Ibrah Kisah Musa dan Khidir: Belajar Bahasa dan Berbahasa

Kredit foto: www.overarts.com

“Izinkan aku untuk mengikutimu” kata Musa.

Baginda bertemu dengan Khidir selepas menempuh perjalanan yang panjang bersama Yusha’ bin Nun.

‘Alayhim al-solaat wa al-salaam.

“Agar dengannya engkau mengajar aku apa yang telah diajar kepadamu daripada perkara-perkara berupa petunjuk (rushd)” Musa menjelaskan tujuan beliau mahu mengikut Khidir.

Kisah ini tersebut di dalam Surah al-Kahf ayat ke-66:

قَالَ لَهُ مُوسَىٰ هَلْ أَتَّبِعُكَ عَلَىٰ أَن تُعَلِّمَنِ مِمَّا عُلِّمْتَ رُشْدًا

 Nabi Musa berkata kepadanya (Khidir): Bolehkah aku mengikutmu, agar dengannya engkau mengajarku dari apa yang telah diajarkan oleh Allah kepadamu, ilmu yang menjadi petunjuk bagiku?” [Al-Kahf 18:66]

Di dalam ayat ini terkandung elemen penting membabitkan teras pengurusan ilmu dan intelektual. Ia membicarakan soal adab. Bukan sekadar meminta izin, tetapi mengungkapkannya dengan lafaz yang unik, yakni pada adab Musa meletakkan dirinya sebagai orang yang berhajat, tanpa menyusah dan membebankan Khidir.

“Benarkan sahaja aku mengikutimu, tanpa perlu engkau melakukan apa-apa untukku. Hanya dengan kebenaran itu sudah memadai, proses belajar itu akan berlaku, aku akan belajar daripadamu, apa yang aku hajatkan” mesej yang terkandung di dalam ungkapan Musa itu.

Musa tidak mahu dirinya menjadi beban kepada Khidir.

Khidir tidak perlu memperuntukkan masa tambahan.

Tidak perlu memikirkan kebajikan Musa.

Hanya sebuah kebenaran untuk mengikut, selebihnya Musa sendiri yang uruskan.

MENGUNDURKAN DIRI

Sikap yang sama ditunjukkan, tatkala Musa tidak dapat menahan dirinya daripada bertanya, buat kali kedua, selepas masing-masing sudah bersetuju dengan syarat bersama, bahawa apa sahaja yang berlaku, jangan bertanya, sehinggalah Khidir sendiri yang menerangkannya kepada Musa (Q18:70).

Kali pertama, ketika perahu yang ditumpang dirosakkan oleh Khidir, Musa tertanya.

Kali kedua, tatkala seorang budak lelaki dibunuh oleh Khidir, Musa bertanya lagi.

Pertanyaan spontan kerana Musa adalah seorang Rasul.

Utusan Allah yang sifatnya tidak akan mendiamkan diri terhadap kemungkaran. Terlupa kepada satu syarat pengecualian antara seorang Nabi dengan seorang Nabi yang lain.

Dan selepas dua kali melanggar perjanjian, Musa menampilkan satu lagi pendekatan yang konsisten, seperti yang terungkap di dalam firman Allah:

قَالَ إِن سَأَلْتُكَ عَن شَيْءٍ بَعْدَهَا فَلَا تُصَاحِبْنِي ۖ قَدْ بَلَغْتَ مِن لَّدُنِّي عُذْرًا

Nabi Musa berkata: “Jika aku bertanya kepadamu tentang sebarang perkara sesudah ini, maka janganlah engkau jadikan daku sahabatmu lagi; sesungguhnya engkau telah cukup mendapat alasan-alasan berbuat demikian disebabkan pertanyaan-pertanyaan dan bantahanku” [Al-Kahf 18:76]

Musa sendiri yang berkata kepada Khidir.

Jika sekali lagi beliau melanggar perjanjian, Khidir tidak perlu menyusahkan dirinya untuk terus diganggu oleh ‘pelajar bermasalah’ bernama Musa.

Musa sendiri yang akan mengundurkan diri.

PROAKTIF

Sikap yang ditunjukkan oleh Musa terhadap Khidir amat penting untuk direnungkan dengan penuh tadabbur oleh kita semua. Ia sebahagian daripada akhlaq yang mendatangkan rahmat Allah beriringan dengan ilmu.

Ilmu bersama rahmat, menjadi aset.

Ilmu tanpa rahmat, segalanya liabiliti.

Musa tidak mahu hajatnya untuk belajar dengan Khidir sebagai beban ke atas Khidir. Musa hanya mahu peluang belajar, sesuatu yang Allah tegaskan bahawa ia hanya boleh Musa pelajari daripada Khidir. Ia bukan soal ilmu di dalam al-Kitab yang Allah bekalkan di dalam Taurat buat Musa. Ia adalah ilmu tentang cara memandang masalah. Melihat taqdir Allah yang lebih luas daripada tadbir manusia yang terhad.

Bukan sekadar untuk berilmu, yakni ALIM.

Malah berhikmah dan bijaksana, yakni HAKIM.

Semasa mahu belajar, Musa uruskan sendiri keperluan dirinya, tanpa membebankan gurunya Khidir. Semasa melanggar terma dan syarat yang disepakati bersama, Musa juga memberikan komitmen untuk mengundurkan dari tanpa perlu Khidir memecat atau memberhentikannya.

Sikap proaktif Musa itu amat besar impaknya kepada psikologi manusia.

Dan bekalannya hanya pada memilih perkataan yang betul.

Perkataan yang menyampaikan mesej serupa, tetapi mencetuskan kesan psikologi yang amat berbeza.

APLIKASI DUNIA BELAJAR MENGAJAR

“Saya ingin menjemput ustaz ke syarikat kami dan tarikh cadangan adalah pada 27hb. Inilah satu-satunya tarikh yang kami ada dan syarikat kami amat memerlukan kehadiran ustaz untuk menyelesaikan masalah politik dalaman yang meruncing. Saya sudah telefon ustaz banyak kali tetapi tidak dapat bercakap sendiri dengan ustaz berkenaan hal ini” borang di CONTACT ME menghantar utusan.

Itu sering berlaku.

Pernah juga senario ini berlaku:

“Saya mohon maaf tidak dapat hadir ke kuliah Maghrib malam ini. Ibu mertua saya baru sahaja meninggal dunia pagi ini” seorang ustaz memberitahu AJK sebuah surau.

“Oh begitu. Minta tolong ustaz carikan pengganti, ya” katanya.

Ustaz itu tergamam.

Apabila manusia berinteraksi dengan manusia, sama ada dalam urusan ‘duniawi’ mahu pun ukhrawi, hakikatnya ia adalah komunikasi. Interaksi bukan hanya berlegar pada logik dan rasionalnya sebuah komunikasi, dan dalam kes ini sebuah jemputan ceramah, malah ia juga membabitkan soal emosi. Psikologi.

Organisasi di pejabat atau di surau berkemungkinan boleh lebih berhasil mendapatkan penceramah dengan pendekatan Musa.

Pendekatan orang berhajat.

Enggan menjadikan hajatnya sebagai beban ke atas pihak yang dihajat.

Apatah lagi ‘mengugutnya’ dengan ‘tanggungjawab tuan sebagai orang berilmu untuk mengajar kami yang mahu belajar’.

Secara proaktif, kita berusaha memudahkan proses menjemput. Andai tidak berhasil untuk tarikh kali ini kerana kekangan, hubungan baik dan kuasa perkataan positif, menjadikan penceramah yang dijemput mungkin menunggu-nunggu untuk peluang yang seterusnya.

Kuasa perkataan.

APLIKASI RUMAHTANGGA

kredit foto: afifahjustsmile.wordpress.com

Andaikan begini.

Seorang suami yang bekerja di pelantar minyak baru berumahtangga. Beliau khuatir isterinya tertekan dengan rutin kerja beliau yang sekali ke pelantar, mereka mungkin terpaksa berpisah berminggu-minggu, malah berbulan.

Kata suami, “Yang, abang kerja Oil and Gas ni, begitulah keadaannya. Sekali ke pelantar, paling pendek pun tiga minggu. Abang harap Yang bersabar dengan keadaan ini”

Ayat yang logik, jelas dan sampai maksudnya.

Bagaimana jika suami mengubah sedikit struktur ayat?

Bandingkan dengan ayat kedua, “Yang, abang kerja Oil and Gas ni, begitulah keadaannya. Sekali ke pelantar, paling pendek pun tiga minggu. Benda ini susah, tetapi Insya Allah kita atasinya bersama, ya”

Ayat kedua ini sama logik, sama jelas dan sama sampai maksudnya.

Namun apakah impak ayat kedua dan pertama ke atas psikologi isteri yang mendengar?

Ayat pertama, belum pun suami ke pelantar, isteri sudah pun mula tertekan. Sudah stress. Ayat suami itu logik, tetapi kesan psikologinya, suami meletakkan tanggungjawab bersabar itu ke atas isteri. Si isterilah yang bertanggjawab untuk bersabar.

Manakala ayat kedua adalah berbeza. Biar pun situasinya sama, suami meletakkan bahawa cabaran itu akan mereka atasi bersama. Kata-kata BERSAMA itu mencabut BEBAN dan menggantikannya dengan HARAPAN dan menghasilkan KEMUDAHAN.

Demikianlah kuasa ayat.

Kuasa memilih perkataan.

Kisah Musa dan Khidir itu, di samping 1001 hikmah dan ibrah yang kita boleh pelajari, harus juga diraikan, bahawa ia mengajar kepada kita kuasa perkataan dan ayat.

Kuasa Kalimah Toyyibah!

Perkataan yang baik.

Sabda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:

لا عدوى ولا طِيرةَ ، ويعجبني الفألُ . قالوا : وما الفألُ ؟ قال : كلمةٌ طيبةٌ

“Tiada kesialan jangkitan atau bala pada burung yang berbunyi. Tetapi yang mengagumkan aku adalah al-Fa’l (sempena yang baik). Sahabat bertanya apakah al-Fa’l itu? Baginda menjawab: Perkataan yang baik-baik” [hadith riwayat al-Bukhari no. 5776]

Perkataan yang baik itu ada kesannya.

Ayuh kita perbaiki pemilihan perkataan dan belajar bahasa.

Bukan sekadar belajar bahasa, tetapi belajar BERBAHASA.

HASRIZAL
43000 BSP

Check Also

Mazhab (Sosiologi) Pendidikan: Punca Kita Sukar Sependapat

Pendahuluan Mengapa perbincangan tentang pendidikan sering kali menimbulkan perbezaan pendapat? Sudah tentu, ini bermula daripada …

17 comments

  1. Mohd Dzulhuzmi Nasruddin

    Terima kasih atas pencerahan (sambil tangan sibuk mencari tafsir, untuk baca ayat yang ustaz kongsi).

  2. Cuba ustaz cerita sikit tentang Harimau Malaya yg tidak bernafsu untuk menang..

    • Memang tak nak menang sebelum ini, InsyaAllah lepas ini mampu mengorak senyuman setiap rakyat Malaysia..Tolong berikan sokongan anda di sini ye, terima kasih ustaz.

  3. terima kasih ustaz

    cara berbahasa elak celaru kata…

  4. assalamua’alaikum ustaz, syukran ats artikel ni, sgt bermanfaat…..terkesan sy membacanya

  5. AssAlamualaikum ustaz, perkongsian ilmu yg sgt baik, terima kasih.

  6. Kekadang tidak terfikir kita disebalik ilmu Allah yang hendak disampaikan …thank’s once again ustaz.

  7. kadang-kadang pening menghadapi individu yang kurang reti berbahasa.

  8. Betul Ustaz. Lidah itu amat tajam. Sabda Nabi S.A.W, “berkata baik atau diam”. Artikel Ustaz ni elok juga dikongsikan kepada para pelajar yang mencari supervisor penyelidikan…

  9. Saya dapat rasakan cabaran ustaz banyak dalam menyampaika dakwah. Moga ustaz terus tabah dan tsabat

  10. baru saya faham apa yang dimaksudkan bebanan dan ikhtiar… tq ustaz…

  11. my fav bedtime story when i was a kid. but i had never thought f it this way until today. nice one!

  12. Thx ustaz atas ilmu. dh bertahun baca surah ni, x pernah langsung terlintas ilmu spt yg ustaz jelaskan.

  13. JazakkAllah ya ustaz 🙂

  14. Rinduu sangat pada tulisan-tulisan ustaz. Saya follower dari tahun 2006 lagi :). Tapi Sejak ustaz dah tak ada di facebook, saya jadi jarang membuka website ini.

    Sememangnya saya ternanti-nanti membaca hasil tangan Ustaz. Pengupasan ustaz selalunya membawa kami memandang kisah ini dari perspektif yang lain.

    Terima kasih banyak. Moga urusan ustaz dan kita semua dipermudahkanNya :).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.