Barat, Turki, Orientalis dan Cabaran Mempelajari Sejarah Dawlah Uthmaniyyah

iba-bursa

Belajar di Turki adalah permulaan yang penting.

Namun ia bukan jaminan untuk menghalang kita daripada tersangkut pada jerangkap Orientalis.

Hakikatnya Orientalis terkemuka di negara Eropah dan Amerika Syarikat yang menjadi pakar rujuk terhadap kajian Dawlah Uthmaniyyah, dilahirkan oleh dunia akademik Turki itu sendiri.

Bernard Lewis mendapat latihan di Turki, fasih bertutur di dalam bahasa Turki.

StanfordJShaw

Stanford J Shaw

Demikian juga dengan Stanford J Shaw. Beliau berguru dengan nama-nama besar sarjana Turki seperti Professor Ismail Hakki Uzuncarsili, Professors Omer Lutfi Barkan, Halil Sahillioglu, Mukrimin Halil Yinanc dan Zeki Velidi.

Latihan akademik yang mendalam di Turki, tidak mengubah Bernard Lewis kepada bukan Bernard Lewis.

Beliau terkenal dengan pendekatan uniknya pada membuat rumusan halus yang bermasalah, selepas melambakkan fakta-fakta tulen lagi berharga hasil galiannya, yang menjadi rujukan pengkaji lain.

Lewis-Bernard

Bernard Lewis

Profesor Fathi Ridwan pernah menegur Bernard Lewis yang mengulas panjang lebar tentang perkembangan pendidikan Dawlah Uthmaniyyah, beliau merumuskan bahawa “pada tahun-tahun selepas Sultan Abdul Hamid II menaiki takhta, bermulalah sistem pendidikan sekolah diraja, dan ia merupakan sekolah diraja yang pertama, berbentuk sivil dan bukannya ketenteraan”

Ayat itu terkandung halus di dalamnya satu dakwaan bahawa sekolah-sekolah Uthmaniyyah selama ini adalah sekolah tentera, sehinggalah sampai ke era Abdul Hamid II pada penghujung abad ke-19. Persepsi ini begitu halus menyelinap, menafikan karakter madani yang wujud bagi medrese Uthmaniyyah semenjak dari era Mehmed II dan Süleyman I lagi. Namun kesimpulan songsang ini diselitkan oleh Bernard Lewis secara begitu halus, untuk mencapai objektifnya. Objektif seorang Yahudi Zionis yang Allah panjangkan umurnya hingga ke hari ini (berusia 97 tahun).

Seperti yang ditegaskan oleh Dr. Muhammad Abdul Hamid Harb di dalam karyanya al-‘Uthmāniyyūn fī al-Tārīkh wa al-Hadhārah, “tidaklah daripada Orientalis Yahudi, kita mengetahui tentang Sejarah kita sendiri”

Inilah antara isu yang saya rancang untuk dikongsi bersama adik-adik di Turki, termasuk al-Marhum Ahmad Ammar tempoh hari. Pengajian sains sosial di Turki, tidak banyak berbeza dengan pengajian yang sama di negara Eropah, kecuali dengan Usuluddin yang kuat dalam dasar ilmu sahabat-sahabat di Turki, untuk menyaring dan mengkritik teori-teori yang dipelajari.

Semoga sahabat-sahabat di Turki teguh mengaji dan kerap berdiskusi untuk saling mengukuhkan pandangan hidup Islam masing-masing. Saya dan sahabat serta keluarga di tanahair, mendoakan jihad kalian semua.

En iyi dileklerimle, kardeşlerim!

HASRIZAL @ www.saifulislam.com
43000 BSP

 

Facebook Notice for EU! You need to login to view and post FB Comments!

Check Also

Mu’arrikhun: Membumikan Sejarah di Gelanggang Ummah

“Saya tidak seronok memikirkan peraturan di Malaysia, pensyarah perlu bersara wajib pada usia 65 tahun” …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.