Perbualan saya bersama Tuan Guru Dr Abdul Basit Abdul Rahman di al-Masjid al-Haram beberapa minggu yang lalu, menjadi peluang yang julung-julung kali dapat berlaku biar pun kami sama-sama ada di dalam MURSHID.
Ketika itu saya mengerjakan umrah, dan Abu Anas al-Madani pula baru kembali dari Istanbul dalam perjalanan umrah beliau bersama rombongannya. Soalan yang beliau tanya adalah berkenaan kesahihan cerita yang masyhur berkenaan dengan penemuan jenazah sahabat yang mulia, Abu Ayyub al-Ansari r.a. oleh Sultan Muhammad al-Fatih semasa penawanan Constantinople pada Mei 1453.
Abu Anas inginkan kepastian, benarkah kisah tentera al-Fatih mencium kaki sahabi ini, namun kemudiannya apabila al-Fatih sendiri mahu menciumnya, Abu Ayyub telah menarik kaki tersebut!
Kisah ini masyhur. Namun, saya tidak pernah bertemu dengan rujukan bertulis yang boleh dijadikan sandaran mengenainya.
Penawanan Constantinople daripada aspek pensejarahannya, hanya boleh diketahui melalui sumber-sumber primer yang terhad.
Sumber Greek, misalnya oleh George Phrantzes yang menyaksikan kejadian kejatuhan Constantinople tersebut. Terdapat juga sumber Slavonic, misalnya sejarawan Serbia bernama Michael Constantinovic of Ostrovica ada membuat catatan secara kesaksian kerana beliau hidup pada masa tersebut. Ada juga sumber Venetian oleh Nicolo Barbaro yang datang ke Constantinople untuk belajar ilmu perubatan, di hari-hari kejatuhan Constantinople. Ada pun sumber Turki, ia tidak begitu kukuh dari segi kualiti dokumentasi. Tursun Bey dan Neshri sebagai sejarawan awal Daulah Uthmaniah ada membuat beberapa catatan, dan menjadi sumber kepada Evliya Çelebi (1611 – 1682) yang catatannya merupakan sumber paling meluas diguna pakai untuk pensejarahan pembukaan Istanbul oleh al-Fatih.
CATATAN SEJARAWAN MUSLIM
Catatan Evliya Çelebi juga berkisar tentang mimpi berkaitan lokasi jenazah Abu Ayyub iaitu betul-betul di bawah sejadah yang dibentang oleh Sheikh Ak Semsettin. Lokasi tersebut selepas mendapat persetujuan Sultan, telah dikorek kira-kira 3 kaki dan jenazah Abu Ayyub al-Ansari ditemui dan berkeadaan baik terpelihara di bawah penutup batu yang diletak. Ada pun mencium kaki jenazah dan lain-lain, saya tidak pernah membacanya. Jika ada tuan puan yang mengkaji, mohon kongsikan dengan kami.
Al-Imam al-Tabari juga mencatat maklumat berkenaan pengebumian makam Abu Ayyub al-Ansari yang hadir ke Constantinople bersama sahabat-sahabat yang mulia seperti Ibnu ‘Abbas, Ibn Umar dan Ibn al-Zubayr, di bawah kepimpinan Yazid dalam tentera yang dibentuk oleh Muawiyah radhiyallahu anhum ajma’in. Tabari dalam catatan berkenaan kejadian-kejadian tahun 49H di dalam Tarikh al-Tabari, menyatakan bahawa makam Abu Ayyub al-Ansari ra ditandakan dengan baik, dan menjadi tempat ziarah orang-orang Rom Timur, terutamanya apabila mereka berhajat, seperti berhadapan dengan kemarau dan yang seumpama dengannya.
Ini setakat yang saya tahu, berdasarkan serba sedikit pembacaan saya melalui Tarikh al-Tabari, karya John Freely dan Steven Runciman berkaitan dengan pensejarahan penawanan Constantinople. Halil Inalcik juga ada menulis jurnal-jurnal berkaitan dengan analisis proses penawanan Constantinople ini.
Saya sebenarnya sudah lama meninggalkan topik ini kerana pengajian sarjana di UKM, tertumpu kepada era lain. Namun, disebabkan oleh masyarakat di Malaysia yang apabila mendengar Turki sahaja, terus jatuh hati dengan Al-Fatih, maka perlu jugalah serba sedikit saya mengekalkan ingatan saya berkenaan dengan topik ini.
Ada pun kisah-kisah ajaib yang begitu banyak terdapat di dalam Novel Sejarah Islam Sultan Muhammad Al-Fateh: Penakluk Konstantinople oleh Abdul Latip Talib, saya berlepas diri daripadanya kerana pandangan saya mengenai cara beliau menulis sudah banyak disentuh sebelum ini. Bukan sahaja cerita mengenai mimpi dan mencium kaki (mukasurat 290 – 297), malah biodata Sultan Muhammad al-Fatih sendiri banyak yang tidak benar.
Sesungguhnya sejarah adalah perkara ghaib sebab kita tidak wujud semasa kejadian itu terjadi. Maka setiap satu yang kita tahu mengenainya, mestilah boleh dipertahankan apabila datang kepada kita soalan:
Min ayna laka hadza?
“Daripada mana kamu dapat benda ini?”
 Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP
Saya sering bercerita tentang Sultan Muhammad al-Fatih kepada murid-murid. Tapi sekali-sekala pernah juga terfikir, benarkan cerita yang saya ceritakan itu…?
Saya sering tertanya2 kesahihan bab mencium kaki bila pertama kali membaca buku tersebut.
Artikel sejarah yg menarik. Sejak Ustaz menyambung pelajaran, saya dapati tema dan perbicangan artikel, lebih2 lg berkenaan sejarah menjadi begitu menarik dan ilmiah. Ustaz x berminat ke utk ceburi bidang penulisan biografi ulama/sirah? Menanti juga saya ulama2 di nusantara utk menghasilkan or menterjemahkan kitab2 rijal..
saya cadangkan lepas ustaz habis belajar nanti, hasilkan sebuah karya untuk counter fakta2 yang salah dalam novel2 sejarah.. Dr Asri dah hasilkan satu buku untuk menjawap fitnah terhadap sahabat2, tapi buku2 yang tak betul berpuluh malah mungkin beratus..
sebelum ini saya mengagumi sultan Muhammad al-Fateh, tetapi dalam ceramah Syekh Imran Hossein yang tebaru bahawa dia menyatakan bahawa dia malu dengan penaklukan konstantinple kerana sultan menukar gereja aya sofia kepada masjid dan menawan kanak2 kristian untuk dijadikan tentera elit jannasari. Syekh Imran Hossein juga berpandangan bahawa pemimpin dan tentera yang terbaik yang akan menawan konstantinple yang diramal nabi belum dipenuhi, minta pandangan ustaz berkenaan hal tersebut.
Salam, Ustaz,Tentang sejarah Al fatih ini, bagaimanakah kebenaran tentang didikan awal Al fatih, kewarakannya , serta mahsyurnya sifat pribadi baginda mengenai amal fardhi dan sunnatnya, yg selalu saya bagi inspirasi kpd anak2 utk mencontohi sifat2 kepimpinan ini ? tentang peristiwa ajaib itu, tidaklah menjadi pegangan, tapi pegangan baginda Al fatih tentang hadith Rasulullah Sallallahalai wassalam ttg penaklukan konstantinaple itu sangat menjadi inspirasi kuat kpd umat Islam.
Yang paling mengecewakan bila baca tentang Al fatih di wikipedia, hancur keperibadian baginda diperkatakan golongan yg mengawal wikipedia.
Kadang – kadang saya terfikir, Muhammad Al – fateh seorang sahaja tidak cukup membuka costantinople ketika itu. Beliau ada tentera yang hebat dan saya yakin, beliau tidak lahir – lahir terus jadi insan yang hebat, ia mesti dipengaruhi oleh keluarganya, kemungkinan besar ayahnya. Pengaruh yang baik akan sentiasa menarik orang baik untuk berada disekeliling dia.
Semasa mula-mula dengar Sheikh Imran hosein cakap prophecy Constantinople akan dibebaskan Dan general nya sebaik-baik general Dan tenteranya sebaik-sebaik BELUM lagi berlaku…..saya rasakan ianya statement ‘sesat’ .
Tapi Ada sebuah hadis menyebut pembebasan Constantinople sesudah al-malhamah(Armageddon) Dan rasulullah sallallahu alaihi wasallam puji umat Islam akhir zaman yg ittiba’ dgn sunnah Dalam beberapa hadis….dan Kita yg hidup di zaman Tanpa khilafah Dan di zaman dajjal adalah lebih menepati ciri sebaik2 general Dan sebaik2 tentera kerana akan berdepan musuh berteknologi canggih…
Tambahan pula , jika Benar Muhammad al faith menukar gereja kpd masjid Dan ianya dilarang ….maka beliau bukanlah orangnya…..
Harap ustaz kaji menerusi skop ini Dan Turki moden sekarang yang dikatakan Sekutu NATO Dan Istanbul sbg lokasi strategik NATO di rantau itu….
Terima kasih ustaz, banyak benda yang saya tak tahu. Selepas membaca artikel ustaz ni membuat kan lebih tertarik untuk mengetahui lebih lanjut.
Mohon jasa baik ustaz Hasrizal (dan sesiapa yang tahu) tetang sejarah persahabatan antara Panglima Yazid bin Muawiyah dengan Saidina Hussain bin Ali dalam cubaan pertama tentera Islam menyerang Constantinople.