Berdusta Untuk Nabi: Neo Qussas Zaman Ini

storyKredit foto: www.cruxcatalyst.com

Sabda Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam:

من كذب علي متعمدا فليتبوأ مقعده من النار
“Barangsiapa yang dengan sengaja berdusta ke atas aku, maka tersedialah baginya tempat duduk dari api neraka”

Hadith di atas diriwayatkan oleh lebih 70 sahabat secara langsung dari Nabi Muhammad sallallahu ‘alayhi wa sallam dan ia merupakan contoh paling tepat berkenaan dengan Hadith Mutawatir, iaitu hadith yang diriwayatkan oleh sekumpulan perawi dengan jumlah yang tidak masuk akal mereka itu boleh berpakat untuk menipu atau melakukan kesalahan terhadap periwayatan tersebut.

Memang menggerunkan, untuk kita berfikir tentang adanya perbuatan seseorang yang mendustakan Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam. Berdusta ke atas baginda, merupakan suatu keingkaran yang memanifestasikan kekufuran dan kedegilan manusia untuk tunduk kepada hidayah dan penyerunya.

PENDUSTAAN MUSYRIKIN

Mungkin di dalam senarai bayangan kita, golongan musyrikin Mekah menjadi pelopor golongan ini. Mereka menolak seruan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam, bahkan melemparkan pula kepada Baginda sallallahu ‘alayhi wa sallam tuduhan-tuduhan jahat seperti ahli sihir dan orang gila. Atau mungkin yang terpampang di kefahaman kita, bahawa yang mendustakan Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam itu adalah mereka yang mengeluarkan kata-kata yang keji untuk mendatangkan kemudaratan kepada Islam dan pengikutnya. Mereka inilah yang dengan sengaja berdusta ke atas Baginda sallallahu ‘alayhi wa sallam dan mereka inilah yang berhak ditimpakan amaran yang tegas oleh Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam di dalam Hadith yang disebut sebentar tadi.

Ya, memang tidak dinafikan bahawa perbuatan golongan musyrikin dan kuffar serta ahli zindiq dan nifaq itu adalah pendustaan ke atas Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam. Mereka menolak dakwah Baginda, mereka mengenepikan semua seruan yang disampaikan oleh Baginda, sedangkan semua seruan itu hanyalah untuk kebaikan mereka dan manusia sejagat. Justeru, tidaklah sukar untuk kita membuat justifikasi terhadap kedudukan mereka sebagai pendusta, yang berdusta lagi tercela.

Namun, di sana terdapat segolongan manusia yang di sepanjang rentetan sejarah keilmuan Islam, berdusta ke atas Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam dengan cara yang halus, bahkan disangkakan sebagai jalan taqarrub kepada Allah.

Berdusta ke atas Baginda, atas nama agama!

BERDUSTA DEMI POLITIK

Sejarah telah memperlihatkan kepada kita bagaimana semenjak umat dicengkam oleh fitnah kehuru-haraan pengikut Abdullah bin Saba’, seorang Yahudi dari Yaman yang mencucuk jarum permusuhan secara halus di zaman Uthman bin Affan RA, timbul pelbagai golongan dan kumpulan yang saling bermusuhan. Syiah yang ‘memaksa’ Saidina Ali RA menerima sokongan mereka, bertembung dengan golongan Khawarij.

Bermula sebagai perpecahan yang didorong oleh pendirian siasah, merebak dan melarat sehingga membawa kepada kacau bilau aqidah dan kepercayaan. Pengikut bagi kumpulan masing-masing tanpa segan silu mereka-reka riwayat palsu dan kemudian menisbahkannya kepada Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam. Riwayat-riwayat tersebut diguna pakai sebagai dalil untuk mensabitkan kelebihan pemimpin masing-masing.

Bagi penentang Muawiyah, mereka mempopularkan ‘hadith’, “Apabila kamu melihat Muawiyah di atas mimbarku, maka bunuhlah dia” dan bagi mereka yang menyokongnya, membalas pula dengan ‘hadith’, “Pemegang amanah adalah kami bertiga; aku (Rasulullah), Jibril dan Muawiyah”. Begitu juga dengan riwayat palsu “Tidak ada pokok di dalam syurga melainkan daun-daunnya tertulis Laa Ilaaha Illallaah, Muhammad Rasulullah, Abu Bakr as-Siddiq, Umar al-Farouq wa Uthman Dzu an-Nurain”.

Ini adalah salah satu punca utama yang membawa kepada timbul dan tersebarnya hadith maudhu’ (palsu).

BERDUSTA UNTUK MOTIVASI

Akan tetapi yang menjadi suatu kemalangan bagi kita, adalah apabila golongan ‘pendakwah’ atau ahli Targheeb dan Tarheeb di zaman tersebut, melakukan pembohongan yang sama, semata-mata untuk menarik perhatian orang ramai agar terkesan dengan ucapan mereka. Golongan ini mencipta riwayat-riwayat palsu tentang sifat syurga dan neraka, supaya mereka yang mendengarnya akan dapat merasai keindahan syurga atau menangis takut apabila mendengar tentang neraka. Pada mereka, jika orang ramai menjadi suka kepada kebaikan dan membenci kejahatan, maka pendustaan dalam bentuk penciptaan hadith palsu itu boleh dijustifikasikan sebagai suatu usaha yang baik.

Lihat sahaja, misalnya Abu Ismah Nuh bin Abi Maryam atau yang lebih dikenali sebagai Nuh al-Jami’. Beliau sendiri membuat pengakuan bahawa beliau mencipta hadith palsu bahawa kononnya riwayat itu dari Ibnu Abbas, menjelaskan tentang fadhilat surah-surah di dalam al-Quran, satu surah demi satu surah yang lain. Dengan suatu tujuan yang zahirnya kelihatan baik, iaitu untuk menggalakan orang ramai melakukan kebaikan dan membenci kejahatan, orang-orang seperti Nuh al-Jami’ ini mereka-reka riwayat palsu dan menisbahkannya kepada Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam. Ketika Nuh al-Jami’ ditanya tentang sebab beliau mengada-adakan riwayat palsu berkenaan, beliau menjawab, “aku lihat orang ramai telah meninggalkan al-Quran, dan sebaliknya mereka sibuk mempelajari Fiqh Abu Hanifah serta Maghazi Ibn Ishaq. Kerana itulah aku mencipta hadith tentang kelebihan surah-surah di dalam al-Quran untuk mengembalikan manusia kepada al-Quran!” [Al-Maudhu’aat oleh Ibn al-Jawzi 1:240]

Alangkah fasihnya lidah Nuh bin Abi Maryam membuat pembelaan terhadap ‘jenayah murni’nya itu. Hal yang sama juga dilakukan oleh Umar bin Subh bin Imran al-Taymi yang mencipta khutbah nabawi yang palsu serta Maysarah bin Abd Rabbih al-Farisi yang mencipta lebih 70 riwayat tentang kelebihan Saidina Ali RA.

Sesungguhnya para ahli Hadith telah membuat suatu jihad yang amat besar di dalam usaha mereka mempertahankan kemurnian disiplin ilmu Hadith. Mereka telah memerangi habis-habisan golongan pereka hadith palsu ini dan menyebar luaskan riwayat yang sahih sebagai bekalan pembimbing masyarakat.

NEO QUSSAS DI ZAMAN INI

Namun sikap manusia tidak berubah.

Hari ini, walaupun Nuh bin Abi Maryam sudah tiada, masih ramai golongan yang mewarisi perbuatan berdusta ke atas Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam. Sikap tidak cermat dan teliti di dalam hal ehwal berkaitan keilmuan Islam, menjadikan masyarakat kita gagal merasa gah dan besarnya nilai sebuah hadith. Apabila Hadith Nabawi tidak dipandang tinggi, maka dengan sendirinya ia menjadi rendah sehinggakan ramai di kalangan kita yang tidak segan silu membakulkan hadith Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam dengan kalam-kalam yang tidak diketahui asal-usulnya di dalam bungkusan yang sama.

Telinga kita cukup mesra dengan kata-kata petah di kaca televisyen, di kuliah-kuliah masjid serta program motivasi, bahawa jika kita beramal dengan amalan ini, maka Allah akan mengurniakan padanya 10 darjat. Jika diamalkan amalan yang itu, nescaya malaikat akan melindunginya.

Bahkan kita juga tidak terkejut mendengar ada di kalangan penceramah yang mendakwa ulat yang lekat di tubuh Nabi Ayyub Alayhi as-Salaam itu jatuh ke bumi, yang jatuh ke darat menjadi lebah penghasil madu, manakala yang jatuh ke laut menjadi gamat. Maka penceramah itu tadi mula mempromosikan produknya. Bukankah bahasa-bahasa seperti itu sudah sebati dengan telinga kita. Seawal 6:30 pagi, kita sudah disajikan dengan kuliah yang sepatutnya meningkatkan motivasi diri, tetapi mampukah kita pengikut Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam menjadi bersemangat bersiap untuk keluar bekerja ketika awal paginya tercemar oleh perbuatan mendustakan Nabi SAW seperti itu?

Amat sering kita temui, pendakwah-pendakwah masa kita menyebut bahawa Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam bersabda, sedangkan mereka langsung tidak mempunyai sebarang sandaran keyakinan bahawa benarkah Baginda sallallahu ‘alayhi wa sallam pernah bersabda begitu. Mereka dengan mudah mendakwa memakai pakaian ini adalah sunnah, makan seperti ini adalah sunnah, sedangkan mereka sendiri tidak tahu apakah makna sunnah dan apakah benar Nabisallallahu ‘alayhi wa sallam itu sendiri benar-benar pernah berpakaian demikian atau makan seperti itu. Tidak lain dan tidak bukan, semuanya adalah kerana sikap negatif pendakwah seperti ini terhadap nas.

Mereka juga lupa bahawa soal dosa dan pahala adalah hak Allah SWT. Mana mungkin kita mensabitkan pahala seperti itu. Siapakah yang memiliki ‘pahala’ itu untuk diberikan kepada manusia? Maka dengan mudah sahaja, para pendakwah menjustifikasikan kata-kata “membasuh talam makan, adalah sama seperti membasuh Masjid Nabawi” sebagai hadith yang boleh menggalakan kebersihan dan gotong royong membersihkan talam!

Kesimpulannya, pendustaan-pendustaan ke atas Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam pada hari ini berlaku secara berikut:

  • Menolak ajaran Islam sama ada secara total, atau dengan cubamengenengahkan Islam ‘baru’ yang bertujuan merobohkan aspek-aspek terasnya.
  • Menolak sunnah secara total. Misalnya golongan anti Hadith (mereka mahu dikenali sebagai Quranist) atau mungkin juga golongan yang tidak mengisytiharkan pada lisan tentang penolakannya terhadap Hadith, namun perbuatannya amat mengkesampingkan Hadith dari kehidupan.
  • Meniru kelakuan ahli Qasas (tukang cerita) yang amat gemar mencipta ‘hadith’ palsu demi meraih rasa kagum pendengar dari kalangan khawas (orang awam) kepada ucapan-ucapannya. Hari ini, para penceramah, pakar motivasi dan pembimbing masyarakat amat mudah terjebak kepada kelakuan buruk ini. Mereka menisbahkan cerita-cerita pelik yang berjaya mereka temui, kepada Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam tetapi kemudiannya tanpa disedari mereka sedang melukis imej Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam kepada suatu figure khayalan, luar biasa dan lagenda, sehingga hilang sifat murni perkhabaran tentang Baginda sallallahu ‘alayhi wa sallam sebagai uswah. Islam juga diadun menjadi seperti sebuah pentas teater aksi khayalan.
  • Mendakwa dengan sewenang-wenangnya bahawa pakaian begini adalah sunnah, cara duduk begitu adalah sunnah, zikir cara begini adalah sunnah, sedangkan semuanya didakwa tanpa sandaran asal usul dan dalil.

Jadikanlah semua ini sebagai peringatan khususnya kepada pendakwah, ustaz-ustaz di kuliah dan penceramah-penceramah motivasi. Sememangnya kumpulan ini perlu membuat reformasi besar-besaran terhadap persembahan dakwah mereka untuk meningkatkan kesan positif. Namun, ia tidak sepatutnya dilakukan dengan mencampur adukkan galakan-galakan yang berasaskan kepada hadith palsu, mereka-reka pahala, dan ancaman atau targheeb yang tidak berasas lagi dusta.

Didiklah masyarakat agar menghargai ilmu yang berdisiplin. Dekatkan mereka kepada nas dan timbulkan rasa megah dapat beramal dengan apa yang terbukti datang dari Nabi sallallahu alayhi wa sallam.

Sesungguhnya syariat Islam sudah terbina kukuh di atas bekalannya yang sahih. Para ulama sudah begitu banyak berjuang di medan amanah ilmu, untuk mempertahankan kemurnian dan ketulenan rujukan ajaran Islam. Membina kesedaran masyarakat melalui hadith palsu, adalah seumpama membina kekayaan di atas hutang. Terasa diri kaya tetapi sebenarnya semakin dalam terbenam ke dalam bencana.

Mudah-mudahan janganlah lidah kita yang fasih ini berhujah, ‘aku bukan berdusta ke atas Nabi, tetapi aku berdusta UNTUK nabi!’

Hakikatnya, semua menempah kerusi VIP di Jahannam.

Very ignoramus person!

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP
Tarikh asal artikel: 19 Safar 1426H / 30 Mac 2005M

 

Check Also

Mazhab (Sosiologi) Pendidikan: Punca Kita Sukar Sependapat

Pendahuluan Mengapa perbincangan tentang pendidikan sering kali menimbulkan perbezaan pendapat? Sudah tentu, ini bermula daripada …

5 comments

  1. Pisangpatah di kaki rijal

    Allahumma shoyyiban naafi”aaa…..masa membaca mesej ini* Allahumma nas- alukalhudaa wassadaad !

  2. Ya ustaz orang awam memang mudah keliru. Tak tau mana satu yg betul akibat kejahilan kami. Contohnya ada buku 40 hadith palsu yg popular, kemudian ada pihak mengatakan buku itu salah. Rujuk sini http://jomfaham.blogspot.com/2012/03/buku-40-hadith-popular-palsu-yang-palsu.html.

    Itu belum lagi agamawan2 saling bidas-membidas buku dan berbalas hujah mempertahankan pendapat masing2. Harap agamawan2 dpt menjernihkan kekeliruan kami. Maafkan jika terlanjur kata, terima kasih.

  3. Terbaik dari ladang keilmuan seorang pemikir dan ilmuan….syabas!

  4. Assalamua’laikum WBT ustaz,

    ini adalah luahan hati orang awam yang ingin menuntut ilmu yang benar. kami terkeliru dengan ilmu yang manakah kami patut ikuti? kami kini melihat banyak tuduh menuduh antara satu sama lain (ayat ini adalah umum tidak di tujukan kepada sesiapa). medan facebook menjadi rancak dengan kritikan antara satu sama lain. kami menghormati golongan ilmuan atas ilmu yang mereka miliki, dan kami berharap teguran di buat secara lebih berhemah (saya ulangi, ayat ini tidak spesifik kepada sesiapa kerana jumlah mereka adalah ramai). kami amat berharap keadaan ini tidak membantutkan hasrat kami, orang awam, untuk menuntut ilmu. kami amat berharap ini tidak mematahkan semangat kami untuk mencari ilmu yang benar. kami amat berharap ustaz. :'(

    saya mohon maaf atas sekiranya terdapat ayat saya yang mengguriskan ustaz membacanya. ramai kawan saya dan saya terkeliru pada masa kini. kami adalah orang mulai ingin mendekati agama dan ingin berubah ke arah yang lebih baik. sekadar berkongsi, saya kadang-kadang mengalirkan air mata melihat keadaan ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.