Apabila Gerakan Islam Tidak Lagi Bergerak-gerak

tamrinuna

Salah satu kaedah yang digunakan untuk memahamkan prospek tentang mengapa mereka perlu bersama dengan gerakan Islam dan mendukung perjuangannya adalah dengan menggunakan sejarah. Kali pertama saya bertemu dengan modus operandi ini adalah semasa berada di United Kingdom. Semasa mendengar seorang pelajar kejuruteraan mengupas tentang sirah al-Khulafa’ al-Rashidin di dalam sebuah tamrin, saya tergamam.

“Ini Syiah!” secara spontan saya berkata.

Dan beliau akhirnya meninggalkan gerakan Islam untuk benar-benar menjadi Syiah, sehingga ke hari ini.

Pada masa itu saya tekad membantu memperbaiki hal berkenaan. Bermula daripada tahun 1998, penggunaan sejarah untuk membina fikrah ‘perlu bersama gerakan Islam’ dikemas kini dari segi fakta, pengolahan, sedaya yang saya mampu, sebagai ‘ustaz yatim piatu’ di tengah-tengah kota London. Bahan rujukan amat terbatas. Banyak berbekalkan apa yang sempat dipelajari, ditelaah semasa di Jordan. Dengan serba sedikit wang saku berbaki, saya beli beberapa buku rujukan dari kedai buku Arab sekitar London, dan meluangkan sedikit masa di perpustakaan Central Mosque London yang tunggang langgang ketika itu.

Jilid satu di sini, jilid dua di rak seberang sana.

Pengalaman di dalam kaderisasi, saya tahu yang kebanyakan prospek ‘malas’ hendak mendengar tentang kupasan sejarah Islam yang panjang lebar itu. Apa yang akhirnya mereka mahu tahu ialah “apa pandangan ustaz tentang berbilang jemaah” dan “nak pilih jemaah yang mana”. Tidak keterlaluan kalau saya katakan, sebahagian prospek tidak sedar apa sebenarnya yang sedang saya dan rakan-rakan cuba usahakan ke atas minda mereka.

Apa yang ingin saya tekankan melalui pengolahan semula sejarah Islam ketika itu ialah, gerakan Islam bukan sebuah agenda spontan dan adhoc yang terbit daripada sebuah keputusan mesyuarat. Ia adalah kesinambungan proses yang panjang, sepanjang sejarah manusia itu sendiri. Sejarah yang dijahit dengan benang Tauhid, bahawa dengan kalimah La Ilaha Illallah, Bani Israel dan Arab, serta kaum-kaum lain adalah ummah yang satu. Tauhid menghimpunkan kita, Tauhid juga menjadi sebab mengapa anak dan bapa boleh hilang pertalian.

Ada beza antara sejarah Islam dengan sejarah Muslim.

Maka pembentangan bermula dengan satu bentuk penerangan yang bermotifkan anjakan paradigma. Mahu menerbitkan rasa kritis terhadap keislaman diri. Bahawa sudah lama kita hidup mengambil manfaat daripada Islam. Maka sudikah mempertimbangkan soal kita hidup untuk memberi manfaat kepada Islam?

Hidup untuk Islam.

Berdakwah bukan sebab terpaksa. Bukan sebab semua housemates pergi usrah dan kita keseorangan makan mi segera setiap Jumaat malam Sabtu. Tetapi berdakwah kerana kita disedarkan tentang nikmatnya semasa diri disentuh hidayah Allah. Bukankah fitrah manusia yang sayang menyayangi mahu berkongsi sesuatu yang manis dan enak dengan mereka yang disayanginya?

Dakwahnya pula dakwah apa?

ISLAH DAN TAJDID

Dakwahnya adalah dakwah Islah.

Selepas perjalanan masa, manusia terpesong dari agama. Allah utuskan Nuh alayhi al-Salam ajak manusia kembali beragama dengan agama Allah. Tajdid berlaku. Kemudian manusia terpesong semula, diutuskan lagi seorang Rasul. Dan demikianlah kitarannya, dengan kisah yang pelbagai, pengalaman yang berbeza, mukjizat yang berlainan, tetapi asasnya sama iaitu mengabdikan diri kepada Allah dan menjauhkan diri daripada saingan Allah, al-Quran menamakannya sebagai Taghut.

Dan kemuncaknya adalah perutusan Muhammad sallallahu ‘alayhi wa sallam.

Apabila baginda wafat, islah dan tajdid perlu terus berlangsung. Perlukan anjakan paradigma, bagaimana survival ummah pasca Nubuwwah? Tiada lagi jawapan dari Langit.

Maka kisah pada Rasul yang berakhir dengan kewafatan baginda Muhammad sallallahu ‘alayhi wa sallam disambung pula dengan survival ummah di era al-Khulafa’ al-Rashidun, kemudian Bani Umayyah, kemudian Abbasiyyah dan seterusnya Uthmaniyyah. Kerajaan paralel seperti Islam di Andalus, Islam di Afrika, Islam di Alam Melayu dan kerajaan-kerajaan kecil sekitar Mediterranean dan Tanah Arab tidaklah disentuh. Satunya kerana ia bukan kursus intensif sejarah Islam. Keduanya kerana terbatas pengetahuan.

Perjalanan itu menempuh satu lagi era yang memerlukan anjakan paradigma. Ummah tanpa Daulah. Tanpa Khilafah. Kemunculan gerakan Islam, lahirnya Ikhwan di Mesir, demikian juga gerakan-gerakan Islam yang lain. Akhirnya selepas tidak kurang 8 jam pembentangan, sampailah kepada analisis gerakan Islam semasa.  Kaedah mudahnya, senaraikan ciri-ciri gerakan Islam, tandakan âˆš pada karakter yang wujud pada batang tubuh sebuah jemaah, dan tandakan X pada yang tiada. Kumpulan mana yang bertanda âˆš pada semua kotak, gerakan itulah yang secara logik dan ’empirikal’ sepatutnya dipilih.

Ia adalah satu bentuk tamrin yang berat, memerlukan tenaga yang banyak, memerlukan pemikiran yang kritis, agar ia dinamik dan membantu mencapai objektif.

MATA RANTAI

Natijah akhirnya mudah sahaja: kita adalah satu mata rantai daripada mata-mata rantai perjuangan Islam semenjak awal hingga menuju Kiamat. Kita adalah penyambung, atau pemutus mata rantai itu?

Jika bersetuju untuk bersama mendukung perjuangan Islam, Alhamdulillah.

Jika tidak bersetuju, cara orang dulu, dia dianggap berdosa kerana enggan menyertai jemaah yang hukumnya wajib. Akibatnya, tamrin gerakan Islam, memberanakkan ramai musuh gerakan Islam. Sebab rumusan sejarah yang panjang dilakukan secara polarised hitam dan putih. Jika kamu tidak bersama kami, bererti kamu menentang kami!

Maka, golongan muda fikir, sudah-sudahlah mencipta musuh. Ia tidak cerdik. Jenguklah ke masyarakat. Berapa ramai yang bersama gerakan Islam dan berapa ramai yang tidak bersama gerakan Islam? Apakah yang tidak bersama gerakan Islam itu jahat, ahli maksiat, dan Allah tolak kebaikan mereka? Maka, perbaikilah rumusan, lunakkan kesimpulan. Jika bersama, Alhamdulillah. Jika tidak bersama, jangan lupa agar hidup untuk Islam, dengan cara yang kamu setuju.

Perubahan itu berlangsung berdekad lamanya.

TAQLID DAN TASSUB

Terkejut saya apabila saya dapati, selepas 10 tahun, ‘lawak’ saya di dalam ceramah yang dirakam pun dihafal, walaupun ia sudah tidak lawak! Masakan tidak, jika saya mengusik dengan ungkapan, “kalau pergi Kuala Kubu, tulis nama atas batu!” atau “kamu ini macam Profesor Serba tahu!”, maka generasi kelahiran 1970’an mungkinlah faham. Tetapi yang lahir selepas Sudirman meninggal dunia, dan tidak lagi membaca majalah Gila-gila, memang terpinga-pingalah prospek gen Y atau Z ini dibuatnya.

Sedinamik mana sekali pun sebuah modul, apabila ia dihafal dan tiada disertakan pemikiran kritis serta proses kemas kini, ia akan mundur, mandul, beku dan menatijahkan impak terbalik.

Semakin ahli dan aktivis gerakan Islam malas berfikir, tidak membaca, dan memutar-mutar kaedah berhujah yang sudah berusia lanjut, hingga kita yang mendengar tidak dapat mengagak sama ada ceramah dan pengisian itu bertarikh 1992 atau 2015, semakin malaplah gerakan Islam untuk mendukung islah dan tajdid. Apa yang diulang adalah intima’, wala’ dan konsep-konsep indoktrinasi yang diberi solekan agama, asasnya ialah ikut, jangan banyak tanya.

Taqlid dan Taassub bukan hanya penyakit dalam mazhab Fiqh atau mazhab Aqidah. Kedua-duanya hal ehwal otak dan hati manusia. Jika menyertai gerakan Islam dengan Taqlid dan Taassub, sejarah yang digunakan untuk menjadikan alam berpihak kepada kita, sejarah yang sama sedang mentalakkan kita dari survival ummah.

Lambaikan perpisahan kepada gerakan Islam yang tidak bergerak-gerak, ia bukan lagi sebuah gerakan. Ia ‘biawak hidup’ yang membeban dan merumitkan ummah melangkah ke hadapan. Bernostalgia dengan kenangan silam, tidak sedikit pun membela ummah, agenda utama mengapa lahirnya ‘gerakan Islam’.

HASRIZAL
Saifulislam.Com.

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

7 comments

  1. Saya faham dan bersetuju dengan tulisan Ustaz pada 94% . Baki 6% itu saya hold dahulu kerana belum memahami maksud tulisan Ustaz pada perenggan terakhir.

    Ustaz, atau ikhwah yang faham, apa maksud Ustaz pada rangkai kata “Lambaikan perpisahan” itu?

    • Apa yang saya faham maksudnya ucapkan selamat tinggal.

    • 6% tu GST

    • I understood it as to say goodbye to those dormant type of ‘gerakan islam’… correct me if I am wrong

    • Melalui serangkap ayat tersebut, “Lambaian perpisahan” itu telah dikhususkan ntuk gerakan islam jenis yg telah diperjelaskan pada perkataan “tak bergerak-gerak”. Iaitu gerakan islam yang tidak bergerak-gerak. Yg selesa ditakuk lama. Yg xmau bergerak kehadapan dan terkehadapan.

      Bukanlah ‘statement’ yg menolak kesemua jenis gerakan islam yg wujud dan pernah wujud.

      Wallahualam.

  2. Abrar Bin Sabawi

    Salam ustaz,apakah buku yang boleh disarankan dalam memahami gerakan dakwah islam dalam prospek sejarah?

  3. Assalamu’alaikum,

    Banyak pandangan saudara didalalm artikel artikel lepas yang bertepatan dengan pandangan saya. Namun saya rasa saudara terlalu jauh berfalsafah sehingga terlupa menjejakkan kaki ke bumi nyata. Mudah mudahan kita tidak lupa siapa kita sehinggakan tergamak meluahkan “Lambaikan perpisahan kepada gerakan Islam yang tidak bergerak-gerak, ia bukan lagi sebuah gerakan”. Namun jika itulah yang saudara mahukan maka “Selamat tinggal saudara …. mudah mudahan saudara akan menjumpai jalan pulang”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.