14. Penarikan Semula Novel Hijrah dari Pasaran: Kenyataan Media oleh PTS

Hijrah

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Azza wa Jalla dan selawat serta salam buat Rasul-Nya.

Saya bersyukur kepada Allah, pada hari ini Tuan FAUZUL NA’IM ISHAK selaku Pengarah Penerbitan bagi PTS Media Group Sdn Bhd. telah menyiarkan kenyataan rasmi mengenai isu kritikan terhadap novel HIJRAH karya Ayahanda Abdul Latip Talib.

Ia tidak seharusnya dibaca sebagai ada pihak yang menang dan ada pihak yang kalah. Ia bukan sebuah pertandingan. Tetapi ialah adalah sebuah proses untuk mengukuhkan tradisi keilmuan di dalam masyarakat kita di negara yang dicintai ini. Justeru, tindakan PTS mengalu-alukan kritikan, mengadakan siri perbincangan dalaman mereka dan mengambil keputusan untuk menarik novel HIJRAH daripada pasaran, merupakan tindakan yang sangat terpuji, besar, dan tidak mudah untuk dilakukan. Tindakan ini mesti menjadi teladan yang penting buat penerbit-penerbit lain bahawa demi kebenaran dan kejernihan ilmu, kepentingan-kepentingan lain mesti diuzurkan. Sesungguhnya ia adalah sebuah pengorbanan berbentuk risiko kewangan yang besar.

Saya juga berasa agak lega kerana pengamatan saya melihat bahawa novel HIJRAH bukanlah novel yang berada di carta tertinggi jualan, maka penarikannya mudah-mudahan tidak memberi implikasi kewangan yang rumit sama ada kepada penerbit mahu pun penulisnya sendiri. Ia satu bentuk ‘blessing in disguise’ kerana novel ini membawa isi kandungan paling kritikal kerana ia berkait secara langsung dengan Sirah Nabi sallallaahu alayhi wa sallam, namun ia bukan yang paling rancak di kaunter jual beli di pasaran.

Ini menjadikan kritikan kepada novel HIJRAH mudah-mudahannya jelas dilihat sebagai desakan amanah ilmu, dan tiada kepentingan bisnes.

KECELARUAN METOD PENULISAN

Sebagaimana yang banyak kali saya tegaskan sebelum ini, permasalahan novel sejarah karya Pak Latip, biar pun banyak membabitkan isu fakta, namun lubuk permasalahannya ialah pada metod penulisan. Maka kesilapan fakta adalah akibat, dan bukan punca kepada masalah-masalah mengenainya. Dan oleh kerana lubuk permasalahan itu adalah pada metod penulisan, maka krisis-krisis yang sama seperti novel HIJRAH secara sendirinya harus berada dalam jangkaan kita bahawa ia turut berlaku di dalam novel-novel yang lain.

Secara akademiknya, saya hanya dipertanggungjawabkan oleh pihak jabatan di fakulti, untuk meneliti novel HIJRAH. Maka peranan langsung saya berhenti setakat di situ. Untuk saya meneruskan kajian terhadap puluhan novel yang lain, ia sudah lari daripada fokus akademik saya kerana disertasi saya adalah berkisar kepada Sejarah Daulah Uthmaniah abad ke16 dan 17. Bebanan akademik untuk itu tidak memungkinkan saya untuk mendedikasikan diri meneliti satu demi satu novel sejarah yang lain, sama ada oleh Pak Latip, mahu pun oleh beberapa penulis di dalam genre yang sama. Insya Allah ia akan dilakukan oleh pelajar-pelajar lain serta pengkaji yang berminat untuk melakukannya.

Namun sebagai seorang Muslim, yang memikul amanah ilmu serta amar makruf dsn nahi munkar di atas bahunya, Insha Allah saya akan terus dari semasa ke semasa berkongsi pandangan dan saranan, yang akan secara semulajadinya berbunyi kritikan, terhadap karya-karya yang lain.

ANALOGI

Secara analoginya, apabila masyarakat menolak hospital, doktor, rawatan klinikal dan pergi kepada bomoh, sudah tentu ini menjadi ancaman kepada perkhidmatan kesihatan. Maka Kementerian Kesihatan, para doktor pakar, dan pelajar perubatan perlu melakukan sesuatu untuk menyelamatkan sistem.

Demikian jugalah dengan polemik novel sejarah ini. Apabila masyarakat begitu berminat dengan novel sejarah yang berkecamuk metod penulisan dan fakta-fakta (walaupun dihujahi bahawa novel tidak wajar faktanya dinilai), dan menganggap penulis novel sejarah sebagai sejarawan serta berbicara dengan otoriti sejarawan, maka ia menjadi suatu ancaman kepada disiplin ilmu tersebut. Maka Fakulti, Jabatan, Profesor, pensyarah dan murid-murid sejarah, perlu melakukan sesuatu untuk menyelamatkan sistem.

Saya tahu, oleh kerana dalam ranking mereka yang sepatutnya bertindak itu, saya hanyalah murid sejarah yang tidak berotoriti, tindakan saya melontarkan kritikan terhadap novel sejarah karya nama besar Pak Latip, boleh menghanguskan diri sendiri. Tetapi dengan amanah ilmu yang diberikan oleh pensyarah-pensyarah saya berkaitan kajian ini, saya mengambilnya sebagai suatu tanggungjawab yang perlu dilunaskan, sama ada atas kapasiti akademik, mahu pun sebagai Muslim yang wajib mempertahankan kebenaran.

BUKAN KRITIKAN PERIBADI

Kritikan saya pula, bukanlah kritikan kepada peribadi penulis. Saya tidak menyentuh ibadah penulis, solatnya, auratnya, keluarganya dan hal-hal yang sedemikian rupa. Sebaliknya, saya hanya mengkritik penulisan, berbekalkan buku-buku, interaksi penulis dan pembaca yang sedia ada di blog, yang mana kesemuanya sudah sedari awal bersifat awam. Kritikan juga sangat tertumpu kepada subjek ini, dan saya berusaha keras untuk mengelakkan diri daripada menggunakan maklumat-maklumat peribadi dan sulit, walau sesahih mana pun ia, demi untuk mengekalkan sifat neutral dalam kritikan.

Jika tidak, maka sudah tentu lebih ‘haram’ bagi mana-mana di kalangan kita untuk menganalisa karya Buya Hamka, Raja Ali Haji, al-Tabari, Muneccimbası, Taşköprülüzade dan jutaan lagi penulis yang telah meninggal dunia.

Semoga Allah mengampunkan kekurangan-kekurangan saya selama ini, dan menyejukkan hati Ayahanda Pak Latip untuk memandang saya sebagai seorang anak yang ‘nakal’ tetapi paling mahukan redha Allah dan Syurga buat ‘ayah’nya, ameen.

Kenyataan Media: Penarikan Semula Novel Hijrah dari Pasaran

[sumber] pts.com.my

Assalamualaikum dan salam bahagia,

Selawat dan salam kepada Nabi Junjungan Muhammad Rasulullah SAW.

Merujuk kepada komen dan pandangan yang diberikan oleh seorang agamawan melalui saluran seminar dan juga facebook mengenai sebuah novel Sejarah Islam terbitan PTS Litera Utama Sdn. Bhd. bertajuk HIJRAH karangan Tuan Abdul Latip Talib. 

Saya bagi pihak PTS Media Group Sdn. Bhd., mengucapkan jutaan terima kasih kepada para agamawan dan juga pakar-pakar dalam bidang lain yang memberikan pandangan kepada pengisian di dalam buku-buku terbitan kami. Kami amat bersyukur kepada Allah kerana adanya para pakar yang sudi menegur usaha kami yang kerdil ini.

PTS diwujudkan atas 3 dasar utama iaitu menerbitkan karya-karya berkualiti dalam bahasa Melayu bagi membanyakkan bahan bacaan dalam kepustakaan Melayu, menentang rasuah dalam amalan bisnes dan penerbitan, menerbitkan bahan yang patuh syariah. Ini adalah dasar pegangan PTS sejak awal penubuhannya pada tahun 2000. Dasar ini menjadi asas kepada penerbitan karya-karya terbitan kami selama ini.

Para individu di bahagian editorial bertungkus-lumus merealisasikan dasar perjuangan ini dalam gerak kerja harian. Setiap buku yang diterbitkan diteliti sehabis mungkin supaya bahan terbitan kami dijaga keharmonian bahasa dan kesahihan fakta di dalamnya. Apabila ada bahan yang berada di luar daripada kepakaran kami, kami melantik para pakar dalam bidang yang kami percaya dapat memberikan pandangan dan penilaian terbaik bagi memurnikannya. Selagi mana manuskrip itu masih lagi ada kesangsian fakta dan maklumat di dalamnya, selagi itu ia terus diteliti dan disunting.

Pihak kami juga menggunakan teknologi yang terkini bagi memastikan setiap buku yang diterbitkan mencapai tahap kualiti tertinggi. Teknologi ini termasuklah menggunakan perisian susun atur huruf versi terbaru, perisian kamus, prosedur operasi standard dan apa sahaja yang dilihat serta dirasakan dapat meningkatkan kualiti penerbitan kami. Namun sebahagian besar proses ini masih lagi melibatkan unsur ‘manusia’. Pelbagai program latihan editorial dijalankan, latihan suntingan bahasa, latihan suntingan agama, sesi diskusi bersama pakar bidang dan forum-forum secara online dilakukan bagi menangani perkara berbangkit.

Manusia tetap manusia, kita bukan insan sempurna. Walaupun segala usaha dilakukan, kadangkala pasti ada yang terlepas pandang. Walaupun manuskrip-manuskrip sudah diperiksa oleh dua ke tiga editor, masih ada kesilapan di luar kawalan kami. Ini yang pentingnya sistem maklum balas daripada para pembaca dan para pekedai.

Apabila kami memperoleh sebarang pandangan daripada mana-mana pihak berkaitan bahan terbitan kami, Pandangan itu akan diteliti dan bahan terbitan itu dikaji semula. Ini bagi menentukan samada pandangan yang diberikan itu sahih ataupun tidak. Apabila ia dapat dibuktikan dan mempunyai fakta-fakta bersandar, pihak kami akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan ia diperbetulkan.

Apabila pandangan diberikan kepada produk buku HIJRAH, pihak kami mengadakan perbincangan dalaman pengurusan editorial bersama pengurusan tertinggi PTS Media Group dan perbincangan juga dibuat bersama Tuan Abdul Latip Talib, pengarang buku ini.  Alhamdulillah, Tuan Abdul Latip Talib secara terbuka mengakui sebagai manusia beliau tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Beliau amat terbuka menerima sebarang pandangan mengenai perkara ini dan beliau memohon sebarang pandangan sebegini diajukan kepada beliau secara peribadi.

Hasil daripada perbincangan yang dibuat ini, pihak kami memutuskan bagi membuat penelitian dan pemurnian semula terhadap naskhah penerbitan ini. Tindakan proaktif ini dibuat atas sebab setiap pandangan membina perlu diambil perhatian.

Sehubungan dengan itu, pihak pentadbiran PTS Media Group membuat keputusan untuk menarik balik kesemua naskhah buku HIJRAH daripada pasaran. Arahan penarikan sudah dikeluarkan kepada para eksekutif jualan dan tindakan sudah diambil oleh pihak yang berkenaan.

Kami amat mengalu-alukan mana-mana individu peminat dan pejuang dunia ilmu bagi memberikan pandangan secara terus kepada pihak kami apabila menemui sebarang perkara berbangkit dalam bahan terbitan kami. Sebarang perkara berbangkit boleh dimajukan kepada Pengurus Besar Penerbitan PTS, Tuan Ikram Wazir di talian: (+6) 016 661 1649 | emel: ikram@pts.com.my ataupun terus kepada saya di talian :  (+6) 016 661 1472 | emel: fauzuln@pts.com.my. Kami juga mengalu-alukan mana-mana pihak untuk mengadakan sesi pertemuan dan diskusi dengan pihak kami bagi memberikan pandangan berkenaan buku terbitan kami.

Sekali lagi jutaan terima kasih kepada pihak yang memberikan pelbagai pandangan membina bagi menambah baik karya-karya terbitan kami. Kami doakan Tuan dan Puan sentiasa diberikan rahmat dan redha Allah dalam apa sahaja gerak kerja yang dilakukan seharian. Kami juga memohon maaf kepada para peminat buku terbitan kami yang terkesan daripada perkara berbangkit ini. Kami juga manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Semoga Allah sentiasa memberikan taufik dan hidayah-Nya kepada diri kita semua.

Sekian, terima kasih.

Salam penerbitan dan salam perjuangan,

 FAUZUL NA’IM ISHAK

 

Pengarah Penerbitan 

PTS Media Group Sdn Bhd.

 

Check Also

Menamatkan Pendidikan Kiasu

Entahlah dunia apa yang kita hidup di dalamnya hari ini. Setelah anak nekad terjun membunuh …

5 comments

  1. Alhamdulillah, mudah-mudahan suasana saling tegur menegur antara satu sama lain ini berterusan, ia meningkatkan lagi ukhwah dan kualiti karya seseorang, dengan slg mghormati stu sama lain, pergi ke satu tahap yg lbih matang dlm bidang penulisan yg jujur dan amanah.

    =)

  2. Ustaz, saya share ngan kengkawan opis. ayat ‘Kritikan juga sangat tertumpu kepada subjek ini, dan saya berusaha keras untuk mengelakkan diri daripada menggunakan maklumat-maklumat peribadi dan sulit, walau sesahih mana pun ia, demi untuk mengekalkan sifat neutral dalam kritikan.’ sungguh bagus bagus bagus.

    untuk orang2 nakal seperti kami nih, acap kali kami menegur dengan perbezaan FAKTA & PENDAPAT. dan biasanya PENDAPAT mengatasi. huhu

    teguran ni telah ditepek atas dahi. Jazakallah.

  3. Alhamdulillah… semoga usaha memberi teguran dan pencerahan kepada umat terus berlangsung sesama kita. Seronok mendengar khabar gembira ini

  4. Assalam tuan , saya pon banyak membaca buku From Abdul latip seperti kisah2 sahabat dan tokoh dalam islam , maybe tuan boleh terangkan lagi tentang permasalahan fakta dalam buku beliau? Sebagai seorang yg suka membaca amatlah penting untuk saya tahu tentang kesahihan fakta dan sebagainya .

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.