Akhirnya Kutemui al-Ghazali

Pagi itu semasa saya sedang sibuk dengan urusan di pejabat, saya menerima panggilan telefon daripada Encik Saharom, Ketua Editor Majalah I. Beliau meminta supaya saya menulis satu tajuk yang amat membingungkan. Selalunya saya menawarkan diri menulis tajuk-tajuk yang saya mahir, tetapi kali ini Encik Saharom meminta saya mempertahankan seorang tokoh yang tidak saya kenali iaitu Imam Ghazzali!

Terkasima saya seketika… masa yang diberikan untuk menyiapkan artikel tersebut adalah dua minggu.

“Minta maaf Encik Saharom, dua minggu tidak mungkin bagi saya untuk memenuhi permintaan ini”. Akhirnya dua minggu tersebut berubah menjadi dua bulan!

Saya sudah mengetahui tentang Imam Ghazzali semenjak saya di bangku sekolah rendah lagi. Arwah Abah mengumpul duit berbulan-bulan untuk membeli kitab terjemahan Ihya’ Ulumiddin dan saya cuba berkongsi pembacaan dengan arwah Abah. Namun usia terlalu muda pada masa itu dan arwah Abah kembali kepada Allah ketika saya dengannya sudah mula berjinak-jinak dan lunak dengan Ihya’.

Apabila saya melanjutkan pelajaran ke Jordan, saya membina persepsi separa sedar tentang Imam Ghazzali. Saya tahu beliau seorang tokoh agung di dalam Islam, beliau adalah hujah Islam, beliau adalah nama yang tidak boleh dipinggirkan oleh penuntut ilmu Islam. Namun semasa itu saya kecewa kerana saya gagal menghayati di manakah sebenarnya kehebatan Imam Ghazzali. Punca utama kegagalan saya pada masa itu adalah berkisah kepada dua persoalan iaitu kelemahan hadith di dalam penulisan Imam Ghazzali dan yang keduanya ialah soal Falsafah.

Saya rasa tersentuh dengan kitab Ihya tetapi saya terganggu dengan hadith-hadith di dalam kitab tersebut. Banyak sekali hadith yang saya tidak kenal dan tidak tahu di mana hendak mencari maklumat mengenai statusnya. Saya amat bimbang membiarkan diri saya tersentuh oleh ‘rasa’ yang ketara di dalam kitab Ihya’ kerana bagi saya, ia adalah suatu gerak hati yang amat mudah untuk dicengkam belitan tipu daya Iblis. Masakan tidak, solat di rumah terasa khusyu’, solat di masjid sering terganggu. Mulut bau petai, stokin jemaah busuk, penuh tahi cicak dan macam-macam gangguan solat di masjid. Maka jika hendak mengikut ‘rasa’, akhirnya dengan mudah saya boleh mengambil keputusan untuk solat sahaja di rumah, dan… menanglah syaitan di dalam tipu dayanya.

Manakala soal kedua, Jordan tidak menyediakan subjek Falsafah bagi pelajar Syariah. Saya pernah belajar ilmu logik semasa di sekolah menengah, sebagai muqaddimah kepada Falsafah. Saya juga tahu ilmu Falsafah itu penting terutamanya ketika mendengar huraian-huraian Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang banyak menggunakan suntikan Falsafah. Falsafah Tuan Guru mudah, tajam dan konklusif. Tetapi tidak di Jordan. Saya mendapat persepsi yang negatif terhadap Falsafah dan saya memang membencinya. Tambahan pula, pensyarah-pensyarah yang mengajar subjek Falsafah di universiti sering kelihatan ‘ego’ dengan falsafah mereka seolah-olah orang lain tiada kualiti intelek.

Saya cuba menghadiri satu dua kuliah Falsafah di fakulti lain namun saya tenggelam punca. Tetapi kerana sedar tentang perlunya saya mendapatkan asas Falsafah, akhirnya saya membeli beberapa buah buku berkaitan Falsafah. Mudah-mudahan kalau saya tidak membacanya hari ini, mungkin suatu hari nanti saya memerlukannya. Tetapi ada suatu buku yang menarik perhatian saya iaitu kitab Qissatul Iman oleh Sheikh Nadim al-Jisr. Di dalam kitab tersebut saya membaca tentang perjalanan penulisnya di dalam kembara mempelajari ilmu Falsafah. Dari Afghanistan, beliau merantau ke Asia Tengah dan akhirnya tok guru beliau berpesan, “Falsafah ini adalah lautan. Jika kamu berlayar di permukaannya, kamu akan bertemu dengan ribut taufan yang menggila dan kamu boleh karam. Tetapi jika kamu menyelam hingga ke dasarnya, maka kamu akan bertemu khazanah berharga yang tersimpan di perut lautan itu”. Wah, saya amat terkesan dengan kenyataan itu dan ia menjadikan saya termenung berhari-hari sehingga akhirnya saya luahkan kebuntuan fikiran dengan menulis sajak “Riwayat Aku Sebagai Air”.

Namun saya masih tidak dapat menyelesaikan krisis saya terhadap Imam Ghazzali. Saya difahamkan oleh rakan-rakan, majalah, diskusi dll, bahawa Ibnu Taimiyah dan Imam Ghazzali sama-sama pakar di dalam Falsafah. Tetapi Ibnu Taimiyah mempelajari Falsafah untuk menghancurkan Falsafah, manakala Imam Ghazzali mempelajari Falsafah dan dia tenggelam di dalam Falsafah!

TIDAK MENELAN BULAT-BULAT

Hmm, saya tidaklah menelan bulat-bulat kenyataan ini tetapi saya membiarkan masa berlalu tanpa membuat pemeriksaan lanjutan. Terlalu banyak agenda kehidupan dan akhirnya ‘terkilan’ saya terhadap Imam Ghazzali terbiar begitu sahaja. Saya terkilan kerana saya tahu dia hebat, namun saya tidak tahu di mana kehebatannya. Saya tahu kitab Ihya beliau adalah kitab tajdid di zamannya tetapi saya tidak tahu di mana keagungan kitab tersebut. Puncanya masih berlegar pada dua isu tadi; hadith dan Falsafah. Namun saya bersyukur kerana sistem pengajian di Jordan menjadikan saya terdidik untuk amat kasih dengan semua ulama’, tidak taasub dengan mana-mana tokoh walau sehebat mana, hingga boleh membutakan mata dari mencari kebenaran. Saya selesa dengan Ibn Taimiyah dan Ibn Qayyim, saya juga tenang membaca hasil Imam Maturidi malah al-Buti di dalam kitabnya Kubra al-Yaqiniyyat al-Kauniyyah. Saya boleh bersikap adil terhadap Muhammad bin Abdul Wahhab walaupun saya amat obsess dengan Daulah Othmaniyyah yang dimusuhi oleh Muhammad bin Abdul Wahhab.

Tetapi saya mahu mengasihi Imam Ghazzali sedangkan saya tidak tahu di mana lubuk cintanya. Saya mahu berbaik sangka dengan al-Ghazzali terhadap kelemahan-kelemahannya tetapi saya tidak tahu apa alasannya…

Perasaan itu terpendam di dalam diri hinggalah akhirnya saya diminta bangun dan membela Imam Ghazzali yang diserang oleh Astora Jabat! Walaupun saya tidak begitu arif tentang asas perbalahan Imam Ghazzali dengan al-Farabi dan Ibn Sina, namun untuk membiarkan Astora Jabat menghukum Imam Ghazzali sebagai berdosa besar kerana menghukum kafir kepada al-Farabi dan Ibn Sina pada tiga isu (alam qadim, Tuhan tidak mengetahui hal yang juz’ie dan manusia bangkit di Mahsyar dengan roh tanpa jasad), ia adalah sesuatu yang keterlaluan. Malah Astora Jabat menuduh al-Ghazzali telah melakukan ‘keganasan pemikiran’. Aduh, najis apa yang mahu ditabur oleh Astora Jabat kali ini? Saya kepanasan tetapi saya tidak kenal siapa al-Ghazzali dan saya tidak tahu bagaimana saya hendak membela dan mempertahankannya.

KEMBARA BERMULA

Di sinilah kembara saya mencari al-Ghazzali bermula. Syukur Alhamdulillah, saya berikan kredit kepada Fitrah Perkasa, tempat saya bekerja. Kami banyak menjadikan bahan Imam Ghazzali sebagai asas pembangunan modul. Kitab Ihya, Kimiyaa’ as-Saadah, Ayyuhal Walad dan sebagainya menjadi rujukan. Namun saya belum benar-benar dapat melihat manhaj al-Ghazzali. Tetapi sekurang-kurangnya kehebatan Imam Ghazzali mula terserlah sedikit demi sedikit.

Apabila Encik Saharom meminta saya menulis, saya berazam untuk mengambil peluang ini sebagai dorongan saya mendalami Falsafah dan al-Ghazzali. Kitab-kitab Falsafah yang saya beli 8 tahun yang lalu, saya punggah dari rak buku dan saya berulang ke kedai buku sekitar Kuala Lumpur untuk mencari bahan. Saya perlu mengetahui secara lengkap tentang al-Ghazzali, Aristotle, Plato, al-Farabi, Ibn Sina, Ibn Rushd dan huraian-huraian yang huru-hara di dalam memahami asas neo-Platonian, Aristotalian serta cabang-cabang tajuk yang lain. Walaupun mungkin tulisan saya untuk Majalah I pendek sahaja, namun prinsip saya ialah seorang penulis mesti lebih banyak membaca daripada menulis. Jika seorang penulis lebih banyak menulis daripada membaca, maka itulah saat-saat bangkrap seorang penulis. Saya perlu memahami sesuatu tajuk secara menyeluruh, kemudian barulah saya boleh membuat keputusan tentang banyak manakah hasil pembacaan saya itu yang hendak dikeluarkan sebagai artikel penulisan.

UJIAN MASA

Saya tersedar di dalam kembara ini bahawa upaya saya di dalam pembacaan sudah tidak seperti dulu. Saya keluar rumah untuk ke pejabat pada jam 7:15 pagi. Saya sampai ke rumah pada sebelah petang pula ialah sekitar 7:15 petang. Saya mesti meluangkan masa berinteraksi dengan isteri dan anak-anak sebelum mereka tidur, khususnya anak sulung saya yang sedang membesar dan ‘banyak tanya’. Apabila jam mencecah 10:30 malam, saya pula sudah terlalu letih untuk membaca. Itu jika saya tidak berkuliah. Banyak hari yang saya perlu ke masjid-masjid untuk mengajar. Kerja saya di Fitrah Perkasa pula menuntut saya untuk out station sehingga 15 hari sebulan malah pernah mencecah 22 hari pada bulan Jun yang lalu. Iaitu bulan saya dihubungi oleh Encik Saharom. Akhirnya masa yang ada pada saya hanya dua. Pertamanya perjalanan pulang di dalam LRT iaitu antara Stesyen Taman Melati dan KLCC (selepas KLCC, tren sudah terlalu padat dan tidak sesuai untuk membaca buku). Manakala masa kedua ialah bangun seawal 4 pagi untuk membaca dan menulis. Itulah sahaja masa yang ada dan saya menginsafi hal masa ini sehingga pernah saya coretkan dalam pesanan kepada rakan-rakan yang masih di bangku pengajian universiti, supaya memanfaatkan masa dengan membaca malah terasa lebih utama membanyakkan pembacaan semasa menjadi pelajar, berbanding dengan membanyakkan sembahyang sunat!

Dua bulan saya cuba membaca, memahami, mencari forum-forum online di internet untuk berbincang tentang Falsafah dan Imam Ghazzali. Terdetik hati untuk berhubung dengan rakan-rakan yang kini sudah bergelar pensyarah dan doktor di universiti, namun diri rasa terlalu kerdil untuk mengajak ahli akademik berkongsi buah fikiran.

PENEMUAN TERBESAR MENJELANG USIAKU 30

Setelah berhempas pulas membaca, akhirnya saya menemui jawapan yang dicari selama ini. Hasil tulisan saya telah pun tersiar di dalam majalah I keluaran September 05. Saya simpulkan sedikit di sini dan artikel penuhnya akan saya muatkan di Saifulislam.Com pada pertengahan bulan ini Insya Allah.

Pada saya, Imam Ghazzali sebenarnya sama sahaja dengan Ibn Taimiyah di dalam soal Falsafah. Kedua-dua mereka mempelajari Falsafah kerana mahu menghancurkan ilmu yang telah menipu umat Islam ini. Akan tetapi Imam Ghazzali lebih berjaya kerana Ibn Taimiyah tidak pernah dianggap sebagai ahli Falsafah oleh ahli Falsafah. Oleh yang demikian, penulisan beliau yang hebat tidak dipedulikan oleh ahli Falsafah kerana beliau bukan sebahagian mereka. Namun Imam Ghazzali menggunakan pendekatan yang bijaksana. Beliau menulis sebuah buku yang telah menyerlahkan kehebatan beliau di dalam bidang Falsafah iaitu melalui kitab pertamanya di bidang ini, Maqasid al-Falasifah. Janganlah sekali-kali disangka bahawa buku ini adalah sebuah buku yang hanya sejilid. Maksud saya, buku ini adalah bahagian pertama daripada penulisan al-Ghazzali. Beliau tidak mengkritik Falsafah di dalam buku ini atas hikmah-hikmah yang besar. Kerana buku ini, ahli Falsafah mengagumi Imam Ghazzali dan menganggapnya sebagai tokoh penting dan hebat. Manakala bagi sesetengah orang, buku ini menjadi alasan untuk mengkritik Imam Ghazzali kerana beliau dianggap sebaris sahaja dengan ahli Falsafah lain lantaran buku tersebut yang menjadi rujukan Falsafah.

Akan tetapi, Imam Ghazzali menyambung tulisannya di dalam Maqasid al-Falasifah itu di dalam buku kedua beliau iaitu Tahafut al-Falasifah. Di dalam kitab inilah Imam Ghazzali menghentam habis-habisan ilmu Falsafah yang cuba mengatasi wahyu. Soal Fizik dan cabang Falsafah yang lain, Imam Ghazzali menerima bahkan menyanjungnya. Cuma Falsafah yang cuba menganalisa Tuhan dan Ketuhanan itulah yang ditentangnya. 3 kufur dan 17 bid’ah, itulah kesimpulan al-Ghazzali di dalam kitabnya itu. Akibat buku ini, Imam Ghazzali benar-benar telah membinasakan momentom kaki Falsafah di kalangan umat Islam tersebut. Malah tokoh-tokoh Falsafah sedunia bersetuju bahawa kitab Tahafut itu telah menghancur leburkan Falsafah di dalam tamadun Islam dan gagal dibangkitkan semula walaupun oleh usaha Ibn Rushd melalui bukunya Tahafut al-Tahafut, iaitu buku yang ditulis untuk mengkritik pandangan al-Ghazzali. Maka helah al-Ghazzali lebih berjaya berbanding dengan Ibn Taimiyah. Al-Ghazzali memulakan serangannya dengan meletakkan dirinya di tengah-tengah kelompok ahli Falsafah. Apabila mereka menerima dan mula menyanjung al-Ghazzali, maka barulah beliau mengeluarkan taringnya. Hanya jauhari yang kenal manikam!

Wah, gembiranya saya dengan hal ini. Saya gembira kerana saya dapat memahami al-Ghazzali. Saya gembira kerana saya yakin Imam Ghazzali bukanlah seperti yang saya faham selama ini. Malah saya tidak lagi perlu berbaik sangka sebab Imam Ghazzali memang baik, memang hebat dan sememangnya Hujjatul Islam.

Malah hati saya terus tersentuh di antara sedih dan gembira, pilu dan kagum terhadap Imam al-Ghazzali. Saya membaca kembara hidupnya dan saya amat pilu melihat Imam Ghazzali yang hebat itu masih terus mencari-cari suatu kesimpulan kepada ilmunya. Beliau telah menjadi ulama seperti yang biasa di zaman itu. Beliau juga sudah menghalusi soal pendidikan hati, beliau juga pernah terjun di medan Falsafah, namun akhirnya Imam Ghazzali menghabiskan sisa usianya dengan mendalami ilmu Hadith. Beliau berusaha gigih untuk mengatasi kelemahannya di dalam ilmu Hadith dan ini membawanya kepada menuntut ilmu Sahih al-Bukhari dan Muslim melalui Hafiz ‘Amr ibn Abi al-Hasan al-Rawasi. Jika Imam Ghazzali sendiri mengakui kelemahannya di dalam ilmu Hadith dan telah cuba mengatasinya sehingga ke akhir-akhir hayat beliau, maka saya dengan sendirinya dapat menilai bagaimana sepatutnya saya membaca kitab Ihya’ secara adil.

Kata Ibn Jawzi di dalam Ithaf as-Saadah:

“Hari itu hari Isnin. Dia (al-Ghazzali) bangkit pada waktu Subuh, berwudhu’ dan menunaikan sembahyang subuh. Kemudian dia meminta supaya dibawakan kepadanya kain kapan beliau. Sambil mengambilnya, dia mencium kain kapan itu serta meletakkannya pada mata beliau lalu berkata, “Aku tunduk kepada perintah Tuhanku”. Kemudian beliau berbaring sambil mengadapkan mukanya ke arah Qiblat dengan meregangkan kakinya. Apabila orang ramai memeriksanya, al-Ghazzali sudah meninggal dunia”.

Terhambur air mata saya di suatu subuh yang hening. Semoga al-Ghazzali ditempatkan Allah di makam yang mulia dan terpuji, bersama-sama ulama Islam yang lain, yang telah mewakafkan hidup mereka membimbing umat dan meneruskan misi Nubuwwah Rasulullah SAW.

Berhari-hari saya tersenyum sendirian kerana Tuhan telah membantu saya untuk mengenali al-Ghazzali. Ketika di usia 20, saya dapat menyelesaikan pandangan saya terhadap khalifah Islam terakhir iaitu Sultan Abdul Hamid II dan di usia 30, saya diizinkan Allah mengenali, menghargai dan menghormati Imam al-Ghazzali.

Walaupun maklumat saya tidaklah seberapa dan artikel saya di dalam Majalah I itu belumlah tentu dapat menutup mulut Astora Jabat atau benar-benar cukup untuk mempertahankan al-Ghazzali dari serangan Islam Liberal di Malaysia ini, namun sedikit sebanyak saya sudah cukup gembira mengenali al-Ghazzali. Saya benar-benar sudah dapat merasakan kehebatan al-Ghazzali dan saya mahu segera pulang ke Ipoh untuk ke pusara arwah Abah. Akan saya nyatakan di pusaranya, “Abah, Imam Ghazzali yang menulis kitab Ihya dulu, memang hebat!”

Akhirnya kutemui al-Ghazzali….

Abu Saif @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur
31 Ogos 2005

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.