Bertuahkah Islam Mendapat Melayu?

20140102-171218.jpg

Malam itu aku menangis.

Qiyam Ramadan aku beriring sendu.

Aku tidak dapat menahan rasa sedih dan kesal, bagai ada batu besar terbuku menjadi beban di lubuk hatiku.

Rasa terkilan itu juga bersulam silang dengan rindu.

Aku rindu pada saat-saat kelanaku di bumi yang amat jauh dan terpencil daripada dunia Islam. Merindui kelana dakwahku semasa menggalas tugas mengimamkan umat di tapak krisis Protestant – Katholik itu.

Di bumi Ulster.

Kenanganku kepada Belfast bukan pada kemeriahan pelancongan atau bersenang lenang di rantau orang.

Apa yang lebih mengundang rindu, menusuk kalbu, adalah pada manis yang dijamu. Kemanisan bekerja untuk Islam, tatkala masjid kecilku itu menyaksikan begitu ramai anak tempatan disentuh hidayah Allah, khususnya di bulan Ramadan. Di lindungan bumbung Ramadan, masjidku dilimpahi rahmat dengan ungkapan Shahadah lelaki dan perempuan, yang semenjak lahir mereka tidak kenal Allah dan Muhammad, namun di masjidku, mereka kembali.

Kembali kepada fitrah.

Mereka bersyahadah.

Itulah Ramadan di bumi Eropah.

Bukan hanya di masjid kami, malah di kebanyakan masjid yang ada.

Di masjidku, kami mahu ia seperti Masjid Nabi. Sesiapa yang mencari teduh, dijemput berteduh. Sesiapa mencari hidayah, disambut dengan ramah. Hampir setiap hari tetamu datang dengan pelbagai agama dan latar belakang. Namun mereka bertemu di maksud yang satu. Mereka mahu tahu.

Apa Islam? Siapa Muslim? Mengapa Islam? Bagaimana Muslim?

Mereka tidak pernah mengotorkan masjid. Mereka tidak pernah mencemari masjid. Mencabut kasut, kami beritahu. Berpakaian sopan, mereka sudah tahu. Menghormati jemaah, memang cara hidup mereka begitu, hingga kami tidak terbayang berkemungkinan mengulang perbuatan Nabi, membasuh kencing Badwi, tanpa merungut dan mencela caci.

Pada mereka, datang bertamu.

Pada kami, Allah yang menyeru.

Tugas kami menyambut tetamu.

Bukankah itu amanah di bahu?

Bulan Ramadan adalah bulan yang dinanti-nantikan. Bukan hanya pada segala kebaikan yang sedia terjanji di lisan Nabi yang berpesan. Malah bulan ramai anak tempatan memeluk Islam. Hidayah daripada Allah, namun ikhtiarnya tidak pernah menghela lelah.

Itulah yang mengundang tangisanku malam ini.

Ramadan dalam kenanganku di perantauan, adalah bulan Allah menghadirkan tetamu-tetamu al-Rahmaan ke setiap rumah-Nya.

Ramadan dalam realitiku di kampung halaman sendiri…

Muslim yang tidak datang ke masjid tidak pernah diendah dalam kerisauan.

Bukan Muslim yang datang ke masjid, dihalau, dicaci penuh prejudis, dan dimurkai sesuka hati.

Kalimah Allah mahu dieksklusifkan, Doa Khutbah mahu dieksklusifkan, Masjid dan Surau mahu dieksklusifkan. Agama menjadi topik sensasi tetapi keberagamaan terumbang ambing antara suram fajar dan senja.

Teringat diriku kepada coretan Kang Agus Mustofa di dalam karyanya Membela Allah:

Berjuta-juta penduduk dunia
Yang menyatakan dirinya beragama pun
Tanpa sengaja melupakan-Nya
Termasuk orang-orang
Yang merasa dirinya Islam
Ternyata juga tidak melakukan
Pembelaan untuk Dia
Siapalah yang dibelanya?
Ada yang sibuk membela status sosialnya
Ada yang sibuk membela kekuasaannya
Ada yang sibuk membela investasinya
Ada yang sibuk membela partai politiknya
Ada yang sibuk membela organisasi massanya
Ada yang sibuk membela madzhab pemikirannya
Ada yang sibuk membela 'agamanya'
Tapi tidak membela Tuhannya
'Agama' telah menjadi berhala
Dalam jiwanya
Rupanya dia lupa
Bahawa agama hanyalah 'jalan'
Untuk mendekatkan diri kepada Tuhannya

Aku terbelenggu dalam fikiran, betapa bertuahnya Melayu mendapat Islam, namun bertuahkah Islam mendapat Melayu?

Mahsyar akan menuntut jawapan kepada persoalan itu…

Hasrizal @ www.saifulislam
43000 BSP

 

Check Also

Wahabikah Aku?

Tempat ke-40 Wahabi di Malaysia, Hasrizal Abdul Jamil. Pernahkah anda mendapat senarai berkenaan? Senarai itu …

5 comments

  1. Allahuakbar…sangat bersetuju dengan ustaz..

  2. Terasa dengan apa yg ust cakap. Bertuah ke islam dapat melayu?

  3. Dua garis yang selari tidak akan bertemu..

  4. Islam semakin mundur di Malaysia. Buktinya banyak masjid ditutup dan dikunci selepas solat. Ini masjid tepi jalan besar bukan masjid tengah kampong terpencil. 10 tahun lepas tak ada masalah.

  5. Dear Ustaz, I believe a lot of people share your thoughts especially on this issue. I aim not to be rhetoric, instead, positively upholding the tenets, making it a reality at least in the organization I’m leading. Thank you so much for the timely reminder. May Allah reward you and your family in jannah. May we all be steadfast on His path.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.