Vivarium (2020): Akuarium Realiti Hidup Hari Ini

“That’s nature. That’s just the way things are” kata Gemma.

Jawapan ‘malas’ seorang guru tadika apabila anak muridnya tidak berpuas hati dengan realiti kehidupan yang disaksikan di bawah pohon tersebut.

Ia pembukaan kepada sebuah filem yang mendera mental penonton.

Ada hikmah Twillight Zone dahulu kala hanya setengah jam. Tetapi kali ini Lorcan Finnegan menguji stamina kita untuk keliru, bingung, semput, menakul sebuah filem sci-fi minimalist bertajuk VIVARIUM.

Jika anda murung akibat PKP, MCO atau lockdown, saya cadangkan anda menonton filem ini. Biar ‘sempurna’ kemurungan itu.

Filem ini dibintangi oleh Jesse Eisenberg sebagai Tom dan Imogen Poots sebagai Gemma. Ia mengisahkan tentang Tom, seorang landscaper Amerika dan kekasihnya Gemma, seorang guru tadika Inggeris, dengan pendapatan golongan pertengahan seperti mereka, ingin sama macam kebanyakan orang lain, memiliki rumah sendiri dan memulakan keluarga.

Sebuah ‘social contract’ yang dikejar semua. Menjadi cita-cita ‘default‘ kita.

Mentaliti sedemikian rupa dipilih sebagai definisi ‘settling down’, iaitu impian generasi muda apabila meninggalkan alam belajar dan terjun ke dunia pekerjaan.

Berfikir tentang hal berkenaan telah membawa Tom dan Gemma singgah di sebuah syarikat perumahan dan bertemu jurujualnya, Martin. Beberapa model rumah dipamerkan, semuanya serupa. Martin pula berkelakuan seperti robot, tanpa diminta, fasih menceritakan keistimewaan kejiranan pinggir bandar yang ‘just nice’ bernama Yonder.

Menyedari kepelikan Martin dan kejiranan Yonder yang dipromosi, Tom cuba berbohong mengatakan bahawa mereka tiada kereta untuk mengikut Martin melawat Yonder semasa diajak. Tetapi Gemma segera membetulkan cerita mengatakan mereka ada kereta. Tiada sebab untuk tidak melihat. Sekadar melihat.

Lantas petang itu tanpa dirancang, pergilah Tom dan Gemma ke Yonder. Sebuah kereta berplet Kilkenny mengekori sebuah kereta berplet Mayo, menelusi jalan County Wicklow menuju ke sebuah kawasan perumahan yang tidak terlalu jauh, tidaklah dekat sangat, just nice. Sebuah perjalanan sekadar hendak melihat, membawa mereka terperangkap di dalam sebuah ‘akuarium’ atau vivarium tanpa jalan keluar.

Kejiranan yang ‘standardised’, tidak kenal jiran tetangga, makan makanan proses, tidak perlu bercucuk tanam, menternak, memburu atau membeli belah. Semuanya tersedia di tangga rumah.

Gaya hidup yang kita semakin biasa, apatah lagi di musim pandemik ini.

Indah?

Parah?

Ia sebuah filem yang menyeksa jiwa.

Memilik rumah sendiri, berkeluarga, punya anak, daripada sebuah bayangan impian, ia kemudiannya bertukar menjadi kitaran yang mendesak sebuah pertanyaan apabila naluri untuk semua itu hilang, “macam mana aku boleh berada di sini?”

Provokasi menggelisahkan yang Vivarium lontarkan itu mencabar keinginan semberono kita yang mahu membina hidup ‘conformist’ sama macam orang lain, hingga hilang nilai sebenar kemanusiaan. Kehidupan suburb yang sering digambarkan sebagai standard yang just nice.

Anak bukan lagi ‘him’ tetapi ‘it’ seperti kata Tom, tidak lagi membesar menjadi manusia yang manusiawi tetap ‘creepy little mutant’ seperti kata Tom.

Masakan tidak?

Anak yang dijaga semenjak kecil, menjerkah ibu bapa… dan sebagai penonton Muslim, saya teringat kepada hadith Jibril, melengkapkan ‘petanda kiamat’ anak lahir menjadi tuan kepada ibu sendiri. Namun anak itu tetap perlu diberi makan sebab itu anak dan kita ibubapanya.

Rasa kesal yang timbul tiada solusi kerana semua kelakuan anak pula adalah meniru kelakuan ibu bapa, lantas seteruk mana pun, ia tetap hasil tangan kita sendiri. Apa jua yang anak lakukan, tetap akhirnya salah ibu bapa.

Sanggupkah?

Si anak tiba-tiba hilang dan pulang membawa sebuah buku. Sekolahkah buku itu? Atau Youtube, memes, Tiktok, atau apa? Yang mengindoktrinasi anak-anak menjadi sesuatu, dan bukannya seseorang. Skrin pula mengulang-ulang siaran yang hipnotik.

1 jam 30 minit, anda bakal didera untuk berfikir mengenai semua ini.

Alasan malas yang diberi di awal filem ialah, “that’s nature. That’s just the way things are.”

Inikah juga alasan untuk kita semua mati sekeluarga daripada hidup yang punya makna? Sebab itulah realiti zaman ini.

Apa sudahnya? Selamatkah Tom dan Gemma?

Azabkah ‘parenting burnout’ yang diperlekeh sebagai masalah yang diada-adakan? Apa rasanya di pembaringan maut, kata anak “tugas ibu ialah membesarkan anak dan…. bye-bye?”

Jemput menonton filem yang amat mendera emosi dan mental conformist seperti kebanyakan kita ini.

Filem ini adalah kerjasama Ireland, Belgium dan Denmark yang kami terjumpa secara tidak sengaja, menontonnya di iTunes. Filem penuh dengan mesej subliminal yang memerlukan anda berfikir mengenai apa yang tersirat di sebalik yang tersurat.

Ia metafora kejam.

Sekejam Tom yang mendedikasikan hidupnya menggali kubur sendiri?

Kita mungkin watak non fiksyen di sebalik sci-fi ini.

Hasrizal
Naas, Ireland

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share