Alhamdulillah, penggambaran drama CINTA SEMPURNA berjalan lancar. 300 orang warga kerja terbabit sama, ia suatu produksi yang boleh dikira besar.
Saya banyak mengikuti perkembangan mengenainya dari halaman blog Ustaz Zabidi Mohamed selaku penulis skrip, juga blog rasmi untuk drama CINTA SEMPURNA ini iaitu di oasis-cintasempurna.blogspot.com.
Hari ini, produksi drama CINTA SEMPURNA mengadakan Sidang Media di salah sebuah lokasi utama penggambaran iaitu di Sri Rahmat, kediaman Datuk Abul Hasan yang terletak di Sungai Penchala. Saya yang turut menerima undangan, hadir bersama dengan sahabat, Ustaz Muhammad al-Adib Samuri yang juga bertindak selaku pegawai penasihat Syariah kepada drama ini.
Alhamdulillah, program berjalan lancar.
Biar pun hujan lebat mencurah-curah, program diteruskan juga. Scene Shila dan Najib baru pulang dari UK, disambut dengan party oleh ibu bapa mereka, turut menjadikan majlis petang tadi sebagai salah satu sempenanya. Di dalam majlis ini, saya berpeluang bertemu dengan pelakon-pelakon utama yang menjayakan drama CINTA SEMPURNA ini.
Antaranya ialah Mohd Ashraf Muslim sebagai Ustaz Nazir, Tengku Tiara Yasmin Sofia sebagai Shila, Wan Hafizol Wan Omar (Fizo) sebagai Najib, Akbar Azmi sebagai Izharman, bersama dengan Ustaz Dinie sebagai Bilal, En Yazal sebagai Haji Salim, Mahmud Ali Basha sebagai Datuk Burhan dan Maria Farida sebagai Datin Zarina.
Hanya Siti Fazurina yang memegang watak Dr. Najihah sahaja yang belum pernah saya ketemu.
Yuna juga hadir di dalam majlis ini.
Mungkin dalam senarai pelakon yang ramai itu, Ashraf Muslim merupakan pemegang watak yang paling menarik perhatian saya. Watak Ustaz Nazir adalah pengembangan kepada diri saya. Namun watak itu telah mengalami hampir 80% penambahan untuk menghidupkannya. Saya yang sama dengan Ustaz Nazir di dalam drama ini, hanya daripada sudut idea yang dibawa.
Selebihnya, saya hanya mampu tersenyum.
Ummu Saif juga mungkin tersenyum sama, memikirkan watak Dr. Najihah iaitu tunang kepada Ustaz Nazir ini.
Konflik mereka sungguh di luar kotak. Saya sudah diberikan taklimat berhubung dengan kesudahan kemuncak kepada drama ini, sesuatu yang tidak disangka-sangka namun cukup untuk menjustifikasikan tajuknya CINTA SEMPURNA.
MAKLUM BALAS
Maklum balas pembaca begitu pelbagai. Macam-macam pandangan dikemukakan kerana masing-masing meletakkan expectation masing-masing tentang drama ini. Ada yang mahu pelakonnya semua bertudung, ada yang mahu cinta dikurangkan daripada drama ini, dan fokus kepada dakwahnya… dan 1001 permintaan lagi.
Hanya satu yang ingin saya jelaskan…
Saya bukan pemilik drama ini dan pembabitan saya hanya berkisar pada penyediaan asas skrip dan idea cerita ini. Itu sahaja. Justeru saya lebih berada di kerusi penonton yang menanti hasil rupa bentuk drama ini, berbanding dengan beradanya saya di kerusi pasukan di balik tabirnya.
Namun, jika Islam mahu diperkatakan di pentas drama, apakah yang dinamakan sebagai drama Islam? Filem Islam?
Filem-filem Irankah yang menjadi benchmark ukuran? (‘Terima kasih’ kepada imej paparan filem Iran yang berjaya melunakkan persepsi kita tentang kebejatan Aqidah dan pendirian siasah Iran).
Atau filem dan drama Indonesia seperti Ayat-ayat Cinta, Kiamat Sudah Dekat dan Laskar Pelangi?
Atau produk Malaysia seperti Syukur 21?
Atau animasi seperti Upin dan Ipin malah Kungfu Panda?
Saya suka untuk mendengar pandangan pembaca.
Tetapi misi saya ialah, sebelum CINTA SEMPURNA keluar sebagai suatu produk, tanggungjawab saya sebagai seorang da’ie adalah untuk menyampaikan mesej Islam kepada insan-insan yang berpengaruh besar ini. Antara kaedah terbaik untuk berkongsi nasihat atas kebajikan dan taqwa kepada mereka, ialah dengan memberikan skrip yang baik, berserta sebuah buku sebagai manual kerja.
Menjenguk sedikit ke dunia seni seperti ini, kegembiraan yang menjadi keraian hati saya ialah pada kejayaan MEMBERI kepada mereka. Namun saya masih dan sentiasa berdoa kepada Allah agar kegembiraan itu adalah keraian Iman yang benar, bukan terhelah oleh hedonisma dan kelalaian semata.
Sebagaimana saya membataskan diri dalam gelanggang siasah, demikianlah juga batasan saya di gelanggang seni. Kita memerlukan ramai manusia yang berfikir di balik tabir.
Di balik tabir.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang