UPSR: Kegembiraan Setiap Murid Bukan Sekadar Soal Perasaan

Seawal Januari, saya sudah mempunyai perasaan yang kuat bahawa saya akan ke Finland. Saya baru sahaja pulang dari Helsinki untuk menghantar borang permohonan. Saya hantar ‘by hand’ dengan datang sendiri dari Malaysia, demi memastikan permohonan saya lengkap, diproses, dipanggil temuduga dan seterusnya mendapat tempat untuk pengajian di sana.

Kerana itu, kami meminta daripada pihak sekolah agar anak kami dikecualikan daripada UPSR. Kami tidak ada perancangan untuk menggunakan UPSR itu bagi kemasukan ke SBP, MRSM dan yang seumpama dengannya. Malah insya-Allah kami sekeluarga akan berangkat ke Finland.

Namun sebab utama mengapa kami tidak mahu anak kami mengambil UPSR ialah kerana kami tidak mahu UPSR menghancurkan keyakinan anak kami terhadap keupayaannya, dan keistimewaan yang ada padanya. Kami tahu, semenjak beberapa tahun pembelajaran di sekolah rendah, anak kami yang seorang ini mempunyai keistimewaan yang kami faham, kami hargai, tetapi sukar untuk mendapat nilai dalam pendidikan arus perdana.

Malangnya, pihak sekolah tidak mengizinkan pengecualian tersebut. Maka anak kami pun menyertai pengalaman biasa murid Tahun 6. Hari Isnin hingga Jumaat bersekolah pagi hingga petang, ada harinya ada kelas tambahan tertentu. Kerja sekolah banyak. Rabu malam, kami usahakan tutor datang ke rumah untuk tuisyen matematik tambahan. Sabtu ada kelas tambahan lagi. Nak balik kampung pun, banyak kena dahulukan kelas tambahan beliau, yang tidak mengenal erti cuti dan ‘masa bersama keluarga’.

Pesan saya kepada anak, buatlah peperiksaan itu sebagai satu pengalaman. Keputusan apa pun keluar, kami tidak pernah dan tidak pedulikannya, jauh sekali untuk menilai beliau dengan keputusan itu. Jika cemerlang, kami gembira jika anak kami gembira. Jika tidak cemerlang, kami tidak berubah sedikit pun pandangan terhadap beliau. Tetapi kami akan bersedih jika beliau bersedih.

Mungkin ada yang berpendapat, “bukan kerja sekolah nak jaga hati semua orang. Siapa kerja keras dan cemerlang, itu bahagian dia. Siapa yang tidak cemerlang dan sedih, jadikan ia pengalaman. Pepatah Melayu ada sebut, baik jadi teladan, buruk jadi sempadan!”

Tetapi bagi saya, kegembiraan kanak-kanak adalah satu faktor besar dalam proses pembelajaran. Padanya ada ‘affective domain‘ yang berkait rapat dengan motivasi pelajar, keyakinan diri, dan hal-hal dalaman yang dibuktikan oleh pelbagai kajian akademik, sebagai teras upaya pembelajaran murid-murid. Jika murid gembira, mereka akan lebih belajar. Jika mereka tertekan dan dukacita, kesannya adalah negatif.

Maka soal kegembiraan anak-anak bukan sekadar soal ‘jaga hati’.

Saya tidak mahu anak saya yang sihat walafiat menjadi ‘oku’ disebabkan oleh sistem yang tidak peduli kepada faktor kesihatan jiwa, mental, motivasi dan self efficacy si anak.

Mei, saya sudah mendapat surat tawaran untuk menyambung pelajaran ke Finland. Perancangan kami, saya akan pergi dahulu pada bulan Ogos, manakala keluarga menyusul pada bulan Oktober. Jika boleh, saya mahu membawa seluruh keluarga bersama pada bulan Ogos berkenaan. Salah satu sebabnya adalah saya mahu ‘melarikan’ anak kami daripada UPSR. Namun, ada banyak urusan yang belum diselesaikan. Saya harus pergi dahulu. Keluarga menyusul kemudian.

Dari Finland, saya berikan pesanan-pesanan biasa, bahawa UPSR itu dudukilah ia sebagai satu pengalaman. Sesekali apabila adrenaline diperah keluar, rasa berdebar-debar, seronok juga!

Biar pun kami suami isteri tidak menekan anak kami untuk mencapai gred tertentu, tekanan rakan sebaya dan persekitaran lebih kuat. Ia menjadikan anak kami menetapkan sendiri sasaran beliau di dalam UPSR. Bagi saya, itu lebih baik kerana self-set goals yang ditetapkan oleh pelajar boleh dipilih untuk mencapai tahap sasaran yang lebih munasabah, dan ia membolehkan pelajar itu membentuk persekitaran pembelajaran yang lebih tersusun dan fokus (Strickland, O. J., & Galimba, M. (2001). Managing time: The effects of personal goal setting on resource allocation strategy and task performance. The Journal of Psychology, 135(4), 357-367.).

TIBA DI FINLAND

Oktober, keluarga tiba di Finland.

Apabila keputusan UPSR diumumkan di Malaysia, guru di sekolah bermurah hati membantu kami mendapatkan keputusan peperiksaan berkenaan untuk anak kami. Pada hari itu, ucapan tahniah bertalu-talu di media sosial mengucapkan syabas dan tahniah kepada murid-murid yang cemerlang, termasuk di kalangan ahli keluarga terdekat kami. Anak kami berdebar-debar mahu mengetahui keputusan beliau.

Walaupun kami sudah memperolehinya daripada guru, alasan ‘duduk jauh’ kami gunakan untuk melengahkan sedikit proses memberitahu. Kami tidak mahu memaklumkannya di rumah kerana kami tidak boleh mengawal reaksi adik beradik yang lain, kalau-kalau reaksi mereka menyusahkan keadaan. Kami sudah terlebih dahulu menyampaikan ucapan terima kasih kepada guru berkenaan dan semua guru yang pernah membantu mendidik anak-anak kami di sekolah. Kami seikhlas hati amat menghargainya.

Petang itu, saya dan isteri membawa anak kami ke kafe di city centre.

November adalah masa yang gelap, sejuk, muram, dan penuh dengan belenggu kemurungan. Emosi sesiapa sahaja memang mudah terganggu dek keadaan musim sejuk ekstrim di Kutub Utara ini.

Anak-anak yang lain ditinggalkan di rumah.

Di kafe, kami berbual tentang sistem pendidikan di Malaysia dan di Finland. Kami ulang kembali pendirian kami tentang organik atau tidak organiknya UPSR dalam menilai kebolehan pelajar serta realiti jangka panjang kehidupan, bahawa UPSR tidak berkadar langsung dengan kejayaan hidup di masa hadapan. Apa yang berguna adalah pengalaman beliau mendisiplinkan diri, membuat goal setting sendiri, dan realistik dalam menyusun proses pembelajaran.

Anak kami mengangguk dan berkongsi beberapa maklum balas yang menunjukkan bahawa beliau faham dengan mesej yang kami cuba sampaikan.

Apabila slip keputusan UPSR daripada gurunya kami tunjukkan di WhatsApp, anak kami tunduk dan menitiskan air mata. Ada tangisan hadir, menyambut ‘hasil’ penat lelahnya selama ini.

Beliau inginkan keputusan yang lebih baik.

Tetapi itulah rezekinya.

Kami memeluknya tanda menyokong. Dan beliau menghargai sokongan kami.

Kini…  semua itu sudah jauh ditinggalkan di belakang.

Walaupun ia hanya setahun yang lalu, tetapi setahun bersekolah di Finland sudah menyaksikan bagaimana anak kami bangkit dan cemerlang. Bukan sahaja gred beliau kini sudah di tahap yang memuaskan, tetapi yang paling penting ialah beliau gembira ke sekolah. Beliau menikmati kepuasan belajar. Anak kami sendiri tidak menyangka tentang kemampuannya. Bagi subjek-subjek yang selama ini beliau lemah, peningkatan sudah berlaku secara signifikan dan positif. Pada masa yang sama, subjek-subjek yang selama ini menjadi minat beliau, berkembang pesat dan menjadi penyokong untuk subjek-subjek yang sukar tadi turut meningkat maju.

Saya masih ingat, di awal persekolahan, guru kelas memberitahu saya bahawa walaupun anak kami ini masih agak lemah dalam matematiknya, kekuatan beliau di dalam seni akan guru berkenaan gunakan dengan lebih banyak pada menerangkan konsep-konsep matematik. Guru menyediakan poster di dalam bahasa Melayu untuk istilah-istilah matematik bersama poster di dalam beberapa bahasa ibunda lain, untuk diletak di kelas pada membantu pelajar mempercepatkan integrasi.

Alhamdulillah, kesannya nampak memuaskan.

Sudah setahun lebih saya berada di Finland. Saya sudah banyak belajar tentang realiti sekolah di Finland. Memang banyak bagusnya, tetapi ia bukanlah ‘tanah suci pendidikan’ untuk para guru datang menunaikan pilgrimage mereka. Banyak kekurangan dan kecacatan yang masih perlu diperbaiki. Tetapi apa yang saya pasti, murid-murid di sini seronok bersekolah. Kalau pun tidak sampai ‘suka dengan sekolah’, mereka tidak bangun pagi untuk menikmati satu lagi hari yang menyeksakan. Setakat ini Alhamdulillah, walaupun anak-anak kami berjalan kaki ke sekolah 2km pergi dan 2km pulang, menempuh gelap, salji dan suhu jauh di bawah paras beku, mereka komited ke sekolah. Setiap hari apabila pulang ke rumah, sentiasa ada perkara menarik yang boleh diceritakan.

Kekuatan pendidikan Finland bukanlah pada teknologi canggih, atau pedagogi ajaib, mahu pun bangunan sekolah yang futuristik. Tetapi, sekolah di Finland adalah sekolah. Tempat berlangsungnya hanya satu perkara iaitu PEMBELAJARAN.

KEGEMBIRAAN MURID

Kata Dr. David Rock:

“Engagement is a state of being willing to do difficult things, to take risks, to think deeply about issues and develop new solutions. …Interest, happiness, joy, and desire are approach emotions. This state is one of increased dopamine levels, important for interest and learning.”

Terjemahan: “Kebersamaan dan penyertaan adalah satu keadaan yang mana seseorang itu sanggup untuk melakukan perkara yang susah, mengambil risiko, berfikir secara mendalam tentang isu-isu dan membangunkan penyelesaian baharu… Minat, kegembiraan, keseronokan dan keinginan mempengaruhi emosi. Kondisi sebegini adalah keadaan yang mana tahap dopamine meningkat, dan ia penting untuk mengekalkan minat dan pembelajaran” [Rock, D. (2008). SCARF: A brain-based model for collaborating with and influencing others. NeuroLeadership Journal, 1(1), 44-52.]

Pelajar yang gembira dan positif adalah pelajar yang lebih elok pembelajarannya.

Menggembirakan pelajar adalah sumbangan besar sistem untuk memanusiakan kembali pendidikan.

Di peringkat ini, kami masih berhati-hati. Kami tidak mendakwa masalah sudah selesai. Pembelajaran adalah proses. Kami syukuri apa yang baik, dan kami ambil apa yang kurang sebagai ruang penambah baikan.

Mesej untuk pembaca ambil daripada coretan saya ini, “kegembiraan dan kebahagiaan pelajar bukan sekadar soal perasaan. Ia adalah rukun pembelajaran!”

Hasrizal Abdul Jamil
www.saifulislam.com
Oulu, Finland

Check Also

Menghina si Anak Muda Kerana Mudanya Mereka

Semasa kita mahu guna anak muda, kita puji mereka sebagai ‘masa hadapan kita’. Kita buka …

One comment

  1. Maaf, secara jujur, saya sebenarnya lelah dengan ibu bapa yang asyik merungut tentang pendidikan. I am a staunch believer of bahawasanya ibu bapa adalah sekolah pertama dan paling utama untuk anak-anak.

    Anak-anak saya semua bersekolah di sekolah kerajaan. Namun alhamdulillah, saya “kebalkan” diri dari jatuh ke dalam penyakit ibu bapa- ibu bapa yang “obsess” dengan keputusan peperiksaan.
    Lalu, anak- anak dilatih ” just enjoy yourself” waktu belajar, hormat guru dan paling utama, belajarlah kerana Allah.
    Mainlah, tetapi bukan main- main. Kalau main- main yang membaja sikap tak kisah, Allah tak suka.

    Anak-anak, saya tidak hantar ke tuition.
    Di rumah mereka diberi buku- buku bacaan BM dan BI yang menarik dan harapnya berkualiti di pasaran.
    Perpustakaan awam adalah tempat yang biasa untuk anak- anak.

    Apapun, yang paling saya jaga dan kawal, adalah masa depan skrin – tv mahupun ipad ataupun yang sewaktu dengannya.
    Saya sangat tegas dalam hal ini. Sedar bahawa media inilah perosak anak anak yang sebenar iaitu banyak menanamkan kehidupan angan angan – baik untuk kanak kanak mahupun dewasa, seboleh mungkin, masa depan skrin mereka sangat minimum.

    Anak-anak dilebihkan aktiviti luar rumah untuk sesi beriadah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share