belfastschool.jpg
Rombongan dari sebuah sekolah Katholik di Belfast ke masjid kami

“Imam, can I suggest you something?”, Bilal memanggil saya.

“Yes, please. Like always!”, tersenyum.

“The word etiquette should be pronounced as et-i-kit, Bilal membetulkan sebutan saya.

“Et-i-kit… hmm ok. How did I pronounce it just now?”, saya pun tidak pasti bagaimana kesilapan saya sebentar tadi.

Bilal ketawa. Beliau menyuruh saya melupakan sahaja kesilapan tersebut. Apa yang penting, sebutannya telah dibetulkan.

Beberapa bulan pertama saya bertugas sebagai Imam di Belfast Islamic Centre, masalah Bahasa Inggeris adalah di antara cabaran terbesar saya. Masakan tidak, kalau setakat mengimamkan Solat, tidaklah menjadi masalah. Tetapi saya dipertanggungjawabkan dengan pendidikan kanak-kanak dan dewasa. Dalam erti kata yang lain, mendidik orang dewasa memerlukan saya untuk mengajar kitab di dalam Bahasa Inggeris, berkhutbah, berdialog, dan serba-serbinya di dalam Bahasa Inggeris.

Membuat keputusan untuk mengajar kitab Riyadh al-Salihin dengan berpandukan kepada syarahnya Nuzhatul Muttaqin, adalah suatu keluarbiasaan kepada diri saya. Setiap hari, saya mesti membuat persiapan terlebih dahulu dan tidak boleh berkuliah spontan kerana terma-terma khusus yang memerlukan kepada rujukan.

TAJWID INGGERIS

Masih terkenang, beberapa tahun sebelum itu, saya bekerja membasuh pinggan di kantin Malaysia Hall di Braynston Square London. Kak Hamidah meminta saya mengajar anaknya mengaji, di samping cuba menjinakkan anaknya yang completely British minded!

Mengajar tajwid di dalam Bahasa Inggeris? Aduh… bagaimana saya mahu terjemahkan nun mati? Dead nun? Pelik benar bunyinya. Tetapi itulah detik-detik awal saya terjun ke dunia yang menuntut saya menguasai Bahasa Inggeris seadanya.


Dead nun?

Keluarga saya bukan English oriented. Tetapi saya tahu abah dan emak mengambil berat soal ini. Sebab itu abah dan emak mengeluarkan saya dari Sekolah Kebangsaan tempat emak mengajar, untuk dipindahkan ke Sekolah Rendah Kebangsaan. Alasannya supaya saya tidak tercicir Bahasa Inggeris. Alhamdulillah, sistem pengajaran di SRK Raja Di Hilir Ekram sememangnya menitik beratkan pelajarnya menguasai Bahasa Inggeris. Mungkin kerana sejarah sekolah itu sendiri, yang baru sahaja beberapa tahun ditukar statusnya kepada Sekolah Rendah Kebangsaan, selepas sejak sekian lama bergelar Sekolah Inggeris.

Selepas sekolah rendah, saya beralih pengajian ke Sekolah Menengah Agama. Di sini, bahasa Inggeris tidaklah begitu diutamakan tetapi saya cuba mempertahankan bahasa Inggeris melalui pembacaan. Jika ditanya bagaimana saya belajar bahasa, saya pun tidak pasti. Tetapi pembacaan adalah salah satu caranya. Ketika membaca buku, saya tidak hanya menumpukan fikiran kepada isi, malah cuba membuka diri untuk dipengaruhi oleh bahasanya.

Alhamdulillah, sehingga SPM, bahasa Inggeris tidak hilang. Tetapi saya semakin tersedar bahawa di kalangan adik beradik, sayalah yang paling lemah Bahasa Inggeris. Geram saya melihat abang-abang saya ketawa berdekah-dekah menonton sitcom British sedangkan telinga saya semacam mendengar pelakon-pelakon itu bercakap seperti mulut mereka penuh dengan sagun!

BAHASA INGGERIS DI BUMI SYAM

Di Jordan bertambah berat cabarannya. Daripada 46 mata pelajaran yang diambil, hanya 3 sahaja di dalam Bahasa Inggeris. Itu pun satu sahaja yang wajib. Manakala dua lagi, saya sendiri yang mengambilnya sebagai subjek pilihan. Bahasa Inggeris 101 sangat sederhana. Mungkin sekadar di tahap SRP. Kasihan saya melihat pelajar Arab, ada di antara mereka tidak dapat graduate disebabkan oleh halangan kelulusan subjek ini. Tetapi saya tahu, orang Arab memang ramai yang sulit mempelajari bahasa Inggeris, tetapi di dalam subjek Bahasa Perancis, mereka lebih terkehadapan berbanding pelajar Malaysia. Mungkin kerana persamaan Bahasa Perancis dengan Arab, lebih memudahkan mereka. Entah…

Subjek Bahasa Inggeris 102 lebih mencabar. Saya rasa silibusnya sedikit mengatasi tahap SPM. Antara bab paling mencabar adalah pendefinisan perkataan. How you define pencil? Begitu juga dengan Etymology perkataan. Maka subjek ini amat saya hargai terutamanya hasil tunjuk ajar Dr. Anwar Abu Laban, seorang senior di usia 50′an yang sangat tenang di dalam kelas. Menjawab semua soalan pelajarnya di dalam Bahasa Inggeris dan apabila di dalam bas, tangannya tidak berhenti-henti menghitung zikir (kadang-kadang dengan tasbih), dengan baseball cap hitam yang sentiasa meredupkan wajahnya. Saya peminat kelasnya, juga meminati watak dan gaya ringkasnya.

Begitu juga dengan subjek Study Skill. Pelajar boleh memilih untuk mengambil subjek ini di dalam versi Bahasa Inggeris atau Arab. Saya memilih Bahasa Inggeris dan ia adalah subjek yang berjaya melonjakkan ‘mu’addal tarakumi‘ (gred terkumpul) saya bagi semester berkenaan.

Selama di Jordan, saya menggunakan pendekatan yang sama seperti di Sekolah Menengah Agama, membina bahasa dengan membuka diri untuk dipengaruhi oleh pembacaan. Sedikit sebanyak peluang, saya akan berbual di dalam bahasa Inggeris apabila bertemu rakan-rakan non Arab dan non Malaysian.

jordan005.jpg
Bersama rakan-rakan bukan Arab dan Melayu di hadapan Perpustakaan University of Jordan

Kembali ke UK dan Ireland, bahasa bukan lagi menjadi subjek. Ia menjadi kunci kepada hidup saya. Sama ada saya menggunakan kunci itu untuk membuka pintu dan pagar, atau saya mengunci segala-galanya dan berkurung di dalam dunia sendiri.

Tugasan sebagai imam, mengendalikan dialog dengan pelawat non Muslim yang berkunjung setiap hari, membentangkan kertas kerja di dalam kolokium agama, dan bersoal jawab dengan wartawan. Semuanya memerlukan kepada penguasaan Bahasa Inggeris. Maka pada tahun 2001 saya telah mendesak diri untuk mengambil peperiksaan IELTS. Harapannya adalah supaya Bahasa Inggeris saya dianalisa dan ditentukan tahapnya untuk membolehkan saya membuat penambahbaikan. Alhamdulillah band 7.0 yang saya perolehi, memberikan kemudahan kepada saya apabila memohon untuk memasuki program Masters di dalam Sosiologi Agama di QUB. Kewangan menghalang saya meneruskan cita-cita ini pada masa itu.

Tetapi kelucuan paling menarik ialah semasa saya menguruskan majlis pernikahan Dr. Jasrul dan isteri. Buat kali pertamanya saya membawa pembaharuan kepada Belfast Islamic Centre apabila majlis tersebut dilangsungkan di dalam tiga bahasa. Saya menyampaikan khutbah Nikah di dalam Bahasa Inggeris, Arab dan meraikan kerinduan kepada tanah air, di dalam Bahasa Melayu.

belfast006.jpg
Majlis Akad Nikah Dr. Jasrul di dalam tiga bahasa

Bahasa Inggeris saya tidaklah naik ke taraf Shakespear, tetapi saya berasa lega seandainya Bahasa Inggeris saya mampu mengungkapkan apa yang ingin saya perkatakan, di samping meminimumkan kesilapan sebutan dan nahu. Itu sudah cukup baik. Alhamdulillah khutbah dwi-bahasa selama 2 tahun di Belfast, turut sama membantu saya ‘mempertahankan’ penguasaan diri terhadap bahasa Inggeris.

Apabila saya menyertai program Masters di IIUM, IELTS saya sudah tidak laku kerana melebihi tempoh 2 tahun. Bahasa Inggeris saya sudah expired. Daripada kira-kira 300 orang pelajar Masters dan PhD, 150 dilepaskan dari ujian bahasa kerana mereka adalah graduan IIUM sendiri atau pun ijazah pertama dan Masters mereka diperolehi dari negara berbahasa Inggeris. Maka tinggallah 150 lagi yang dikehendaki mengambil ujian di CELPAD. Saya amat bimbang andaikata saya tersangkut kerana saya sedang bersemangat tinggi untuk memulakan pengajian di dalam bidang Sejarah, takut-takut tersangkut pula di makmal bahasa CELPAD.

Selesai menduduki ujian 1 dan 2, kami ditapis. Terkejut saya apabila pegawai yang datang membawa keputusan peperiksaan itu, hanya menampal sehelai kertas. Rupa-rupanya daripada 150 calon yang menduduki peperiksaan, hanya 19 orang sahaja yang lulus dan boleh mengambil ujian 3 dan 5. Selebihnya… selamat datang ke CELPAD. Saya sedih melihat wajah rakan-rakan yang kecundang. Selepas dua minggu berkampung bersama dalam pelbagai sesi penerangan dan sebagainya, saya terpaksa melambaikan tangan kepada mereka untuk meneruskan cabaran di ujian 3 dan 4.

19 orang hadir. 2 tersangkut. Hanya 17 sahaja yang dilepaskan ke Fakulti, manakala 2 lagi terbenam di CELPAD. Alhamdulillah saya termasuk di dalam 17 yang menarik nafas lega itu.

Kini sudah dua semester saya belajar. Bahasa Inggeris saya masih di tahap sederhana. Saya mula meringankan tangan untuk menulis entry di dalam blog ini di dalam bahasa Inggeris, tetapi statistik menunjukkan, pembacanya amat rendah berbanding dengan entry di dalam Bahasa Malaysia.

Agak-agaknya berbaloi atau tidak saya menulis di dalam bahasa Inggeris di saifulislam.com?

English Yop, English!

ABU SAIF @ saifulislam.com

Ingin berkongsi usaha menggerakkan server Saifulislam.Com? Perkongsian anda kami dahulukan dengan ucapan jazakumulaahu khair al-jazaa'

 





© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2010)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.

"Erti Hidup Pada Memberi"

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang, Selangor

SHARING IS CARING:
  • Digg
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • email
  • Live
  • Print
  • Technorati
  • MyShare
  • Upnews
  • PDF
  • RSS
  • Add to favorites
  • Twitter
  • MySpace