Dakwah: Menjinak Atau Meliarkan

“Yarhamkallah!” kata Mu’awiyah bin al-Hakam al-Sulami.

Beliau mengucapkannya ketika seorang jemaah yang sedang bersolat bersin.

Beliau juga sedang bersolat!

Jemaah yang lain berpaling kepadanya mengisyarat supaya diam.

“Habislah aku! Kenapalah aku mengucapkannya begitu hingga semua jemaah memandang!” sahabat itu keresahan.

Bimbang dimarahi oleh Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Usai mengerjakan solat, Mu’awiyah bin al-Hakam al-Sulami dipesan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:

إن هذه الصلاة لا يصلح فيها شئ من كلام الناس… إنما هو التسبيح والتكبير وقراءة القرآن

“Sesungguhnya solat ini, tidak harus di dalamnya ada sebarang kalam manusia. Sebaliknya ia hanyalah tasbih, takbir dan membaca al-Quran”

Sahabat yang ditegur Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam itu terkasima kerana Baginda tidak memaksa, memukul paksa atau mencelanya.

ما رأيت معلماً قبله ولا بعده أحسن تعليماً منه

“Aku tidak pernah melihat seorang pendidik sebelum dan selepas Baginda yang lebih baik didikannya daripada pendidikan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam” [Kisah petikan Hadith riwayat Muslim]

Demikianlah Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam menyantuni pesalah laku.

Rahsia besar kejayaan dakwah dan didikan Nabawi.

KAWAL PESERTA PROGRAM

“Ustaz, saya hairan macam mana ustaz kawal kursus yang ustaz anjurkan? Dua tiga orang, cukupkah?” tanya seorang pelajar kepada saya.

“Emm, menarik juga soalan tu. Ustaz pernah kendalikan kursus untuk pegawai penguatkuasa seramai 72 orang hanya dengan dua tenaga sahaja” saya cuba menyelak memori semasa bekerja sepenuh masa dengan Fitrah Perkasa.

“Macam mana nak kawal orang ramai macam tu? Kami kalau nak anjurkan kursus, tamrin atau program induksi, paling kurang kena ada 20 orang AJK. Silap-silap sama ramai dengan peserta” sambung pelajar itu lagi.

Kami ketawa.

Ya, bagi seorang pelajar, mungkin agak menghairankan bagaimana saya dan tenaga kerja Fitrah Perkasa boleh mengendalikan kursus selama 3 Hari 2 Malam, sedangkan nisbah fasilitator dengan peserta ialah 1:25 malah pernah 1:40.

Ia bukanlah soal pelajar atau pekerja. Tetapi cara kita menilai dan melayan kemanusiaan manusia.

“Apabila kursus bermula, kita kena faham yang mungkin 90% daripada peserta itu hadir kerana terpaksa. Hadir kerana diwajibkan oleh syarikat” saya memulakan perkongsian idea.

“Rasa terpaksa itu selalunya bukan dibuat-buat. Memang setiap seorang peserta itu datang dengan membawa luggage kehidupan masing-masing. Ada yang terpaksa meninggalkan ibu di hospital. Ada yang terpaksa mengupah pemandu teksi untuk mengambil dan menghantar anak di sekolah. Ada yang isteri terpaksa mengambil cuti, dan macam-macam lagi” saya mahu pelajar ini melihat apa yang tidak diperlihatkan.

KEPEDULIAN

“Ingat tak kepada ungkapan yang ustaz selalu sebut tentang hal ini?” saya bertanya.

“Apa dia ustaz?”, pelajar itu tidak pasti.

“People don’t care how much you know until they know how much you care! Orang tak peduli sebanyak mana kita tahu, sehinggalah mereka tahu sejauh mana kita peduli” saya cuba mengingatkan pelajar tersebut.

“Oh, ya saya ingat dah” katanya sambil tersenyum.

Di dalam program, Sunnah mengajar kita supaya mengusahakan keselesaan mereka yang hadir. Tunjukkan kepada mereka dengan hati yang tulus ikhlas, bahawa kita memahami dan mengambil kira kesusahan masing-masing untuk datang ke program tersebut.

“Kursus ini tidak ada agenda cium pokok, makan bubur kulit limau, atau rendam kepala dalam air. Kursus ini kursus tuan-tuan dan puan-puan. Solat 5 kali, makan 6 kali! Anggap sahajalah ia cuti-cuti Malaysia. Jalan-jalan cari…?” saya mencuba ice-breaking.

“Makannn!!!” sahut peserta diiringi gelak ketawa mereka.

“Sudah-sudahlah cari makan tu ya. Biarlah kali ini kita jalan-jalan cari ilmu pula!” saya atau mana-mana sahaja fasilitator akan berusaha memesrakan diri dengan peserta.

Ketika itu lazimnya peserta ini akan bergurau sesama mereka.

“Ha, tu la nko, asyik fikir makan aje. Malu la sikit kat ustaz!” kata seorang peserta kepada rakan di sebelahnya.

Saya hanya membiarkan mereka saling bergurau. Tetapi mata saya terus memerhati seorang demi seorang peserta. Siapakah di peringkat itu yang masih sejuk dan beku. Masih masam dan berwajah jemu. Perhatikan… dan camkan orang dan namanya.

Semasa sesi perkenalan selesai, ketika orang sedang makan-makan, saya atau mana-mana fasilitator akan datang secara halus kepada peserta yang pendiam itu, duduk di sebelahnya, dan menawarkan kuih yang diambil.

Bertanyakan nama, rumah di mana dan cuba cari satu dua tajuk yang boleh dijadikan titik perbualan.

“Oh, Encik Zam tinggal di Cheras. Saya pun sama. Cuma saya di Taman Midah. Encik Zam duduk di bahagian Cheras yang mana?” saya mengusahakan perbualan.

“Saya di Cheras Jaya” jawab peserta tersebut perlahan.

“Gitu… saya tak tahu sangat Cheras Jaya di sebelah mana. Cuma adalah perasan signboard tu” saya menyimpulkan persoalan yang dikongsi.

Cukup setakat itu. Apabila dia sudah sudi menjawab soalan yang ditanya, ia sudah cukup baik. Tidak perlu dikorek pada masa itu masalah yang dihadapinya. Simpan di hari kedua nanti. Jangan jadi ‘penceroboh’, menceroboh hidup orang. Cukup sekadar kita tunjukkan dengan perbuatan yang kita ini pedulikan dia. Kehadirannya kita sedari dan telah ditanda dengan perbualan ringkas itu.

Begitulah selalunya.

SUKA MENGHINA DAN MEMALUKAN PESERTA

Namun saya tidak nafikan, dalam pelbagai program sama ada di peringkat pelajar sehinggalah ke alam pekerjaan, memang ramai yang suka membuat pendekatan memalu dan mendera peserta.

“Minta maaf tuan-tuan dan puan-puan. Di sini tak ada Dato’ dan Datin, tak ada Bos dan Manager, semua jawatan tu gantung kat pintu masuk tu. Di sini, saya bos!” kata seorang penyelia kursus.

“Kamu semua akan diuji sejauh mana ketahanan fizikal dan mental. Maka jangan nak mengeluh kalau makanan tak seperti yang diharapkan” kata pengarah sebuah program induksi pelajar.

Lalu peserta dikerah mendengar ceramah sehingga pukul 1 pagi. Kemudian bangun jam 4 untuk Qiamullail. Seterusnya sarapan pagi hanya roti keras cicah air sejuk. Dan makan tengah hari, nasi bubur bercampur kulit oren dan biji kopi.

Apa alasan berbuat demikian?

Mahu membina ketahanan mental.

Ketahanan mental atau masalah mental?

TENTERA LAIN

Saya tidak pasti dan tidak ada membuat kajian, dari manakah datangnya kepercayaan perbuatan memalukan manusia dan mendera fizikal, boleh membawa kepada ketahanan diri yang diperlukan? Di dalam sirah Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam yang telah berjaya melahirkan pahlawan yang hebat-hebat, saya tidak ketemu pendekatan mendera mental sebagai pembina jati diri sebaik-baik umat itu. Soal kelasakan, ia mungkin tidak perlu dibuat-buat, kerana memang tabiat kehidupan Arab itu kasar dan amat mencabar.

Namun saya akui, pendekatan itu sudah pun diterima sebagai sebahagian proses membentuk pasukan keselamatan. Polis, tentera, dan mereka yang seangkatan dengannya. Tentu kelasakan begitu adalah sebahagian daripada proses pembentukan.

Tetapi untuk kursus motivasi, program induksi pelajar baru, atau Tamrin membina kefahaman Islam… perbuatan-perbuatan seperti itu hanya memperbodohkan peserta sahaja. Tambahan pula anda hanya penganjur. Bukan ada kuasa untuk menguatkuasa.

Tidak hairanlah jika program begini memerlukan 20 orang AJK dengan nisbah fasilitator dengan peserta 1:2!

Anda bertindak sebagai pengawal, maka berkawallah anda sepanjang masa.

HASRIZAL
43000 BSP

 

Check Also

Perangkap New Age Movement Untuk Agamawan

Bagaimana agamawan terjebak ke kancah New Age Movement? Saya tiada jawapan mudah. Tetapi saya boleh …

9 comments

  1. Asm…persoalan yang mencabar minda…terutama dalam perkembangan sosial sekarang.Saya lebih senior drp Ustaz dan berada di kedudukan managerial di tempat kerja sekarang.Saya lihat generasi baru di tempat kerja saya rata2nya berbeza dengan generasi saya dr segi disiplin,kualiti kerja,kemahuan belajar,interaksi dengan rakan sekerja…Generasi saya,masalah jarang2,generasi baru,masalah kerap…amat membimbangkan.Sebab-sebabnya banyak telah dibincang dan diandaikan tapi belum ada konklusi.Jadi kita cuba tangani dgn macam2 cara…seperti meraba-raba di dalam gelap malam…Benar seperti Ustaz tulis di atas…kdg2 kita lelah jadi pengawal…kdg2 kita sedih bila kepedulian kita diexploitasi cth memanjang diambil cuti kecemasan,mc,dll atas berbagai alasan masalah keluarga…kdg2 kita marah bila ugamapun diguna untuk justifikasi ketamakan individu cth claimlah byk2,kita berhak,org islampun perlu pamer nikmat kekayaan yang tuhan beri supaya orang hormat,kenapa kita nak kerja lebih,bukan kerja saya…Makin kabur ,saya yang seniorpun mula berteka-teki kembali…which is right/which is wrong???

    • Sedih, marah dan kecewa dengan sikap sesetengah golongan agamawan yang angkuh. Mungkin mereka merasa sebelah tapak kaki mereka sudah berada dalam syurga hanya kerana keterlibatan dalam bidang agama.

      Perkongsian ustaz kali ni membuatkan saya teringat waktu minggu orientasi memasuki alam pengajian tinggi. Terdera disuruh dengar ceramah hingga lewat pagi, kemudian disuruh bangun seawal mungkin untuk memulakan aktiviti hari berikutnya. Saya hairan tempat menuntut ilmu tahap tinggi gagal menyerlahkan keprofesionalannya dalam mengurus manusia seawal minggu orientasi.

      Jazakumullahu khair atas perkongsian ustaz dan rakan-rakan.

  2. Alhamdulillah

    Program Ustaz memang mantap !
    saya pernah menghantar adik saya ke program Ustaz… Kem Remaja Hijri
    selepas 4 tahun sehingga sekarang dia masih ingat kenangan & tarbiah team Ustaz mengembalikan semangatnya yang baru kematian bapa..
    terima kasih Ustaz

  3. ustaz,ape hukum kita brketawa2 besar dlm masjid jika penceramah tu buat lawak…lebih lgi lwk yg brunsur 18 sx

  4. 12 tahun lepas, seorang encik ni mengikuti kursus 3H 2M. encik ni memberontak, beliau bukan aliran agama, tetapi di pilih dalam pilihanraya kampus untuk menjawat jawatan penting, kebetulannya beliau adalah dalam 1 jemaah sama. ironinya, beliau dihina, dihempas mindanya ke tanah, jiwanya diperkosa, semata mata beliau bukan aliran agama.

    semuanya dalam 3H 2M, dan akhirnya encik tersebut terus memberontak hinggakan pihak yang menganjurkan tersebut terpaksa mengambil semua barangan peribadi encik tersebut (membuat ugutan supaya beliau tidak lari).

    program habis begitu sahaja. tiada impak. encik tersebut tetap tidak mahu berganjak. tetap dengan pendirian org bukan aliran agama juga buleh beragama.

    hari ini, mereka yang menganjurkan program, masih dalam jemaah sama. mereka masih sama. dan encik itu juga sama tetap sebegitu. bukan aliran agama, tapi mahu mendekati agama.

    bukan mahu bodek ustaz, tapi jika ada lah salah seorang yang membaca tulisan ustaz ini dikalangan mereka. alangkah indahnya jika mereka mengambil iktibar.

  5. ustz… kalu amik cth dlm pencarian tentera tegar dalam angkatan tentera talut ustaz? yg amik air seceduk aje tuh…. entahlah ustaz, saya setuju dgn ustaz… especially kalu bab utk tamrin/mukhayyam student2… telefon tak dibenarkan etc etc… tidak mengikuti akan dimalukan secara subtle. pendapat saya student dulu mmg tidak sama dgn student skrg, if we don’t accept that as a fact, dan ubah pendekatan kita, we will never be able to approach them properly… tapi, spt yg ustaz mungkin tahu, kebiasaan mmg susah nak diubah…

  6. ainaa athirah

    assalamualaikum Ustaz.

    terima kasih atas perkongsian ilmu yang cukup menariik ini.Alhamdulillah.Semoga Allah merahmati usaha Ustaz yang mencuba untuk membuka minda rakyat.Masyarakat hari ini seolah-olah sudah sebati dengan fenomena ini apabila hadir ke kem motivasi :

    -Kem mestilah dikendalikan dengan penuh tegas,jika tidak sia-sia sahaja kem yang dijalankan.Tidak boleh berlembut,dibimbangi program yang terlalu santai akan melaghakan peserta :/

    saya kira,masalah disiplin yang kerap berlaku dalam kalangan pelajar juga insya-Allah akan dapat diatasi dengan mudah apabila kita mengikuti sunnah Rasulullah dalam mendidik.cumanya,banyak kekangan dan cabaran yang terpaksa dihadapi.Hal ini kerana,bukan semua orang mampu untuk terus menyabarkan diri dengan tingkahlaku anak-anak di sekolah dan..bukan semua orang mampu untuk memahami betapa pentingnya konsep mendidik yang telah diajarkan oleh Sayyiduna Muhammad SAW.Kita sibuk memikirkan metod yang terbaik untuk mentarbiyyah anak-anak sedangkan cara-caranya sudahpun diajar oleh Baginda..!

    saya masih ingat tamrin sewaktu di hostel dahulu,cukuplah setakat itu sahaja pengalamannya. =_=’
    saya sudah penat.seminggu dua masih soleh dan warak lagi,tapi masuk sahaja minggu ketiga..
    bukanlah saya ingin menyalahkan pihak yang menguruskannya,cumanya hasilnya kurang berkesan buat diri saya.
    (atau mungkin saya terlalu nakal :p)

    oh ya,pesan ustaz saya : ..sentuh hati bukan sentuh body :))

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.