Puasa Dalam Pelbagai Agama

“Oh, di dalam agama Kristian, jika berpuasa biasanya seseorang itu akan ‘muram’ dan bermuhasabah untuk memperbaiki diri. Bukannya bergembira” kata Chaplain universiti.

Kami ketawa lucu.

Semasa Muhammad membentangkan tentang puasa di dalam Islam, beliau menunjukkan foto kemeriahan berbuka puasa di Ukraine dan Mesir. Puasa di dalam Islam sering terkait dengan kemeriahan berbuka, dan pelbagai aktiviti sosial. Bagi kita itu semua biasa. Tetapi rupa-rupanya ia agak menghairankan bagi sesetengah rakan agama lain.

Semalam, kami bertemu di dalam dialog bulanan Interfaith yang dianjurkan oleh Chaplain universiti dengan kerjasama Student Union. Topik semalam adalah mengenai puasa di dalam agama-agama yang berbeza. Kami berpeluang mendengar pembentangan mengenai puasa di dalam agama Islam, Hindu, Kristian Lutheran dan Pentecostal.

Rakan Kristian Gereja Calvin kami juga ada memetik sepotong ayat daripada Bible. Beliau menegaskan bahawa adalah penting bagi rakan Kristian untuk mengetahui apa sebenarnya yang Jesus perkatakan mengenai puasa itu sendiri.

Beliau memetik ayat berikut:

16 “When you fast, do not look somber as the hypocrites do, for they disfigure their faces to show others they are fasting. Truly I tell you, they have received their reward in full. 17 But when you fast, put oil on your head and wash your face, 18 so that it will not be obvious to others that you are fasting, but only to your Father, who is unseen; and your Father, who sees what is done in secret, will reward you.

[Matthew 6: 16-18] 

Ketika mendengar penerangan beliau mengenai ayat ini, saya turut mengambil kesesuaian dengan berkongsi bahawa perkara yang lebih kurang sama turut ada dipesankan oleh Nabi Muhammad sallallahu ‘alayhi wa sallam di dalam sepotong hadith Qudsi apabila Allah menyebut:

كلُّ عملِ ابن آدمَ له إلا الصيام؛ فإنه لي وأنا أجزي به

“Setiap amalan anak Adam itu adalah untuk dirinya sendiri kecuali puasa. Sesungguhnya ia adalah untuk-Ku dan Akulah yang mengganjarkan dia.

Muttafaq ‘alayhi

Puasa berbeza dengan ibadah yang lain. Ia tidak kelihatan, dan melakukannya boleh serta perlu menjadi sesuatu yang eksklusif antara dirinya dengan Allah. Tidak seharusnya seseorang itu bermegah-megah dengan puasanya.

Antara perkara unik yang saya belajar semalam ialah bagaimana di dalam agama lain, kaifiyat atau tatacara puasa itu banyak ditentukan oleh pelakunya sendiri. Ada yang berpuasa daripada makan daging merah, malah rakan daripada gereja Pentecostal mengatakan bahawa mereka sekarang ini sering menggalakkan puasa daripada media sosial. Puasa digital!

Semasa dialog, rakan-rakan ada menjelaskan mengapa kaifiyat puasa di dalam agama mereka ditentukan sendiri, tetapi saya belum berupaya merumuskannya untuk ditulis di sini. Masih perlu diulangkaji, apabila berkelapangan nanti Insya-Allah.

PEMBAHAGIAN IBADAH DI DALAM ISLAM

Apa yang saya pasti, di dalam Islam, ibadah kita terbahagi kepada dua, iaitu ibadah khusus dan ibadah umum.

Ibadah khusus itu, kaifiyatnya sudah ditentukan oleh Allah dan Rasul. Setiap Muslim perlu belajar ilmu mengenainya dan berusaha melakukan ibadah tersebut sama seperti bagaimana ia dilakukan oleh Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam sebaik mungkin.

صلّوا كما رأيتموني أصلي

“Bersembahyanglah kamu sebagaimana kamu melihat aku bersembahyang”

خذوا عنّي مناسككم

“Ambillah daripadaku (tatacara) ibadah haji kamu”

Perbuatan mengubahsuai ibadah khusus akan menjerumuskan seseorang itu ke dalam bid’ah, iaitu sesuatu yang ditegah.

Manakala ibadah umum pula adalah apa sahaja perbuatan ‘duniawi’ yang baik seperti makan minum, tidur, berjalan, beriadah… yang dilakukan dengan maksud mendapat kebaikan yang Allah redha, bersih daripada kejahatan dan hal-hal yang memudaratkan… ia juga menjadi ibadah, dalam konteks ibadah umum. 

Ibadah umum ini tidak ditentukan kaedahnya oleh nas, tetapi terserah kepada ilmu pengetahuan manusia untuk menyelidik cara yang terbaik untuk ia dibuat.

Wujudnya ibadah khusus dan ibadah umum, membolehkan seorang Muslim itu merencana seluruh hidupnya sebagai ibadah. Habis ibadah khusus, sambung ibadah umum, kembali ke ibadah khusus, teruskan pula dengan ibadah umum, 24 jam sehari, 7 hari seminggu, sepanjang masa.

Perbincangan selanjutnya, ada saya muatkan di dalam vlog kali ini.

Semoga bermanfaat.

Hasrizal

Facebook Notice for EU! You need to login to view and post FB Comments!

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share