Fenomena Agamawan Berbahasa Kesat Dalam Ceramah

Persoalan ustaz-ustazah, orang-orang agama berbahasa kesat di meja ceramah bukan perkara baru. Apabila saya mengulasnya di tahun 2024 ini, ia bukan merujuk kepada satu dua kes semasa yang sejujurnya saya tak ikut dan tak tahu perinciannya. Ia adalah perkara yang sama diulang-ulang sekurang-kurangnya semenjak sepuluh tahun yang lalu. Di era internet mendedahkan kepincangan akhlak orang agama baik dalam ceramah, mahu pun siasah dan sebarang bentuk penampilan awam.

Sungguh menghairankan apabila orang-orang agama berusaha keras untuk menjustifikasikan bahasa kasar dan kesat di dalam ceramah dengan alasan ini adalah bahasa biasa di daerah di mana kami berada, dan di negeri di mana kami berasal. Tradisi keilmuan ulama kita di Tanah Melayu di Nusantara, bukan perkara baru. Namun dahulukala, kita tidak jumpa masyaikh dan tok-tok guru kita menggunakan bahasa-bahasa demikian dalam ucapan ataupun tulisan mereka. Kita tidak ada rakaman audio atau video daripada era seratus tahun sudah, namun kitab yang ada, menunjukkan kecermatan malah ketinggian mereka dalam berdakwah dan mendidik umat. Mereka tidak menggunakan bahasa kesat ketika menyampaikan agama.

Jika mereka menggunakan bahasa-bahasa itu ketika berbual sesama ahli keluarga, di dalam pergaulan sosial di mana mereka berada, itu perkara lain, malah menarik andai memang benar ada rekod sejarah untuk diteliti. Tetapi dalam dakwah dan pendidikan, kita tidak jumpa. Kalau ada sekali pun, ia tetap bukan hujah untuk menghalalkannya.

SURAH AL-HUJURAT DAN STANDARD AKHLAK KITA

Kita ingat kembali bahawa fenomena ini bukan fenomena baru. Ia adalah asas utama mengapa Surah Al-Hujurat diturunkan oleh Allah Subhanahu wa taala. Surah yang turut dikenali sebagai Surah Akhlak.

Selepas daripada Fathu Mekah (9H), kejayaan itu membawa kepada satu fenomena baharu apabila orang masuk Islam beramai-ramai. Apabila ramai orang masuk Islam dalam bentuk yang sedemikian rupa, ia mendatangkan cabaran baharu kerana ramai di kalangan individu ini memeluk Islam bukan kerana sentuhan dakwah secara individu, apatah lagi daripada junjungan Nabi ๏ทบ . Ia menjadi seumpama ‘trend’, lantas amalan jahiliah turut terbawa bersama mereka. Kemasukan ini sebahagiannya adalah daripada golongan bangsawan yang berada di Mekah. Bani Umayyah seperti keluarga Uthman bin Affan dan Muawiyah bin Abu Sufian radiallahu anhuma, adalah contoh kabilah bangsawan di dalam masyarakat Mekah pada ketika itu.

Dan sebahagian daripada mereka yang memeluk Islam juga adalah daripada golongan Arab Badwi yang terkenal dengan sifat kasar keras mereka.

Allah ๏ทป tidak mengizinkan masing-masing berbangga dengan cara masing-masing.

Kalau orang bangsawan boleh berbangga dengan bahasa kayangan dan tatacara hidup mereka yang begitu jauh di sebelah A, golongan Arab Badwi pula boleh berbangga dan bertegas untuk mempertahankan kebiasaan mereka dan kekerasan cakap kasar. Bagi mereka, itu adalah cara terbaik dan mereka berada jauh lagi ekstrim di sebelah B.

Allah meletakkan satu standard yang seimbang di antara A dan B ini tadi dengan Islam.

Kita nampak perinciannya melalui Asbab al-Nuzul surah al-Hujurat, dan juga Asbab al-Wurud ungkapan-ungkapan daripada Nabi ๏ทบ.

Misalnya, al-Aqra’ bin Hฤbis, salah seorang daripada tokoh penting daripada kelompok Arab Badwi, beliau pernah memanggil Nabi ๏ทบ dengan cara yang kasar, yang tidak selayaknya digunapakai. Beliau juga pernah mempersoalkan tindakan Nabi ๏ทบ mencium kanak-kanak sedangkan beliau ada sepuluh anak dan tidak pernah mencium mereka. Allah ๏ทป dan Nabi ๏ทบ menegur al-Aqra’ bin Hฤbis dan teguran itu juga teguran Allah sepanjang zaman termasuk untuk kita orang Melayu seribu tahun kemudian.

Kita kena ingat bahawa orang boleh sombong dengan kebangsawanan, dan orang juga boleh sombong dengan nilai marhaen malah kemiskinan. Sebab itu dalam Syurga dan Neraka ada belaka. Ada orang miskin masuk Syurga, ada orang miskin masuk Neraka. Ada orang kaya masuk Syurga, ada orang kaya masuk Neraka.

Kemiskinan atau kekayaan, kedua-duanya adalah ujian buat kita. Allah ๏ทป tidak mengizinkan orang kaya menggunakan kekayaan mereka sebagai kebanggaan, atau orang miskin bersikap angkuh dengan kemiskinannya. Sebaliknya, Islam meletakkan satu standard untuk semua ini berada di tempat di mana Islam itu membina tatakelola dan tingkah laku. Iaitu pada akhlak mahmudah.

Kalau khalayak berbahasa kesat, netizen mencarut maki hamun, memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi, taksub dengan guru mereka, kita tak boleh meletakkan sepenuhnya kesalahan ke atas mereka. ‘Mereka’ itu pun hakikatnya entiti yang kita tidak boleh untuk spesifikkan siapa mereka. Akan tetapi, apa yang jelas ialah peranan tokoh yang disokong dan dipuja itu. Agamawan dan penceramahlah yang perlu memainkan peranan mendidik dan mengadabkan khalayak masing-masing.

UJIAN DI MEJA DAN PENTAS CERAMAH

Sesuatu yang mungkin orang ramai kurang faham kerana tidak mengalaminya ialah ujian di meja penceramah. Apabila kita duduk di meja ceramah, bermulalah satu ujian yang besar. Mungkin di peringkat amatur orang ramai berkata, “oh ini geng-geng ‘ustaz sampul’ belaka!” Masyarakat menganggap ustaz atau penceramah itu mahu menjaga kedudukannya berdasarkan kepada lumayannya sagu hati yang diberikan di dalam sampul tadi.

Tetapi di satu peringkat, wang bukan menjadi tarikan utamanya lagi. Bukan itu yang menarik perhatian dan mendatangkan lebih kepuasan kepada penceramah. Sebaliknya, apa yang lebih menguji malah beracun iaitu sokongan orang ramai. Orang angguk dengan pendapat kita. Orang ketawa dengan gurauan kita.

Kalau kita buat lawak, beratus-ratus malah beribu orang gelak, ‘feeling‘ ketika itu, masya Allah! Kalau kita cakap satu benda yang betul, beribu orang mengangguk kerana bersetuju dengan benda yang kita cakap, ujiannya sangat mendalam.

Saya yakin ramai yang tidak pernah kenal dan sudah lupa tentang siapa saya untuk mengulas hal ini.

“Siapa beliau nak cakap tentang hal ini?”

Saya tidaklah sepopular nama-nama besar yang ada hari ini. Tetapi serba sedikit, sekurang-kurangnya saya pernah berada di dalam situasi itu. Di pentas ceramah, di kaca tv saban waktu, poster dan banner di sana sini, berceramah keliling dunia, Allah rezekikan sedikit untuk berada di dalam situasi berkenaan.

Hakikatnya, setiap kita yang duduk di meja ceramah, kita diuji dengan ujian-ujian khusus untuk orang agama.

Pertama sekali, amanah ilmu.

Sebelum berceramah, semudah kuliah maghrib di surau, ustaz dan ustazah ini buat ‘homework‘ atau tidak? Mutala’ah kitab atau tidak? Jangan sekali-kali ambil mudah hingga fikir hendak ceramah apa sekejap lagi semasa memandu ke surau. Jika tidak sempat buat persiapan, maka tanggungjawab masing-masing di hadapan Allah adalah untuk ubah suai jadual, supaya sempat buat persiapan berkenaan. Itu perkara yang saya timbulkan sejak sekian lama.

Kemudian, tanggungjawab yang kedua ke atas orang-orang agama, ustaz dan ustazah penceramah ini ada untuk mengakhlakkan hadirin.

Antaranya adalah dengan menjaga tutur kata dan bahasa masing-masing. Jangan normalisasikan akhlak mazmumah, endorse benda-benda yang salah, walaupun ia menguntungkan kita.

Apabila saya menulis buku pertama ‘Aku Terima Nikahnya’ pada tahun 2008 dahulu, saya ingatkan diri bahawa apabila kita menulis buku, jangan gunakan pendekatan yang menyebabkan orang puja dan taksub dengan kita. Apabila orang ramai baca buku itu, buku itu memperkasa diri mereka dengan ilmu yang diperolehi lalu mereka boleh berkembang sendiri. Kita bukan bertujuan mengumpul orang mengelilingi kita. Kita mahu kumpulkan orang ramai kepada agama Allah ๏ทป.

Sesungguhnya, bukan mudah untuk ikhlas dalam menyampaikan agama.

Tidak kiralah ustaz kampung ke, ustaz bandar ke, mufti ke, masyaikh ke, semuanya diuji dengan ujian yang sama.

Dan benda ini bukan benda baharu. Ia terjadi, disedari, malah dikaji daripada zaman dahulu lagi.

Politics of Piety ini merupakan kajian yang sangat mendalam tentang hiruk pikuk politik sesama ulama (komuniti ilmiyye) Dawlah Uthmaniyyah, terutamanya pada abad ke-17. Kajian oleh Madeline Zilfi ini masih belum ada tandingannya dan terus menerus menjadi rujukan pihak yang mahu menyelidik tentang isu-isu yang berlegar di kalangan ulama Dawlah Uthmaniyyah ketika itu, sebagai kelompok yang sangat berpengaruh dalam politik negara.

Misalnya, salah seorang tokoh penting dalam gerakan Kadฤฑzadeli iaitu Vani Mehmed Efendi. Di satu ketika, beliau telah mencemar reputasinya kerana berceramah membenarkan dirinya minum sedikit arak (khamar) dan mengharamkannya untuk orang ramai. Alasan beliau ialah, larangan al-Quran terhadap arak adalah untuk orang awam memandangkan orang awam mudah tersasar dan berlebih-lebihan. Ada pun golongan yang lebih kuat pegangan agamanya, seperti beliau, mampu menentukan kadar yang perlu sahaja untuk minum tanpa menjadi mabuk. Oleh kerana risiko mabuk itu sangat rendah, maka harus baginya meminum arak (mukasurat 188).

Tindakan menyalahgunakan nas di kalangan agamawan ini berlaku dari semasa ke semasa. Ketaksuban kepada golongan ulama, mengkuduskan mereka, menyerang golongan yang mengkritik mereka secara kritis, adalah sikap yang salah serta membelakangkan sejarah.

Kebelakangan ini, agamawan menjadi kudus. Sebahagian anak muda pula seperti sanggup mati untuk mempertahankan agamawan mereka, menyerang sesiapa yang tidak membeli idea kudus itu. Pada masa yang sama, berkelakuan biadab mengkritik dengan bahasa kesat juga adalah kerendahan akhlak yang tercela, termasuk mengajukan ia kepada para ulama. Keliaran antara dua dimensi ini mengundang musibah demi musibah ke atas masyarakat.

Dan dengan rujukan sejarah, kita bukan ahli nujum tetapi kita boleh menjangkakan situasi ini sedang mengheret kita semua menuju ke arah mana.

Orang agama memikul tanggungjawab paling besar untuk mengadab serta mengakhlakkan hadirin, terutamanya pengikut dan penyokong masing-masing. Jangan nanti para netizen, anggota masyarakat terus menerus atas nama “kami sokong ulama”, “kami mempertahankan ulama” menjahanamkan agama atas nama agama, hanya kerana di sebelah sana itu pula ada golongan yang menyerang ulama, yang anti dengan ulama, berbahasa liar dan angkuh atas nama reformasi sosial dan kebebasan intelektual.

Sokongan kepada orang agama boleh menjadi bak kata pepatah Melayu, sokong membawa rebah.

Jika benar-benar sayang dengan tokoh guru masing-masing, ikutlah benda baik yang diajar. Dan kalau ada pula yang buat silap, maka ingatkan, tegurkan, betulkan.

ุนูŽู†ู’ ุฃูŽู†ูŽุณู ู€ ุฑุถู‰ ุงู„ู„ู‡ ุนู†ู‡ ู€ ู‚ูŽุงู„ูŽ ู‚ูŽุงู„ูŽ ุฑูŽุณููˆู„ู ุงู„ู„ูŽู‘ู‡ู ุตู„ู‰ ุงู„ู„ู‡ ุนู„ูŠู‡ ูˆุณู„ู… โ€”โ€ ุงู†ู’ุตูุฑู’ ุฃูŽุฎูŽุงูƒูŽ ุธูŽุงู„ูู…ู‹ุง ุฃูŽูˆู’ ู…ูŽุธู’ู„ููˆู…ู‹ุง โ€”โ€โ€.โ€ ู‚ูŽุงู„ููˆุง ูŠูŽุง ุฑูŽุณููˆู„ูŽ ุงู„ู„ูŽู‘ู‡ู ู‡ูŽุฐูŽุง ู†ูŽู†ู’ุตูุฑูู‡ู ู…ูŽุธู’ู„ููˆู…ู‹ุงุŒ ููŽูƒูŽูŠู’ููŽ ู†ูŽู†ู’ุตูุฑูู‡ู ุธูŽุงู„ูู…ู‹ุง ู‚ูŽุงู„ูŽ โ€”โ€ ุชูŽุฃู’ุฎูุฐู ููŽูˆู’ู‚ูŽ ูŠูŽุฏูŽูŠู’ู‡ู โ€”โ€โ€

Daripada Anas r.a, Rasulullah ๏ทบ bersabda: “Bantulah saudaramu yang zalim, atau dizalimi!” Mereka bertanya, “wahai Rasulullah, saudara kami yang dizalimi ini jelas kami membantunya. Tetapi bagaimana pula dengan saudara kami yang zalim? Bagaimana membantunya?” Baginda menjawab, “engkau halang dia daripada melakukan kezaliman itu dengan upayamu!”

[Hadith riwayat al-Bukhari : 2444]

Tolong saudara kamu yang zalim atau dizalimi. Kalau yang dizalimi itu jelas kena tolong, tapi yang zalim itu, bagaimana kita menolongnya? Halang dia, hentikan dia daripada meneruskan kezaliman.

Percubaan menjustifikasikan bahasa kesat dalam ceramah agama adalah perbuatan zalim. Ia bercanggah dengan semangat agama yang disebutkan di dalam hadis Nabi ๏ทบ :

ุนูŽู†ู’ ู…ูŽุงู„ููƒูุŒ ุฃูŽู†ูŽู‘ู‡ู ู‚ูŽุฏู’ ุจูŽู„ูŽุบูŽู‡ู ุฃูŽู†ูŽู‘ ุฑูŽุณููˆู„ูŽ ุงู„ู„ูŽู‘ู‡ู ุตู„ู‰ ุงู„ู„ู‡ ุนู„ูŠู‡ ูˆุณู„ู… ู‚ูŽุงู„ูŽ โ€ “โ€ ุจูุนูุซู’ุชู ู„ุฃูุชูŽู…ูู‘ู…ูŽ ุญูุณู’ู†ูŽ ุงู„ุฃูŽุฎู’ู„ุงูŽู‚ู โ€

Daripada Malik, telah sampai kepada beliau bahawa Rasulullah ๏ทบ telah bersabda: aku telah diutus untuk menyempurnakan keelokan akhlak.

[Hadith riwayat Malik Kitab 47, Hadith 8]

Apatah lagi di tahun 2023, 2024 ini, penceramah popular semuanya tahu yang ceramah mereka dirakam dan akan disiar di Youtube, TikTok, dan pelbagai medium sosial media semasa. Maka bertambah lagilah tanggungjawab masing-masing berbahasa dengan bahasa yang sejahtera untuk semua orang yang mendengar.

Sama ada yang menonton atau mendengar itu datang dari daerah kita, negeri kita, negara kita, mahu pun di tempat-tempat lain di serata dunia.

Malah juga selepas kita mati, semasa kita sudah tidak ada peluang untuk membetulkan kesilapan yang amat jelas ini.

Bertakwalah kepada Allah, setiap yang duduk di meja dan pentas ceramah ummah.

rizal.ie
Naas, Ireland.

โ€‹

Check Also

Sebelum 7 Oktober 2023

Jika di kalangan umat Islam sendiri, ada yang menyoal mengapa Harakah Muqawamah Islamiah melakukan serangan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share