Telephonophobia: Kenapalah Tak Angkat Telefon? (Artikel 2007)

“Hoi, angkatlah telefon. Susahlah nak bisnes macam ini!” jerit sebuah sms yang saya terima.

Marah betul penghantar sms itu. Bukan orang lain pun. Kawan saya juga.

Masalah jarang mengangkat telefon telah menimbulkan banyak rasa tidak puas hati pelbagai pihak kepada saya. Ada yang meninggalkan pesan berbunyi kecewa, ada yang terus berputus asa, ramai juga yang memaki hamun, sama ada di dalam sms, mahu pun pun mel suara.

Kenapa saya jarang mengangkat telefon?

Agak susah untuk saya menjawab soalan ini.

Namun mereka yang rapat dengan saya, faham akan ‘tabiat buruk’ ini yang wujud semenjak awal-awal saya menggunakan telefon bimbit, sekitar tahun 1998.

TELINGA

Saya memang ada masalah pendengaran. Malah adik beradik, emak, atuk dan ramai ahli keluarga saya ada masalah pendengaran. Ada yang sampai ke tahap yang kronik dan serius seperti ibu saya yang beberapa kali terpaksa dibedah kerana penyakit Chronic Suppurative Otitis Media (CSOM) . Dalam keluarga saya, sakit telinga tidak boleh diremehkan kerana family history menggesa kami berhati-hati.

Saya belum dan mudah-mudahan tidak mengalami apa-apa penyakit di telinga. Namun masalah utama saya ialah lemah pendengaran. Telinga saya tidak begitu peka terutamanya kepada perbualan yang hampir dengan telinga. Rasanya, orang Melayu mengistilahkan pekak seperti ini sebagai pekak badak! Entah benar atau tidak badak itu ada masalah seperti saya.

Semenjak di Tingkatan 3, saya terus menjalani pemeriksaan rutin kepada telinga dan hampir-hampir menerima sijil yang tidak melayakkan saya untuk mengambil ujian Lisan di dalam SRP kerana lemahnya pendengaran.

Akibat daripada itu, saya tidak suka bercakap telefon. Setiap kali berbual, sekurang-kurangnya 30% daripada perbualan itu saya iyakan sahaja walaupun tidak begitu mendengar dan memahami apa yang diperkatakan (jangan kecil hati!). Sedih juga kerana semasa mengendalikan ceramah, apabila saya bertanya soalan,  saya mengharapkan jawapan. Apabila jawapan diberi, saya pula tidak mendengar dan tidak memahaminya!

Malah sudah semestinya, apabila telefon berdering semasa saya di dalam LRT atau sedang memandu, atau ketika anak saya sedang menangis, saya tidak akan mengangkat telefon kerana ia hanya menyedihkan saya yang terpaksa ‘menipu pemanggil’.

Sebab itulah saya sering berpesan supaya sms saya terlebih dahulu sebelum telefon, agar saya dapat mencari tempat dan suasana yang sesuai untuk saya menangkap butir-butir perbualan itu nanti.

Ini merupakan sebab paling besar dan utama mengapa saya tidak suka menggunakan telefon.

CERAMAH

Sebab kedua mengapa saya tidak suka mengangkat telefon ialah kerana permintaan ceramah. Apabila pemanggil menelefon saya dan meminta persetujuan tarikh ceramah secara spontan, saya kepeningan. Ia peluang dakwah, dan sesetengahnya yang berbentuk latihan, adalah kerjaya saya. Banyak faktor yang perlu saya pertimbangkan sebelum saya boleh memutuskan ya atau tidak.

Saya perlu pastikan tarikh ceramah itu tidak menyulitkan ahli keluarga saya kerana ada masa tertentu isteri saya bekerja shif malam dan beliau juga ada peperiksaan yang memerlukan saya menghulurkan tangan menangani tugas-tugas rumah berserta anak-anak.

Saya juga perlu pastikan, tarikh yang diminta tidak melanggar beberapa tarikh dalam sebulan yang saya sekat supaya saya tidak sibuk menyusukan kera di hutan ketika anak di rumah kelaparan. Saya tegas dalam hal ini, dan saya tidak suka bertolak ansur terhadap hak anak-anak saya kepada saya. Bukan banyak pun, tapi kalau sampai anak menyindir saya “Abi tak pergi ceramah ke hari ini?”, faham-faham sahajalah di level mana susahnya hati saya.

Maka dengan serangan panggilan telefon bertubi-tubi, saya takut mengangkat telefon kerana saya tidak mampu memberikan jawapan spontan.

Kalau dapat pemanggil yang supporting, Alhamdulillah. Tapi kalau yang jenis mendesak, kadang-kadang panas hati juga saya dibuatnya.

Pernah sekali, dialog berikut terjadi:

“Assalamualaikum,” saya memberi salam.

“Waalaikum al-Salaam, ustaz” jawab si pemanggil.

“Saya minta maaf sebab terpaksa membatalkan kuliah Maghrib malam ini. Baru sebentar tadi ibu mertua saya meninggal dunia mengejut di hospital,” saya dengan berat hati memberitahu hajat menelefon.

“Oh ye ke. Kalau begitu, ustaz tolong carikan pengganti, ya!” jawab ‘pegawai surau’ itu.

Aduh, terkejut sekali saya dibuatnya. Tiada ucapan takziah, saya pula diminta mencari pengganti. Tuhan sahaja yang tahu betapa panasnya telinga saya ketika itu.

Akhirnya, saya takut menjawab panggilan telefon.

Pernah juga sesekali saya berkata kepada diri sendiri, “angkatlah telefon tu. Insya Allah bukan nak suruh ceramah”. Lalu saya memberanikan diri mengangkatnya dan…. ya! “Ustaz, boleh tak ceramah….”. Aduh, dalam 10 yang saya angkat pasti 7 daripadanya adalah urusan berkaitan jemputan ceramah, dan saya perlu secara spontan berkata setuju atau tidak.

Saya rasa kadang-kadang seperti saya perlukan seorang sekretari untuk menyusun jadual saya. Saya serius memikirkannya, cuma masih teragak-agak kerana saya masih dibelenggu dengan nasihat-nasihat ‘ustaz kena ikhlas bekerja’ dan keikhlasan yang diamarankan itu menyulitkan seorang PA dibayar gajinya!

PENYELESAIAN

Untuk itu, saya cuba untuk efektif melalui sms. Saya akan membalas sms dan kebanyakan permintaan ceramah dan sebagainya, terurus dengan mudah melalui sms.

Bolehkah kalau saya katakan, “Janganlah telefon saya kerana ia amat menyeksa lagi menakutkan…”. Setiap kali telefon berdering, saya akan secara otomatik menjadi stress dan gelisah, terutamanya jika dari nombor yang tidak dikenali.

Mungkinkah saya tergolong dalam kumpulan manusia bermasalah Telephonophobia?

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Check Also

Sabar dan Hikmah Dalam Berdakwah

Wajah yang menyimpan seribu cerita di bumi Dagistan ARTIKEL INI DITULIS PADA 21 APRIL 2007, …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.