BETUL Dan Masalah-masalahnya

BETUL, adalah hasil yang baik selepas proses membuat keputusan diselesaikan. Ia menatijahkan manfaat, dan mencegah mudarat.

Memilih yang betul adalah rutin seharian hingga adakalanya kita tidak sedar pun dengannya. Seawal bangun pagi mahu gosok gigi atau tidak, hinggalah kepada keputusan yang besar-besar.

Ia ada kaitan dengan kebolehan manusia itu sendiri dalam memilih.

Free will.

Keupayaan yang boleh membawa kepada pilihan yang salah dan betul.

Berjaya menjadi betul bagi seorang manusia bukan kerana keakuran kaku seperti robot yang diprogramkan, atau malaikat sebagai makhluk yang sentiasa taat.

Tetapi berjaya betul ialah apabila berhasil menolak pilihan yang salah, memilih pilihan yang betul.

Betul itu sasaran kita.

Kita mahu betul.

Agar dengan betul, kita dapat kebaikan, terhindar daripada keburukan.

Oleh kerana manusia boleh bergerak-gerak antara betul dan salah, kita kena berhati-hati selalu. Bukan sahaja dengan hawa nafsu yang mungkin mengajak kepada yang salah, malah syaitan juga mengganggu kita di simpang betul dan salah.

Walaupun betul itu bagus, betul itu juga ada bahayanya.

Bahaya betul ialah apabila betul tidak sekadar ekspresi teknikal, tetapi juga moral.

Apabila betul, bagus.

Apabila salah, tidak bagus.

Apabila betul, mulia.

Apabila salah, hina.

Rujukan betul, tidak semestinya sang perujuk juga betul. Saya pernah ulas hal ini di dalam artikel Saya Sahih Sebab Rujukan Saya Sahih suatu ketika dahulu (baca di sini: https://saifulislam.com/2014/05/saya-sahih-sebab-rujukan-saya-sahih/).

Apabila Maximilien Robespierre (1758 – 1794) dan golongan Jacobin menganggap mereka mulia kerana memilih pendirian yang betul dalam berpolitik, betul yang teknikal bergerak menjadi betul yang emosional.

Oleh kerana kami betul, dan mewakili betul, menyalahi kami bukan lagi kesalahan teknikal, tetapi kesalahan moral. Ia jadi besar. Tidak boleh dibiarkan.

Justeru masyarakat perlu diintip dan dipantau. Jika menyalahi kami, bererti tidak betul. Salah. Mesti dihukum.

Republic of Virtue, bertukar menjadi Reign of Terror.

Betul jadi bahaya apabila ia bukan lagi ekspresi teknikal tetapi moral.

Ia jadi tambah bahaya apabila ia bukan lagi individu, tetapi kolektif.

Individu betul bergabung menjadi kelompok betul.

Apabila kelompok betul bertembung dengan kelompok salah, sepatutnya betul membetulkan salah. Tetapi ia tidak semudah itu.

Terutamanya apabila yang salah juga betul.

Pada pandangan mereka.

Seperti dua manusia yang berbalah adakah ini 6 atau 9.

Hal ini bukan hanya membabitkan hal pendirian dalam beragama, atau soal politik.

Apa sahaja boleh menjadi subjek betul berbalah dengan salah. Terutamanya di dalam iklim binari.

Di musim pandemik ini pun, patuh SOP tak patuh SOP, vaksin atau tak vaksin, sekolah buka atau tutup, darurat atau tidak darurat, sukar duduk tenteram di daerah teknikal, sebaliknya laju mencanak naik ke puncak moral.

Holier-than-thou.

Menjadi betul sepatutnya menjadikan kita hamba yang dekat dengan Tuhan. Bukan hamba bertukar menjadi tuhan.

Mungkin pra rawatannya adalah akal.

Rawatan pertamanya pula adalah di hati.

Rawatan keduanya adalah di lisan.

Dan tangan.

Hasrizal
Naas, Ireland

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

One comment

  1. Terima kasih kerana berkongsi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.