Giliran Malaysia Memuliakan Saudara Turkinya

935228_254456541360931_983022585_n

“Allahu Akbar. Tuhan Maha Baik kepada kita semua” saya menggosok-gosok muka.

Seperti tidak percaya, Fatih Kayacan berada di depan mata. Bukan lagi di Üsküdar, Istanbul. Tetapi di Bandar Seri Putra. Di Malaysia. Dan Fatih tidak hadir seorang diri. Beliau hadir bersama Hamzah, abangnya Bayram dan abang ipar Fatih, Salih. Mereka datang dari Jeddah selepas selesai menunaikan ibadah umrah selama dua minggu di sana, manakala Salih Enişte datang terus dari Istanbul.

Bulan Mei bukan musim yang mudah untuk mengerjakan umrah.

“Kamu semua merah terbakar macam udang!” saya mengusik.

“Kami Hanafi. Tiada udang dalam kamus hidup kami!” balas Hamzah.

Kami ketawa.

Sungguh saya berbesar hati. Dan saya juga bersyukur kerana Abu Muaz di Dubai, sudi menumpangkan tetamu saya di rumahnya yang berselang beberapa pintu daripada rumah saya. Saya mahu Fatih dan rombongan selesa. Duduk di sebuah rumah khusus, adalah pilihan yang terbaik. Setelah lebih 20 kali saya berulang alik ke Turki, semenjak zaman kami remaja hinggalah era 3B ini (beranak pinak, beruban dan boroi), akhirnya sampai juga Fatih dan Hamzah ke Malaysia. Dan lebih menyeronokkan apabila Bayram dan Salih Enişte turut sama.

MELAWAT SEKITAR KUALA LUMPUR

“Malaysia sangat cantik. Saya suka tengok pokok kelapa sawit. Tetapi saya tidak suka minyaknya” kata Fatih.

Aduh.

Kawan-kawan yang lain tidak begitu bermasalah. Terutamanya Salih Enişte yang sudah biasa mengembara ke Thailand, Amerika Selatan dan pelbagai negara lain atas urusan kerja. Tetapi saya tahu betapa konservatifnya Fatih, ujian terbesar beliau selama berada di Malaysia ini adalah makanan. Biar pun saya tahu memasak masakan Turki yang biasa-biasa, baru hari ini saya perasan bahawa memasak dengan menggunakan minyak kelapa sawit berbanding minyak jagung atau minyak bunga matahari, pada orang Turki seperti Fatih, dia dapat mengesannya.

Dan Fatih mengalami kesukaran untuk menyesuaikan diri.

“Minta maaf ya Hasrizal. Jangan kecil hati sebab kami bawa zaitun dan keju dari Istanbul” kata Bayram.

“Haha, sepatutnya kalian bawa minyak masak dan semua sekali. Saya sedikit pun tidak berkecil hati. Yang penting kalian selesa dan tenang di sini” saya menjawab.

Syukur cuaca tengah hari itu cerah. Saya membawa mereka semua naik ke Menara Kuala Lumpur dan rezekinya, hari tersebut bahagian tertinggi menara dibuka kepada orang awam. Dalam tempoh yang pantas, saya dapat memperkenalkan Kuala Lumpur kepada mereka.

945760_254853274654591_359743272_n

“Hasrizal, tengok itu. Nampak seperti kampung” ujar Hamzah.

“Benar. Itu Kampung Baru. Satu-satunya kawasan kampung yang masih ada di Kuala Lumpur” saya memberi penerangan.

“Kalau kerajaan kamu bijak, Kampung Baru akan dipelihara dan dikekalkan. Ia sangat menarik. Tetapi kalau fikir untung, saya rasa tidak lama lagi, semuanya akan hilang” ulas Hamzah.

Beliau memberikan pendapat yang sangat tepat. Kawasan itu kawasan panas. Kawasan yang selama ini almarhumah Dr. Lo’lo’ selaku Ahli Parlimen bekerja keras mempertahankannya. Dan selepas pemergian almarhumah, siapakah wakil rakyat seterusnya untuk Parlimen Titiwangsa? Kampung Baru mungkin tinggal sejarah.

Seterusnya, saya bawa mereka melawat KLCC dan bersolat di Masjid Syakirin. Selepas solat, kami bertemu dengan seorang pelajar Albania yang menuntut di Universiti Limkokwing. Ketekunan pelajar sarjana pengajian media itu membaca al-Quran menarik perhatian mereka untuk menegur. Saya kira, setting Kuala Lumpur sebagai sebuah kota metropolitan yang begitu moden tanpa banyak elemen tradisional, menyebabkan pemandangan seorang anak muda membaca al-Quran di sebuah masjid berlembayungkan KLCC, begitu unik.

“Bagus betul dia. Saya doakan dia dipelihara Allah, istiqamah dengan Islam, terhindar dari zina dan berjaya dalam pelajarannya” doa Hamzah.

Mungkin dia teringatkan anak sulungnya Anas Talha yang sudah menjadi anak muda, dan bakal menjejakkan kaki ke alam universiti tidak lama lagi.

Malam itu saya bawa mereka bersolat di Masjid Hasanah Bandar Baru Bangi. Kita mungkin teruja melihat keindahan masjid-masjid di Turki hingga kita tidak dapat melihat dengan jelas apa kelebihan yang ada pada masjid kita. Perlukan mata orang asing untuk memerhati.

“Saya sangat kagum dengan masjid ini. Makmur dengan jemaah yang ramai dan paling utama, penuh dengan kanak-kanak. Kebisingan kanak-kanak di masjid adalah satu rahmat. Di Turki, tidak banyak masjid yang begitu” kata Salih Enişte.

“Betullah. Dan di Malaysia kanak-kanak perempuan sudah memakai tudung-tudung yang comel. Di Turki, semua pakai pakaian biasa. Apabila sudah hendak aqil baligh, baru berhijab” tambah Bayram.

Mereka meminta izin daripada bapa seorang kanak-kanak perempuan yang ada di masjid untuk bergambar bersama.

“Bagaimana dengan pasaran tudung kanak-kanak di Turki? Mahu import dari Malaysia?” saya mengusik Fatih.

“Dalam masjid jangan berbual hal dunia!” tegas dan pantas Fatih menjawab.

Selepas Isyak kami semua kembali ke rumah. Terasa hari ini sangat tepu dengan pelbagai aktiviti. Saya terpaksa merancang dengan baik kerana mereka berada di Malaysia hanya selama enam hari. Ahad ini, Fatih, Hamzah, Salih Enişte dan Bayram akan kembali ke Istanbul, namun mereka akan singgah di Dubai selama 2 hari. Hamzah selaku usahawan coklat Nuga, turut memerhatikan kedai-kedai sekitar Kuala Lumpur, dan teruja dengan idea membuka cawangan di Malaysia.

BERITA DUKA

1904152_370974703042447_1839036565_n

“Hasrizal, sebenarnya ada berita sedih yang ingin kami maklumkan. Kamu tahu apa-apa yang terjadi di Turki bulan April baru-baru ini?” tanya Hamzah.

Hati saya berdebar-debar.

“Tidak ada. Saya tidak perasan pula di Facebook. Apa yang berlaku?” saya bertanya.

“Kamu ingat sahabat kita, Murat?” soal Fatih.

“Murat Çakır? Tentulah saya ingat. Sahabat kita semenjak di Gaye Vakfı lagi. Dia bukankah sudah kembali ke Turki selepas berkhidmat di Sydney?” saya teruja.

“Ya. Murat telah meninggal dunia” kata Hamzah.

“Apa??? Ya Allah! Inna lillah wa inna ilayhi raji’un. Bagaimana? Bila?” saya rasa seperti terputus jantung mendapat khabar ini.

“Murat kemalangan jalan raya 20 April lalu. Anakanda sulung beliau, Yusuf, turut terkorban sama” cerita Fatih.

Saya terduduk. Kami sepi seketika. Saya tidak dapat menahan air mata, tetapi entah mengapa rasa terkejutnya tidak seberapa. Mungkin kerana seorang demi seorang rakan pergi selama-lamanya tanpa diduga, saya berlapang dada atas apa sahaja kejadian maut yang mendatang.

Namun air mata, melimpah-limpah kesedihan.

 

muratcakir

“Sedihnya ya Allah. Tempoh hari semasa dalam perjalanan pulang ke Turki, Murat memberitahu saya yang beliau meminta maaf sebab tidak sempat transit di Kuala Lumpur. September lepas juga saya ada maklumkan kepada kalian, termasuk Murat, yang saya mahu ke Turki” saya cuba mengingati kembali kisah bersama Murat.

Murat Çakır merupakan salah seorang daripada rakan dalam kumpulan kami yang tinggal di Gaye Vakfı. Sama-sama menuntut di Fakulti Ilahiyat Universiti Marmara, sama-sama berdiskusi, bergurau senda, malah kadang-kadang bergaduh dan semuanya menjadi sebuah ikatan ukhuwwah kerana Allah. Selepas tamat pengajian, saya terputus hubungan dengan beberapa orang rakan. Tetapi Murat Çakır masih saya temui kerana beliau bekerja sebagai imam di sebuah masjid kecil bersebelahan Masjid Abu Ayyub al-Ansari di Eyüp Sultan.

Menjadi imam di situ juga mengukuhkan persahabatan Murat dengan seorang lagi sahabat saya yang menjadi Imam di masjid yang sama sebelum beliau iaitu Ustaz Muttalip Arpa. Saya sudah lama mengenali Abdul Muttalip semenjak belajar di Jordan lagi.

Murat kemudiannya berhijrah ke Sydney Australia kerana ditugaskan menjadi imam di salah sebuah masjid komuniti Turki yang berada di sana. Semasa beliau di Sydney saya berhubung kembali dengannya melalui Facebook. Gembira juga kerana Murat menjadi fasih bertutur di dalam bahasa Inggeris, memberi satu lagi kelebihan kepada komunikasi kami, memandangkan bahasa Turki saya merangkak-rangkak kemalasan.

returnturkiye

Pulang dari Australia, Murat telah dinaikkan pangkat menjadi mufti di wilayah Ürgüp berhampiran Cappadocia. Sekali sekala saya menghantar mesej kepada beliau, bertanya khabar dan menaruh harapan untuk bertemu. Semasa ke Turki Februari lalu, saya tidak dapat bertemu beliau kerana kedudukannya yang jauh, serta jadual saya yang terlalu padat.

Allahu Akbar.

muratmuftu

Pulang daripada majlis Maulidur Rasul, kereta yang Murat pandu telah bertembung dengan sebuah kenderaan lain. Beliau dan anaknya cedera parah, meninggal dunia di hospital. Isteri dan anak perempuannya cedera namun terselamat. Peristiwa yang mendapat liputan meluas di televisyen, radio dan berita internet ini,  menjadi kejutan buat penduduk Ürgüp dan komuniti Turki di Sydney, juga kami, sahabat semenjak alam remaja, yang mempertahankan ukhuwwah fi sabillah ini.

Murat, sungguh mengejutkan pemergianmu. Tidak terlewat walau sesaat, tidak terawal walau sedetik. Salam rindu sahabatku. Salam kasih sayang, semoga bertemu di Sana dalam redha-Nya.

Selepas kembali ke rumah, saya menangis sepuas-puasnya. Terasa payah menerima berita yang sungguh mengejutkan ini. Tambahan pula berita di internet, memaparkan video rakaman bagaimana Murat dalam keadaan cedera parah masih menggerak-gerakkan tangannya kesakitan. Ya Allah, amankanlah saudaraku ini di Barzakh, bersama anakanda kesayangannya Yusuf yang juga kami kasihi. Masih terasa tangan ini mendukung bayi itu, suatu ketika dahulu.

KE MELAKA

946851_256467181159867_964967440_n

Dalam beberapa hari yang berbaki, saya membawa Fatih, Hamzah, Bayram dan Salih Enişte ke Hulu Langat dan kemudian ke Bukit Belacan untuk makan buah. Mereka begitu menggemari buah pisang, terasa bagai di Syurga, bak kata Fatih. Begitu juga dengan rambutan, tetapi tidak sama sekali dengan buah durian.

“Seperti bawang putih, baunya!” Fatih menutup hidung.

Beliau loya hingga hendak termuntah mencium bau durian.

Salih Enişte pula sangat kepingin untuk makan buah manggis, isteri kepada durian. Beliau telah dihadiahkan dengan replika manggis kayu berukir oleh rakannya di Thailand, namun tidak pernah merasanya. Akan tetapi kami berada di luar musim manggis. Tiada sebiji pun saya temui di sepanjang jalan, walaupun ke pelbagai lokasi yang berbeza.

Kami juga sempat bermusafir ke Melaka.

Kekok juga untuk saya ceritakan tentang sejarah bermulanya sebuah negara bernama Malaysia, kerana Melaka lebih banyak menonjolkan monumen kuasa asing seperti A Famosa, Stadthuys, Gereja St Peter di hot spot Bandar Hilir.

“Tak apa. Tak apa. Yang penting, kami kepanasan dan saya sudah tidak sabar untuk terjun ke laut. Tolong Hasrizal, tolong carikan laut untuk kami!” kata Bayram.

Aduhai, pantai apa pula di Melaka ini? Saya tersedar betapa kurang mahirnya saya dengan lokasi-lokasi pelancongan. Entah mengapa, dalam banyak-banyak lokasi, saya telah membawa mereka ke Pantai Tanjung Bidara.

“Wah, bagusnya, tak ada orang!” kata mereka.

Saya pula yang jadi berdebar-debar.

“Kamu tahu apa keistimewaan pantai ini?” tanya Hamzah kepada saya.

“Hmm.. apa ya?” saya cuba meneka.

“Kebanyakan pantai di Turki, sangat landai. Kamu perlu berjalan hampir 100 meter dari kawasan berpokok untuk sampai ke air. Tetapi di sini, sungguh hebat. Di kiri saya pokok kelapa, di depan saya sungai, di kanan saya laut. Ayuh terjun!” Hamzah segera berlari ke laut.

2013-05-15 19.09.56

Oh, begitu. Baru saya perasan, karakter pantai di Malaysia, berbeza daripada pantai di perairan Turki. Tidak mengapa, yang penting mereka semua gembira (dan selamat). Sesungguhnya saya berusaha untuk memberi layanan yang terbaik kerana saya sentiasa terkenang betapa bersungguhnya mereka melayan saya sebagai tetamu, setiap kali saya ke Turki. Kini, tiba giliran saya ‘membalas budi’.

Orang berbudi, kita berbahasa
Orang memberi, kita merasa

Lucunya ialah, Pantai Tanjung Bidara tidak mempunyai sebarang kemudahan untuk membersihkan diri. Bilik air ada tetapi berkunci. Mereka tidak mempunyai sumber air untuk membersihkan diri.

“Hamzah, kamu mahu ke mana?” saya menjerit melihat beliau dan 3 lagi kelibat orang asing tidak berbaju berjalan di tepi jalan dalam gelap Maghrib.

“Saya mahu ke masjid! Di situ sahaja!” jerit Hamzah.

Saya segera menghidupkan enjin kereta dan mengejar mereka. Astaghfirullah, para askar di pintu masuk Kem Terendak pun kehairanan melihat kawan-kawan saya berkelakuan pelik.

“Mana kamu tahu di situ ada masjid?” saya bertanya.

“Itu!” Hamzah menunjuk kepada saya papan tanda jalan raya bertulis MASJID TANAH!

“Hamzah, Masjid Tanah bukan masjid. Masjid Tanah ialah bandar berikutnya! Kamu mahu ditangkap sebagai beruang putihkah berjalan begini di tengah-tengah kampung?” saya menepuk dahi.

Mereka semua saya angkut ke dalam kereta dan membawa ke sebuah surau berdekatan. Alhamdulillah, di situ mereka dapat membersihkan diri, walaupun jemaah surau kehairanan mendengar bahasa pelik dituturkan di tempat wudhu’.

“Macam mana nak salin pakaian ni?” tanya Fatih.

“Haha, terimalah kain ajaib!” saya menghulurkan kain pelekat kepadanya.

Itulah istimewanya kain pelekat. Ia memudahkan kaum lelaki menukar seluar dan baju di mana-mana sahaja. Sepatutnya Dawlah Uthmaniyyah sedar akan hal ini, bahawa kain pelekat adalah satu inovasi besar dalam dunia berpakaian orang lelaki.

Selesai segalanya, saya membawa mereka semua menaiki bot untuk river cruise di Sungai Melaka. Pemandangan yang indah di rumah kampung sepanjang Sungai Melaka sangat mengujakan mereka, walaupun saya tahu semua orang mengantuk dan penat belaka.

Pulang ke Bandar Seri Putra, semua orang tidur di dalam kereta. Hanya Fatih yang masih berjaga, menemankan saya memandu.

“Eh eh…” Fatih cemas apabila saya membelok dan memotong kenderaan.

“Fatih, kamu tahu tak kenapa kamu cemas?” saya tanya.

“Kenapa?” soal Fatih.

“Kamu berjiwa ahli politik. Orang politik kena pegang kuasa. Baru dia tenang. Kalau dia jadi pengikut, dia gelisah. Dia rasa tidak selamat. Walaupun tempat duduk kamu di dalam kereta ini sama dengan tempat duduk kamu di Turki, stering kereta ini ada di sebelah kanan, saya yang berkuasa. Tenang-tenang ya ahli politik!” saya mengusik.

Fatih ketawa.

“Fikrah kamu sungguh berbahaya!” usik Fatih.

KE SINGAPURA

“Ke Kelantan atau ke Singapura?” tanya Fatih.

“Dua-dua bagus. Apa yang kamu nak tengok?” saya inginkan kepastian Fatih.

“Saya sudah kenal Kelantan semenjak zaman Ustaz Erbakan. Beliau selalu sebut tentang Kelantan dan Ustaz Nik Aziz. Tetapi Singapura juga menarik. Saya ingin melihat sebuah negara maju kecil di celah negara membangun” ujar Fatih.

“Kita kena pilih salah satu. Sebab hanya tinggal dua hari kalian berada di Malaysia. Sepatutnya kenalah datang lebih lama ke Malaysia” saya menjelaskan situasi kepada mereka.

“Ehem, ehem!” Hamzah buat-buat batuk sambil menjeling kepada Fatih.

“Haha… isteri saya ok sahaja. Tetapi umrah sahaja sudah dua minggu. Campur Malaysia sudah jadi tiga minggu. Lama tu!” Fatih menjawab.

Akhirnya mereka membuat keputusan untuk ke Singapura. Pergi pagi balik malam.

Jika boleh, saya mahu memandu sahaja ke sana. Tidak jauh mana. Akan tetapi pada hari Jumaat saya ada peperiksaan di UKM. Itu kesulitannya.

“Jangan bimbang Hasrizal. Kami selamat di Singapura nanti. Insha-Allah” tegas Bayram dan Salih Enişte.

“Jika pergi lama, tidak mengapa. Tetapi saya khuatir, kalian menghabiskan masa bertanya-tanya dengan bahasa Inggeris yang terbatas. Tak apa, nanti saya tanyakan sahabat Singapura di Facebook” saya menjawab.

Alhamdulillah, tidak sampai sejam saya bertanya, seorang sahabat menawarkan bantuan. Beliau memaklumkan kepada saya yang beliau ada bercuti di Singapura. Beliau dan rakannya boleh membantu. Malah, bukan sahaja sekadar menyambut di Lapangan Terbang dan membelikan day trip card, mereka menawarkan kenderaan untuk meraikan sahabat-sahabat saya.

Allahu Akbar, sungguh lega rasanya. Saya sudah memaklumkan kepada sahabat di Singapura bahawa mereka tidak mahu menyusahkan sesiapa. Maka sahabat-sahabat Turki saya mahu semua perbelanjaan termasuk upah, dimaklumkan sepenuhnya kepada mereka. Akan tetapi sahabat di Singapura menolak. Mereka menyatakan rasa berbesar hati menyambut sahabat-sahabat saya sebagai tetamu.

Selepas segalanya jelas, dan saya maklumkan kepada Fatih, Hamzah, Bayram dan Salih Enişte perancangan kami, mereka bersyukur kepada Allah dan berterima kasih. Saya belikan tiket penerbangan Air Asia untuk mereka, dengan penerbangan jam 9 pagi pada pagi Khamis.

Malam itu sebelum melelapkan mata, saya memeriksa sekali lagi dengan sahabat di Singapura untuk memaklumkan jadual penerbangan mereka. Bertolak ke Singapura dari LCCT pada jam 9 pagi, kemudian pulang semula ke Kuala Lumpur pada jam 5 pagi dari Singapura, subuh Jumaat. Sahabat di sana menyatakan persetujuan, dan saya lelapkan mata sekitar jam 2 pagi.

Selepas solat Subuh, saya memeriksa telefon dan sangat terkejut apabila sahabat di Singapura memaklumkan bahawa beliau tidak sihat dan tidak dapat ke Lapangan Terbang menyambut sahabat-sahabat saya. Seluruh perancangan terbatal dan beliau meyakinkan saya bahawa kemudahan di Lapangan Terbang cukup tanpa perlu berasa khuatir dengan keselamatan sahabat-sahabat Turki saya.

Saya menelan air liur. Panik.

Jam sudah hampir 7 pagi.

Saya mesti berfikir dengan pantas.

“Ya Allah ya Tuhanku, demi persaudaraanku dengan sahabat-sahabatku ini kerana-Mu, aku mohon Engkau terima keputusanku ini sebagai amal soleh, walaupun perit untuk kulakukan ia” saya berdoa kepada Allah.

Sepantas kilat, saya mengambil semua sahabat di rumah tumpangan mereka dan saya memecut laju menuju ke LCCT.

“Saya ke Singapura dengan kalian. Saya akan beli tiket di Lapangan Terbang nanti!” saya memberitahu.

“Eh, mengapa Hasrizal? Apa yang berlaku? Bukankah kamu ada peperiksaan esok?” tanya Hamzah dan Fatih.

Bayram dan Salih Enişte juga kehairanan.

“Sahabat di Singapura ada masalah besar. Saya susah hendak jelaskan. Mungkin beliau di hospital. Saya tidak mahu sesiapa pening kepala, Insha-Allah saya boleh atur jadual untuk kita sama-sama ke Singapura” saya meyakinkan mereka.

Mohon maaf Pak Polis. Rasanya kereta saya memandu selaju 160km/jam untuk ke LCCT.

“Saya masih tidak berpuas hati. Saya mahu tahu apa yang berlaku?” tanya Fatih.

Hamzah menepuk bahu Fatih.

“Tak apa, kita beri kepercayaan kepada Hasrizal untuk uruskan hal ini” Hamzah bersuara tenang.

“Tetapi esok Hasrizal ada peperiksaan” tegas Fatih.

“Fatih, dahulu semasa di Istanbul sering sahaja saya hadir semasa kalian sibuk dengan peperiksaan. Kami di Jordan sentiasa habis peperiksaan awal dua minggu berbanding kalian. Selama saya di Turki, kalian tidak pernah merungut walau sedikit pun” saya mengingatkan.

Muka Fatih bertukar merah. Saya tidak pasti sama ada kerana marah, atau terharu.

“Tetapi itu subjek Lisans. Mudah. Sekarang ini kamu sedang buat Masters. Subjek apa esok?” Fatih masih tidak berpuas hati.

“Esok Research Methodology. Soalan open book ada di dalam beg saya. Ada sedikit kiraan untuk SPSS yang saya perlu buat. Peperiksaan jam 3 petang esok, Insha-Allah mudah sahaja. Kalau susah pun, Allah akan mudahkan” saya berkata.

“Wallahi, aku sayangkan kamu kerana Allah” kata Fatih.

Saya tahu Fatih masih belum berpuas hati. Namun tidak mengapa. Apa yang berlaku di Singapura, saya tidak pasti. Sebagai mukmin, saya mesti menunaikan hak berbaik sangka, biar sebanyak 70 kali sekali pun, terhadap saudara mukmin saya yang lain.

“Adalah tu!” hati saya memujuk diri sendiri.

Di LCCT, Fatih tidak membenarkan saya membayar tiket. Beliau membayar tiket pergi dan balik. Alhamdulillah masih ada tempat.

Kami sama-sama memusahabah diri dengan mengingati kembali sabda Nabi sallallahu alayhi wa sallam:

من كان يؤمنُ باللهِ واليومِ الآخرِ فليقلْ خيرًا أو ليصمتْ . ومن كان يؤمنُ باللهِ واليومِ الآخرِ فليكرمْ جارَه . ومن كان يؤمنُ باللهِ واليومِ الآخرِ فليكرمْ ضيفَه

“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka berkatalah yang baik-baik atau diam sahaja. Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka muliakanlah jirannya. Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka muliakanlah tetamunya” [Hadith riwayat Muslim]

Selepas sejam perjalanan di dalam pesawat, kami mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Canghi, Singapura.

“Susah betul nak sebut. Dari Ban-gi ke Chan-gi” kata Hamzah sambil memicit hidungnya.

Kami ketawa.

Saya tidak mahu pening-pening kepala. Berbekalkan pengalaman beberapa kali datang ke Singapura, saya membawa mereka menaiki bas pelancong hop on hop off untuk mengoptimumkan perjalanan di Singapura.

Kami semua teruja. Tetapi Fatih masih bermasam muka.

“Kenapa Fatih?” saya tanya.

“Budak kecil ini memang suka macam ini!” kata Hamzah.

Salih, abang ipar Fatih ketawa. Bayram menepuk-nepuk bahu Fatih.

“Aku tidak suka dengan Singapura. Segalanya seperti ilusi. Terlalu materialistik! Manusia pun sudah macam robot. Kehidupan apa yang ada di sini?” Fatih merungut.

Mengenali Fatih dengan jiwa desanya (mahu sebut kampung, nanti negatif pula konotasinya), saya boleh mengagak apa yang Fatih maksudkan.

“Kuala Lumpur juga ada bangunan pencakar langit. Tetapi aku rasa di sana lebih tenang” jelas Fatih.

“Saya rasa Kuala Lumpur tidak banyak berbeza dengan Singapura. Manusianya lebih kurang sama sahaja. Bezanya ialah, di Kuala Lumpur ada Bandar Seri Putra. Dan di Bandar Seri Putra ada saya. Kalau sempat, kita singgah ke Geylang, kawasan orang Islam, orang Melayu seperti saya. Mungkin persepsi kamu boleh diperbaiki” saya memberi cadangan.

“Bagus sebenarnya tengok kemajuan sebegini. Kalau kamu jadi Datuk Bandar Bolvadin nanti, kamu akan tahu apa bentuk kemajuan yang kamu tidak mahu untuk Bolvadin” Hamzah bermain psikologi.

Selepas puas berjalan, kami menaiki MRT menuju ke kawasan Geylang. Saya membawa mereka semua ke Masjid Sultan dan cuba menerangkan sebanyak mungkin sejarah yang boleh dikaitkan. Saya ceritakan kepada mereka tentang Dahagi Singapura 1915, di zaman Sultan Muhammad V di Istanbul. Sentimen anti British telah mengundang kebangkitan umat Islam di Singapura, di bawah kepimpinan Kassim Mansoor dan seorang ulama bernama Nur Alam Shah. Pada masa yang sama, British juga sedang pening dengan kebangkitan pengikut Tok Janggut di Kelantan, serentak dengan Dahagi Singapura ini.

Biar pun di zaman itu tiada internet, maklumat tentang perkembangan yang berlaku di Istanbul, masih dalam pengetahuan umat Islam di Kepulauan Melayu. Biar pun di Istanbul, ada pelbagai persepsi tentang Sultan Muhammad V yang banyak memberi ruang kepada Atatürk untuk berperanan, terutamanya dalam mendepani Britain yang cuba menguasai Istanbul, umat Islam di Kepulauan Melayu tetap memandang Sultan Muhammad V dan Dawlah Uthmaniyyah sebagai tanggungjawab agama bagi mereka untuk bangkit menentang Britain yang makar itu.masjidsultan

Alhamdulillah, kedamaian di Masjid Sultan memberikan rasa lapang kepada Fatih. Stress yang beliau alami nampak banyak kendurnya. Apatah lagi sebentar tadi kami bertemu dengan seorang Profesor Turki dari Universiti Firat di Elazığ yang datang ke Malaysia untuk seminar di Universiti Malaya. Beliau turun ke Singapura dengan keretapi bersama isterinya untuk bersiar-siar dan nampaknya beliau agak biasa dengan keadaan di sini.

Saya mengajak mereka semua makan di sebuah restoran Turki berhampiran Masjid Sultan.

“Oleh kerana saya tidak suka dengan Singapura, saya tidak akan belanjakan satu sen pun di sini. Saya akan makan di Kuala Lumpur esok!” tegas Fatih.

Antara pening dan mahu ketawa, saya menggaru-garu kepala dengan kerenah Fatih. Saya rasa, Fatih marahkan keadaan yang telah mengheret saya ke Singapura. Perubahan mood berlaku apabila hal ini saya maklumkan pagi tadi. Setelah dipujuk-pujuk, dan pemilik restoran itu juga meyakinkan Fatih bahawa semua masakan adalah asli seperti di Turki, Fatih bersetuju untuk masuk ke restoran.

“Ada guna minyak kelapa sawit tak?” tanya Fatih.

“Oh tidak. Kami guna minyak bunga matahari” jelas pemilik restoran.

Kami ketawa.

Macam melayan budak kecil pula jadinya.

Alhamdulillah kami menjamu selera dengan baik. Lega saya melihat sahabat-sahabat Turki makan dengan penuh selera kerana selama di Malaysia, mereka menghadapi kesulitan untuk menjamah makanan yang ada. Fatih juga bersetuju menghabiskan separuh kebab saya.

Usai menjamu selera, kami segera bergerak menuju ke Lapangan Terbang Canghi.

“Sebentar, saya mahu melihat Pulau Sentosa!” kata Hamzah.

Saya menepuk dahi.

“Rasanya waktu sebegini, pulau berkenaan sudah tutup” saya mengagak.

“Tak apa, kita tengok kereta kabel dan pulau itu dari seberang pun tidak mengapa!’ jelas Hamzah.

Saya ketawa.

Tanpa berlengah kami pun segera menaiki MRT menuju ke stesyen yang dimaksudkan. Seperti yang dijangka, menara kereta kabel hanya penuh dengan penumpang yang pulang dari Pulau Sentosa. Perkhidmatan untuk ke sana sudah tamat.

“Tak apa. Tak apa. Kami akan datang semula. Kami akan naik kereta kabel ini. Dan kami akan pusing seluruh Pulau Sentosa. Insha-Allah!!!” Hamzah menekadkan azamnya.

MASUK MOOD PEPERIKSAAN

Dalam keadaan penat, muka berminyak-minyak, badan berpeluh seperti mandi, kami bergerak perlahan-lahan ke Lapangan Terbang. Di sana, Salih Enişte telah membelikan saya kopi beserta sandwich. Beliau menyuruh saya berehat di kedai kopi di Lapangan Terbang itu, mengulang kaji pelajaran dan menjawab soalan-soalan open book exam bagi kiraan SPSS yang perlu dihantar jam 10 pagi esok.

Beliau bersama tiga sahabat yang lain melepak di kedai kopi lain kerana tidak mahu mengganggu saya.

Rasa begitu terharu.

Syukur juga ada beberapa orang rakan membantu mengajar saya SPSS melalui Facebook. Semoga Allah memberikan ganjaran terbaik buat mereka.

Buat sahabat Singapura yang tiba-tiba subuh tadi menguzurkan dirinya, saya berlapang dada dan mendoakan yang terbaik untuknya. Keputusan untuk ke Singapura ini, saya mohon kepada Allah agar ia diterima sebagai amal soleh demi menunaikan hak ukhuwwah seorang sahabat.

Saya terlelap seketika semasa mengulangkaji pelajaran.

Tepat jam 4 pagi, mereka datang dan menggerak saya untuk urusan check-in di kaunter. Segalanya berjalan lancar dan pesawat kami terbang tepat pada masanya. Kami solat subuh di LCCT dan kemudian terus memandu pulang ke rumah. Sempat jugalah saya tidur sejam di rumah, sebelum ke UKM untuk menghantar kertas jawapan.

Sementara menanti solat Jumaat, saya mengulangkaji subjek Kaedah Penyelidikan menggunakan nota-nota yang ada. Alhamdulillah di sebelah petangnya, saya dapat menjawab soalan-soalan yang diberi dengan baik. Sesungguhnya Allah Maha Baik kepada hamba-hamba-Nya.

KEMBALI KE ISTANBUL

2013-05-18 13.39.41

Rezeki mereka.

Tengah hari Ahad, jiran saya mengadakan kenduri kahwin anaknya. Kenduri kahwin itu diadakan di perkarangan rumah, walaupun menjadi trend semasa majlis sebegini diadakan di hotel dan dewan-dewan yang mewah. Peluang hadir ke kenduri ini menjadi kenangan yang sangat menarik untuk Fatih, Hamzah, Bayram dan Salih Enişte.

Malam itu, kami menghantar Salih Enişte ke KL Sentral untuk ke KLIA. Beliau akan menaiki pesawat Turkish Airline terus ke Istanbul. Manakala Fatih, Hamzah dan Bayram akan menaiki pesawat Emirates ke Dubai esok paginya.

Syukur Alhamdulillah, walaupun persinggahan Fatih dan sahabat-sahabat yang lain ke Malaysia hanya selama enam hari, saya berpuas hati dengan program yang sempat diatur.

“Hasrizal, tahun ini adalah tahun qadha’. Kita qadha’ balik 10 tahun tidak berjumpa, dengan kita bertemu selang beberapa bulan. Dan bulan hadapan semasa engkau dan isteri pergi menunaikan ibadah umrah, mohon doakan kesejahteraan Turki dalam kegentingan politik semasa” kata Fatih.

Kami berpelukan.

Entah mengapa, saya tidak sedih. Saya yakin kami akan terus bertemu, bertemu dan bertemu lagi.

Namun mengambil iktibar daripada pemergian Murat, kami bersalaman dengan rangkap pantun yang saya pesankan:

Di akhir pertemuan, jangan ucapkan selamat tinggal
Tetapi ucaplah hingga bertemu lagi
Andai tidak di bumi Tuhan
Mudah-mudahan di Syurga-Nya nanti.

Salam persaudaraan, sahabat-sahabatku!

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

 

Check Also

Mu’arrikhun: Membumikan Sejarah di Gelanggang Ummah

“Saya tidak seronok memikirkan peraturan di Malaysia, pensyarah perlu bersara wajib pada usia 65 tahun” …

6 comments

  1. Semasa belajar di US dulu, saya ada ramai kawan Turki. memang budaya menghormati tetamu sangat tinggi dan terasa begitu hangatnya layanan mereka. kebersihan persekitaran rumah mereka sangat dititikberatkan. Saya pernah berkunjung ke Turki, semua sahabat Turki di US berebut-rebut nak bantu saya semasa di Turki. Bila fikir balik, macam tak mampu nak melayan mereka jika mereka berkunjung di Malaysia. Allahu rabbi

  2. Indahnya ukhuwwah. Perkongsian ustaz kali ini membuatkan saya ketawa, cemas & sedih. Semoga persahabatan ustaz dan sahabat-sahabat sampai ke Syurga. Amin..

  3. Betapa ukhuwwah yang tersimpul kemas ialah juga antara tiket yang banyak ke Syurga Allah. Apabila enta mencoretkan perjalanan sahabat-sahabat di atas segera ana bersyukur, setidak-tidaknya dapat juga menghulur bantuan walaupun sedikit cuma ketika mereka tiba di KLIA tempoh hari. Moga diberikan Allah peluang lagi berjumpa dengan mereka semua Insya Allah. Tak disangka macam-macam hal pula jadinya ketika ziarah mereka ke Malaysia tempoh hari.

  4. Allah….ustaz ana xmain2…terus terang..ana bersyukur persahabatan sbegini masih wujud…rindu sngt…perasaan ana sendiri waktu bca “sejarah“ ini terhibur dan rasa dihargai…alhamdulillah ana serius ust…tahniah !…mudah2han cemburu ana ini kerna Allah

  5. MOHD MUZZAMMIL BIN ISMAIL

    Destinasi selain daripada umrah di tanah suci kota Mekah & Madinah adalah Turki. Insyallah sebelum balik ke Malaysia azam nak pergi untuk lihat sendiri bumi Khalifah Otthomaniah ini.

  6. ya Allah.. sebak rasanya membaca kisah ukhwah kalian kerana Allah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share