Pertemuan Ilmuan Dan Da’i Malaysia

Foto ihsan Zaharuddin.Net

Saling berpesan untuk kebenaran bersama kesabaran, bukanlah agenda kecil.

Ia mengiringi untung rugi hidup sebagai hamba Allah yang menghargai masa kehidupannya.

Alhamdulillah segala puji bagi-Nya yang telah melimpahkan kurniaan rezeki untuk para asatizah berhimpun di dalam sebuah ‘usrah’, dengan inisiatif al-Fadhil Ustaz Haji Zaharuddin Abdul Rahman yang mengambil inspirasi usaha Sheikh Yusof al-Qaradhawi dalam hal ini.

Pertemuan pertama diadakan bulan lalu di kediaman beliau, manakala pertemuan kedua berhasil diadakan dengan Ustaz Zahazan Muhammad sebagai tuan rumahnya.

Foto ihsan Zaharuddin.Net

Usaha ini mensasarkan manfaat dalam dan luar.

Manfaat dalaman adalah dalam bentuk taujihat, pertukaran pengalaman, ilmu pengetahuan dan hasil pemerhatian terhadap pelbagai isu serta cabaran yang wujud di dalam masyarakat. Ia juga menjadi medan untuk para asatizah saling nasihat menasihati, memberikan sokongan berdasarkan kepakaran masing-masing terhadap isu yang dihadapi bersama.

Manakala manfaat luaran pula adalah untuk dari semasa ke semasa berkongsi pandangan ‘pihak ketiga’ dalam persoalan-persoalan yang berlegar di tengah masyarakat. Pandangan ketiga yang diharapkan dapat mengimbangi kecenderungan yang kerap dibelenggu persepsi label, perkumpulan, hingga manhaj ilmiah yang menjadi tunjang satu-satu pendapat tidak berhasil diberi keutamaan.

Demi mencapai matlamat inilah, pertemuan kedua kami memberikan fokus kepada PEMIKIRAN WASATIYYAH sebagai core value dalam usaha menyatukan umat Islam merentas segala perkumpulan. Hanya Islam dan prinsip-prinsipnya yang mendukung kerjasama justeru perdamaian.

Setakat pertemuan kedua, barisan asatizah yang menganggotai usaha ini adalah:

Ahli-ahli setakat ini terdiri dari ilmuan berikut :-

  1. Ustaz Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri ( Mursyid Liqa’)
  2. Ustaz Dr Abdul Basit Abdul Rahman,
  3. Ustaz Dr Zahazan Muhammad,
  4. Ustaz Mohammad Nidzam Abdul Kadir,
  5. Ustaz Aizam Mas’ud,
  6. Ustaz Hasrizal Abdul Jamil,
  7. Ustaz Dr. Khairuddin Aman Razali,
  8. Imam Muda Asyraf,
  9. Ustaz Ramadhan Fitri,
  10. Ustaz Dr. Maszlee Malik,
  11. Ustaz Dr.Ahmad Wifaq Mokhtar,
  12. Ustaz Dr. Zaharuddin Abd Rahman ( Pengerusi / Moderator Liqa’)
  13. Ustaz Syed Mohd Norhisyam

Bagi urusan sekretariat dan teknikal, kami menerima bantuan dua tokoh muda iaitu:

  1. Saudara Imran Koyube (iluvislam)
  2. Ust Ahmad Syarief

Moga usaha ini mendapat Rahmat dan Inayah Allah buat kami terus memperbaiki diri dan membantu mengislahkan masyarakat ke arah mengagungkan Allah dan mengangkat Rasul-Nya sebagai pemimpin ulung umat merentas zamaan dan makaan, ameen.

“Tidaklah wajar bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab dan Hikmah serta Kenabian, kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai: “Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah”. Tetapi (sepatutnya ia berkata): “Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala – dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya.” [Aal ‘Imraan 3: 79]

Hasrizal
Ampang, Selangor

Check Also

Sabar dan Hikmah Dalam Berdakwah

Wajah yang menyimpan seribu cerita di bumi Dagistan ARTIKEL INI DITULIS PADA 21 APRIL 2007, …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.