Biar Pun Atas Nama Anak Yatim

“Nak, beli madu ni nak. Bagus madu ni” kata pakcik di sebelah saya.

“Tak apa pakcik, di rumah saya ada lagi madu belum habis. Membazir pula nanti” saya membalas dengan baik.

“Jangan begitu, nak. Madu ini berkualiti tinggi dan pakcik menjualnya untuk anak yatim. Ini surat pengesahan” pakcik tersebut sedikit mendesak. 

Beliau mengeluarkan sijil Halal JAKIM. Saya melihatnya ala kadar kerana saya tidaklah ada keraguan terhadap halal atau tidaknya madu, hingga perlu disahkan oleh JAKIM. Namun dokumen berkenaan Rumah Anak Yatim itu saya perhatikan. Kurang pasti kesahihannya.

“Madu ni hidup. Jadi dia tak rosak. Elok untuk dewasa dan kanak-kanak” katanya lagi.

Tiba-tiba beliau mengambil dan membuka botol susu Imad, lalu terus menuangkan sedikit madu ke dalamnya.

“Hishh, mengarut betul pakcik ni. Sabar, sabar… aku puasa” hati saya mendengus kemarahan.

“Berapa harga madu ini?” saya bertanyakan harga. Semata-mata mahu segera menamatkan  skesta menyakitkan hati di pusat membeli belah itu.

“Dua botol RM30″ balasnya sambil membungkuskan dua botol madu tersebut.

“Eh, satu sudah. Saya tak nak membazir”  saya menahan tangan pakcik tersebut.

“Ambillah dua, dapat beri lebih lagi kepada anak-anak yatim” jawabnya dengan penuh yakin.

Saya panas hati.

Sambil membungkus botol madu itu, beliau menasihati anak saya Saiful Islam supaya mendengar cakap ibu bapa, solat berjemaah dengan ayah dan menjadi anak yang baik. Saiful Islam tidak begitu mengendahkan cakap beliau kerana masih tertumpu kepada perbuatannya memasukkan madu ke dalam botol susu Imad.

Saya mengeluarkan wang kertas RM50 untuk membayar harga dua botol madu itu tadi.

“Duit lebih ni (RM20) pakcik tak payah pulangkanlah ye nak. Kita bagi anak yatim!” katanya sambil memasukkan terus wang kertas saya itu tadi ke dalam poketnya.

“Pakcik!!” saya hilang sabar.

“Walaupun pakcik jual madu ini untuk tolong anak yatim sekali pun, tapi cara pakcik berniaga ni salah!” saya sedikit meninggikan suara.

Pakcik tersebut tersentak.

Beliau menggangguk dan memulangkan RM20 kepada saya.

Saya tidak menghabiskan ayat kerana mahu segera menekan butang PAUSE. Saya mengurut dada dan berkata perlahan, “aku posa, aku posa!

Biar pun jualan itu adalah untuk membantu anak yatim, cara pakcik tersebut berniaga sungguh tidak kena. Beliau mendesak saya, bertindak memasukkan madu itu ke dalam botol susu anak saya tanpa kebenaran, dan menekan-nekan hingga akhirnya saya membeli bukan kerana mahukan madu, atau malah mungkin juga bukan kerana mahu menolong anak yatim, sebaliknya semata-mata kerana mahu ‘menghalau’ beliau.

Apakah ini suatu format gharar?

Biar pun konsep gharar itu tidak berada di tahap signifikasinya seperti riba, namun ia juga merupakan unsur yang umumnya harus dijauhkan daripada sebarang proses muamalat. Perbuatan-perbuatan yang menghilangkan rasional pembeli hingga akhirnya melakukan pembelian tanpa saling reda, atau hingga membawa kepada kerugian, penyesalan dan seterusnya kebatilan, tidak sesuai dengan akhlak Islam, apatah lagi atas nama anak yatim!

“Bagi nombor telefon anak kepada pakcik. Boleh pakcik hubungi nanti kalau-kalau pakcik ke markaz Menglembu nanti” katanya kepada saya selepas mengetahui saya orang Ipoh.

“Tak apa pakcik!” saya mengelak.

“Bagilah!” desaknya lagi.

“Kalau saya ada apa-apa saya telefon nombor di botol madu itu. Ada dua botol yang saya beli tadi. Assalamualaikum pakcik!” saya segera menarik Imad, Naurah dan Saiful Islam beredar dari situ menuju Ummu Saif yang berada tidak jauh daripada kami.

“Kenapa tu bang?” Ummu Saif bertanya.

“Latihan menekan PAUSE button. Inni Saa’im!” saya menjawab ringkas sambil beredar.

Rosak sedikit Ramadanku hari ini.

Hasrizal

Facebook Notice for EU! You need to login to view and post FB Comments!

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.