11. Saya Bukan Pakar, Saya Pelajar

20130307-161122.jpg

Bersama Prof Dr Redzuan Othman, yang selayaknya seorang Pakar

 

Di dalam masyarakat kita, orang yang menulis atau berbicara tentang satu-satu subjek, pantas diangkat menjadi PAKAR di dalam subjek tersebut.

Saya menulis tiga buah buku bertemakan kekeluargaan, saya dianggap pakar subjek kekeluargaan. Kadang-kadang disebut juga sebagai pakar cinta. Ia adalah persepsi. Sama ada saya percaya dengan persepsi itu lalu mengiyakan bahawa saya memang pakar cinta dan rumahtangga, atau saya sedar diri bahawa saya tahu di mana kedudukan diri saya. Biarlah orang terus menganggap saya pakar dalam subjek itu, saya perlu terus menerus merendah diri, membenarkan diri dibetulkan, terus belajar, semasa bercakap berlapik-lapik, menginsafi hakikat diri yang amat jauh daripada gelaran pakar itu.

Bagi subjek yang agak longgar seperti cinta dan kendali rumahtangga, mungkin pakar atau tidak pakar itu sendiri agak subjektif. Jika pendapat kita tidak boleh disanggah dengan ilmu sekali pun, ia boleh dikritik dengan pengalaman. Gerun rasanya mahu mengomel tentang hal-hal rumahtangga, ketika mana rumahtangga kita baru 10 ke 15 tahun, sedangkan di hadapan kita, ada pasangan yang sudah 30 tahun berumahtangga. Tidak perlu dibuka pengalaman, cukup dengan katanya “been there done that” pun sudah menggugat pendapat kita.

Akan tetapi bagi subjek yang mempunyai disiplinnya yang tersendiri, yang ada dasar-dasar ilmu yang tetap, disiplin itu tidak simpati kepada pengalaman, persepsi pakar, populariti atau hal-hal emosi. Jika betul, betullah ia. Jika salah, ia harus dibetulkan.

Bidang sejarah mempunyai disiplinnya yang tersendiri. Apabila sejarah mahu diceramahkan, mahu dinovelkan, mahu didramakan, ia tidak boleh melanggar beberapa peraturan asas. Antaranya:

SUMBER RUJUKAN

Apa yang hendak dirujuk? Sejarah adalah perkara ghaib sebab semasa ia berlaku kita tidak hidup dalam kejadian itu. Jadi, bagaimana kita tahu? Siapa yang beritahu? Di dalam kitab mana? Bagaimana penulis kitab itu tahu? Apa rujukannya? Sahihkah rujukannya? Persoalan timbul bukan hanya pada berapa banyak rujukan, tetapi kualiti rujukan.

رجماً بالغيب

“…meraba-raba terhadap kebenaran dalam perkara ghaib” [al-Kahf 18: 22]

Buku Sejarah Umat Islam karya Buya Hamka sangat bagus. Namun bagaimanakah Buya Hamka menulis tentang sejarah Daulah Uthmaniah dalam keadaan tidak berbahasa dengan bahasa Uthmaniah (Turki Osmanlica)? Jika Buya Hamka merujuk sumber-sumber di dalam Bahasa Belanda, bagaimanakah kualiti rujukan itu? Kita akan lebih bersederhana pada memetik pendapat Buya Hamka, dan tidak menimbulkan soalan bermasalah misalnya, “hai, takkanlah Buya Hamka silap?”

Bisa sahaja pendapat Buya Hamka tersilap dan harus sahaja pendapatnya dibetulkan. Dan tidak sedikit pun menjejaskan kredibiliti Buya Hamka kerana sisi sumbangannya pasti jauh lebih besar berbanding dengan satu dua kesilapan yang mungkin wujud, sebagai contoh.

PENAFSIRAN

Kita mungkin merujuk sumber yang sama, namun bagaimanakah kita menafsirkan apa yang dirujuk?

Misalnya kita menulis tentang Abu Zar al-Ghifari yang berbeza pendapat dengan Muawiyah radhiyallahu anhuma. Kita merujuk kitab mana? Jika sama-sama merujuk Fajr al-Islam oleh Ahmad Amin, siapakah Ahmad Amin? Bagaimana beliau menafsirkan kejadian itu? Apa rujukannya? Jika kita merujuk Tarikh Tabari, bagaimana dengan kualiti riwayat pertemuan Abu Zar dengan Abdullah bin Saba’ itu? Sahihkah ia? Dan jika sahih, kejadian itu bagaimana kita memahaminya? Adakah ia perselisihan pendapat? Salah faham? Sahabat merajuk dengan sahabat? Sahabat bergaduh dengan sahabat? Atau bagaimana?

Ada dua tugasan untuk menjawab soalan itu.

Pertama, cari sebanyak mungkin maklumat berkaitan dengannya, dengan meraikan kaedah merujuk sumber.

Kedua, komited dengan Aqidah kita sebagai Ahli Sunnah wal Jamaah yang ada peraturannya semasa berbicara tentang sahabat Nabi sallallaahu alayhi wa sallam.

AKIBATNYA

“Oh, susahlah begitu. Sampai bila pun kita tidak boleh menulis tentang sejarah!”

Ya, memang susah. Siapa kata senang? Perkara ghaib, hanya Allah yang tahu. Kalau kita mahu tahu, kena bersusah payah mencari jalan untuk mengetahuinya. Itulah sejarah.

Jangan pula kita ini minat sejarah, tetapi tidak minat belajar sejarah.

Seperti manusia banyak penyakit, suka ubat, tetapi tidak mahu belajar tentang jenis ubat, jauh sekali menjadi doktor dan ahli farmasi. Akhirnya kita bertambah sakit sebab makan ubat falasi.

“Ustaz sahajalah yang tulis tentang sejarah. Banyak cakap pula!”

Saya bukan pakar sejarah. Saya tidak tergoda dengan majlis-majlis besar yang memperkenalkan saya sebagai pakar sejarah (huh). Saya tahu di mana tahap saya. Dan sebab saya minat sejarah dan mahu menulis tentang sejarah, pada usia 38 tahun dan ada empat anak, saya ‘berhenti kerja’ dan masuk ke universiti untuk belajar.

Di universiti, saya belajar dengan pensyarah yang sebaya, juga yang lebih muda. Mereka bebas memangkah kertas jawapan saya, menegur kesalahan saya, marahkan saya jika tidak menyiapkan tugasan, kerana siapa saya, hakikatnya dalam timbangan ilmu, saya adalah murid dan mereka guru-guru saya.

Berlaku jujur kepada diri sendiri, adalah pintu pertama ubudiyyah kita kepada Ilahi.

Saya bukan pakar.

Saya hanya pelajar.

Yang masih belajar.

Dan cemburu dengan pelajaran saya yang dicemar.

HASRIZAL @ 43000 BSP

 

 

Check Also

Menamatkan Pendidikan Kiasu

Entahlah dunia apa yang kita hidup di dalamnya hari ini. Setelah anak nekad terjun membunuh …

One comment

  1. thanks ustaz, for the thought.
    the more we know, only to reflect how tiny our knowledge is, isn’t it?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.