Guru-guruku Dalam Menjejak Imam Birgivi

isam-01

“Terima kasih Ahmet hocam” saya berjabat tangan.

“Terima kasih kepada anta, kerana sudi hadir” beliau menyambutnya.

Petang itu, dalam kesempitan masa berbaki sebelum meninggalkan Istanbul dan pulang ke tanahair, saya berpeluang mengatur pertemuan dengan Ustaz Ahmet Kaylı. Sebelum ini, saya hanya berutus emel dan berbalas mesej di Facebook. Syukur pada petang ini, kami dipertemukan. Walaupun Ustaz Abdullah Taha Orhan tidak dapat turut serta petang ini, saya kira beliau memang turut serta secara ‘maknawi’ dalam sembang petang kami.

Bukan apa, rezeki daripada Allah, Ustaz Abdullah yang menemukan kami.

Dalam rentetan satu demi satu anugerah Allah yang datang dalam perjalanan saya mengumpul bahan mengenai Imam Birgivi.

Teringat Februari lalu, musim dingin di Istanbul yang sungguh membingungkan saya. Kelam kabut yang memuncak, saya datang ke Istanbul tanpa strategi. Tetapi satu demi satu kemudahan Allah berikan.

Selepas kira-kira setengah jam saya terpinga-pinga di Sahaflar Çarşısı mencari karya Imam Birgivi, saya ditegur oleh seorang lelaki.

“Selam aleyküm, hocam. Boleh saya bantu?” tanya beliau sambil menghulurkan tangan. Beliau berbahasa Inggeris.

“Aleyküm selam hocam. Terima kasih. Sebenarnya saya sedang mencari karya-karya Imam Birgivi” saya memberitahu.

“Oh, sebentar ya. Nama saya Mehmet. Saya pernah tinggal di Kanada. Bolehlah berbahasa Inggeris sedikit-sedikit. Tunggu, saya cuba dapatkan” ujar beliau.

Mehmet bercakap dengan bapanya di dalam kedai dan kemudian beliau meminta bapanya menyelongkar buku-buku yang ada dalam simpanan mereka. Tidak cukup di gerai sendiri, Mehmet pergi ke gerai-gerai yang lain untuk tujuan yang sama. Jika tidak kerana pengalaman sebelum-sebelum ini, mungkin saya akan tahan Mehmet daripada menyusahkan dirinya begitu sekali. Akan tetapi, itulah muslim dan muslimah di Turki. Apabila membantu, mereka membantu sepenuh hati.

Sambil itu, saya membelek buku-buku lain. Berteduh daripada hujan dingin Istanbul yang mengintai salji.

Sahaflar Çarşısı mempunyai sejarah yang panjang, seusia dengan Grand Bazar (Kapalı Çarşı)pada kurun ke-15. Tetapi saya dapat merasakan yang pasar buku antik ini berbeza daripada kunjungan saya pada awal 1990’an. Sekurang-kurangnya pada masa itu masih banyak buku lama dari era Uthmaniyyah yang dijual. Berbeza dengan hari ini, nampaknya banyak buku sekolah, buku terjemahan Dan Brown dan J. K. Rowling.

Oleh kerana di dalam sejarahnya, kedai buku ini membekalkan keperluan medrese, maka lokasinya amat bertepatan di Beyazit itu. Evliya Çelebi, di dalam Seyahatname menceritakan bahawa pada masa tersebut, ada 50 buah kedai buku bersama 300 peniaga buku antik yang berada di situ.

“Ini sahaja yang dapat saya kumpulkan daripada semua kedai yang berada di sini” kata Mehmet.

Berpeluh-peluh beliau datang kepada saya bersama dua tajuk. Satunya adalah İmam-ı Birgivi Vasiyetnamesi dan sebuah lagi adalah syarah kepada Tariqah Muhammadiyyah iaitu Berika – Tarikat-ı Muhammediyye Şerhi oleh Konyalı Muhammed Mevlana Ebu Said Hadimi sebanyak 5 jilid.

“Alhamdulillah. Ini permulaan yang baik. Terima kasih saya ucapkan” saya berkata.

“Maaf saya ingin bertanya, adakah kamu seorang derviş?” tanya Mehmet.

“Tidak. Saya bukan seorang derviş. Saya orang biasa. Tetapi belajar tentang tasawwuf. Meminatinya dan cuba mengambil manfaat daripadanya” saya tersenyum.

“Jika begitu, mengapa kamu mencari buku-buku Imam Birgivi?” soal beliau.

“Saya seorang murid sejarah. Saya sedang menyiapkan kajian peringkat sarjana berkenaan dengan Imam Birgivi” saya memberitahu.

“Alhamdulillah!!!” beliau memeluk saya.

Tergamam.

“Teringat saya kepada pesanan guru kami. Kepada setiap kaum Muslimin yang tidak bertarekat, sekurang-kurangnya dalam hidup ini, bacalah buku Tariqah Muhammadiyyah oleh Imam Birgivi. Sebagai panduan kehidupan” Mehmet begitu teruja.

“Inshaallah” saya mengiyakan kata-katanya.

Menarik juga. Jarang sekali orang bertarekat, apatah lagi tuan gurunya, memberi pilihan untuk orang tidak bertarekat.

“Tuan dari tarekat mana?” saya bertanya.

“Saya daripada tarekat Helvati Cerrahi” kata Mehmet.

“Alhamdulillah. Saya memang berhajat mencari orang daripada tarekat ini. Allah temukan kita” saya pula yang naik teruja.

“Kami memang membaca kitab Imam Birgivi. Jemputlah datang ke majlis kami pada setiap Khamis malam Jumaat. Bila-bila sahaja kamu mahu menyertainya, datang ke sini sebelum jam 6. Apabila kami tutup kedai, kita pergi sama-sama” Mehmet menawarkan peluang.

“Inshaallah. Saya akan usahakan” saya berterima kasih sekali lagi kepadanya.

sahaflarcarsisi

Rezeki. Saya memang mahu mencari pengikut tarekat Helvati Cerrahi kerana mahu mengetahui tentang persepsi semasa terhadap Imam Birgivi. Apabila Tosun Bayrak yang menterjemahkan Tariqah Muhammadiyyah kepada The Path of Muhammad, saya mendapat indikasi tentang signifikannya tarekat Helvati Cerrahi kepada kajian mengenai Imam Birgivi.

Kami berpisah, mudah-mudahan berpeluang bertemu kembali, dan menyertai sekurang-kurangnya sekali sesi pengajian kitab Mehmet dan sahabat-sahabatnya.

Itu rezeki pertama saya, dalam kembara menjejak Imam Birgivi.

DR HASAN TUNCAY BAŞOĞLU

“Ahlan wa sahlan! Di mana kamu, Hasrizal?” Dr. Hasan menyambut saya.

Syafiq dan Halim juga bersalam dengannya.

“Saya di sini” saya menjawab.

“Ya, selama ini kamu di mana? Sudah lebih 10 tahun kita tidak berjumpa” ujar beliau.

Dr. Hasan Tuncay Başoğlu juga adalah salah seorang dari ahli rumah kami di Amman dahulu. Beliau bersama Cenksu, Mustafa, Said dan Adnan, kami sentiasa memandang tinggi kepada beliau kerana beliau memang seorang yang tinggi! Dr. Hasan dahulunya belajar sains politik di Universiti Boğaziçi. Kemudian beliau berhijrah ke bidang pengajian Islam apabila menyambung sarjana dan PhD dalam bidang Usul Fiqh di Fakulti Ilahiyat, Universiti Marmara.

Mengingati kembali diri beliau sebagai seorang yang sangat banyak membaca lagi ilmiah pemikirannya, saya yakin beliau boleh berkongsi banyak benda, selain saya sendiri rindu untuk bertemu dengannya. Kali terakhir saya berjumpa, adalah pada tahun 1999 ketika beliau tinggal bersama ibunya yang sudah tua, di sebuah rumah kecil di Bulgurlu Mahallesi.

isam-02

Tanpa disangka-sangka, rupanya sahabat saya yang ilmiah itu, kini adalah Timbalan Direktor di İslam Araştırmaları Merkezi atau lebih dikenali sebagai İSAM! Dua dalam satu! Bertemu dengan beliau, dan beliau pula adalah Timbalan Direktor Islamic Research Centre yang paling saya hajatkan untuk berkunjung.

Alhamdulillah.

“Saya mahu kamu pos dari Malezya buku-buku kamu untuk dimasukkan ke koleksi İSAM” kata Dr. Hasan.

“Buku saya bukan buku ilmiah. Ia buku populis” saya beralasan. Terasa janggal dengan permintaan beliau.

Buku Aku Terima Nikahnya yang kamu tulis, mempunyai perspektif baru tentang cara umat Islam melihat isu-isu kekeluargaan. Apa bentuk pakej yang dibuat oleh penerbit, saya tidak ambil kira. Tetapi bagi saya isinya ilmiah. Dan wajar menjadi koleksi İSAM” jelas beliau.

“Baiklah. Tapi saya rasa buku Secangkir Teh Pengubat Letih lebih sesuai” saya memberi cadangan.

Dr. Hasan meminta saya jelaskan tentang isi kandungan travelog kedua saya itu. Politik, sejarah, budaya, isi kandungan buku Secangkir Teh Pengubat Letih itu adalah ibarat Rehlah Ibnu Batutah, pada pendapat beliau.

“Saya tidak mahu ia menjadi seperti Rehlah Ibnu Batutah. Kesilapan fakta tentang Ibnu Taimiyah berkenaan kunjungan beliau ke Dimashq telah menjadi fitnah berlarutan terhadap Ibnu Taimiyah” saya berkata.

“Aha, itu satu sikap mengambil berat yang penting. Kita boleh memilih untuk menulis secara akademik atau populis, tetapi kita tidak berkompromi kesahihan isi kandungannya” sambut Dr. Hasan.

“Topik ini menarik. Saya ada tugasan akademik dari UKM di Malaysia tentang perkembangan novel sejarah Islam” saya memberitahu.

Perbualan kami berlanjutan selama hampir setengah jam. Dr. Hasan juga sangat berbesar hati apabila dapat berkenalan dengan Halim dan Syafiq yang menemani saya. Beliau sempat memberikan beberapa nasihat kepada mereka.

“Apa-apa, buku Secangkir Teh Pengubat Letih juga mesti dipos untuk dimasukkan ke dalam koleksi İSAM” kata Dr. Hasan.

Saya ketawa.

İSAM adalah sebuah pusat kajian ilmiah berkaitan disiplin pengajian Islam di bawah Diyanet Vakfı. Ia lebih dikenali dengan perpustakaannya yang sangat besar dan kaya, menghimpunkan buku-buku rujukan serta jurnal-jurnal ilmiah dari seluruh dunia. İSAM tidak membuka pintunya kepada pelajar pra siswazah. Sebaliknya, ia menyediakan segala kemudahan untuk pelajar sarjana, kedoktoran dan pasca PhD untuk hadir dan memanfaatkan bukan sahaja bahan di perpustakaannya, tetapi juga apartmen kediaman percuma bersama makan minum untuk pelawat-pelawat akademik yang diterima untuk membuat kajian jangka pendek di İSAM. Syaratnya mudah sahaja. Selain menyediakan proposal tentang kajian yang hendak dibuat serta surat-surat sokongan, penyelidik juga dikehendaki membentangkan hasil kajiannya di hujung keberadaan mereka di İSAM.

Paling memeranjatkan saya ialah apabila Dr. Hasan menjelaskan bahawa İSAM asalnya ditubuhkan untuk membangunkan sebuah ensiklopedia! Ia adalah kesinambungan tradisi kesarjanaan Uthmaniyyah yang terkenal dengan penghasilan ensiklopedia seperti Keşf-el-Zunun an Asami al-Kutub wa-al-Funun oleh Kâtip Çelebi (1609-1657). Ensiklopedia yang dimaksudkan itu adalah TDV İslâm Ansiklopedisi yang kini mencecah lebih 40 buah jilid. Setiap satu entri di dalam ensiklopedia itu dipegang oleh seorang penyelidik. Beliau akan mengumpulkan manuskrip, buku, makalah ilmiah, keratan akhbar dan dokumen-dokumen berkaitan entri tersebut, menganalisa dan merumuskannya, kemudian meringkaskannya kepada beberapa perenggan lalu dimasukkan ke dalam ensiklopedia berkenaan selepas mendapat kelulusan.

Allahu Akbar.

Demikian sekali kesungguhan mereka.

Demikian sekali kualiti penghasilan bahan ilmiah mereka.

Dan dengan bahan yang begitu banyak, İSAM kini juga merupakan sebahagian daripada sebuah universiti pengajian tinggi untuk bidang pengajian Islam yang dikenali sebagai İstanbul 29 Mayıs Üniversitesi.

“Assalamualaikum!” tiba-tiba seorang tetamu masuk.

Berwajah tenang dan sambil melemparkan senyuman kepada kami, Dr. Hasan memperkenalkan beliau kepada kami sebagai Ustaz Abdullah Taha Orhan, pembantu beliau. Ustaz Abdullah merupakan seorang pengkaji sepenuh masa di İSAM, dan beliau sedang menyiapkan PhD di bidang Tasawwuf di Universiti Marmara.

“Memnun oldum!” saya menyambut perkenalan.

isam-04

Selepas kami semua diperkenalkan kepada Direktor İSAM iaitu Prof. Dr. Mehmet Âkif Aydın, Ustaz Abdullah telah diamanahkan oleh Dr. Hasan untuk membawa kami melawat sekitar İSAM sebelum kami bertemu semua untuk makan malam, selepas Maghrib.

“Dan sebelum kita tinggalkan pejabat, ini saya telah muat turun kira-kira 30 dokumen pdf berupa tesis sarjana dan PhD serta artikel dan buku, berkaitan Imam Birgivi” kata Dr. Hasan.

Allahu Rabbi!

Saya rasa sejuk kaki, hilang upaya berdiri, kerana terlalu teruja.

“Segala puji bagi Allah. Dia Maha Baik kepada saya hari ini” saya menyambut thumb drive yang Dr. Hasan hulurkan.

Kami keluar meninggalkan pejabat dan Ustaz Abdullah mengajak saya singgah ke bilik beliau sebentar untuk mengambil jaket.

“Oh perkenalkan, Ustaz Muhammed Enes Topgül!” kata Ustaz Abdullah.

Beliau adalah pengkaji yang bertanggungjawab ke atas akaun Imam Birgivi di dalam ensiklopedia berkenaan, walaupun artikel mengenainya disumbang oleh Prof Emrullah Yüksel.

Subhanallah!

Pelbagai maklumat telah Ustaz Enes kongsikan dengan saya, termasuk membetulkan kesilapan saya yang mahu memandu ke Birgi yang salah keesokan harinya.

isam-03

Biar pun kunjungan saya ke İSAM tempoh hari sangat berbaloi-baloi, kemuncaknya adalah semasa saya di dalam pesawat penerbangan pulang ke Malaysia. Daripada 30 dokumen pdf yang Dr. Hasan berikan kepada saya, ada sebuah tesis yang menjadi lampu suluh penerang jalan saya di celah rimba maklumat yang sangat rumit. Tesis berkenaan ditulis oleh pelajar Universiti Boğaziçi bernama Ahmet Kaylı. Tesis berbahasa Inggeris itu bertajuk A Critical Study of Birgivi Mehmed Efendi’s (d.981/1573) Works and their Dissemination in Manuscript Form.

Tajuk berkenaan menjadi tiang seri kepada kajian saya di bahagian tinjauan literatur. Ustaz Ahmet telah membuat sebuah penyelidikan tentang penyebaran karya Imam Birgivi dalam bentuk manuskrip. Kuantiti penyebaran berkenaan menjelaskan tentang banyak perkara berkaitan latar belakang sejarah yang mendorong kepada bertambah atau berkurangnya penyalinan dan penyebaran karya-karya Imam Birgivi. Untuk menyempurnakan kajian tersebut, Ustaz Ahmet perlu menyelongkar seluruh perpustakaan yang dikenal pasti ada karya Imam Birgivi, meneliti kesahihan nisbahnya kepada Imam Birgivi dan akhirnya, beliau mendokumentasikan secara muktamad, bibliografi terkini Imam Birgivi. Inilah sumbangan yang sangat besar oleh beliau. Saya tidak pasti berapa lamakah kajian berkenaan dibuat. Jika di Malaysia, ini bukan lagi tesis sarjana, malah boleh menjadi tesis PhD terbaik dengan anugerah dekan.

“Saya rasa sangat bertuah kerana ditemukan oleh Allah dengan tesis Ustaz Ahmet Kaylı. Semoga saya berpeluang untuk bertemu dengannya untuk lebih mengenali Imam Birgivi dan memahami pensejarahannya” saya mengemas kini status di dinding Facebook semasa transit di Dubai.

“Ustaz Hasrizal, Ustaz Ahmet Kaylı adalah rakan sepengajian saya di Universiti Boğaziçi. Saya akan perkenalkan ustaz kepada beliau, Inshaallah” status saya dikomen, sebaik sahaja saya tiba di KLIA.

Allahu Akbar.

Ustaz Ahmet Kaylı rupa-rupanya rakan kepada Ustaz Abdullah Taha Orhan!

“Wahai Tuhanku, sesungguhnya Engkau maha Baik kepadaku. Pertolongan demi pertolongan Engkau berikan tanpaku minta, aku mengambilnya sebagai petanda bahawa Engkau redha dengan kajianku ini. Bimbinglah aku, hindarkan aku daripada ilmu yang tidak bermanfaat dan maklumat yang tidak tepat” saya berdoa semasa solat Jama’ Ta’khir di Lapangan Terbang.

Semenjak itu saya sering berutus berita dengan Ustaz Ahmet Kaylı. Saya dapat merasakan bahawa beliau adalah seorang yang tekun, dan kukuh komitmennya terhadap kajian beliau. Sejujurnya beliau tidak pasti bagaimana tesisnya boleh berada di dalam database İSAM, tetapi beliau berbesar hati ‘merestui’ naskhah di tangan saya untuk manfaat kajian, asalkan saya tidak menyiar atau membuat salinan. Mungkin beliau mahu membetul dan mengemaskan lagi tesis tersebut.

Saya menghormati permintaan beliau.

Hubungan saya, Ustaz Ahmet dan Ustaz Abdullah menjadi semakin akrab.

Dan hari ini, setelah dipujuk-pujuk kami dapat bertemu!

“Terima kasih, hocam. Dapat meluangkan masa bertemu saya” saya duduk bersama beliau di kerusi rehat bersebelahan İSAM.

“Terima kasih kepada ustaz sebenarnya kerana bersusah payah datang ke İSAM petang ini. Esok sudah mahu pulang ke Malaysia. Maafkan saya sebab tidak dapat berjumpa lebih awal” ujar beliau.

Saya mengambil peluang mengucapkan terima kasih atas sumbangan beliau kepada kajian tentang Imam Birgivi. Sungguh teruja, apabila Ustaz Ahmet memberitahu saya bahawa beliau meluangkan masa selama 2 tahun duduk di dalam perpustakaan demi perpustakaan untuk merekodkan manuskrip berkaitan Imam Birgivi. Usaha sedemikian rupa adalah contoh bagaimana sepatutnya seorang pelajar sarjana menjayakan kajian masing-masing. Bukan sekadar melepaskan batuk di tangga.

Ustaz Ahmet juga menjelaskan kepada saya tentang khilaf tarikh lahir Imam Birgivi yang saya temui di dalam pelbagai kajian, termasuk yang tercatat di batu nesan maqam beliau di Birgi.

“Di dalam Vasiyetname (Risale-i Birgivi), Imam Birgivi sendiri memberikan tarikh lahir beliau sebagai 10 Jamadil Awwal 529H. Berdasarkan kiraan di ttk.gov.tr ia bersamaan dengan 27 Mac 1523″ ujar Ustaz Ahmet.

tariqahmuhammadiyyah

“Saya menghadapi kesulitan untuk membaca Tariqah Muhammadiyyah sebab naskhah yang ada pada saya masih mentah tanpa struktur bab, fasal dan sebagainya. Adakah naskhah yang saya gunakan ini sesuai?” saya tunjukkan kepada beliau naskhah dalam format pdf yang saya bawa di dalam ipad.

“Ini naskhah yang baik. Tetapi memang sukar membacanya. Ia dicetak di mana ya?” tanya Ustaz Ahmet.

“Ia dicetak di Bombay, India. Tetapi ia adalah salinan semula. Naskhah asalnya dicetak di Turki” saya memberitahu.

Di hujung kitab berkenaan, dicatat bahawa naskhah itu dicetak di Percetakan al-Haj Muharrem Efendi el-Bosnavi dan dicetak pada awal Muharram tahun 1287H iaitu sekitar tahun 1870 semasa pemerintahan Sultan Abdul Aziz Khan.

“Syukurlah, walaupun agak sukar membacanya, ia masih boleh dibaca. Jika manuskrip yang ini, lagilah berpinar mata saya” saya menunjukkan senaskhah manuskrip dalam format pdf kepada beliau.

“Oh, di mana ustaz dapat naskhah ini?” beliau terkejut menatap naskhah yang ada di tangan saya.

“Saya mendapat naskhah ini daripada sebuah perpustakaan di Jepun. Nampaknya ia bertarikh 1659” saya memberitahu.

“Subhanallah. Bolehlah ustaz berikan saya sesalinan naskhah Tariqah Muhammadiyyah ini?” pinta beliau.

Saya sangat berbesar hati kerana sekurang-kurangnya, ada jugalah suatu kebaikan yang dapat saya kongsikan dengan Ustaz Ahmet, pada mengenangkan besarnya sumbangan beliau kepada kajian saya.

“Saya belum pernah ke Birgi. Ia mesti diusahakan. Tidak masuk akal bagaimana hocam dari jauh pula yang sampai terlebih dahulu” kata Ustaz Ahmet.

“Oh itu perkara biasa. Ada rakan isteri saya di Ireland dulu sudah pernah ke Pulau Langkawi di Malaysia sedangkan kami yang orang Malaysia sendiri belum pernah ke sana lagi” saya ketawa kecil.

Gembira saya dapat memetik senyuman beliau. Ustaz Ahmet orang yang agak serius dan pendiam. Namun butir katanya berisi belaka.

“Semalam, Prof. Dr. İhsan Fazlıoğlu beritahu saya yang beliau pernah membaca sebuah manuskrip menceritakan bahawa ada rombongan dari Kepulauan Melayu datang ke Turki meminta agar Tariqah Muhammadiyyah disyarahkan untuk dimanfaatkan oleh kaum Muslim di tempat kami” saya bercerita.

“Wah, betul? Mengejutkan!” kata Ustaz Ahmet.

“Saya pun terkejut. Dan kata Prof. lagi, ada kemungkinan Perang Padri yang berlaku di Tanah Minang, Sumatera Indonesia, membabitkan idea ‘kaum muda’ yang bukan dari tanah Arab, sebaliknya dari pengaruh gerakan Kadızadeli. Prof. Dr. İhsan Fazlıoğlu menasihatkan saya supaya kekal mengkaji tentang Imam Birgivi kerana pengaruhnya yang begitu luas di luar jangkaan. Malah Dr. Hasan Tuncay pun ada memberitahu tempoh hari, semasa beliau melawat China, ada masjid-masjid di sana masih menggunakan Tariqah Muhammadiyyah untuk tazkirah” saya menyambung kisah.

“Alhamdulillah. Selepas ini bolehlah kita terus bekerjasama. Saya sedang menguasahakan kajian PhD berkenaan dengan syarah kepada Tariqah Muhammadiyyah. Saya mungkin akan memilih Al-Hadiqah al-Nadiyyah Sharh al-Tariqah al-Muhammadiyyah oleh Abd al-Ghani al-Nablusi. Ia syarah di dalam bahasa Arab” ujar Ustaz Ahmet.

“Subhanallah. Adakah naskhahnya bercetak dan dijual?” saya rasa meluap-luap dada kerana menyambut lambakan hikmah.

isam-05

“Ada. Tariqah Muhammadiyyah yang bercetak dengan cetakan agak kemas juga ada dijual di kedai yang sama. Ustaz pergi ke Üsküdar. Jalan menuju ke maqam Aziz Mahmud Hüdayi Hazretleri berhampiran Burger King itu, ustaz belok ke kanan. Nanti di sebelah kiri ustaz, ada kedai buku Asitane Yayınevi. Inshaallah ada dijual di situ” Ustaz Ahmet menerangkannya kepada saya.

“Hocam, terima kasih ya. Hanya Allah jua yang membalas jasa hocam” saya rasa sangat terharu.

“Ustaz sudah hubungi Prof. Katharina Ivanyi di New York?” soal Ustaz Ahmet.

“Sudah. Berbesar hati saya menerima balasan daripadanya” saya memberitahu.

Dear Hasrizal,

Thank you so much for your message. It is great to hear that you are working on Imam Birgivi Efendi, too. He is such an important figure and there is so much work to be done on him! Please let me know if there is anything I can help you with. I finished my PhD dissertation on him last year. If you are working on Birgivi’s ideas on islah and tajdid, you probably know that there is a section on Birgivī in ‘Abd al-Muta‘āl al-Ṣa‘īdī, al-Mujaddidūn fi-l-islām min al-qarn al-awwal ilā al-rābi‘ ‘ashar (Cairo: Maktabat al-Ādāb, 1996), pp. 377-8. It’s a fascinating topic.

Katharina Ivanyi

“Demikianlah sikap ilmuwan yang sejahtera. Tidak lokek ilmu. Sentiasa memandu pengkaji lain kepada sumber-sumber yang berguna” ulas Ustaz Ahmet.

“Benar. Walaupun sebenarnya apa yang dicatatkan oleh Sheikh Abd al-Muta‘āl al-Ṣa‘īdī di dalam buku berkenaan agak mengecewakan saya, tetapi ia tetap penting” saya berkongsi.

“Mengapa?” Ustaz Ahmet kehairanan.

“Kata beliau, beliau menyenaraikan Imam Birgivi sebagai mujaddid kerana menghormati pendapat Rashid Ridha yang berpendapat demikian. Ada pun pendapat peribadinya, Imam Birgivi ini tidak mempunyai apa-apa kelebihan” saya memberitahu.

Naskhah buku al-Mujaddidūn fi-l-islām itu pun, saya memperolehinya hasil kebaikan yang Allah limpahkan apabila sahabat saya, Ustaz Zahiruddin Zabidi menemui satu-satunya naskhah tersebut di Malaysia, di Perpustakaan Universiti Malaya.

“Inshaallah ustaz. Sama-sama kita berdoa kepada Allah, agar usaha ini diredhai-Nya dan memudahkan jalan kita untuk ke Syurga” kata Ustaz Ahmet.

“Barangsiapa yang berjalan menuntut ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan menuju Syurga. Sesungguhnya para malaikat meletakkan sayap – sayapnya. Karena redha kepada penuntut ilmu. Sesungguhnya orang menuntut ilmu akan dimintakan ampunan oleh yang ada di langit dan di bumi hingga ikan yang ada di dalam air. Sesungguhnya keutamaan seorang alim (ulama) dibandingkan seorang ahli ibadah seperti keutamaan bulan atas seluruh bintang. Sesungguhnya para Ulama adalah pewaris para Nabi. Dan Sesungguhnya para Nabi tidak mewariskan dinar ataupun dirham. Tetapi mereka hanya mewariskan ilmu. Barangsiapa yang mengambilnya, maka dia telah mengambil bagian yang banyak.” [Sahih Ibn Hibban]

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

Maklum Balas

Maklum Balas

Check Also

Jangan Beragama Sekadar di Pinggiran

kredit foto: demotix.com “Ammu, Ammu, fi sabilillah!” seorang kanak-kanak kecil menarik baju saya. Dia bukan …

12 comments

  1. Wah…membara rasa nak menuntut ilmu bila baca artikel ini.. Terima kasih ustaz

  2. Apa nasihat ustaz untuk medical student (wanita) yang meminati bidang sejarah ?

    • Saranan saya, jangan hilang fokus bidang perubatan sebagai amanah. Untuk sejarah, baca buku-buku yang berkualiti. Bidang history of science mungkin menarik untuk pelajar berlatar belakangkan sains khususnya perubatan. Dan tangkaskan diri untuk history taking pesakit 🙂

  3. Nuramalina Izzati Nazaruddin

    Ketekunan ustaz dalam menyiapkan kajian membuatkan saya lebih bermotivasi untuk belajar dengan lebih tekun dalam bidang yang penuh cabaran ini, bidang perubatan.

  4. Assamualaikum w.b.t..

    Berkaca mata saya ini yang memang berkaca mata membaca tulisan Ustaz ini.. Semoga usaha Ustaz dipermudahkan.. Saya mengkagumi kesungguhan umat Islam di luar negara dalam usaha mereka menyebarkan ilmu.. Walaupun berkhidmat dalam suasana dunia akademik, namun aura akademik di sana nampak lebih terasa..

    Kemurahan hati sahabat Ustaz, Dr. Hasan Tuncay Başoğlu memberikan pelbagai bahan kajian, amat mengingatkan saya kepada kemurahan hati sahabat baik saya , Sdr Ahmad Amri yang berkongsi lebih dari 70 tajuk pelbagai buku-buku haraki dalam bentuk PDF beberapa tahun dahulu..

    Dengan ingatan dan doa agar usaha Ustaz dipermudahkan..

    “Allahumma yassir wala tu’assir. Rabbi tammim bilkhoir. Birohmatikaya Arhamarrohimin.”
    “YaAllah Permudahkanlah Jangan Dipersulitankan dan Kau akhirkanlah dgn Kebaikan..

    Aminn..

  5. Ahmad Zahiruddin Mohd Zabidi

    … Perpustakaan Peringatan Za`aba… lebih tepat, ustazi… 🙂

  6. Salam Ustaz,

    “Barangsiapa yang berjalan menuntut ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan menuju Syurga. Sesungguhnya para malaikat meletakkan sayap – sayapnya. Karena redha kepada penuntut ilmu. Sesungguhnya orang menuntut ilmu akan dimintakan ampunan oleh yang ada di langit dan di bumi hingga ikan yang ada di dalam air. Sesungguhnya keutamaan seorang alim (ulama) dibandingkan seorang ahli ibadah seperti keutamaan bulan atas seluruh bintang. Sesungguhnya para Ulama adalah pewaris para Nabi. Dan Sesungguhnya para Nabi tidak mewariskan dinar ataupun dirham. Tetapi mereka hanya mewariskan ilmu. Barangsiapa yang mengambilnya, maka dia telah mengambil bagian yang banyak.” [Sahih Ibn Hibban]

    Menitis air mata saya ketika membaca petikan di atas….sedang saya merasa lelah dengan tugasan pembelajaran yang tak habis-habis, petikan di atas sungguh memberi semangat dan kekuatan untuk saya terus berjuang.

    Thanks so much.

  7. Assalamualaikum Ustaz..
    Mengenai Derviş yang ditulis di atas adakah merujuk kepada tarian berzikir berpusin2 tu?
    Adakah tarian zikir di Turki sekarang ini asalnya datang dari Imam Birgivi sendiri ?
    Dan apa pandangan ustaz tentang tarian zikir itu?
    Minta maaf ustaz jika mengganggu fokus ustaz ..

  8. Assalamu alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh

    Tolong bantu saya..saya sedang dalam perjalanan mengenal Allah.

    Dari beberapa pengajian yg pernah sy ikuti,belum ada yg pas dihati.

    Mengikuti perkembangan tasawuf di indonesia sungguh membingungkan..melihat bermacam aliran..membuat sy berkesimpulan,sungguh sulit mencintai Allah.

    Pengalaman sy mengikuti tarekat yg secara “kebetulan” ada non muslim masuk islam..dan disana dijabarkan mengenai rumah tuhan ..membuat sy menjadi bertanya tanya mengenai
    Tauhid..kebingungan sy mengenai ikrar keislaman saya….
    Tolong bimbing sy.
    Dimana sy bs temukan majlis ini di jakarta?

    Terima kasih
    Rany

  9. hampir separuh artikel ustaz dlm blog ni telah saya baca, kini baru saya sedar apa itu **ILMU** , apa hak kita kepada ilmu dan hak ilmu itu sendiri yg perlu ditegakkan..alhamdulillah, terima kasih ustaz.
    ilmu akan datang bertalu talu jika kita faham sepenuhnya akan hak kepada ilmu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *