Penghargaan dan Doaku Buat Sheikh Solah al-Khalidi

Sheikh Solah ‘Abd al-Fattah al-Khalidi, tokoh al-Quran kelahiran Palestin 1947

Bagi sahabat yang sering mengikuti kuliah pengajian saya, khususnya Siri Ibrah Daripada al-Quran, penyampaian saya sangat banyak mengambil manfaat daripada huraian-huraian yang disampaikan oleh Sheikh Solah Abd al-Fattah al-Khalidi, hafizahullah.

Saya, bukanlah anak murid yang Sheikh Solah kenali. Malah untuk menganggap diri ini sebagai anak murid pun tidak layak.

Sepanjang saya menuntut ilmu di Jordan, saya hanya berpeluang hadir bertalaqqi ke majlis-majlis pengajian beliau sebanyak beberapa kali. Tidak cukup untuk dinamakan sebagai talaqqi.

Saya hanya menadah daripada Sheikh melalui kuliah Subuh harian beliau di Masjid Abd al-Rahman bin Auf, Sweileh, Amman ketika mana saya berada di Amman pada hujung minggu. Saya belajar di Mu’tah, kira-kira 200km ke selatan Amman.

Juga siri Khutbah Jumaat beliau di masjid yang sama, berselang seli dengan mashaikh yang lain.

JASA DR MAZA

Mungkin sahabat yang paling berjasa memperkenalkan saya kepada Sheikh Solah adalah Ustaz Mohd Asri Zainul Abidin. Pertemuan pertama saya dengan Sheikh Solah juga adalah bersama Ustaz Asri. Antara yang beliau pesankan kepada saya dan rakan-rakan usai pengajiannya dan pulang ke tanah air, ialah agar kami terus mengaji dengan Sheikh Solah dan menjaga hubungan dengannya.

Walau bagaimanapun, ketika itu kami tidak dapat banyak menghadiri kuliah Sheikh Solah kerana Jordan sedang bergolak dengan bantahan besar-besaran rakyatnya terhadap Perjanjian Damai Jordan – Zionis di Palestin. Sheikh Solah tidak begitu menggalakkan kami ‘rapat’ dengannya demi keselamatan kami sendiri.

Selain khutbah-khutbah dan tazkirah beliau yang banyak menyentuh perkembangan semasa di seberang (Palestin),  Sheikh Solah Abd al-Fattah al-Khalidi juga mencelikkan hati dan pemikiran kami dengan pelbagai persoalan hidup melalui suluhan al-Quran, yang seperti saya tidak pernah tahu atau nampak. Sheikh Solah menekuni elemen-elemen halus (latha’if) al-Quran hingga menyebabkan kami bukan sahaja berasa kenyang memahami al-Quran dengan al-Quran dan al-Sunnah, malah tiada langsung rasa berhajat untuk menjenguk Israiliyyat atau apa-apa riwayat yang tidak berasal usul, walau sepopular mana pun ia.

Misalnya, Dzulqarnain sendiri, sudah sangat cukup untuk dikenali melalui Surah al-Kahf dan beberapa hadith sahih berkaitan, tanpa perlu berkusut masai dalam rimba perbahasan yang jauh daripada apa yang al-Quran kehendaki kita mengetahuinya tentang Dzulqarnain!

MEMUDAHKAN PENYAMPAIAN

Sesungguhnya saya amat terkesan dengan metodologi Sheikh Solah dalam memahami ayat-ayat al-Quran. Selain komitmen tegas dan jernih beliau untuk hanya berpegang kepada hadith yang sahih dalam menafsir al-Quran, kepakaran Sheikh Solah adalah pada memudahkan teks yang rumit kepada huraian yang difahami oleh semua lapisan masyarakat, terutamanya mereka yang tidak mendalam penguasaan bahasa arabnya.

Sheikh Solah tidak menggunakan perkataan yang bersastera, mungkin sedikit berbeza daripada karya-karya Sheikh Muhammad al-Ghazali rahimahullah yang memerlukan kepada upaya bahasa yang lebih tinggi untuk memahami kitabnya.

Antara proses memudahkan penyampaian yang paling besar disumbangkan oleh Sheikh Solah adalah saringan riwayat-riwayat sahih berkenaan Sirah al-Khulafa’ al-Rashidin di dalam kitab al-Bidayah wa al-Nihayah oleh Ibn Kathir. Ia diolah semula dalam bahasa yang mudah di dalam bukunya al-Khulafa’ al-Rashidun Bayna al-Istikhlaaf wa al-Istisyhaad (Al-Khulafa’ al-Rashidun Daripada Perlantikan Sebagai Khalifah Sehingga Syahid).

Tidak dilupakan ringkasan Tafsir al-Tabari yang beliau usahakan, yang mana hanya riwayat sahih terpilih sahaja dipetik dan terhimpun di dalam 6 jilid berbanding Tafsir Tabari yang hampir sedepa besarnya!

SHEIKH SOLAH DAN SAYYID QUTB

Sheikh Solah tidak pernah bertemu dengan Sayyid Qutb.

Beliau mula mengenali Sayyid Qutb melalui buku karya asy-Syahid, Mashahid al-Qiyaamah fi al-Quran semasa Sheikh Solah di bangku sekolah. Seperti saya mengenali Sayyid Qutb melalui bukunya Petunjuk Sepanjang Jalan, semasa di Tingkatan 1. Di situlah Sheikh Solah mula menekuni pemikiran Sayyid Qutb, namun ketentuan Allah, Sheikh Solah menyambung pengajian di Universiti al-Azhar Mesir pada tahun 1965 sejurus selepas Sayyid Qutb mati syahid di tali gantung pada tahun yang sama, di Bumi Kinanah itu.

Sesungguhnya Sheikh Solah banyak membantu saya memahami intipati pemikiran Sayyid Qutb, terutamanya di dalam tafsir beliau, Fee Dhilal al-Quran.

Bermanhaj Salaf, berpegang teguh dengan al-Quran, al-Sunnah yang sahih dan tafsiran Salaf, namun sangat menguasai pemikiran Sayyid Qutb hingga Muhammad Qutb sendiri lebih selesa mencadangkan sesiapa yang ingin mengetahui apa-apa tentang abangnya, bertemu dengan Sheikh Solah di Amman!

Saya sering membaca Tafsir fee Dhilal al-Quran dan karya-karya Sayyid Qutb kesan galakan langsung dan tidak langsung yang diterima daripada Sheikh Solah. Kemudiannya, melalui pengajian Sains Sosial di UIAM, saya menambah sisi penghargaan saya kepada pemikiran Sayyid Qutb dan Tafsir Fee Dhilal al-Quran, bahawa ia merupakan respond Islam kepada gagasan idea Barat. Hanya dengan memahami falsafah Barat dan pemikiran-pemikirannya, Tafsir Fee Dhilal al-Quran dan fikrah Sayyid Qutb dapat dilihat kekuatannya, yang menjadikannya unik, berbeza daripada karya semasa yang lain.

DUNIA INTERNET

Ucapan alu-aluan Sheikh Solah untuk pelancaran halaman web beliau

Teringat saya soalan yang ditanya oleh seorang pengunjung blog Saifulislam.Com kira-kira lima tahun yang lalu.Apabila saya menceritakan sedikit tentang Sheikh Solah, beliau bertanya, “Sheikh Solah tak ada blog ke, ustaz?”

Saya ketawa.

Ketika itu saya berasa lucu, mengapakah generasi muda boleh terfikir bahawa semua orang macam dia ada blog, ada Facebook! Tidak sampai seminggu selepas itu, saya diajukan oleh seorang rakan dengan halaman web yang menghimpun artikel Sheikh Solah! Dan kini Sheikh Solah sudah mempunyai halaman web sendiri, Facebook, Ustream dan Youtube!

Aduhai.

Syukur sungguh.

Terubat rindu saya.

Bertambah peluang untuk saya terus belajar.

Walaupun amat ketara nampak pertambahan usia Sheikh Solah, suara dan semangatnya tidak berubah walaupun sedikit.

HALAMAN WEB: http://www.salah-alkhaldi.com/ [terkini (2014) sudah tidak berfungsi]

FACEBOOK: https://www.facebook.com/alkhaledi.salah [terkini (2014) sudah tidak berfungsi]

YOUTUBE: http://www.youtube.com/user/alkhaledisalah

USTREAM: http://www.ustream.tv/channel/salah-alkhalidi

Terima kasih adik-adik di Jordan yang mengambil manfaat daripada Sheikh Solah, dan mungkin juga terbabit membantu meluaskan penyebaran ilmu Sheikh.

Kitab Sheikh Solah milik saya yang sudah lunyai. Saya berusaha dengan izin Allah menukar isi kandungan ilmu Sheikh Solah kepada modul-modul pengurusan hidup untuk medan pembangunan sumber manusia

Semoga Allah memelihara Sheikh Solah Abd al-Fattah al-Khalidi dan guru-guru kita yang gigih memandaikan umat dengan al-Quran dan Sunnah Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam, ameen.

(Sheikh Solah berumahtangga pada usia 26 tahun, demikian juga diriku)

HASRIZAL @ www.saifulislam.com
43000 BSP
Siaran asal: 11 Disember 2012

 

Maklum Balas

Maklum Balas

9 comments

  1. Khadijah Nasir

    terima kasih atas perkongsian Ustaz…

    sy pernah google “Sheikh Solah” selepas balik dari seminar ustaz… tp, yg sy jumpa hanyalah Sheikh Solah Bukhatir rasanye… lepas tu dah lupa terus nk mencari lagi..

    tp hari ni sy dh siap “LIKE” page Sheikh Solah… 🙂

  2. teruja nak kenal Syeikh Solah disebabkan selalu dengar us sebut nama ‘Syeikh Solah al-Khalidi’ dlm seminar. Syukron ustaz.

  3. maso ambo ngaji di Falahiah dulu, ado ambo jupo buku di pustaka Falahiah, Kisah-Kisah Sejarah dari Al-Quran, lbh kurang tajuk dia. Edisi terjemahan bahasa melayu (lupa bahasa melayu malaysia atau melayu singapura), ada 3 buku.

    Itulah mulo2 ambo dijumpokan dgn buku terjemahan as-Syeikh.

    Buku asalnya Ma’a Qissosi Saabiqiina fil-Quran.

    Seronok baca buku tu, jelas & menjernihkan kisah2 dlm Al-Quran dari Israiliyyat…

  4. PERMOHONAN INFAQ UNTUK PUSAT PENGAJIAN DR SALAH AL-KHALIDI

    Assalamualaikum wrt. Wbt.
    Difahamkan bahawa Dr Salah al-Khalidi terpaksa menyerahkan kembali markaz pengajian beliau (di bawah kediaman beliau) kerana kurang berkemampuan untuk membayar sewa tahunan berjumlah JD1000. Minggu ini (4 Mac 2014) difahamkan markaz tersebut akan diserahkan kembali kepada tuan rumah.

    Sehubungan dengan itu, satu usaha mengumpulkan sumbangan (dibawah seliaan Ust. Anwar dan Ust. Farid) dilancarkan bagi menaja markaz tersebut yang turut dimanfaatkan oleh pelajar Malaysia di Jordan. Semoga Dr Salah al-Khalidi dapat terus berkongsi ilmu untuk manfaat ummat sejagat.
    Sumbangan boleh dilakukan secara tunai di Jordan kepada Sdr Wan Abdul Baith Izzuddin atau dimasukkan ke dalam akaun berikut :

    -Jordan Islamic Bank (Wan Abdul Baith) :
    1482062 (Cawangan Sweileh)
    @
    -Maybank (Anwar Ridwan) : 564221050199

    (sila sertakan email bagi tujuan laporan, perkembangan dan maklumat penyerahan sumbangan)

    Sumbangan dilancarkan bermula 3 Mac 2014 (Selasa) dan ditutup pada 9 Mac 2014 (Ahad). Laporan kutipan akan dimaklumkan melalui fb dan email pada 10 Mac 2014 (Isnin). Penyerahan akan dilakukan sebaik sahaja akaun ditutup.

    Sebarang pertanyaan :
    Wan Abdul Baith Izzuddin
    Tel / Whatsapp : +962779933809
    Email : abdbaith47@gmail.com

  5. Ya laha minal ibrah !

  6. mahmudah adnan

    assalamualaikum..ustaz, apakah nama kitab ringkasan attabari hasil tulisan sheikh solah..??jazakillah..

  7. Salam, Sheikh Solah al Khalidi ada hubungan ke dengan Sheikh Mahmud al Khalidi, pensyarah fiqh di Yarmouk University Jordan.

    Sekian, Tq.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *