Nafas Baru: PUISI 2007

“Mudah-mudahan semua yang kita rancang ini berjalan lancar, Ameen”, saya mengakhiri mesyuarat kami di Masjid al-Syakirin KLCC baru-baru ini.

Pertemuan itu sungguh bermakna. Saya bertemu dengan AJK program PUISI 2007 yang pulang bercuti ke Malaysia. Perbincangan kami adalah untuk memutuskan isi kandungan PUISI 2007 akan datang.

Ke Ireland lagi nampaknya…

Alhamdulillah PUISI 2006 telah berlangsung dengan baik. Saya dijemput untuk PUISI 2007 pula. Mudah-mudahannya PUISI 2008 mereka akan mencari penceramah yang lain pula kerana sesedap mana pun sambal sotong itu, kalau asyik sambal sotong yang sama, lama-lama jemu juga.

Jika PUISI 2006 saya memperkatakan tentang The 7 Habits of Highly Effective Muslim, apa pula tema PUISI 2007 akan datang?

Inilah yang menariknya.

Semasa PUISI 2006, saya telah ‘mengislamkan’ 7 Habits yang Barat dan ‘moden’, maka PUISI 2007 saya akan memoden dan membaratkan sesuatu…

APA ERTI SAYA MENGANUT ISLAM

Ya, bukunya sudah cukup terkenal di serata pelusuk ceruk rantau yang ada manusia berhimpun di atas nama USRAH. Maza Ya’ni adalah buku yang sudah sinonim dengan Usrah.

Hingga ada pula yang sudah menarik muncung dan mencebik hidung apabila buku “Apa Erti Saya Menganut Islam” oleh Fathi Yakan itu disebut.

Cabaran kali ini, saya akan berusaha untuk memberikan nafas baru kepada buku itu. Mengolahnya dengan pendekatan yang kontemporari dan cabaran besarnya ialah, bagaimana buku ini boleh diberi sentuhan baru agar berupaya mendepani nilai-nilai dan pemikiran Barat yang mendominasi massa hari ini.

Inilah misi saya bagi PUISI 2007.

Saya mesti Muslim dari segi Aqidah, saya mesti Muslim dari segi Ibadah, saya mesti Muslim dari segi Akhlaq, saya mesti Muslim pada ahli keluarga dan rumahtangga, saya mesti berupaya menguasai kemahuan diri dan saya mesti yakin bahawa masa depan adalah untuk Islam… inilah garapan yang mesti diolah… agar ia mampu menjadi jawapan kepada missing link di antara Islam dan ‘Muslim’ kurun ke 21.

Pendekatan tetap sama… santai, beranalogi berserta story board yang tersusun agar setiap satu slot berkait di antara satu sama lain. Ia bukan 7 ceramah yang dihimpun dalam satu program. Ia adalah 7 ceramah yang berepisod dan ada kontinuiti!

MENGAPA MAZA YA’NI?

Mesejnya mudah.

Saya mahu mendidik diri dan masyarakat agar kuat menghargai kebaikan dan bijak memanfaatkannya.

“Eleh, buku 7 Habits is nothing la.. Semua sudah ada dalam al-Quran! Stephen Covey ciplak!”, antara ayat yang saya biasa dengar apabila 7 Habits mahu diketengahkan.

Kenyataan seperti ini adalah kombinasi ego dan ‘tidak cerdik’. Ia terbit dari supremacy attitude yang merugikan. Asalkan ada sahaja yang sama dengan Islam, semuanya dituduh ciplak.

Ilmu dan kebijaksanaan bukan hanya terletak pada mencari fakta agar jahil menjadi tahu. Tetapi kemahiran mengolah dan menyusun apa yang kita tahu, hingga ia boleh dimanfaatkan oleh orang ramai, juga adalah suatu kebijaksanaan yang perlu dipelajari.

Kalau semua itu sudah ada dalam al-Quran, kenapa tidak ada yang bijak mengolahnya agar menarik, praktikal dan hebat seperti 7 Habits? Maka kebijaksanaan Stephen Covey bukan hanya pada mengetahui apa yang dia tahu, tetapi kebijaksanaannya mengolah apa yang ia tahu, sehingga menjadi sebuah modul yang mencetus MAHU.

Maka penyakit memperlekeh usaha baik mana-mana pihak seperti Covey, adalah suatu kelemahan jati diri bagi sesiapa yang mendemonstrasikannya.

PUISI 2006 adalah usaha saya untuk memberi mesej kepada orang ramai, bahawa jangan memusuhi secara pukat tunda, semua yang datang dari Barat. Apa yang baik, manfaatkan. 7 Habits telah saya cuba Islamkan… pada kadar keupayaan yang ada.

PUISI 2007 pula, saya mahu memberi mesej kepada orang ramai, bahawa khazanah yang kaya di dalam tradisi keilmuan Islam, jangan disia-sia. Andaikata perubahan masyarakat telah ketara maka jangan terlalu cepat menganggap bahan yang datang dari perpustakaan Islam sudah lapuk dan tidak relevan. Andalah yang perlu bijaksana mengolah penampilannya, agar substance yang kaya dan tinggi itu tidak disia-sia.

Maka buku ‘Apa Erti Saya Menganut Islam’ yang telah banyak memberikan impak kepada generasi saya, harus disuntik beberapa elemen baru agar terus dinamik dan menepati cabaran semasa yang ada.

Itu impian saya dan saya sudah mula merangka modulnya.

Semoga PUISI 2007 dapat melahirkan insan-insan yang menghargai kebaikan, untuk mereka pula bekerja memberi kebaikan…

Ameen.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.