelbagai masalah tempatan, ‘regional‘ dan antarabangsa meletakkan Sultan Abdul Hamid II dalam keadaan yang amat sukar untuk menyelamatkan Daulah Uthmaniah.

Namun kebijakan beliau mendapatkan kerjasama Midhat Pasha, golongan Uthmaniah Muda (Young Ottoman) serta mengusir campur tangan Barat secara yang sangat diplomatik tetapi tegas, baginda berhasil menggerakkan momentum yang diperlukan.

Akan tetapi, peperangan yang tercetus antara Daulah Uthmaniah dan Rusia telah memaksa Sultan Abdul Hamid II tunduk dan menandatangani perjanjian San Stefano (Yesilkoy) pada tahun 1878.

Situasi ini telah memburukkan keadaan.

Rusia memperolehi banyak wilayah di timur Anatolia, juga penyerahan daerah-daerah Aegean kepada Bulgaria, kuasa otonomi buat Bosnia Herzegovina dan terlepasnya Serbia daripada wilayah Uthmaniah, baginda berada dalam keadaan yang amat tertekan.

Pada masa itulah Sultan Abdul Hamid II telah bertindak menggantung Parlimen, dengan tujuan meningkatkan efisyensi ‘chain of command‘ yang sangat sukar dicapai melalui persidangan yang caca merba. Tindakan baginda menggantung Parlimen itulah titik penting yang menyebabkan Sultan Abdul Hamid II difitnah sebagai DIKTATOR, SULTAN MERAH, OTOKRATIS dan pelbagai gelaran yang seumpama dengannya.

Benarkah beliau seorang diktator?

Sultan Abdul Hamid II berlapang dada dengan kecaman itu. Baginda seperti memekakkan telinga terhadapnya.

Sultan Abdul Hamid II bertegas melakukan satu demi satu transformasi dengan melancarkan kempen Pan Islamism ke seluruh dunia Islam, menjayakan projek keretapi Hijaz serta berusaha menyelamatkan Palestin daripada konspirasi Zionis dan pelbagai tindakan yang kelihatannya seperti ‘one man show‘.

Di keliling Sultan Abdul Hamid II ada ramai pengkhianat termasuk Midhat Pasha sendiri. Kerana itu Sultan Abdul Hamid II banyak bertindak berpandukan maklumat-maklumat keselamatan peribadi yang tidak diketahui umum. Tetapi Sultan Abdul Hamid II masih berterusan mendapatkan pandangan pelbagai pihak yang diyakininya boleh membantu.

Pembacaan secara menyeluruh terhadap sikap Sultan Abdul Hamid II akan memahamkan kepada kita bahawa Baginda bukan seorang diktator, apatah lagi dengan berulang kali pendakwa hanya berhujah pada tindakan menggantung Parlimen itu tadi.

Selama berpuluh tahun selepas mangkatnya baginda, masyarakat menerima bulat-bulat tuduhan yang dilemparkan terhadap Sultan Abdul Hamid II hingga buku-buku sejarah di negara kita juga turut memetik baginda sebagai seorang diktator. Hanya selepas diari beliau (Muzakkirat) ditemui, dikaji bersama surat menyurat antara beliau semasa dalam buangan di Salonika dengan murabbinya, dan analisis dokumen lanjutan yang dibuat terhadap polisi-polisi Sultan Abdul Hamid II, kita menginsafi betapa ada kalanya seorang pemimpin terpaksa bertindak seperti tindakan Sultan Abdul Hamid II.

Jika kita hanya ada satu pengertian terhadap diktator dan otokratik, bagaimana kita menafsirkan Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam yang kuasa legislatif, eksekutif dan kehakiman, kesemuanya berada di tangan baginda? Adakah Muhammad itu seorang diktator?

“Aku yakin yang ahli sejarah akan membelaku. Seandainya ahli sejarah Turki tidak melakukannya sekali pun, aku pasti akan ada ahli sejarah luar yang akan menegakkan keadilan buatku”, Sultan Abdul Hamid II menulis suara hatinya ketika di pembuangan di Salonika, Greece.

SAMPEL DARI GOLDEN AGE

beylerbeyi-01

“Apabila kita merujuk kepada golden age masing-masing, kita mempunyai sampel yang sempurna di dalam kepala. Bagi masyarakat Eropah juga, mereka ada golden age mereka sendiri. Persoalannya, sempurnakan model era keemasan itu? Atau ia sebuah retorik?” soal Ville kepada saya.

“Mungkin kita jadi skeptis dengan golden age sebab kita membayangkan ia sebagai sebuah era mithali yang tiada cacat celanya. Semua sempurna. Tetapi golden age di dalam Islam tidak begitu. Ia adalah sebaik-baik kurun bukan kerana ia maksum.Tetapi ia adalah kurun yang jujur. Salah dan betulnya, diteladani dengan adil” saya berpendapat.

Di dalam Islam, golden age kita berdiri pada paksi sebaik-baik kurun yang diungkapkan oleh baginda Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam sendiri bahawa sebaik-baik kurun adalah kurun baginda, kemudian kurun yang menyusulinya, dan kemudian kurun yang menyusulinya. Sejarawan dalam konteks yang lebih longgar, meletakkan zaman keemasan Islam hingga ke tahun 1258 iaitu pada tahun gugurnya Baghdad.

Namun dalam literatur Eropah, golden age mereka berubah daripada satu pengungkapan masa kepada metafor. Ia menjadi seperti sebuah khayalan. Utopia.

Maka menyeru kepada meneladani zaman keemasan, mendukung konotasi yang berbeza. Dan apabila Imam Birgivi menghasilkan Tariqah Muhammadiyyah, pada membentangkan sebuah masyarat mithali yang mencontohi sampel era Kenabian, bagaimana pengkaji Barat menggarapnya?

Ville tersenyum.

Jawapan saya bukan sahaja tidak memuaskan hatinya, malah hati saya juga. Sulit untuk menjelaskan sesuatu yang bergantung besar kepada Weltanschauung dan dengan pandangan hidup yang berbeza antara saya dan beliau, saya perlu meneroka cara lain untuk menjelaskannya. Dan sebab itulah Muslim mesti bersungguh terbabit dalam membangunkan sejarah mereka. Pandangan hidup yang berbeza oleh seorang sejarawan non Muslim, menjadi cabaran yang rumit apabila penafsiran sejarah perlu dilakukan.

Rahmat Allah ke atas Sultan Abdul Hamid II. Dan semoga Allah membantu pemimpin-pemimpin kita yang dimomok sebagai ‘diktator’.

Presiden sah Mesir, Dr. Muhammad al-Morsi.

Perdana Menteri Turki, Recep Tayyib Erdogan.

Kedua-duanya sedang berjuang di medan yang amat tegang, semoga Allah menyelamatkan lidah kita daripada kecelaan lisan yang jahil dan tergesa-gesa.

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

 

Check Also

Mu’arrikhun: Membumikan Sejarah di Gelanggang Ummah

“Saya tidak seronok memikirkan peraturan di Malaysia, pensyarah perlu bersara wajib pada usia 65 tahun” …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share