Si Hidup Yang Mencela Sirah Si Mati

hidupmati

Adik-adik di ruang tamu masih berbual. Saya sudah meminta izin masuk ke bilik untuk tidur. Sejuk Istanbul memang enak dilawan dengan selimut bulu seperti ini.

Tetapi mata saya berkeras daripada lena.

Kepala masih ligat berfikir, dalam penatnya tubuh berjalan kaki dari Sahaflar Carşısı hingga ke Eminönü siang tadi. Sampai di rumah, sambung berbual dengan pelajar Malaysia yang belajar di Turki, yang belajar di UIAM, yang belajar di Mesir, Allah temukan kami semua di bulan Februari ini.

Banyaknya saya bercakap.

Di dalam Tariqah Muhammadiyyah, Imam Birgivi memperuntukkan bab yang sangat panjang untuk menjelaskan tentang lisan dan kecelaannya. Lisan juga sering mengundang penyesalan. Lisanlah yang banyak menghumban manusia ke Neraka.

Kalaulah Allah boleh jadikan saya manusia yang kurang mengomel.

Paling tidak pun macam Ammar.

Dia banyak mendengar. Tak banyak berkata-kata. Tapi saya tahu, dia banyak berfikir. Ayahnya pun seorang pemikir. Teringat juga zaman saya masih bersekolah. Pernah sekali hadir dalam program PKPIM. Pengalaman bersama Tuan Ahmad Azam Abdul Rahman.

Teringat saya kepada sepotong hadith di dalam Tariqah Muhammadiyyah. Hadith daripada Anas radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam bersabda:

لا يَسْتَقِيمُ إِيمانُ عبدٍ حتى يَسْتَقِيمَ قلبُهُ ، ولا يَسْتَقِيمُ قلبُهُ حتى يَسْتَقِيمَ لسانُهُ ، ولا يَسْتَقِيمُ لسانُهُ ولا يدخلُ رجلٌ الجنةَ لا يَأْمَنُ جارُهُ بَوَائِقَهُ

Tidak lurus iman seorang hamba sehingga lurus hatinya. Tidak lurus hatinya sehingga lurus lisannya. Tidak akan masuk ke Syurga seseorang itu sehingga jiran tetangga beliau terselamat daripada kecelaannya” [Hadith Hasan riwayat Ahmad]

Tetapi jika saya pendiam, saya tidak menjadi saya. Tidak tersampai apa yang perlu disampaikan.

Saya membaca catatan Imam Birgivi di dalam naskhah The Path of Muhammad yang terpampang di ipad.

Katanya:

“Lidah itu bengkang bengkok. Ia sukar untuk diluruskan. Cara terbaik untuk mencegahnya dari tersesat adalah dengan memenjarakan ia di dalam mulut serta mendiamkan diri. Lidah tidak mampu mengawal dirinya sendiri. Ia mengomel dan membuat bising, kecuali semasa ia berjaya berperanan menjadi alat kepada akal.

Untuk mengajar lidah berkata-kata hanya semasa perlu, adalah mujahadah yang besar dan memerlukan usaha yang gigih. Perlulah diusahakan peraturan-peraturan berikut:

  1. Berbicaralah hanya apabila kamu yakin apa yang hendak dibicarakan itu mematuhi kebenaran yang disebutkan di dalam al-Quran dan al-Sunnah, atau pendapat ahli taqwa dan ilmuwan yang benar.
  2. Pastikan mereka yang mendengar bicaramu itu memahami apa yang engkau perkatakan, agar mereka boleh menerimanya.
  3. Pastikan mereka boleh mempraktikkan apa yang hendak engkau perkatakan.

Jika tiada salah satu daripada perkara di atas, maka adalah lebih baik untuk engkau berkeadaan diam”

Sebagai penceramah, saya memang banyak berkata.

Tambahan pula dengan bebanan disiplin sejarah dan maklumat yang dikandungnya di bahu ini, berkata-kata semakin menjadi beban ke atas diri. Setiap kali berbicara, sama ada ia mendekatkan diri ke Syurga, atau menambah hampir kepada Neraka.

Allah…

FORENSIK MASA

Kalau seorang ahli forensik mengkaji tubuh badan si mati, seorang ahli sejarah mengkaji sirah kehidupan si mati. Tetapi kedua-duanya mengkaji, untuk mencari manfaat bagi yang masih hidup.

Pakar forensik akan membedah tubuh si mati, bagi mengenal pasti punca kematiannya. Jika matinya berpunca dari jenayah, maka penjenayah itu mesti dicari agar jangan dia membunuh yang masih hidup. Jika kematian si mati berpunca dari penyakit yang ada risiko pewarisan genetik, maka ahli keluarga yang masih hidup, kena lebih berhati-hati dengan kehidupannya. Jika orang lain boleh tidak endah dengan bengkak sana bengkak sini, maka bagi keluarga si mati yang mati kerana kanser payu dara, tidak boleh sambil lewa.

Kerja pakar forensik tidak begitu dirumitkan oleh kekaburan. Tubuh badan si mati ada di depan mata. Tugasnya adalah untuk mengaplikasikan ilmunya ke atas tubuh si mati di depan mata.

Seorang murid Sejarah, dia bertugas membedah sirah kehidupan si mati. Mungkin bukan sekadar seorang insan yang telah mati, tetapi satu umat yang telah binasa. Punca mati dan binasa umat itu perlu dicari.

Jika mati tokoh atau punah bangsa kerana jenayah orang lain, maka setiap bangsa yang masih hidup mestilah berhati-hati jika ada pihak lain sedang melakukan jenayah yang sama ke atas mereka. Jika ada ahli keluarga mahu pun jiran tetangga yang lunak dengan penjenayah itu, bukalah mata dan telinga, kerana mereka itulah mungkin talam dua mukanya. Pelindung nifaq seperti ini mungkin menjual ahli keluarga dan jirannya, demi maslahah diri, seperti yang telah dan sering berlaku kepada umat yang telah mati.

Jika kematian si mati berpunca dari penyakit yang ada risiko pewarisan sikap dan kerenah, maka ahli keluarga yang masih hidup kenalah lebih berhati-hati dengan kehidupan mereka. Mereka perlu sedar yang bangsa mereka ada kelemahan, daya tahan diri lemah, dan mudah jatuh sakit. Maka janganlah bermain-main di tempat kotor yang banyak penuh bakteria dan virus. Kalau ada anasir jahat yang berlegar-legar di tengah kehidupan, jangan ambil mudah kerana tubuh badan kita lemah, berdasarkan Sejarah.

Kerja murid Sejarah tidak mudah. Sirah kehidupan si mati dan umat yang telah mati, bukan berlonggok di depan mata. Segala-galanya bertabur dan berkecai. Ada yang ditimbus bumi, ada yang hilang dibaham masa. Secebis sana secebis sini, perlu dikutip dan dicantum, bagi beroleh gambaran yang penuh, terhadap hakikat kehidupan masa lampau yang ingin diteladani.

Inilah cabaran yang saya hadapi. Cabaran yang dihadapi oleh setiap murid Sejarah.

Tetapi kepayahan itulah letaknya kepuasan. Kerana hidup saya adalah kehidupan yang mengkaji si mati, untuk manafaat mereka yang masih hidup.

TELAH MATI TETAP TELAH MATI

Akan tetapi, tokoh yang sudah mati tetap sudah mati. Kita peduli dengan mereka adalah demi mengambil teladan darinya untuk hidup ini. Kita tidak mencakar dan merobek si mati, seolah-olah si mati yang telah mati, tetap mahu dibunuh dan dimatikan lagi, berkali-kali.

وما فات فات ومن مات مات

“Apa yang telah pergi, telah pergi. Siapa yang telah mati, telah mati!”

Kita sanggup bermati-mati, untuk membuat keputusan terhadap si mati, seolah-olah kita mahu mengambil alih kuasa Tuhan, menentukan nasib si mati di alam kedua.

AKHLAK SI HIDUP TERHADAP SI MATI

Di sinilah timbulnya tanda tanya di dalam diri, atas kehodohan akhlak sesetengah kita yang rakus merobek sirah si mati. Mulut terlalu celupar mencela sirah umat yang sudah mati. Zikirnya setiap hari ialah pada mengumpul dan mempopularkan cacat cela si mati yang sudah tulang di dalam bumi.

Apabila kita mahu berkata-kata tentang para Anbiya, sahabat dan generasi Islam yang telah lalu, kita berkata-kata dengan budi dan sopan bahasa. Kalau si mayat, kita begitu hormat untuk tidak menyakiti tubuhnya yang telah mati, maka sirah generasi umat yang lalu juga kita sentuh berpada-pada.

Kita belajar dari Sejarah, catatan hidup generasi yang sudah mati, kerana mahu mencari teladan dan panduan bagi yang hidup.

Atas dasar itu, saya sentiasa mengingatkan diri, supaya jangan celupar mengkritik generasi yang telah pergi. Yang baik pada si fulan, saya ambil jadi panduan, yang kurang dan cacat cela, saya pulangkan ia kepada Tuhannya yang juga Tuhan saya.

Nama-nama insan yang telah pergi, bermula dari Aisyah dan Fatimah, Muawiyah dan Yazid, Hasan dan Husain, Hasan al-Basri dan Umar bin Abdul Aziz,  Muhammad bin Idris al-Syafie, juga Abu Hamid al-Ghazzali, malah Ibn Taimiyah, juga Muhammad bin Abdul Wahhab dan Sultan Abdul Hamid ke-II … nama-nama ini adalah nama hamba Tuhan yang sudah mati.

Nasib mereka sudah pasti. Cela kita terhadap mereka tidak menambah hukuman derita. Puji kita tidak mengangkat mereka ke darjat mulia. Kita puji atau kita cela, mereka sudah melengkapkan sirah hidup mereka, dan kepada Allah jua kembali segala ketentuan.

repeathistory

Saya tidak suka melihat kegelojohan orang hari ini, merobek sirah si mati dengan bahasa nafsu dan kesumat diri. Mati-mati mahu membuktikan kesesatan si fulan bin si fulan, mati-mati mahu membela kebenaran si fulan bin si fulan, hingga hilang rasional dan timbang iman.

Berpada-padalah meneladani sirah yang telah mati, jangan dicaci tulang di dalam bumi, kerana kesannya buruk di Sana nanti.

59_10

Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu” [Al-Hashr 59:10]

Tidak menjadi lebih mulia seorang abid sufi yang mencaci saudaranya dengan label Wahabi.

Tidak menjadi lebih sejahtera seorang abid salafi yang mencaci saudaranya dengan label bid’ah, Mazhabi dan Hizbi.

Yang mencela Imam Syafie bukan kerana dia Wahabi.

Yang mencela Muhammad bin Abdul Wahhab bukan kerana dia Syafie atau Sufi.

Pencela itu adalah pesakit yang berpenyakit lisan.Yang ilmunya tidak dapat menjinakkan perkataan. Yang perkataannya meliarkan umat Islam. Hawa nafsunya puas pada mencelah sirah si mati.

Daripada Abi Umamah radhiyallahu anhu, Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam telah bersabda:

“Tidaklah sesat sesuatu kaum itu setelah mereka mendapat petunjuk dan mengamalkannya, melainkan dengan kaum itu gemar berdebat berbantah-bantah” 

Lalu baginda sallallahu alayhi wa sallam membacakan firman Allah:

مَا ضَرَبُوهُ لَكَ إِلَّا جَدَلًا ۚ بَلْ هُمْ قَوْمٌ خَصِمُونَ

Dan (sebenarnya) mereka tidak mengemukakan perbandingan itu kepadamu (wahai Muhammad) melainkan kerana membantah semata-mata (bukan kerana mencari kebenaran); bahkan mereka itu adalah kaum yang suka sekali mengemukakan bantahan. [Al-Zukhruf 43: 58]

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

 

Maklum Balas

Maklum Balas

Check Also

syrianchildreninistanbul

Jangan Beragama Sekadar di Pinggiran

kredit foto: demotix.com “Ammu, Ammu, fi sabilillah!” seorang kanak-kanak kecil menarik baju saya. Dia bukan …

3 comments

  1. *Doa dari ana Ust….ciri yang dingatkan dlm surah itu banyak berlaku dah…Bingkai Islam perlu dipisahkan dr mereka …golongan2 yg banyak mlakukan istihza’ yg dahsyat dan bawwah kpd hak2 Allah..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *