The Secret Life of Walter Mitty: Mencari Intipati Sebuah Kehidupan

karenarmstrong-signature

Saya rasa ia seperti mimpi.

Sangat teruja.

Sudah lama saya membaca karya Karen Armstrong.

Kini bukan sahaja beliau sedang berucap secara live di hadapan kami semua, saya juga menjadi salah seorang ahli jawatankuasa program berkenaan. Di dalam program Inter-Civilizational Youth Engagement Program (IYEP) sulung ini, Karen Armstrong merupakan salah seorang penceramah jemputan kami.

Selepas sesi berakhir, saya memberanikan diri bertemu dengan beliau untuk mengucapkan terima kasih secara peribadi atas sumbangannya secara langsung atau tidak langsung kepada dakwah Islam. Rakan saya, Anthony Mooney tertarik kepada al-Quran hingga akhirnya memeluk Islam kerana membaca karya Karen Armstrong.

“Boleh saya dapatkan tandatangan puan?” saya menghulurkan naskhah The Spiral Staircase: My Climb Out of Darkness.

“Sudah tentu. Ini buku baru. Awak sudah membacanya?” beliau menyambut dengan ramah.

“Oh sudah. Saya ada beberapa buah buku lain. Tetapi ini buku puan yang terbaru saya baca. Sangat memberi inspirasi. Saya yakin ramai juga mendapat kekuatan untuk keluar daripada kegelapan hidup dengan membaca buku ini” saya menjawab.

Seram sejuk tangan saya melihat Karen Armstrong menurunkan otografnya ke naskhah tersebut.

“Mahu saya ambilkan foto?” Afiq bertanya kepada saya.

Beliau pun tahu betapa terujanya saya dapat bersemuka dengan Karen Armstrong.

“Oh tidak mengapa. Tidak perlu” saya menolak.

Saya tidak mahu detik itu dirakam di dalam foto. Cukup sekadar tandatangan di buku.

DETIK BERHARGA

Apabila saya kenang-kenangkan kembali, ada beberapa kali saya menolak untuk bergambar, ketika mana itulah detik yang sangat ‘mahal’, dan sentiasa dinanti-nanti untuk diabadikan dalam sebuah foto.

Saya tidak pasti mengapa.

Sehinggalah Sean O’Connell mengungkapkannya kepada Walter Mitty. Saya tersentak dan mencari kembali memori saya bersama Karen Armstrong.

Selepas pelbagai ranjau melanda, dari Greenland dan Iceland membawa ke Yaman dan Afghanistan hingga ke Banjaran Himalaya, Walter Mitty bertemu dengan jurukamera profesional Sean O’Connell yang sedang menunggu detik kemunculan snow leopard. Ia haiwan yang sangat sukar untuk dilihat kelibatnya. Sean sanggup melakukan apa sahaja untuk melihatnya. Dan lensa gergasi yang digunakan oleh Sean akhirnya menemui subjek yang dinanti.

 THE SECRET LIFE OF WALTER MITTY

“Cepat, lihat ini” Sean mengajak Walter melihat sama.

“Bila engkau hendak mengambil fotonya?” Walter bertanya.

Beliau hairan dengan Sean yang asyik memerhatikan snow leopard itu, tetapi tidak merakamnya di dalam kamera.

“Adakalanya, aku lebih suka untuk menikmati detik-detik sebegini sendiri. Aku tidak mahu ia diganggu dengan melihatnya menerusi lensa” kata Sean.

Kata-kata itu sungguh bermakna.

Di zaman semua benda hendak dirakam melalui DSLR, kamera telefon pintar dan dikongsi di Instagram, Facebook dan Twitter, kita terlupa kepada kuasa merakam detik di dalam minda sendiri.

Di dalam kisah The Secret Life of Walter Mitty, lensa yang diungkapkan oleh Sean O’Connell itu, bagi saya adalah metafora kepada ‘khayalan’ yang sering menghantui Walter. Dan khayalan itu juga memerangkap kita di alam nyata.

Biar pun foto itu adalah sebuah dokumentasi, sifat keterlaluan merakam segala detik hidup di dalam foto, memindahkan keindahan imaginasi seorang manusia daripada memorinya ke luar kepala.

Bagi saya, ia menghilangkan sebahagian kemanisan sebuah detik penting.

kodachrome_64

Kebetulannya saya hidup sebagai remaja di zaman filem gulung Kodak dan Fuji, merakam foto bukanlah sesuatu yang mudah seperti hari ini. Justeru banyak detik istimewa tidak terakam di dalam foto. Ia tersemat di dalam memori, dan semasa kamera digital keluar, saya merasakan era 1990’an saya adalah sebuah kekurangan.

Tetapi di dalam kekurangan itu ada kemanisan. Dan kerana kemanisannya sempurna, ia menjadi kenangan yang cukup kuat untuk saya berkarya.

Rindu Bau Pohon Tin, Secangkir Teh Pengubat Letih dan Di Hamparan Shamrock Kuseru Nama-Mu, adalah tiga buah travelog yang saya hasilkan berbekalkan kemanisan kenangan sebagai sebuah memori di dalam ingatan.

Ibu bapa yang sentiasa memerhatikan kehidupan anaknya melalui kamera telefon…

Para pelancong yang sentiasa menangkap gambar di sana sini hingga tidak melihat sendiri dengan mata pemberian Tuhan…

Pasangan pengantin yang berpenat lelah untuk sesi fotografi dan album cantiknya.

Setiap insan yang kaya dengan koleksi selfie

Mungkin kita semakin hidup dalam dunia khayalan.

Kita mungkin kehilangan sebuah kemanisan. Atau tidak pernah mengetahui tentang wujudnya ia.

Kemanisan yang diungkapkan di dalam filem The Secret Life of Walter Mitty sebagai QUINTESSENCE OF LIFE.

Intipati sebuah kehidupan.

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

 

Check Also

Urban Legend Budak Izzuddin: Tragedi 1991

“Tebalnya sampul surat kali ini” saya membelek-belek surat yang diterima. Selama berada di Sekolah Menengah …

9 comments

  1. Kalau pergi majlis anugerah pelajar cemerlang plak.. tak dapat nak tengok sapa yg ambik hadiah, sebab dikelilingi oleh ibu bapa, rakan taulan yg nak ambik gambar..rasa mcm miss the moment zaman dulu2, takde sesiapa menghalang pemandangan.. boleh nampak siap yg ambik hadiah dihadapan

  2. Sangat setuju dan penulisan ini sungguh memberi inspirasi buat peminat gambar dan kamera 🙂
    jazakallah Ustaz!

  3. Alhamdulillah… rupanya akak bukan keseorangan. Adakalanya sesuatu itu lebih baik terakam di minda daripada khayalan di kertas atau digital kamera. Lihat foto2 lama kita zaman filem gulung.. bila kita tiada apakah ia terus dipelihara oleh anak cucu? Mereka juga punya sesuatu, kenangan utk diingati… bukan menyimpan utk org…
    sehinggakan ketika mengerjakan haji thn lepas.. hayanya sekeping gambar Kaabah ada dalam kamera.. tiada langsung gambar sendiri bersama Kaabah seperti kebiasaaan jemaah….

    “Adakalanya, aku lebih suka untuk menikmati detik-detik sebegini sendiri. Aku tidak mahu ia diganggu dengan melihatnya menerusi lensa” kata Sean.

    Alhamdulillah..moga Allah masih mengurniakan ketajaman minda utk melihat dunia ciptaanNya

  4. Membuatkan saya terasa nak menonton filem Walter Mitty.. 🙂
    Tetapi saya juga mengambil pengajaran daripada post ini insyaAllah.. 🙂 🙂

  5. Saya tersedar akan perkara yang ustaz nyatakan setelah majlis “konvokesyen” anak saya baru-baru ini..kerana sibuk mengambil gambar dan merakam peristiwa yang sedang berlaku saya tidak dapat menikmati persembahannya..bila balik ke rumah saya terpaksa buka balik video untuk mengimbau kembali persembahannya dan semestinya ia tidak sama dan sejelas jika saya menghayati persembahannya ketika ia sedang berlangsung..lesson learnt 😉 namun bila berjalan or melancong memang saya dapati kurangnya kami bergambar kerana ketika kejadian sibuk memerhati dan menikmati keadaan, manusia dan pemandangan…bila balik tersedar eh ada satu gambar je yang diambil 🙂

  6. shairah abdul razak

    Ouch!! terkena batang hidung saya:) terima kasih Ustaz!! *saya mohon share di facebook ya?*

  7. Salam Alayk ustaz, hehe, teringat ada dua kali saya bergambar dengan ustaz, satu semasa di tahun 1 perubatan semasa di pesta buku, dan kedua baru-baru ni selepas kita berbual panjang selepas seminar program Medical Student Club, tak satu pun saya upload, you are right ustaz, the memories somehow is more valuable and more lively when it’s registered in our mind

    moga ada rezeki bertemu dengan ustaz lagi, semoga berjaya ustaz!

  8. private moment not need to share just keep it in mind as a silent sweet memory….hanya aku yg mengerti….:)

  9. Adakalanya yang terindah terdetik dan ter rakam di pita minda, lensa mata kita.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.