Ujian Kehidupan di Perantauan

“Sakit sangat dah ni. Bengkak pun dah makin besar”, saya memberitahu isteri.

“Esok kita buat pemeriksaan” jawab isteri saya.

Bahagian bawah ketiak kiri saya membengkak sejak sebulan lalu. Saiznya makin besar dan kini sudah seperti sebiji lemon dibelah dua.

Kebetulan isteri saya sedang bekerja di Jabatan Haematologi, maka kami manfaatkan kemudahan itu untuk pemeriksaan.

Selepas diperiksa oleh doktor pakar di jabatan itu, saya digesa supaya segera menjalani pembedahan. Bimbang kalau-kalau bengkak itu berkait dengan kanser.

RAKAN YANG RINGAN TANGAN

Tentu sahaja, isu paling utama adalah soal Saif. Siapa yang mahu menjaganya jika saya dimasukkan ke wad? Ini adalah dilema kami yang hidup di perantauan. Banyak perkara perlu diselesaikan sendiri. Tiada ibu bapa atau saudara mara untuk membantu.

Di sinilah besarnya hikmah bersahabat. Merekalah teman, dan tangan ketika kita berada di dalam kesusahan. Dr. Fendi sekeluarga menawarkan bantuan, untuk menjaga Saif ketika saya dibedah dan isteri mengawasi di wad.

galway_yop.JPG
Saif baru setahun usia semasa saya dimasukkan ke hospital

“Saif jangan nakal-nakal tahu. Main dengan kak Aqilah dan adik Sarah, ok” saya mencium Saif sebelum menyerahkannya kepada Dr. Ina, isteri Dr. Fendi. Saif kebingungan.

Saya telah dibedah dengan general anaesthetic. Pembedahan memakan masa 1 jam dan kira-kira dua jam selepas memejamkan mata, saya dikejutkan oleh doktor yang merawat.

Rasa sakit yang amat sangat menyucuk-nyucuk di tangan kiri saya. Terasa sendat.

“Besar lubang di tangan tu. Dah disumbat dengan kain kasa” kata isteri yang duduk di sisi katil.

Saya hanya mengangguk.

Doktor telah berjaya mengeluarkan sejumlah pus (nanah) yang agak banyak, dan ia telah dihantar ke pemeriksaan unit Patologi. Keesokan harinya, doktor yang merawat saya datang membawa keputusan.

BERITA BAIK VS. BERITA BURUK

“Ada berita baik dan ada berita buruk” katanya kepada saya.

“Mana-mana dahulu pun boleh sahaja” saya membalas perlahan.

“Berita baiknya, ujian untuk mengesan kanser adalah negatif” beliau memberitahu.

“Alhamdulillah” saya menarik nafas lega.

“Berita buruknya ialah, bengkak di ketiak kiri awak adalah Tuberculosis (TB)” doktor tersebut menyambung lagi.

“Allah!” saya termenung. Agak terkejut kerana TB langsung tidak ada dalam jangkaan saya dan isteri.

“Jangan bimbang. TB hari ini boleh disembuhkan. Bukan seperti dahulu lagi” beliau menyudahkan penerangannya.

Saya telah dijangkiti sejenis TB yang agak jarang dialami. Di Ireland, saya adalah pesakit ke-13 yang direkodkan, menurut doktor berkenaan. TB ini bukan batuk kering yang menyerang paru-paru (pulmonary Tuberculosis), tetapi ia adalah jenis yang menyerang lymphatic system. Lymph node di bawah ketiak kiri saya telah dijangkitinya dan pembengkakan berlaku dengan teruk. Kelenjar lymph ini berfungsi sebagai pembekal pertahanan diri apabila berlakunya apa-apa serangan bakteria di dalam tubuh, dan dalam kes saya, kelenjar lymph itu yang diserang.

Doktor memberitahu, TB seperti ini lazimnya masuk ke tubuh pesakit melalui pemakanan bahan-bahan tenusu seperti susu segar, keju dan lain-lain, di mana lembu atau kambing yang menjadi sumber susu itu, dijangkiti TB.

Oleh kerana TB memakan masa bertahun untuk aktif di dalam tubuh, saya menjangkakan bahawa kuman TB ini mungkin saya perolehi semasa mengembara di Turki. Sesekali saya tinggal di kampung-kampung, saya memang ada makan keju yang dibuat sendiri dan susu segar dari ternakan tuan rumah sendiri.

Jika susu itu saya dapati di Ireland, pasti ada pesakit lain yang turut mengalaminya.

MIMPI NGERI

Setiap malam semasa di hospital, rasa sakit yang saya alami memuncak. Tidak boleh tidur. Selepas menerima ubat penahan sakit, kesakitan yang saya alami hilang seketika, tetapi saya terganggu oleh mimpi-mimpi yang menakutkan, setiap kali saya cuba melelapkan mata.

Rupa-rupanya, saya tidak tahan dengan Morfin sebagai ubat penahan sakit. Memang salah satu daripada kesan sampingan Morfin ialah ‘mimpi ngeri’. Saya tidak tahu bagaimanakah dunia penagih dadah yang mengambil morfin secara berlebihan…

Tiga hari kemudian, saya telah dibenarkan untuk pulang ke rumah.

Setiap hari pembantu kesihatan datang ke rumah untuk membersihkan luka saya dan mengganti kain kasa. Beliau menelefon sejam sebelum tiba, agar saya mengambil ubat penahan sakit sebelum kerja membersihkan luka (dressing) dapat dilakukan.

Kasihan Saif kerana tidak dapat saya dukung. Ibunya pun sudah kembali bekerja selepas beberapa hari mengambil cuti. Semua kerja rumah saya lakukan sebelah tangan.

“Barangsiapa yang Allah mahukan dirinya berada dalam kebaikan, nescaya akan diujinya dengan beberapa kesusahan” – Al-Bukhari dan Muslim

TB yang saya alami tidaklah seteruk mana. Tetapi kesan rawatan yang lebih berat dan menguji. Setiap hari, saya dikehendaki memakan 6 biji ubat anti-TB yang terdiri daripada rifampicin dan isoniazid. Tempoh rawatan adalah selama 1 tahun!

Akibat daripada rawatan TB itu, kulit saya menjadi sensitif kepada matahari. Saya tidak boleh keluar rumah kerana sakitnya kulit adalah seperti melecur terkena api. Paling mengerikan saya ialah air liur, air mata dan urin kesemuanya berwarna jingga. Kesan rawatan itu juga, saya telah mengalami masalah gout (metabolic arthritis) yang agak teruk hingga menyukarkan saya untuk berjalan. Pergelangan kaki dan sedikit-sedikit di bahagian tangan, amat sakit dan doktor tidak mahu memberikan apa-apa rawatan kerana ia hanyalah kesan samping daripada rawatan anti TB saya. Apabila rawatan itu berakhir, maka dijangkakan gout itu juga akan berakhir.

Apa yang menyedihkan ialah isteri dan anak saya turut perlu melalui pemeriksaan untuk mengetahui sama ada mereka turut mengalami TB atau tidak. Mereka perlu menjalani Mantoux test, di mana PPD tuberculin disuntik kepada kulit dan reaksinya akan diukur selepas 48 – 72 jam.

Menjerit-jerit Saif menangis kerana sakit dicucuk di permukaan kulit. Saya hanya mampu berserah kepada Allah.

mantoux.jpg
Mantoux Test

Saya tidak dapat membayangkan jika isteri saya juga dijangkiti kuman tersebut kerana tentunya kami berdua tidak dapat bekerja. Simpanan juga tidak banyak mana untuk menghadapi hari-hari yang kami tidak bekerja.

Syukurlah, Saif dan ibunya terselamat. Mantoux test mereka berdua negatif.

TB yang saya alami ini tidak merebak dan tidak berjangkit kepada sesiapa. Tetapi kefahaman ramai orang, TB itu adalah batuk kering… maka saya ditimpa sakit yang tidak mengundang ziarah sesiapa.

SEPI DI RUMAH

Beberapa bulan terlantar di rumah, saya berasa murung.

Sebagai seorang yang sentiasa bersama orang ramai, saya tertekan kerana lama terkurung di dalam rumah. Kelas hadith yang saya kendalikan di NUI Galway terpaksa diberhentikan. Solat Jumaat juga sering tidak dapat saya hadiri, khususnya apabila cuaca panas dan akibat kekurangan mobilisasi saya dan isteri, kami menghadapi masalah kewangan yang agak teruk.

Mempelajari bahawa Allah itu Al-Razzaq, tidak sehebat mengalaminya.

Ada hari, saya tidak dapat ke masjid untuk solat Jumaat kerana kulit yang sensitif kepada cahaya. Tetapi ada harinya saya tidak dapat ke masjid kerana tidak cukup wang. Untuk berjalan kaki, badan tidak berupaya. Untuk membayar tambang teksi sekadar €5, tiada kemampuan. Tempoh itu adalah saat-saat yang getir semasa kami sekeluarga hidup di perantauan, yang tersembunyi di sebalik gelak tawa dan senyuman.

Inilah saat-saat kami sekeluarga belajar merasai apakah yang dikatakan Allah itu Tuhan yang Razzaq. Mempelajarinya sebagai ilmu dan maklumat, tidak ‘sehebat’ mengalaminya sendiri.

Selepas 6 bulan menjalani rawatan, doktor mengesahkan yang saya sudah pulih sepenuhnya. Tempoh pemulihan itu cepat kerana saya tidak merokok dan tidak minum arak, katanya.

PENGHARGAAN

Terima kasih kepada rakan-rakan di Galway yang membantu selama saya menerima rawatan itu. Terima kasih juga kepada beberapa rakan yang memberanikan diri melawat saya yang kesunyian terkurung di rumah berbulan lamanya. Terima kasih juga kepada kakitangan public health di Galway yang sangat berdedikasi merawat saya di rumah selama lebih sebulan sebelum saya sendiri yang ‘memecat’ mereka.

galway_students.JPG
Pelajar di Galway malah Ireland, sangat bermurah hati membantu

Kehidupan di perantauan amat memerlukan kita untuk saling berukhuwwah. Sahabatlah teman di sisi untuk kita berkongsi kesenangan dan mencari tangan membantu diri tatkala kesusahan.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada isteri saya yang amat bersabar dengan had mobilisasi saya selama saya menerima rawatan tersebut.

Paling utama, syukur kepada-Mu yang Allah. Tuhan yang menyembuhkan, tiada kesembuhan melainkan kesembuhan yang dikurniakan-Nya, kesembuhan yang tidak berbekas selain ganjaran atas sabar dan tawakkal.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.