Kebuntuan Bapa Terhadap Pendidikan Anaknya

Ini kelemahan terbesar saya.

Saya tidak pandai mengajar anak mengulangkaji pelajaran.

Saya boleh mengorek banyak benda daripada jiwa dan minda anak, tetapi untuk mengajarnya mengulangkaji pelajaran, ia sangat sulit. Mungkin itulah yang saya warisi daripada zaman kanak-kanak saya. Saya tidak pernah dipaksa belajar, tetapi saya belajar sendiri. Saya membaca buku murid darjah 3 semasa saya di darjah 1. Semasa darjah 3, saya bosan pula dengan pelajaran darjah 3, dan mencari buku lain. Saya belajar sesuka hati, dan itulah cara belajar saya untuk keputusan-keputusan peperiksaan saya di sepanjang zaman persekolahan.

Jarang sekali abah menyuruh saya belajar.

Sesekali sahaja dia bertanya. Mungkin apabila saya kelihatan terlalu banyak bermain dan leka. Saya tidak ada pengalaman disuruh belajar semasa menjadi anak. Kini susah hendak menyuruh anak belajar semasa menjadi bapa.

Sungguh serabut, untuk mendesak, mendesak dan terus mendesak si anak duduk mengulangkaji pelajaran. Saya boleh menjawab soalan andai ada yang anak-anak tidak tahu, mengajar mereka beberapa perkara yang mungkin mereka terlepas pandang daripada kelas di sekolah. Tetapi saya tertekan apabila mendapati anak-anak saya tidak tahu apa-apa, kebingungan apabila balik ke rumah, dan saya perlu mengajar satu persatu apa yang ada di dalam  buku.

Panas hati.

Kerja rumah sepatutnya untuk mengemaskini apa yang sudah dipelajari di sekolah. Bukannya di sekolah tidak faham, kemudian ibu bapa kena fahamkan semasa anak di rumah. Apa maknanya hantar anak ke sekolah, kalau fahamnya sering di rumah?

Mujurlah ada Ummu Saif.

Dialah yang sabar mengajar anak-anak. Walaupun dengan marah dan selalu juga jadi tertekan, dia terus mengajar dan mengajar. Mungkin isteri saya kecewa kerana saya tidak berada di paras yang sama dengannya dalam mengendalikan latihan tubi untuk anak-anak. Saya juga tidak punya apa-apa alasan untuk mempertahankan diri.

Saya mengalah.

ISU YANG LEBIH BESAR

Jauh di fikiran saya, ada sesuatu yang lebih mengganggu fikiran. Selain cara belajar saya semenjak kecil hingga dewasa yang bebas tanpa disuruh-suruh, kesusahan untuk mengajar anak berpunca daripada rasa bantahan saya kepada silibus. Serba serbinya bercanggah dengan apa yang ada di kepala saya.

Siapalah saya untuk mengkritik silibus?

Saya bukan guru.

Saya bukan pakar pendidikan.

Hanya secebis pengalaman tatkala diamanahkan menjadi Pengetua dan guru di Belfast Islamic School, pengalaman di sana amat melekat di kepala saya.

Saya masih ingat, betapa silibus-silibus sedia ada yang diguna pakai di sekolah-sekolah sekitar UK dan Ireland banyak yang menimbulkan masalah kepada murid-murid. Kebanyakan sekolah, menggunakan silibus yang dirasakan bagus hasil pengalaman ibu bapa yang belajar di negara masing-masing. Lalu silibus Arab Saudi, Mesir, Pakistan, Turki dan Bangladesh dibawa untuk dijadikan bahan mengajar anak-anak mereka yang lahir dan membesar di United Kingdom.

Di sekolah, saya pendamkan kebanyakan silibus dan saya gantikan ia dengan pelbagai bahan yang bersifat permainan dalam mengajar, terutamanya bagi pelajar-pelajar peringkat rendah. Saya ajak anak-anak murid menonton pelbagai video seperti Adam’s World, malah Sesama Street juga, tetapi kemudiannya diikuti dengan perbincangan, perbualan, gelak ketawa, dan dalam suasana itulah, murid-murid ini saya ceriakan dalam pembelajaran mereka di Islamic School saya.

Sunday School.

Sekadar Ahad.

Ketika itu, saya mengajar sambil meribakan Saiful Islam. Saya yang bukan guru, tidak pernah menerima latihan perguruan, hanya meyakini fitrah anak-anak bahawa kegemaran mereka bermain itulah sebenarnya alat terbaik untuk mereka belajar.

Self-initiative, self-directed dan self-chosen…

Tugas guru pula adalah untuk menyediakan pelbagai alat permainan dan aktiviti yang boleh dipilih dan seterusnya bercakap dengan murid-murid tentang apa yang mereka main, sebagai suatu proses pembelajaran yang menjadikan anak-anak suka belajar.

Saya sedar semua itu tidak cukup.

MASTERS  OF EDUCATION

Selepas menyelesaikan kontrak di Belfast Islamic School / Islamic Centre, saya mendaftarkan diri sebagai pelajar di dalam program Masters of Education di The Open University UK dengan pengkhususan Learning, Curriculum and Assessment.

Saya masih ingat, dua kes saya bentangkan kepada rakan-rakan sepengajian yang berada di Hawaii, di Jepun, di penjara Amerika Syarikat serta Isle of Man. Menerusi internet, kami berdiskusi tentang kes yang saya bentangkan iaitu:

Bagaimanakah dalam sebuah sekolah rendah yang ada pelajar berketurunan Pakistan dan Turki (Hanafi), Melayu (Syafie), Morocco (Maliki) dan Arab Saudi (Hanbali), subjek fekah mahu diajar? Misalnya dalam bab Qunut atau pembatalan wudhu’?

Bagaimanakah perbandingan agama mahu diajar kepada murid-murid yang 20% daripada mereka berbapakan Muslim serta beribukan Kristian, ibu berkelakuan baik dan bapa banyak masalah moral. Apakah justifikasi kebenaran agama jika contoh pengalaman tidak menyokong teori?

Ini adalah dilema-dilema yang saya hadapi semasa mengendalikan sekolah. Saya sangat menyukai pengajian itu dan konsisten bertemu dengan penyelia jauh di selatan iaitu di Limerick sebulan sekali, berbincang dengan beliau yang beragama Kristian, tentang kaedah mensilibuskan Pengajian Islam bagi murid-murid di sekolah Islam.

Saya masih ingat komen beliau dalam pertemuan terakhir kami, “betapa pentingnya cara agama dibentangkan di dalam silibus, ia boleh menjadi penentu sama ada agama itu difahami dan diterima atau tidak, lebih daripada kebenaran yang ada dalam agama itu sendiri!”

Terpana saya dengan kata-katanya itu.

Rezeki saya tidak di situ. Ummu Saif dipanggil pulang oleh pihak kerajaan untuk bekerja di Malaysia. Kami tinggalkan Ireland secara mengejut untuk pulang ke Malaysia, bersama desakan keluarga. Pengajian saya terbengkalai separuh jalan. Dengan permulaan gaji RM800 sebulan sejurus pulang ke Malaysia, cita-cita untuk menghabiskan pengajian itu saya pendam hingga terpadam.

Sebahagian daripada buku teks MEd saya yang masih ada dalam simpanan

Hari ini, buku-buku dan nota-nota pengajian itu saya keluarkan kembali. Semuanya gara-gara rasa tertekan saya melihat buku teks anak-anak saya serta progres mereka di dalam pelajaran, selepas hampir separuh tahun 2009 berlalu.

Saya berasa sangat terpukul melihat silibus aqidah di dalam buku yang disediakan oleh JAIS, murid tahun 1 diajar tentang 20 Sifat Wajib bagi Allah dan 20 Sifat Mustahil bagi Allah! Saya tidak ada masalah dengan pendekatan Ilmu Kalam dalam penelitian terhadap Usuluddin agama kita, tetapi untuk anak saya yang berusia 7 tahun itu diajar mengimani Allah dengan wasilah ilmu Sifat 20, saya tidak menyetujuinya.

Begitu juga mata pelajaran Bahasa Arab dan Jawi yang lebih daripada apa yang saya belajar semasa di Tingkatan 1 dulu.

Sejujurnya, saya yang hanya seorang layman dalam bidang pendidikan ini, tertanya-tanya, sejauh manakah silibus-silibus ini dibuat dengan mematuhi disiplin pedagogi atau ikut sedap sahaja?

Apabila saya korek halaman web sekolah-sekolah swasta antarabangsa yang berorientasikan silibus UK seperti Mutiara International Grammar School, saya dapat melihat dengan jelas bahawa di sekolah seperti ini, adanya apa yang sepatutnya ada untuk murid-murid belajar. Silibus dibahagikan kepada dua cabang utama iaitu:

  • Subject-based Curriculum (SBC)
  • Activity-based Curriculum (ABC)

Kedua-duanya diimbangkan dengan baik dan saya percaya kesuburan mental anak-anak itulah tapak terbaik untuk agama disemai. Pendidikan yang amat berorientasikan peperiksaan merosakkan rangka fikir anak-anak dan saya takut anak saya 10 tahun daripada sekarang berbangga dengan deretan 20A tetapi mempunyai cara berfikir yang kaku, tidak kreatif dan sekadar menjadi audio player berkualiti tinggi.

Robot Islamik!

Sehingga hari ini, saya masih menyertai Islamic School’s League of America dan mengikuti perkembangan sistem pendidikan Islam di Amerika Syarikat. Terasa begitu cemburu di hati saya melihat bagaimana mereka menikmati fleksibiliti dalam membangunkan sistem pendidikan hingga Islamic Homeschooling juga sudah diterima sebagai salah satu alternatif pendidikan yang rasmi.

Saya ada kerisauan yang besar, tetapi saya mempunyai tahap keupayaan yang kecil. Saya tidak duduk di bidang pendidikan. Mungkin sahaja kerisauan saya ini tidak berasas, tetapi saya sedih melihat anak-anak saya yang agaknya dibesarkan dengan cara lain di rumah, tidak dapat menyesuaikan diri dengan cara pembelajaran yang ada di sekolah mereka.

Semenjak Saiful Islam masuk ke sekolah tadika Islam 3 tahun yang lalu dan kini bersekolah rendah, begitu juga dengan Naurah Sabihah yang juga sudah menyertai sistem berkenaan… saya melihat corak yang sama serta masalah yang sama dalam pendidikan mereka.

Terdetik hati untuk mencuba sistem di sekolah antarabangsa yang tidak Islamik, tetapi saya tidak mampu untuk membayar yurannya. Saya tidak bimbang dengan suasana sekolah yang kebaratan whatsoever, kerana saya sudah bekerja, menjadi pengetua, menjadi guru dan menjadi penyelia kepada pendidikan komuniti Muslim di negara Barat yang benar-benar Barat… dan saya tahu, bekalan terbesar untuk tumbesaran anak-anak adalah pada akal yang sejahtera, bersama check and balance berterusan daripada ibu bapa berkaitan nilai dan norma agama.

Jika akal dan teknik berfikir anak-anak dirosakkan oleh sistem pembelajaran yang salah, agama yang dihayati juga nantinya menjadi superficial.

Saya tidak sekali-kali menyalahkan pihak sekolah atau guru, kerana masalah ini lebih rumit daripada sekadar masalah sekolah atau guru. Mungkin saya semakin hampir tiba ke sebuah kesimpulan, bahawa kecemerlangan pendidikan Islam di dalam sejarah terletak pada sedikitnya campur tangan kerajaan dalam sistem dan silibus pendidikan!

PENYESALAN

Hari ini saya berasa sangat sesal, marah dan geram dengan diri saya sendiri. Saya gagal menekan butang PAUSE dan Saiful Islam menjadi mangsanya.

Beliau mendapat markah yang amat teruk dalam subjek Bahasa Arabnya!

Saya memarahinya hingga buat pertama kalinya dia menangis hingga memercik air mata. Saya sangat tidak kisah dengan apa sahaja output daripada sebuah ujian atau peperiksaan kerana saya ada cara saya sendiri untuk menilai prestasi anak-anak. Tetapi untuk mendapat markah seteruk itu, saya tidak dapat menerimanya.

Setelah anak saya tidur, saya baca kembali jawapan-jawapan yang ditulisnya, saya berasa sangat kesal dengan diri saya sendiri. Pen merah yang ditandakan besar-besar oleh cikgu di atas kertasnya, hakikatnya adalah simbol yang paling tepat dalam menggambarkan harapan saya pada sistem dan silibus seperti ini. Markah itu adalah tanda memberontaknya anak saya kepada sistem yang sama.

Maafkan Abi.

Diri ini buntu memikirkan semua ini.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang
27 Mei 2009

artikelasal

Sidang Media Drama CINTA SEMPURNA

Check Also

Fenomena Agamawan Berbahasa Kesat Dalam Ceramah

Persoalan ustaz-ustazah, orang-orang agama berbahasa kesat di meja ceramah bukan perkara baru. Apabila saya mengulasnya …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share