Clickbait di Netflix Yang Saya ‘Click’

Apa-apa yang bersifat clickbait di media sosial, saya akan mengelak daripada termakan umpannya. Kecuali Clickbait, siri mini di Netflix ini.

Apabila saya kembali ke rutin biasa di musim anak bersekolah, memasak pagi dan petang, aktiviti yang membosankan itu diisi dengan menonton sambil-sambilan. Tetapi akhirnya, saya tidak boleh menonton siri ini secara sambilan kerana perlu fokus. Ceritanya berat.

Ia mengisahkan seorang seorang jurulatih sukan yang merupakan suami, bapa, abang dan anak yang sempurna tetapi tidak sempurna, Nick Brewer (lakonan Adrian Grenier). Beliau tiba-tiba diculik dan menjadi tebusan. Muncul video dengan dirinya cedera sambil memegang kad bertulis “saya mendera wanita”. Belum sempat video itu mencanak tontonannya, muncul. video baharu dengan kad bertulis “jika tontonan video ini mencecah 5 juta, saya mati”.

Dari satu episod ke satu episod, kita cuba untuk memahami apa sebenarnya yang berlaku. Benarkah Nick seperti yang dikenali oleh keluarganya, atau sebagaimana yang didakwa oleh penculiknya.

Plot cerita ini diisi dengan pelbagai bentuk penggunaan biasa media sosial oleh remaja, pengikut media sosial yang suka membuat siasatan sendiri dan menjatuhkan hukuman, pihak berwajib yang tidak kompeten dalam mengendalikan siasatan era kegilaan media sosial semasa, penggunaan gambar orang untuk membuat profil samaran di media sosial, cara orang muda dan tua menggunakan media sosial, dan banyak lagi.

Tidak dilupakan adalah wartawan era semasa yang mengutamakan rating, sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan kandungan sensasi.

Tragedi demi tragedi di dalam siri mini mengingatkan kita bahawa zaman ini, media sosial menjadi dunia di mana kita lupa di sebalik gambar manusia adalah manusia sebenar. Kita sesuka hati menggunakan gambar tertentu untuk dibuat meme, mencuri gambar orang lain dan menjustifikasikannya ‘sekadar gambar hiasan’, hilang nilai kemanusiaan di tangan manusia sendiri.

Teringat saya kepada wartawan akhbar The Edge yang menyalahgunakan foto saya dengan mendakwa ‘saya’ adalah anak Menteri Pertahanan ketika itu yang dikaitkan dengan jenayah dadah.

Dunia sudah tua. Banyak yang sudah berubah. Namun apa yang tidak pernah berubah adalah berbohong banyak menghantar manusia ke Neraka.

Berbohong kerana berkepentingan.

Berbohong kerana mahu melindungi kejahatan.

Berbohong dengan sangkaan ia kebaikan.

Berbohong sengaja untuk suka-suka.

Marilah kita belajar untuk jujur dan berhenti hidup dua alam. Offline, kita bersopan santun. Online, kita menyetan.

Dua-dua membekas, sama ada menjadi pahala mendekatkan kita ke Syurga, atau dosa yang menghumban kita ke Neraka.

Berusahalah.

Hasrizal
www.saifulislam.com
Naas Ireland

Facebook Notice for EU! You need to login to view and post FB Comments!

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

One comment

  1. Ir. MOHD DZULHUZMI NASRUDDIN

    Benar ustaz.

    Saya ambil keputusan untuk metutup account medial social FB adalah antaranya kerana masalah yang ustaz terangkan. Walaupun ia mungkin bukan tindakan yang paling baik pada sangkaan orang lain, tapi ia sudah mengelakkan saya dari terus terdedah untuk kerap menjengok dan ‘keep scrolling’ melihat “gelagat” pembuli cyber terus tanpa segan menyerang, menipu dan memfitnah.

    Alhamdulillah, sejak tahun Jan 2019, Azam pada tahun tersebut itu masih lagi kekal utuh, ‘tak terbabas’ lagi, malah makin tenang, dan makin jelas kebaikannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share