Apabila Akal (‘Aql) Bergaduh Dengan Naqal

tamadunakhlaq

… Maka sesungguhnya akal dan naqal itu saling bersesuaian. Al-Kitab dan al-Sunnah juga saling bertepatan

Demikian, Imam Birgivi memulakan kitabnya al-Tariqah al-Muhammadiyyah.

Permulaan sebuah buku yang mewakili rumusan pemikirannya.

Pemikiran yang kemudiannya diwacanakan tahun demi tahun merentas usia Dawlah Uthmaniyyah.

Kemudiannya, dirumuskan sebagai Birgivism oleh Gottfried Hagen, pada menjelaskan versi Islam yang mendominasi Turki semasa.

Akal tidak bergaduh dengan nas. Ia saling bersetuju. Persetujuan itu adalah kerana wujudnya kesatuan, apabila kedua-duanya dipandang dari sisi ilmu. Sama ada ilmu itu ilmu yang terbit dari nas (naqal), mahu pun ilmu yang dicerap oleh pancaindera, kedua-duanya diproses oleh fakulti diri yang sama iaitu akal.

Tanpa akal, wahyu menjadi hidayah yang tidak difahami, hadith menjadi sunnah yang tidak dimengerti.

Tadabbur al-Quran adalah aktiviti akal.

Dengan menggunakan ilmu bahasa yang membekalkan ‘makna’, iktibar kisah umat terdahulu diistilahkan sebagai IBRAH. Apakah implikasi IBRAH kepada idea Muslim tentang sejarah? Ia menggerakkan akal untuk menggabung jalinkan pelbagai sumber pengetahuan, agar kehendak nas akhirnya difahami.

Seorang perawi, dikenal pasti kencing berdiri di tepi jalan. Perbuatan mengaibkan, namun seperti mudah dan banyak sekali terjadi di sesetengah daerah kediaman umat Islam. Seorang lagi menipu seekor kucing dengan memanggil-manggil ia seakan mahu menawarkan makanan, tetapi kucing datang ke tangan kosong, bersambut ketawa sebagai gurauan manusia terhadap seekor makhluk bernama kucing. Dua orang itu tadi, andai dia hidup di zaman sebelum al-Bukhari menyempurnakan pembukuan koleksi hadith sahih beliau, apakah kedudukan perawi itu? Adakah riwayatnya tercedera oleh perlakuan tersebut? Keputusan al-Bukhari terhadapnya adalah keputusan akal beliau. Pertimbangan buruk baik fikirannya. Akal itulah yang memproses hadith sehingga ia menjadi ‘Ulum al-Hadith.

Demikianlah perihalnya Sheikh Muhammad Na’im Yasin di dalam karyanya Mabāhith fi al-‘Aql, menegaskan bahawa kebahagiaan hidup insan tidak akan tercapai sehinggalah terhasilnya tiga peringkat hidayah, iaitu:

  1. Hadirnya hidayah daripada Allah
  2. Hidayah itu dikenal pasti dan difahami
  3. Hidayah itu dilaksanakan dalam kehidupan

Allah memberi petunjuk untuk kesejahteraan hidup hamba-Nya.

Tetapi petunjuk itu tidak disedari atau tidak difahami, lalu hidayah kekal hidayah, manusia sudah bernama Muslim tetapi hidupnya porak peranda kerana hidayah daripada Allah, tidak sampai ke praktis kehidupannya.

Justeru, Imam Birgivi yang hidup di abad ke-16, memurnikan cara satu ilmu akal dan satu ilmu naqal berinteraksi, tanpa ada double standard antara keduanya. Kata beliau mengenai kepentingan matematik:

“… ada pun ilmu hisab (matematik), maka ia adalah ilmu yang diperlukan dalam banyak masalah, khususnya ilmu faraid (pembahagian harta pusaka). Kerana itu mereka (ilmuan Islam) berkata, “ia (matematik) adalah satu perempat ilmu, sebab ia adalah separuh ilmu faraid. Maka mahu tidak mahu matematik itu adalah fardhu kifayah. Al-Imam al-Ghazali juga secara nyata menyebut tentang hal ini di dalam al-Ihya’ “

Matematik ilmu akal.

Faraid ilmu naqal.

Kedua-duanya saling melengkapkan, pada mencapai maslahah kehidupan insan.

Pembahagian jenis-jenis ilmu oleh Imam Birgivi bukan berdasarkan ia ilmu agama atau ilmu ‘sekular’. Sebaliknya ia adalah berdasarkan fungsi dan keperluannya di dalam kehidupan kita.

Dan Sheikh ‘Abd al-Ghani al-Nablusi yang mensyarahkan karya Imam Birgivi ini di dalam kitabnya al-Hadīqah al-Nadiyyah, merasionalkan kenyataan Imam Birgivi pada mendahulukan akal sebelum naqal, adalah kerana nas-nas itu berhasil menjadi dalil yang berguna kerana adanya akal sebagai ‘deria’ memahaminya.

KEMBALI KEPADA ASAS ILMU KITA

Qalam

الراوي: عبادة بن الصامت المحدث: ابن جرير الطبري – المصدر: تاريخ الطبري – الصفحة أو الرقم: 1/32
خلاصة حكم المحدث: صحيح

“Sesungguhnya makluk pertama yang dicipta oleh Allah ‘Azza wa Jalla  adalah pena (al-Qalam). Maka Allah berkata kepadanya, TULISLAH! Pena bertanya, “wahai Tuhanku apakah yang patut aku tulis? Allah menjawab, “Tuliskan al-Qadar” maka berkatalah Baginda Rasulullah SAW, “dengan demikian itu pena terus menerus menulis pada ketika tentang apa yang telah termaktub untuk selama-lamanya”

Seluruh kehidupan makhluk ciptaan Allah telah terikat dengan sebab musabbab yang dicatat oleh pena dengan perintah Allah. Buat itu, jadi ini, buat ini jadi itu, dengan pemboleh ubah (variables) yang maha luas. Semuanya itu adalah ilmu Allah yang Maha Mengetahui, dan air tujuh lautan pun tidak mampu dijadikan dakwat bagi menyenaraikan isi kandungan keluasannya. Maka apa sahaja yang kita hendak buat, kita akan memilih hanya daripada pilihan-pilihan yang sudah termaktub di dalam pilihan-pilihan maha banyak yang telah dicatat oleh pena. Mustahil kita melakukan sesuatu yang merupakan sebuah pilihan yang tiada dalam apa yang telah dilakarkan oleh pena dengan perintah Allah.

Sebab itulah apa sahaja yang kita lakukan, ia pasti berada di dalam ilmu Allah.

Namun perbuatan yang kita buat, ia adalah pilihan kita dan oleh kerana kita yang memilihnya, kita dipertanggungjawabkan dengan akibat buruk dan baiknya. Kita akan dihisab.

Variable (cause and effect atau sebab musabbab) yang sangat luas itu amat harmoni dan sistematik.

Kelebihan manusia, ia dicipta oleh Allah memiliki akal lalu boleh mena’kul sistem tersebut.

Dengan akal, manusia faham sedikit demi sedikit, dari satu zaman ke satu zaman, bagaimana alam dan manusia berfungsi mengikut sistem Rabbani yang telah Allah tetapkan.

Untuk memahami sistem itu, ada yang berkaitan dengan hukum hakam kebendaan lalu ia akhirnya terangkum di dalam ilmu fizik. Ada yang berkaitan dengan tindak balas antara satu substance dengan satu substance yang lain, lalu ia terangkum di dalam ilmu yang dikenali sebagai ilmu kimia. Hal-hal itu juga terjadi di dalam entiti organik, dan ia dikenali dengan ilmu biologi. Pada masa yang sama kita perlu mengungkapkan nilai dan makna, ada yang menggunakan nombor lalu dikenali sebagai matematik, dan ada yang menggunakan huruf serta perkataan dan ayat, kemudian dikenali sebagai bahasa.

Memahami alam ini dan sistemnya menjadikan kita semakin jelas akibat pilihan-pilihan yang kita buat.

Tetapi manusia juga ada hawa nafsu yang menguji pendiriannya. Ada syaitan yang membisikkan kejahatan dan kemusnahan dalam keputusannya. Malah manusia itu sendiri terlalu lemah untuk memahami kesan perbuatan yang jauh dari tubuh dan kesemasaannya.

Maka manusia perlu dibantu untuk membuat pilihan. Manusia perlu dijelaskan nilai pilihannya. Manusia perlu dimaklumkan pilihannya itu baik walaupun kebaikannya belum kelihatan, manusia perlu tahu pilihannya itu buruk walaupun kejahatannya belum difahami, dan manusia juga perlu tahu dirinya adalah hamba, lalu Penciptanya bebas menitahkan dirinya melakukan apa sahaja, dan sang hamba mematuhi kerana kehambaannya.

Demikianlah interaksi seorang Muslim dengan sistem yang dia hidup di dalamnya.

Lalu, asing sekali untuk dia menanggap, ini ilmu agama, itu ilmu bukan ilmu agama, ilmu ini penting, ilmu itu tidak penting. Semua itu adalah paradigma yang meruntuhkan kesatuan ilmu dalam qadha’ dan qadar Allah, dan ia ternama sebagai SEKULARISME.

Ia bukan perkara baru.

CATATAN KÂTİP ÇELEBİ

mizanulhaqq

Kâtip Çelebi atau nama sebenarnya Mustafa bin Abdullah yang juga dikenali sebagai Haji Khalifa (1609-1657) menyuluh perkara ini dengan begitu tegas dan nyata. Di dalam karyanya Mīzān al-Haqq fī Ikhtiyār al-Ahaqq (The Balance of Truth in Choosing What is More True) menegur ilmuan di zamannya yang memakai gelaran ulama, sedangkan keilmuan mereka cacat. Bukan sahaja cacat kerana kualiti penguasaan satu-satu ilmu, malah cacat kerana ada ilmu yang dipelajari dan ada ilmu yang tidak dipelajari.

Dawlah Uthmaniyyah sebagai kesinambungan daripada Era Umawi dan Abbasi sebelumnya, semenjak awal kemunculannya hinggalah ke era Sultan Suleyman I, menyanjung tinggi ilmuan yang belajar ilmu wahyu dan aqli bersama-sama. Kelakuan memisah-misahkan ilmu itu amat berbeza dengan semangat asal yang diterapkan oleh Sultan Muhammad II (Fatih Sultan Mehmed) semasa menubuhkan universitinya, Medāris-i Semâniye (Sekolah Lapan).  Apabila sampai ke zaman Kâtip Çelebi sekitar 200 tahun kemudian, ilmuan tidak segan silu lagi memakai gelaran ulama dan menuntut hak-hak mereka sebagai ulama, dalam keadaan mereka pincang dan bukan lagi ulama dalam erti katanya sebenarnya.

Kâtip Çelebi mengemukakan banyak contoh di dalam kitabnya tentang kepincangan pendapat yang dikeluarkan oleh agamawan-agamawan yang tidak belajar ilmu aqli. Misalnya, Kâtip Çelebi menceritakan semasa belajar ilmu matematik, beliau bertemu dengan tiga kemusykilan matematik yang juga berkaitan dengan Fiqh. Beliau telah meminta fatwa daripada Sheikh al-Islam negara pada masa itu iaitu Sheikh Bahā’i Efendi (1595-1654). Soalan Kâtip Çelebi tidak berjawab. Beliau mengemukakan pula penjelasan lanjutan tentang maksud soalan yang ditanya. Akhirnya beliau mendapat jawapan. Biar pun ia adalah tulisan tangan Sheikh Bahā’i Efendi, tetapi kemudiannya Kâtip Çelebi  mendapat tahu jawapan yang dikemukakan adalah jawapan Syekhzāde Efendi, pegawai yang bertugas menyemak dan mengisu fatwa.

“Jawapan yang diberi itu memalukan” ujar Kâtip Çelebi .

Soalan yang dikemukakan oleh Kâtip Çelebi itu ialah:

  1. Adakah matahari terbit dari Barat di akhir zaman nanti itu selaras dengan ilmu astronomi?
  2. Bagaimana seseorang itu bersolat lima waktu dan berpuasa di tempat-tempat yang enam bulan siang dan enam bulan malam?
  3. Apakah ada tempat lain selain Makkah (Kaabah) yang kiblatnya ialah mengadap ke mana-mana sahaja arah?

Ketiga-tiga soalan ini bersifat futuristik, tidak tergambar di fikiran kita ia ditimbulkan oleh ilmuan pada kurun ke-17. Saya ungkapkan ia sebagai futuristik kerana baru sahaja NASA dan pengkaji semasa dapat menjelaskan secara kiraan bahawa memang matahari pada satu hari nanti akan terbit dari Barat. Manakala persoalan solat dan puasa di kawasan yang enam bulan siang dan enam bulan malam, adalah persoalan semasa apabila komuniti Muslim bertambah ramai di kawasan ‘seutara’ Norway. Apakah maklumat di akal fikiran Kâtip Çelebi semasa bertanyakan hal itu pada kurun ke-17. Ada pun soalan ketiga, ia sungguh menakjubkan. Jika kita solat di dalam Kaabah, kiblatnya ialah mengadap sahaja ke mana-mana arah. Kâtip Çelebi bertanyakan soalan itu pada mengandaikan, bagaimana jika suatu hari nanti, manusia bersolat di angkasa!

Soalan-soalan begini merupakan soalan inter disiplin. Dan inter disiplin adalah rumit apabila umat Islam mula terperangkap dalam dikotomi ilmu berlanjutan hingga ke hari ini.

Kâtip Çelebi juga berkata, golongan ilmuan yang menolak ilmu akal ini lulus untuk menjadi ilmuan (ulama) tetapi di sepanjang masa hakikatnya mereka adalah golongan jahil yang lebih gemar memperlekeh ilmu-ilmu akal (philosophical science) serta tidak mengerti apa-apa tentang bumi dan langit. Apabila Allah memerintah kita agar memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi, ia tidak memberi apa-apa makna kepada ilmuan ini. Mereka sangka, berfikir tentang langit dan bumi serta isi penghuninya adalah memandang persis seekor lembu (memandang tanpa ilmu)!

Semua ini berbalik kepada pendidikan.

Kembali kepada ilmu agama dan ilmu sains yang bersatu (tauhidic), tidak semudah memprogramkan agar seorang doktor itu hafiz al-Quran. Bisa sahaja terjadi di dalam tubuh seorang saintis yang hafiz, sains beliau adalah sains biasa manakala al-Quran yang dihafalnya juga adalah al-Quran hafalan biasa. Beliau tidak tahu apa kaitan sains dengan al-Qurannya, dan apa kaitan al-Quran dengan sains yang dipelajarinya.

Kesan daripada ini, lahirlah kehidupan yang pincang dan tidak harmoni. Ia menterjemahkan kepincangan yang terlebih awal berlaku di dalam minda. Lalu berkonfliklah umat Islam apabila ditanya, semasa menunggang motor di lebuhraya, mana satu yang Islamnya, memakai topi keledar atau memakai serban? Jika rawatan Islam ialah rawatan ruqyah di pusat rawatan Islam bernama Arab, rawatan di hospital pula rawatan apa?

KEPIMPINAN UMAT SEPARUH-SEPARUH

Kemuncaknya, kita jadi keliru dalam menentukan kelayakan menjadi pemimpin, antara ulama kita dan non ulama. Bukanlah soal akhirnya siapa yang terpilih di dalam muktamar itu yang penting. Tetapi perbincangan berkaitan idea kepimpinan ulama itu yang mencaca merbakan epistemologi kaum muslimin. Pemaksaan untuk menerima salah satu daripada dua idea yang dilagakan memaksa akal untuk tunduk kepada falasi yang dicat dengan warna agama, atau rasional dan progresif.

Jika ulama memimpin, kepimpinan mereka dibantu Allah sebab mereka berpandukan al-Quran dan al-Sunnah. Jika non ulama memimpin, mereka memimpin berpandukan logik akal mereka sahaja dan tiada jaminan dibantu Allah!

Muktamar akan berakhir dan siapa yang jadi pemimpin akan diputuskan melalui pemilihan. Tetapi wacana beracun yang melaga-lagakan di antara akal dan wahyu itu yang berbahaya. Sepertinya ada Muslim yang boleh terus menjadi Muslim dengan hanya mengikut wahyu dan menolak akal, atau pilihan keduanya yang sentiasa kedua, iaitu menjadi Muslim dengan hanya mengikut akal dan jahil wahyu!

Kepimpinan bukan milik agamawan.

Kepimpinan bukan milik profesional.

Kepimpinan adalah soal kebolehan dan kelayakan.

Jika akhirnya agamawan menjadi pemimpin, ia adalah kerana kebolehan dan kelayakannya, bukan kerana dia agamawan. Jika profesional menjadi memimpin, dia menjadi pemimpin kerana kebolehan dan kelayakan, bukan kerana dia bukan agamawan.

Kebolehan dan kelayakan, tidak tercapai dengan hanya belajar agama.

Kebolehan dan kelayakan tidak tercapai dengan hanya belajar yang bukan agama.

Kebolehan dan kelayakan perlu kembali kepada fitrah alam ini yang bersatu, lalu perlulah kita menyatukan segala yang terpisah-pisah di dalam minda hari ini.

Ini zaman kita semua separuh-separuh.

Justeru inilah zaman kita saling merendah diri mengakui kekurangan diri dan mengakui kelebihan orang lain. Dan dengan melawan ego kita yang separuh-separuh ini, umat cacat akan kembali bertongkat.

Insha-Allah.

HASRIZAL
43000 BSP

 

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

4 comments

  1. beruanglegend

    The Balance of Truth in Choosing What “is” More True

  2. Kesederhaan & keseimbangan itu yang pernting kerana hidup perlu saling sokong-menyokong.

  3. Just sharing. Kupasan Sh. Dr. Yasir Qadhi mengenai topik serupa (serupa dari segi isi) : Re-thinking Education in Islam: Reviving the Legacy of Muslim Scholars

    Dan satu lagi. Kupasan Sh. Dr. Yasir Qadhi mengenai topik serupa (serupa dari segi tajuk, tapi isinya berbeza sama sekali) : The Role of Revelation & Reason in a Post-Modernist Age

  4. Tumpang tanya ustaz, apakah maksud sistematik dalam ayat:

    Variable (cause and effect atau sebab musabbab) yang sangat luas itu amat harmoni dan sistematik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.