Aku Salafi, Anakku Bagaimana?

Assalamualaikum wa Rahmatullah wa Barakatuh.

Artikel yang saya tulis di bawah tajuk ”AKU SALAFI, ANAK MURIDKU BAGAIMANA” menjadi bahan muhasabah diri saya dalam seminggu kebelakangan ini. Saya tidak pasti apakah artikel itu berjaya mengungkapkan dengan tepat apa sebenarnya yang terbuku di hati saya, atau ia telah tersasar lantas menimbulkan salaf faham yang mengundang penyesalan. 

Banyak artikel yang saya tulis kebelakangan ini, menyentuh soal yang sama. Soal SIKAP. Tetapi mungkin artikel saya tidak seimbang di dalam membayangkan dilema yang menimpa kedua-dua pihak, sama ada komuniti bermanhaj Salafi, mahu pun yang berpegang kepada aliran golongan Khalaf. Banyak contoh yang saya berikan, merujuk kepada telatah dan karenah komuniti Salaf hingga menyinggung perasaan ramai pihak. Pastinya sukar untuk saya memperbetulkan kesan yang berlaku ini, namun yang mampu saya fokuskan di sini adalah soal diri saya sendiri.

Persoalkan diri, apakah motif semua artikel yang pernah saya tulis sebelum ini? Adakah ia terbit dari rasa mahu mendidik, atau kerana kemarahan dan kekeliruan diri sendiri? Saya mengambil masa yang panjang untuk menganalisa dan seperti biasa, perasaan tertekan hanya dapat diredakan apabila saya luahkan ia dalam bentuk tulisan.

Ada sahabat yang begitu tersinggung dengan artikel saya hingga menganggap bahawa saya telah meng’kambing hitam’kan aliran Salafi sebagai punca masyarakat meninggalkan agama! Ini bid’ah, itu bid’ah, akhirnya masyarakat mengambil tindakan menelanjangkan diri mereka dari isu ini lantas pergi kepada Jahiliah. Akibat analogi saya itu, akhirnya saya menjadi Salafi yang dianggap memusuhi Salafi.

Saya tidak mempunyai sebarang hujah untuk mempertahankan diri dari persepsi sedemikian rupa. Ia berpunca daripada kelemahan saya mengungkapkan ibarat dan dha’ifnya saya dalam mengemukakan contoh. Kebanyakan contoh saya seperti leteran yang tidak berkesudahan terhadap pendukung aliran Salafi terutamanya di kalangan adik-adik yang berada di kampus.

Malam tadi saya tanyakan soalan ini kepada diri saya, ”mengapa kamu tidak putus-putus meleteri golongan Salafi?”

Dan saya termenung hingga ke hening pagi, mencari kesimpulan. Akhirnya saya berkata, ”ya, saya sudah tersilap cara menunjukkan KASIH dan SAYANG.”

Seorang emak atau ayah, tentunya tidak berleter memarahi anak orang lain. Sesekali jika anak orang lain bermain di depan rumah kita hingga naik pasir dan debu ke pintu rumah, mahu juga kita menegur sekali-sekala. Tetapi anak sendirilah yang selalunya ditegur, dileter dan dipulas telinga. Ya kebanyakan emak dan ayah kita begitu, mereka menjadi masalah terbesar kita kerana mereka TERLALU KUAT MELETERI KITA, sebab mereka TERLALU KUAT MENGASIHI KITA. Saya terlalu kasih kepada kesedaran masyarakat untuk kembali kepada al-Quran dan al-Sunah, kerana itu saya cemas dan takut kesedaran itu sekali lagi dipadamkan oleh mereka yang menolaknya, lantaran SIKAP yang sama kita ulang-ulangkan sepanjang zaman.

SEJARAH HIDUP MEMBINA MANHAJ ILMU

Tahun 1993, saya bersyukur kerana menerima nasihat senior yang menegah saya dari ke Mesir. Mereka yang sudah berada di Mesir, menasihatkan saya supaya ke Jordan agar saya dapat mengoptimumkan penguasaan Bahasa Arab kerana pada tahun itu, jumlah pelajar Malaysia masih terlalu kecil berbanding di Mesir. Ia peluang yang baik untuk saya berdikari.

Ya, sedikit sebanyak, kekurangan pelajar Malaysia di Jordan telah membantu saya menguasai Bahasa Arab pada kadar yang lebih baik. Namun, penghargaan terbesar saya kepada Jordan adalah kerana keterbukaan manhaj pengajian yang membolehkan saya menganalisa setiap apa yang saya pegang selama ini, sama ada ia sesuai, betul, atau sebaliknya. Tiada sebarang halangan bagi kami untuk membaca sebarang buku, bahkan hanya dengan mempelbagaikan bacaan sahajalah kami boleh cemerlang di dalam pengajian.

Semasa di Jordan jugalah saya berkenalan dengan Ustaz Asri (Dr. Mohd Asri Zainul Abidin) dan jasanya kepada pembentukan pemikiran saya, amat besar dan penting. Beliau telah menyuluh jalan keluar kepada dilema saya terhadap fahaman Syiah ketika itu. Di era itu, ramai rakyat Malaysia yang terkesan dengan seminar Taqrib antara golongan Sunnah dan Syiah yang dianjurkan oleh Persatuan Ulama Malaysia pada sekitar awal 90′an. Saya mengagumi Khomeini dan peranannya di dalam penggulingan Shah Iran, itu tidak dapat dinafikan.

Namun, kekaguman saya terhadap Syiah dan Iran ditempelak oleh satu seminar yang diadakan di KUSZA. 3 slot ceramah yang disampaikan oleh Maulana Asri Yusof menggoyahkan pegangan saya yang cuba mempositifkan sokongan saya kepada Revolusi Iran. Pada masa itu, rakan diskusi saya adalah Ustaz Maszlee Malik. Kami sama-sama menganalisa sejauh mana kewajaran sokongan terhadap Khomeinisma selepas pendedahan yang dilakukan oleh Maulana Asri dan Sheikh al-Khatib (saya kurang ingat nama penuhnya. Beliau adalah tenaga pengajar di Nilam Puri). Kebetulan kami sama-sama berkursus di KUSZA ketika itu. 3 bulan yang penting dalam hidup saya; dan Ustaz Maszlee Malik barangkali.

Akan tetapi, kekusutan saya terhadap Syiah, Revolusi Iran dan Khomeinisma selesai selepas menerima sentuhan Dr. Mohd Asri semasa kami di Jordan. Beliau memandu saya dan rakan-rakan agar membaca dengan betul. Walaupun penubuhan Institut Pengajian Ilmu-ilmu Islam (INPIS) yang saya dan rakan-rakan usahakan bersama Dr. Asri tidak mampu mencecah ulangtahunnya yang pertama, kesan daripada program itu amat besar kepada diri saya. Kecenderungan saya dan rakan-rakan dibongkar melalui brainstorming yang dikendalikan oleh Dr. Asri. Akhirnya saya terpilih untuk memimpin study circle unit Siasah Syariyyah yang diselia oleh Sheikh Muhammad Abdul Qadir Abu Faris. Sesungguhnya momentum tahun kedua saya di Jordan masih terasa hingga ke hari ini.

Hasil pendedahan diskusi saya dan rakan-rakan bersama Dr. Asri, kami dilatih agar menjaga AMANAH ILMU. Ilmiah dalam berpendirian.

MEMPERKUKUHKAN ALIRAN KHALAF AGAR BERDALIL

Semasa di Jordan, saya cuba untuk mengukuhkan pegangan Khalaf saya melalui talaqqi saya dan rakan-rakan bersama Ustaz Ahmad al-Kaff yang mengajar kitab Kubra al-Yaqiniyyat al-Kauniyyah karangan Dr. Al-Buti. Saya berasa lega kerana apa yang saya pegang hasil silibus Malaysia, kini lebih kemas, berdalil dan tersusun.

Walaupun begitu, pengajian di Jordan menuntut kami untuk memperkembangkan bacaan ke pelbagai bahan, dan fikiran saya bergoncang selepas berbalas-balas diskusi dengan rakan dan guru-guru terhadap tulisan-tulisan Sheikh al-Islam Ibn Taimiyyah seperti al-Ubudiyyah dan Fatawa Humawiyyah al-Kubra. Apa yang menjadi penyuntik kekuatan diri saya ialah apabila Sheikh al-Islam Ibn Taimiyyah menegaskan bahawa seandainya jalan Khalaf itu bijaksana dan mendalam, sedang jalan Salaf pula hanya mampu mengambil status SELAMAT, maka apakah pilihan saya? Berilmu dan bijaksana tetapi terdedah kepada bencana keliru dan menjadi pengeliru, atau jalan selamat di hari yang tiada keselamatan melainkan keselamatan pemberian Allah? Maka semasa di tahun 3 pengajian di Jordan, saya selesai membuat perbandingan. Saya memilih manhaj ahli Salaf di samping menghargai manhaj Khalaf Asha’irah mahu pun Maturidiah yang manhajnya sudah cukup tua dan matang, serta tidak perlu digoncang-goncang semula oleh tangan kanak-kanak yang kepanasan mendapat kejutan ilmu.

Saya tidak menghadapi sebarang masalah walaupun saya tinggal serumah dengan rakan-rakan Turki yang rata-rata mereka beraliran Maturidiyyah. Ada rakan serumah saya yang membuat PhD di dalam topik yang berkaitan dengan isu Maturidiyyah, dan kami tinggal sebumbung dengan penuh harmoni. Saya tidak ada masalah untuk mengkaji dan mendalami sejarah Othmaniyyah, tanpa perlu membenci dan mentohmah Muhammad bin Abdul Wahhab yang sinonim dengan penentangannya terhadap kerajaan Othmaniyyah.

PENDEDAHAN AMALI DI UK DAN IRELAND

Di minggu pertama saya di London, saya mengambil upah membasuh pinggan di kantin MSD. Pegangan saya diuji oleh seorang pelajar A-Level. Semasa saya khusyuk membasuh pinggan di dapur, saya disergah dengan soalan, ”Ustaz, Allah di mana?”

Saya tergamam dan saya merasakan bahawa soalan itu bukan bertujuan mencari jawapan, tetapi untuk memeriksa ‘pegangan Aqidah’ saya. Pada masa itu saya tersedar bahawa pembelajaran di Jordan masih belum cukup untuk saya berhenti belajar serta berpuas hati. Dengan sumber yang begitu terhad, saya berusaha membeli kitab-kitab di kedai buku sekitar London seperti House of Knowledge dan Dar al-Taqwa di Westbound Grove, Dar al-Salaam di Regent Mosque London, dan sebagainya.

Pada masa itu pelajar-pelajar A-Level berkucar kacir sesama mereka tentang debat antara manhaj Salafi dan Khalafi, namun ada beberapa isu yang tercicir dari perhatian. Pelajar yang tidak tahu menahu, menjadi keliru dan memohon penjelasan dari saya. Manakala isu kedua ialah tersebarnya fahaman Syiah di kalangan pelajar Malaysia. Penyebaran secara pos ke rumah pelajar-pelajar Malaysia, risalah Cahaya Kebenaran yang tidak diketahui penulisnya, menimbulkan kebimbangan di kalangan kami. Akhirnya ada juga pelajar Malaysia yang rebah dek sentuhan Tijani di dalam kitabnya Akhirnya Kutemui Kebenaran. Kitab ini telah berjaya meng’syiah’kan ramai orang.

Alhamdulillah, disiplin menapis sumber maklumat beragama kita dari sentuhan pengajian, memudahkan saya membantu adik-adik ini merasionalkan kembali pegangan mereka terhadap Aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah. ”Tidak kisahlah, sama ada manhaj Salafi atau Khalafi, mana yang membawa kamu kepada maksud bertauhid dan Uluhiyyah Allah SWT, pegang sahaja. Asalkan kamu tidak melampau. Melampau dalam mentakwilkan semua kes, atau melampau bermati-matian menolak sepenuhnya takwil”, itu pesan guru-guru di Jordan yang saya masih ingat.

Ketika saya bertugas sebagai Imam di Belfast Islamic Centre, sekali lagi yang mengucapkan puji kepada Allah atas manhaj yang saya pegang. Tidak ada Imam dan Ulama yang boleh menjinakkan komuniti saya yang kebanyakannya bermazhab Ananiyyah (mazhab keakuan – AKU), melainkan dengan menonjolkan kembali otoriti al-Quran dan al-Sunnah. Hanya Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya sahaja yang ada upaya mendamaikan pertelingkahan. Namun sayalah yang terpaksa berpenat lelah. Untuk mengajar fardhu ain pun, saya harus segera menyemak hujah-hujah Syafie, Hanafi, Maliki dan Hanbali. Tidak lupa kepada mazhab Jaa’fari. Seek first to understand, then to be understood. Maka latar belakang pegangan jemaah yang pelbagai di masjid itu, mesti digarap sebaiknya, khususnya untuk berhadapan dengan soalan mereka yang bertujuan menguji saya.

Ia bukan perkara yang mudah. Kekadang saya terasa semacam hasil pengajian di Jordan hanya mampu membekalkan 10% sahaja ilmu yang saya perlukan ketika terjun ke masyarakat. 90% adalah belajar semasa mengajar.

Pendirian Salafi saya memudahkan saya berinteraksi dengan tetamu non-Muslim yang saban hari datang ke masjid untuk berdialog. Soalan-soalan mereka mudah sahaja, namun apa yang mereka cari adalah AGAMA YANG BERPRINSIP serta AGAMA YANG DIMILIKI OLEH TUHAN DAN UTUSANNYA. Pendirian Salafi mudah menonjolkan ciri berkenaan.

Tentu sekali semasa itu, saya berdepan dengan pelbagai halangan. Antaranya, saya perlu berdepan dengan adik-adik yang kesukaan mereka adalah berzanji dan bermaulid dalam keraian. Selepas dihalau ahli jemaah Arab di masjid, pelajar Malaysia mencari tempat lain untuk berkumpul. Akhirnya pelajar Malaysia suka berkumpul di tempat mereka sendiri, yang bebas untuk melakukan semua kebiasaan di Malaysia. Namun masjid terbiar dan ditinggalkan.

Merasionalkan para pelajar ini agar dapat memahami mengapa Arab tidak suka kepada Berzanji dan Maulid yang mereka baca, tidak semudah yang disangka. Saya mengambil masa hampir setahun, berbual, berdialog, bercekang mata di tengah malam menyambung perbincangan di hujung minggu, untuk mengungkai satu persatu isu yang timbul. Bermula dari isu perbezaan hukum tersentuh lelaki dan perempuan, hinggalah kepada soal takwil mentakwil dalam ayat Mutasyabihat, serta tariqat, tasauf, falsafah al-Hallaj dan sebagainya. Sedikit sebanyak, al-ahkam.net banyak memainkan peranan membantu kami yang ketandusan bahan di hujung benua. Alhamdulillah akhirnya kebanyakan pelajar di Belfast terbuka untuk meninggalkan apa yang patut ditinggalkan. Dan mereka juga semakin dinamik dalam urusan peribadi dan kemasyarakatan di sana. Bagi yang mahu terus berada di dalam kerangka Syafi’e, saya mengajak mereka naik setingkat, iaitu mempelajari dalil-dalil dan perbahasan Mazhab Syafi’e. Apa yang penting ialah, agama jangan ikut-ikut.

Apabila balik ke Malaysia, saya tahu yang kehidupan serta pegangan saya mesti seimbang di antara tuntutan idealistik serta nilai realistik. Pendirian saya masih sama, dan ia terungkap di dalam tulisan saya ”Paksi Islam: Syakhsiah Atau Hujah”.

SETELAH PULANG KE MALAYSIA

Saya juga bersyukur, keberadaan saya di dalam Fitrah Perkasa amat memerlukan kepada sentuhan manhaj Salafi agar saringan dapat dibuat. Kesan-kesan literature al-Arqam dibersihkan bersama-sama. Modul-modul yang sedia ada diperkukuhkan lagi dan semua bahan disemak semula. Fitrah Perkasa menempuh gegaran yang besar di dalam pemurnian modul, namun saya bersyukur kepada Allah kerana di era Sinun Khadda’ah (tahun-tahun yang menipu di akhir zaman), tiada keselamatan dari kekeliruan, kecelaruan dan penipuan, melainkan dengan bersungguh-sungguh berpegang kepada sumber yang benar, jelas dan tepat.

”Sesungguhnya ilmu itu adalah agama, maka lihatlah dari siapa kamu mengambil agamamu” – Ibn Sirin

GURU NANAK DAN KUCING ASHRAM

Pernah suatu ketika Guru Nanak dan pengikut-pengikutnya mahu mengerjakan sembahyang cara mereka. Tetapi mereka diganggu oleh kucing ashram yang menyelit-nyelit di celah kaki mereka. Lantas Guru Nanak mengarahkan supaya kucing ashram itu diikat di tiang setiap kali mereka mahu bersembahyang.

Selepas beberapa ketika, Guru Nanak telah meninggal dunia. Pengikutnya masih mengamalkan ajaran Guru Nanak seperti biasa dan setiap kali mereka mahu bersembahyang, mereka akan menambat kucing ashram tersebut di tiang. Akan tetapi selepas kucing ashram itu mati, pengikut-pengikut Guru Nanak mencari pula kucing lain untuk diikat setiap kali mereka mahu mengerjakan sembahyang!

Berkurun selepas itu, barulah ahli teologi membongkarkan hal ini, betapa kesilapan telah berlaku apabila pengikut ajaran Guru Nanak menyangkakan bahawa sembahyang mereka tidak sah tanpa kucing yang ditambat di tiang! Mengapa semua ini terjadi? Jawapannya mudah, bertaqlid buta dan agama menjadi ritual. (–”The Guru’s Cat” from The Song of the Bird by Anthony De Mello)

Saya kisahkan cerita di atas kepada pelajar-pelajar sebuah kolej semasa mereka mengikuti sebuah kursus yang saya kendalikan bersama Fitrah Perkasa. Para pelajar dibawa ke tepi pantai dan kami belajar zikir dan fikir terhadap kebesaran Allah berpandukan ayat 190 serta 191 surah Aali Imran. Kemudian kami bersolat dua rakaat. Selepas solat di atas pasir, saya kisahkan cerita kucing ashram tersebut dan saya tanya kepada pelajar, mengapa kalian menyapu muka selepas memberi salam tadi? Soalan itu saya biarkan tergantung supaya pelajar kaitkan ia dengan kisah Guru Nanak dan kucing ashram itu tadi.

MANHAJ SALAFI DI KOTA DAN DESA

Manhaj Salafi mudah diterima di kawasan bandar, universiti dan tempat-tempat yang orangnya dinamik serta tidak begitu tertakluk kepada kebiasaan, atas resam dan budaya setempat. Manakala di kampung-kampung atau kawasan perumahan yang penduduknya suka bersandar di tiang setiap kali datang ke masjid, cabaran pertamanya adalah proses untuk activate pemikiran agar rajin sedikit. Jika ini berjaya, satu perdua masalah sudah selesai.

Akan tetapi, bagi warga kota yang beroleh kesedaran untuk mengikut manhaj Salafi, cabaran seterusnya yang perlu mereka hadapi ialah anak-anak. Bagaimanakah caranya kesedaran untuk berpegang kepada al-Quran dan Sunnah yang sahih itu boleh dipindahkan kepada anak-anak? Ia soalan yang besar. Tajuk asal artikel saya sebelum ini adalah AKU SALAFI, ANAKKU BAGAIMANA. Saya mengubahnya di saat akhir kerana isu ibu bapa dan anak memerlukan kepada perbahasan yang berasingan. Saya amat berharap agar ada warga komuniti Salafi yang boleh memperkembangkan tajuk ini kerana dilema yang dihadapi oleh anak-anak yang beribu bapakan Salafi, kekadang tidak disedari oleh ibu bapa mereka.

Ibu bapa sudah selesai, kerana zaman belajar ala sekolah sudah tamat. Mereka mendapat kesedaran untuk berpegang kepada manhaj Salafi kerana mahu mencari prinsip dan pegangan hidup.Tetapi bolehkah kesedaran itu dengan mudah dipindahkan kepada anak-anak. Tidak sedikit anak warga kota yang saya temui melalui kursus-kursus, mengalami kekeliruan.

Golongan yang pertama adalah golongan yang tidak menjadi (saya positifkan sebagai BELUM menjadi). Ibu bapa bermanhaj Salafi tetapi anak-anak menjadi sebahagian dari warga KL yang manhajnya mengikut trend fesyen, pemikiran dan hiburan masa kini. Berbekalkan kemewahan, sebahagiannya boleh memperolehi apa sahaja dalam hidup ini, kecuali ERTI dan TUJUAN HIDUP. Ibu bapa bermanhaj Salafi ketika anak-anaknya sudah tercicir dari kesedaran itu dan completely BRITISH MINDED.

Ini adalah jumlah terbesar pelajar yang saya temui di dalam pelbagai siri kursus. Sama ada ibu bapa mereka Salafi atau tidak, mereka adalah generasi yang kesunyian. Antara jawapan yang saya dan rakan-rakan terima daripada mereka ialah:

Masalah terbesar hidup saya ialah LIFE IS BORING.

Namun saya tidak bersedia untuk MATI

Ibu bapa sibuk bekerja, hanya tahu melahirkan saya.

Saya sudah dengar ceramah ustaz. Insya Allah saya faham besarnya erti ketaatan anak-anak kepada ibu bapa. Tetapi adik-adik saya sukar difahamkan. Kami sukar untuk melihat rasional kenapa kami kena hormat ibu bapa kami sebab mereka tidak layak dihormati.

Mak kuat berleter.

Ayah membosankan.

Kalau ibu bapa saya mati pun, nak buat macam mana. Saya tak kisah

Jawapan ketujuh itu adalah kemuncak krisis anak-anak ini. Saya berpandangan, adalah sukar untuk seorang anak menghayati keperluan dirinya berpegang kepada Sunnah yang Sahih, ketika dia tidak kenal siapa mengajar Sunnah itu iaitu Rasulullah SAW. Mencontohi Baginda SAW mesti bermula dengan mengenali dan mencintai Baginda SAW. Dan bagaimanakah mereka boleh mengasihi Rasulullah SAW ketika kasih ibu bapa sendiri pun sukar dikecapi? ‘Guru’nya di rumah sudah ponteng kelas, tidak mengajar malah kurang kasih sayang!

Inilah yang cuba saya kongsi bersama rakan-rakan semanhaj. Jika yang sudah senior, mungkin tiada keperluan untuk mendengar apa yang ingin saya sebutkan ini. Tetapi bagi adik-adik, khususnya mereka yang berada di kolej, penegasan saya adalah: MENGUSAHAKAN PERUBAHAN TIDAKLAH SEMUDAH YANG DISANGKA.

SUSAHNYA JALAN INI

Ada di kalangan pemilih Manhaj Salafi terpaksa dipenjarakan di dalam ISA dan menempuh krisis pemikiran bertahun-tahun lamanya, sebelum dapat melihat dan menerima manhaj yang mulia ini. Masyarakat kita masih ramai yang terbelenggu oleh pemikiran ajaran sesat yang tidak senonoh seperti yang boleh dibaca di http://rufaqa-sesat.blogspot.com. Ia mewakili pemikiran rakyat yang masih sukakan keajaiban, jalan pintas, beridentitikan lain dari yang lain, dan yang paling menakutkan saya adalah lafaz seorang pengikut ajaran sesat yang disiarkan di televisyen tahun lepas, ”kami ada Nabi. Nabi kami masih hidup. Nabi kamu mana? Mana Nabi kamu?”. Sungguh Misteri Nusantara!

Usaha saya untuk mengimplimentasikan manhaj Salafi di sekolah saya di Belfast juga tidak mudah. Banyak perkara yang perlu saya pertimbangkan sebab yang berada di hadapan saya adalah anak-anak yang berusia antara 5 ke 16 tahun. Pembetulan mesti berlaku seperti menarik rambut dari tepung. Rambut tak putus, tepung tak tumpah. Jika silap pendekatan, maka ibu bapa akan dengan mudah membatalkan persekolahan anak mereka di sekolah saya. Kes ini telah berlaku kepada anak-anak orang Syiah di Belfast yang menarik keluar semua anak mereka selepas mereka mendapat tahu tentang pendirian saya terhadap Khomeini.

Manakala pengalaman yang paling mengejutkan saya ialah semasa saya ke rumah dua remaja seperti yang saya ceritakan di dalam artikel lepas bertajuk JIWA DAI’E OTAK FAQIH. Kedua ibu bapa remaja tersebut menghabiskan usia muda mereka dengan cara hidup yang western oriented. Lantas anak-anak mereka juga dibesarkan secara barat. Tiba-tiba di akhir usia 40′an, mereka mendapat kesedaran Islam. Namun, ayah kepada dua remaja ini mendapat kesedaran Islam versi Salafi yang keras, membid’ahkan perkara-perkara yang sememangnya berleluasa di sekitarnya.

Kesan daripada itu, si ayah dan mungkin juga si ibu, tidak dapat memindahkan kesedaran Islam mereka kepada anak-anak. Ketegasan mempertahankan manhaj Salafi amat jauh jaraknya dengan pemikiran British Minded anak mereka. Soalan ”Perlukan mereka kepada Tuhan?” itu pun tidak terjawab, apatah lagi untuk membetulkan soal Basmalah secara jahriyyah atau senyap!

Inilah yang membimbangkan saya. Ikhwah kita yang mendapat kesedaran Islam di pertengahan usia, berhadapan dengan dilema. Mereka boleh berubah dan mengubah serba-serbi pegangan dan cara beribadat mereka selama ini. Tetapi apakah mereka ada mekanisma yang jelas, bagaimanakah kesedaran itu boleh dipindahkan kepada anak-anak.

Saya senaraikan 6 siri kursus terakhir yang saya kendalikan, saya bertemu dengan remaja yang ibu bapa mereka bermanhaj Salafi. Namun, anak-anak sebahagian mereka tidak menjadi. Sama ada mereka sendiri yang berasa janggal kerana ‘lain dari yang lain’, atau pun terus menolak dakwah ibu bapa mereka. Salafi tidak, Khalafi pun tidak. Yang ada, adalah generasi remaja yang keliru.

Inilah yang cuba saya ketengahkan di dalam artikel ”AKU SALAFI, ANAK MURIDKU BAGAIMANA”. Saya mahu mengingatkan diri saya dan rakan-rakan, khususnya generasi muda agar tidak memandangkan mudah soal mencetuskan perubahan ini. Ahh, apa yang susahnya, ikut sahajalah cara Nabi, habis cerita. Ya, jika mentaliti seperti ini ada di pemikiran kita, maka lebih baiklah kita berkawan sahaja dengan tikus yang sedang sibuk membaiki labu. Namun, untuk terjun ke medan dakwah tanpa mempedulikan kaedah dan ilmu dakwah, takut binasa lebih banyak dari berjasa.

Jangan ulang kesilapan Mehmet of Birgi di era Othmaniyyah *, jangan ulang kegagalan yang berlaku di tahun 60 an ketika manhaj Ansar Sunnah dibuang daerah dan dihukum semahu-mahunya. Untuk pusingan kali ini, pelajarilah betul-betul dan berbincanglah sebaik mungkin, bagaimanakah kesedaran ini dapat dipupuk secara yang cemerlang, agar kita sebagai mukmin, tidak disengat di lubang yang sama, buat kali entah ke berapa.

Maafkan saya wahai ikhwah Salafi, kerana tersilap menunjukkan kasih dan sayang.

Thooba lil Ghurabaa’…

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur


  • Nota Baharu:

Saya telah tersilap menulis bahawa kesilapan era The Triumph of Fanaticism Daulah Uthmaniyyah abad ke-17 ini sebagai kesilapan Mehmet of Birgi, kerana saya bersandar kepada penulisan Profesor Halil Inalcık di dalam bukunya, The Ottoman. Penyelidikan lanjutan memperlihakan kepada saya bahawa gerakan Kadızadeli membawa pendekatan yang amat berbeza daripada mesej-mesej Imam Birgivi, walaupun mendakwa diinspirasikan oleh Imam Birgivi. – (Hasrizal Abdul Jamil, 2011)

Check Also

Bagaimana Untuk Saya Pulang ke Rumah?

Sesi bersama remaja, banyak suka dan duka “Saya takut nak balik, ustaz!” kata Azmin kepada …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.