Perangkap New Age Movement Untuk Agamawan


Bagaimana agamawan terjebak ke kancah New Age Movement?

Saya tiada jawapan mudah. Tetapi saya boleh berfikir semula mengenai pengalaman diri sendiri.

Sesuatu yang tidak pernah saya bayangkan di zaman pelajar, saya akan bekerja di arena latihan dan motivasi. Semenjak pelajar, saya sentiasa menjadi peserta keras kepala yang melawan dan mempersoalkan arahan-arahan motivator yang tidak masuk akal.

Tetapi sekembali ke tanahair pada tahun 2004, inilah bidang pekerjaan saya.

Berada di dalamnya, saya belajar banyak perkara, terutamanya berkaitan pendekatan dakwah. Apatah lagi di belakang kepala saya, ada kepercayaan bahawa saya tidak begitu memahami realiti masyarakat setelah 11 tahun hidup di perantauan. Justeru saya membuka diri untuk belajar dan berubah.

Sebagai graduan syariah, saya percaya kepada kekuatan ajaran Islam sebagai isi. Cuma saya perlu kayakan pendekatan. Di awal tahun 2005, saya termenung di hadapan pintu masuk Kinokuniya di KLCC, merenung orang ramai dan berfikir, berapakah jarak di antara kuliah maghrib dan mimbar Jumaat saya, dengan realiti masyarakat kita. Ia memberi impak yang besar kepada diri saya.

Saya mula mendedahkan diri kepada buku-buku ‘barat’. Antara yang paling banyak saya berikan perhatian adalah karya Stephen R Covey dan anaknya Sean Covey di dalam gagasan The 7 Habits. Kumpulan buku kedua adalah karya-karya John C Maxwell.

Semasa membaca karya mereka, saya berfikir bagaimanakah tunjuk ajar mereka timbul, dan bagaimana pula pendekatan yang sama, atau lebih baik, ada di dalam agama saya? Antara karya yang saya manfaatkan daripada literatur Muslim pula adalah karya-karya Imam al-Ghazali.

Perkembangan dakwah dan perubahan diri ketika itu, dan dengan bahan-bahan itu berjalan secara sederhana, dan sebenarnya agak mencukupi.

MAHU LEBIH LAGI

Tetapi sebagai orang muda, sebagai manusia barangkali, kita mahu terus belajar, mahu advance, mahu memiliki pengiktirafan terhadap kebolehan diri. Sama ada ia dicapai melalui jalan akademik, atau pun melalui program-program ‘micro credentials’ yang memberi sijil pengiktirafan yang membuktikan kita ‘ada sesuatu’.

Melalui jaringan rakan-rakan, formal dan tidak formal, peribadi dan ‘profesional’, saya menghadirkan diri ke kursus-kursus berkaitan dengan Law of Attraction, NLP dan beberapa kursus lain yang terkenal pada masa itu.

Di situlah saya mula masuk ke daerah ‘New Age Movement’ tanpa memahami apakah NAM itu sendiri.

Cumanya, sikap kritis dan suka mempersoalkan serba serbi, menjadikan perjalanan saya tersangkut-sangkut. Kaedah yang dipelajari semasa mengaji Syariah dahulu bahawa al-bayyinah ‘ala man idda’a (beban menghadirkan bukti adalah terpikul di atas sang pendakwa’), menjadikan saya mendesak diri untuk menyoal dari mana sesuatu itu datang.

Perlahan-lahan rasa tidak selesa itu menjelma. Macam ada sesuatu yang tidak kena. Dengan hati rasa tak kena, dengan kepala pun rasa tak kena. Ketika itu, tak kena itu bukan dari segi agama sahaja, tetapi yang lebih nyata ialah ‘saintifikkah benda ini?’.

Apabila gagal menyandarkan ajaran-ajaran tersebut kepada bukti saintifik, setakat percubaan saya meneroka literatur, saya hilang minat. Saya mula perlahan-lahan mengundurkan diri daripada dunia motivasi dan mengejar pensijilan kepakaran modul, lalu cuba menyambung pelajaran.

PERCUBAAN MENCEGAH

Saya tidak berceramah mengkritik modul-modul berkenaan kerana saya belum arif mengenai sejarah dan falsafah New Age Movement tersebut. Juga, saya belum sampai hati untuk melukakan hati kawan-kawan sendiri yang terjebak dengan modul sedemikian. Itu kelemahan saya. Jiwa Melayu barangkali. Tetapi apa yang saya buat adalah pada mengenengahkan disiplin ilmu Islam yang memang bidang saya.

Tidak boleh membuat modul menggunakan nas al-Quran dan al-Sunnah, jika tiada kemampuan memahami ayat-ayatnya. Sebarang bentuk pembuatan modul, adalah interaksi dan penafsiran. Dan untuk berinteraksi dengan kandungan nas, melakukan proses induktif atau deduktif, wajib ada ilmunya.

Ramai juga yang berada di dalam dilema dengan peraturan itu.

Saya tiada upaya mencadangkan sesuatu yang lebih mudah daripada itu kecuali, belajar ilmu agama secara sistematik, atau / dan belajar ilmu sains secara sistematik. Tanpa keduanya, ‘selamat’ terjerumus ke perangkap ruwaibidhah.

Kesimpulan saya, keinginan mencantikkan pendekatan dakwah, belenggu fikiran bahawa ajaran agama membosankan bagi masyarakat, rasa teruja dengan jargon, adalah umpan-umpan awal yang mengheret saya ke daerah tersebut, di dekad milenia yang pertama dahulu.

Semoga kesilapan dan masalah itu dihindari oleh generasi pendakwah muda hari ini. Selain kritis dan menjaga amanah ilmu, selalulah meminta petunjuk daripada Allah. Kefasihan berbicara kita, boleh menjadi saham untuk ke Syurga, dan mengheret ke Neraka.

Wallahu al-Musta’an.

Hasrizal Abdul Jamil
Naas, Ireland

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

One comment

  1. Terima kasih ustaz atas perkongsiannya.

    Saya bersetuju dengan pandangan ustaz.

    Satu perkara lagi yang saya prihatin berkenaan segelintir agamawan yang menjadi pendakwah dan mendekati masyarakat ialah kegiatan pembacaan mereka. Saya yakin mereka membaca dan memiliki kitab-kitab bagi bidang mereka. Saya hormati pembacaan mereka dan usaha mereka menekuni ilmu.

    Namun, saya juga berharap mereka berupaya untuk meningkatkan aktiviti pembacaan dalam pelbagai bidang dan aspek (tidak semestinya perlu membaca dalam jumlah yang banyak). Pembacaan pelbagai aspek membantu kita meneliti sesuatu isu daripada sudut pandang yang lain. Hal ini sekurang-kurangnya dapat memandu segelintir pendakwah yang agak teruja untuk mengulas pelbagai isu, berfikir dengan lebih kritikal dan bersifat ‘engage’ dengan masyarakat yang didekati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share