Min al-‘Āidīn wa al-Fāizīn: Slogan Kemenangan Mendamba Kepulangan

Selamat hari lebaran
Min al-‘Āidīn wa al-Fāizīn
Mari bersalam-salaman
Saling bermaaf-maafan
Ikhlaskanlah diri mu
Sucikanlah hati mu
Sebulan berpuasa
Jalankan perintah agama

Selamat hari lebaran
Min al-‘Āidīn wa al-Fāizīn
Mari mengucapkan syukur
Ke hadirat Illahi
Kita berkumpul semua
Bersama sanak saudara
Tak lupa kawan semua
Jumpa di hari bahagia

Selamat hari lebaran
Min al-‘Āidīn wa al-Fāizīn

Lagu ini berkumandang bersama puluhan lagi koleksi lagu raya, yang saya rasakan seperti memaksa-maksa diri untuk ada feeling dengan Hari Raya.

Dipaksa-paksa sedih bagi apa-apa yang hilang dan tidak tercapai.

Dipaksa-paksa gembira bagi hasil mahsul sebuah Hari Raya.

Tetapi, apa yang mengasak fikiran saya, ialah ungkapan Min al-‘Āidīn wa al-Fāizīn itu. Bukan sahaja ungkapannya di dalam Bahasa Arab, malah maknanya juga saya pasti tidak mudah difahami sekadar dengan menyebutnya di atas lisan. Fahamkah pendendang lagu-lagu raya yang setiap tahun seolah-olah beraya lebih awal daripada kita itu, akan maksud ungkapan tersebut? Maksud saya, mereka merakam program Hari Raya ketika kita masih bertatih puasa. Fahamkah setiap mereka yang melakar kata-kata ini pada sebahagian mesej WhatsApp, poster-poster yang diedar, menjelang hari lebaran?

Atau ia sekadar ungkapan tanpa makna.

Seperti Assalamualaikum yang gersang daripada rasa sebuah doa, atau Insya-Allah yang akhirnya menjadi kosmetik untuk cadangan memungkiri janji?

Fenomena kata-kata tanpa makna ini memang sudah lama wujud, sudah lama berlaku. Kerana itulah agaknya, Hasan al-Banna sering memulakan ceramahnya dengan menyebut:

“Aku alu-alukan kalian dengan alu-aluan Islam, alu-aluan yang asalnya di sisi Allah, penuh kebaikan dan keberkatan, manusia menyebutnya sebagai adat, sedangkan kita menyebutnya sebagai ibadat, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh”

ADAT DAN IBADAT

Dua-dua boleh jadi manfaat. Satu sekadar mengemas kehidupan di dunia, satu lagi memanjang ke Akhirat.

Namun, usahakanlah agar adat itu dibuat dengan sedar akan matlamat, diangkat daripada sekadar suatu kebiasaan kepada suatu jalan taqarrub kepada Tuhan. Mendekatkan diri kepada-Nya. Adat harus dibuat dengan ‘kesedaran hidup berTuhan”, agar adat boleh mendukung nilai ibadat.

Manakala ibadat pula, biar pun melakukannya adalah rutin harian dan kelaziman, janganlah pula sampai dibuat secara auto pilot. Lupa matlamat, terabaikan tujuan. Maka untuk ibadat tidak menjadi adat, buat sesuatu biar dalam keadaan sedar. Sedar akan matlamat, sedar akan asal usulnya perbuatan itu.

Lantas ungkapan-ungkapan Islam yang indah dan molek itu, jangan lagi terungkap tanpa makna, dek kerana terlalu biasa. Berulang kali menyebutnya, hingga terlupa kepada makna.

UNGKAPAN MIN AL ‘ĀIDĪN WA AL-FĀIZĪN

Ungkapan Min al-‘Āidīn wa al-Fāizīn itu adalah suatu ungkapan yang besar.

Kita mengucapkan tahniah atas kejayaan kita memenuhi tuntutan Ramadan, melepasi proses tarbiaahnya dan akhirnya, kita melambai senja Ramadan yang menyinsing dengan suatu diri yang tinggi.

Tinggi kerana kita telah menundukkan nafsu.

Nafsu itu seperti api. Kecil-kecil menjadi kawan, sudah besar menjadi lawan.

Manusia terhijab daripada melihat kebesaran Allah, apabila nafsu terbiar mengganas jadi ammarah. Nafsu yang menipu kita bahawa kita sepatutnya makan lebih daripada yang sepatutnya. Nafsu juga menyebabkan kita bercakap lagha, bercakap lucah, mengamuk dan marah-marah, malah bergaduh dan bertelagah.

Manual.

Digital.

Semua itulah yang diajar oleh tarbiah Ramadan agar kita mengatasinya. Kawal diri supaya jangan diri dikawal oleh nafsu.

Bila nafsu diajar mengenal batas sempadan, barulah diri patuh mengikut piawaian. Dan piawaian itulah apa yang dinamakan sebagai fitrah.

Ramadan melatih manusia menundukkan nafsu, agar dirinya kembali kepada piawaian, kembali kepada fitrah.

Mereka inilah golongan al-‘Āidīn… golongan yang pulang, iaitu kembali kepada fitrah.

MEREKA ITULAH GOLONGAN BERJAYA

Mereka yang berjaya menyerlahkan kembali fitrah diri yang selama ini terkurung di perangkap nafsu dan kejahilan, mereka inilah golongan yang sukses. Golongan berjaya iaitu golongan al-Fāizīn!

“Sesungguhnya berjayalah orang yang membersihkan dirinya daripada belenggu nafsu” (al-Syams 91: 9)

Golongan ini berjaya mengawal dirinya, lantas tidak lagi dikawal oleh dorongan nafsu. Dia sudah merdeka dengan kemerdekaan yang hakiki. Mereka inilah golongan yang berjaya. Golongan al-Fāizīn yang kita sebutkan.

CERMIN DIRI

Maka cerminlah keadaan diri kita semua. Apakah kita telah kembali kepada fitrah diri yang sebenar selepas Ramadan ini? Seandainya tidak, ungkapan-ungkapan itu luluh nilai bertukar menjadi seperti satu ejeken. Mengejek diri sendiri yang jelek, kerana menyarungkan pakaian yang berjenama tinggi, pada ‘tunggul manusia’ yang tiada harga.

Moga benar-benar kita ini kembali kepada fitrah, sebelum kita kembali kepada Allah. Kerana itu sahajalah erti al-Fāizīn, erti yang sesungguhnya.

Ia bukan destinasi yang asing.

Fitrah itu asal kita.

Al-Fāizīn yang didahului oleh golongan yang kembali, berpatah balik, pulang ke asal kita yang baik itu.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

Hasrizal

Check Also

Puasa Dalam Pelbagai Agama

“Oh, di dalam agama Kristian, jika berpuasa biasanya seseorang itu akan ‘muram’ dan bermuhasabah untuk …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.