Bercadang Untuk Tidak Berpuasa

“Ustaz, saya bercadang untuk tidak berpuasa di bulan Ramadan ini sebab saya terpaksa menduduki peperiksaan” kata seorang mahasiswi melalui emelnya kepada saya.  

“Saya yang lemah iman tidak mungkin boleh berpuasa Ramadan ini sebab aktiviti minggu orientasi yang berat!” maklum seorang mahasiswa pula.

“Saya terlalu bernafsu kuat dan sering melakukan onani termasuk di Ramadan ini. Apakah nasib saya ustaz?” tulis seorang… maaf bukan seorang, tapi beberapa orang pelajar perempuan melalui emel kepada saya. Ya, perempuan. Bukan lelaki.

Muka saya merah, telinga kepanasan.

Jika hanya seorang yang bercadang untuk tidak berpuasa, saya dengan mudah menganggapnya sebagai kes terpencil. Tetapi Ramadan kali ini (di tahun 2008) saya dihubungi oleh sejumlah mahasiswa dan mahasiswi yang telah awal-awal lagi berazam untuk TIDAK BERPUASA, kerana ada sesuatu yang berlaku di dalam hidup mereka selain soal makan dan tidur.

Peperiksaan…

Aktiviti minggu orientasi…

Banyak bekerja shif malam…

BUKAN TERPENCIL

Kesemua emel yang saya terima di bawah kategori ini saya himpunkan tanpa tergesa-gesa menjawabnya. Saya mula mengumpul apabila dua atau tiga emel senada datang menjengah, seawal minggu pertama Ramadan. Apakah ini satu trend? Jumlahnya signifikan. Datangnya dari empat penjuru bumi.

Membimbangkan!

Di manakah silapnya?

Kelemahan jati diri anak watan kita ini sudah amat kritikal. Tolaklah ke tepi semangat-semangat yang sedang dicari untuk berjihad, membela umat, membebaskan Palestin dan menebus kemunduran bangsa.

Mungkinkah ini salah satu sebab mengapa Malaysia gagal mendapat pingat emas di dalam Sukan Olimpik. Negara ini melahirkan bangsa manusia yang lemah determination biar pun tinggi IQ, hebat teknologi, mewah kemudahan prasarana, banyak ilmu dan lebih segala-galanya. Kita sama-sama tahu Olimpik bukan medan kemenangan hasil kompetensi fizikal semata-mata. Tetapi juara-juara itu mempunyai kekuatan psikologi yang juga bertaraf Olimpik.

Semua aspek negara kita terbangun dan bangkit ‘maju’, tetapi kita semakin berkrisis pada manusianya. Soal kausa prima!

AMARAN

Perbuatan menyengajakan tidak berpuasa atau berbuka tanpa uzur syar’i yang kita sedia maklum, adalah dosa besar yang berat ancamannya daripada Allah dan Rasul.

Daripada Abi Umamah al-Bahili beliau berkata, aku telah mendengar Rasulullah sallallāh ‘alayhi wa sallam bersabda : Semasa aku sedang tidur, datang dua lelaki kepadaku dan mendapatkan aku pada tangannya lalu membawa aku ke hujung gunung. Mereka berkata : Naiklah ke atas. Aku berkata: Aku tidak boleh. Mereka berkata. Sesungguhnya kami akan mempermudahkan bagimu. Maka aku mendaki sehingga sampai ke kemuncak gunung tersebut. Kemudian aku mendengar suara-suara yang kuat. Aku berkata : Suara apakah itu? Mereka berkata: Ini adalah suara pekikan manusia dari neraka. Kemudian aku bergegas sehingga aku melihat manusia digantung di belakang lutut mereka, dengan di tepi mulut-mulut mereka koyak dan darah keluar dari mulut-mulut mereka. Aku berkata: Siapakah mereka ini? Mereka berkata: Ini adalah mereka yang berbuka puasa sebelum waktunya. – [Hadith disahihkan oleh al-Albani di dalam  Mawaarid al-Zam’aan, #1509]

Wahai adik-adikku, teguhkanlah jati diri kalian.

Jangan jadikan keselesaan hidup hari ini fitnah ke atas dirimu! Susah hidup semalam dan senang selesa hidup hari ini, semuanya menuju ke KESUSAHAN AKHIRAT yang SAMA. NERAKA YANG SAMA.

Doaku agar kita semua berhimpun di SYURGA.

Hasrizal

Facebook Notice for EU! You need to login to view and post FB Comments!

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share