Usrah Bawah Tanah di Atas Bukit

badar

Pengetua memilih ahli usrah khusus ini daripada kalangan ‘mat Musolla’ yang juga menduduki senarai 30 pelajar terbaik semasa peperiksaan akhir di tingkatan 1 dahulu. Semua pelajar beliau tarbiah. Namun kelompok ini diproses dengan satu proses lain.

Tahun 1989, saya menyertai usrah bawah tanah di atas bukit ini. Bawah tanah kerana ia bukan sesuatu yang diketahui kebanyakan pelajar (atau mereka sendiri tidak mengendahkannya). Manakala atas bukit kerana majoriti operasi usrah ini dibuat di rumah Pengetua, di atas bukit belakang sekolah.

Saya dan kawan-kawan ditentukan pukul berapa setiap kami perlu mengetuk pintu rumah Pengetua, dengan cara yang khusus. Jika sampai awal, duduklah dalam semak sampai kena minit dan saatnya. Jika sampai lewat, baliklah. Pintu tidak akan dibuka. Apabila kami sudah cukup bilangan yang hadir, Pengetua menjamu kami dengan sedikit makanan mengalas perut. Makanan kemudiannya dikemas, dan lampu ditutup sepenuhnya. Gelap, segelap-gelapnya. Kemudian naqib ‘luar’ akan turun dari tingkat atas rumah dan kami memulakan usrah di dalam gelap yang pekat itu.

Tiada teks. Buku Risalah Usrah karangan Abu Urwah sudah dibaca siap-apa. Dalam kegelapan malam, kami hanya boleh berbincang dengan mata hati yang membaca memori. Tajuk-tajuknya biasa sahaja. Keperibadian Muslim, Islam sebagai manhaj kehidupan, pengertian Syahadah, Islam antara hujah dan syakhsiah… namun pengisian sangat menusuk kalbu kerana setting usrah itu menyebabkan kami sungguh percaya bahawa ini adalah sebuah perjuangan!

Selama beberapa tahun berusrah di dalam gelap itu, saya hanya mengetahui suara dan nama naqib. Tanpa mengetahui wajahnya. Nama pun, mungkin bukan nama sebenar. Barangkali…

Selepas usrah tamat, naqib ‘luar’ itu naik semula ke tingkat atas. Lampu dibuka. Kami menggosok-gosok mata, dan Pengetua menghidang makanan pusingan kedua. Ringan-ringan sahaja. Sebelum kami pulang, jarum jam tangan pada jam, minit dan saat diselaraskan, kemudian baru surah wal-‘Asr.

Biasanya, apabila kami pulang ke asrama, pelajar sudah tidur. Subuh esok, kami bangun bersama dan hidup seperti orang lain. Malam tadi kami pejuang! Berusrah dalam gelap.

Saya tahu, tiada musuh yang akan menangkap dan memenjara kami seperti cerita-cerita yang kami baca tentang Hasan al-Banna, Ikhwan dan regim Jamal Abdul Nasir. Tetapi kami sengaja membiarkan diri kami (sekurang-kurangnya saya sendiri) diprogramkan begitu kerana kami mahu rasa dengan sebenar-benar rasa bahawa usrah ini adalah permulaan kepada sebuah perjuangan. Mungkin bagi kawan-kawan yang anti ‘mat Musolla’ (biasalah, zaman muda remaja. Maaf ye kawan-kawan, I love you!), kami ini dianggap tali barut sekolah atau 20 tahun kemudiannya lebih popular disebut sebagai poyo. Tetapi ketika itu walaupun kehidupan kita di sekolah yang sama, kami yang dipilih masuk ke usrah underground ini, mempunyai dunia lain yang sangat berlainan.

Selain usrah bersama naqib luar tersebut, kami juga ada usrah yang berjalan sesama kami, dipimpin oleh abang-abang naqib. Entahlah pelajar lain perasan atau tidak, kedatangan tokoh-tokoh pelajar dari SMAP Labu pasca SPM mereka masuk ke program STA di sekolah itu, sudah tentu bukan rawak. Mereka datang dengan agenda. Mereka datang untuk menggerakkan perjuangan Islam di sekolah. Dan salah seorang mereka menjadi naqib khusus kami.

usrah1991c

DI KEHENINGAN MALAM

“Hasrizal, bangun!” saya dikejutkan.

Allah… jam menunjukkan pukul 3 pagi. Siapa pula ini?

“Oh, abang. Baiklah saya bangun” saya terkejut melihat abang Zam berdiri di sisi katil. Seperti biasa di tangan kirinya ada sebatang kayu, teman berjalan malam.

Badan saya terasa amat sakit. Maklum sahaja siang tadi sekolah mengadakan sukan tahunan. Saya seperti biasa, mewakili ‘rumah hijau’ untuk acara tarik tali, dan lontar peluru. Sungguh memenatkan.

Tetapi, tidak pula saya menyangka yang tengah malam ini ada usrah. Abang Zam tidak memberitahu terlebih dahulu. Allah sahaja yang tahu betapa beratnya mata, tubuh badan dan hati saya untuk bangun. Tetapi sudah menjadi kebiasaan, usrah tidak pernah ditolak ansurkan.

Saya bersiap. Di dalam gelap malam saya berjalan menuju ke bilik BADAR. Jam sudah hampir 4 pagi. Angin subuh bertiup sejuk mencelahi bukit hijau di pinggir sekolah.

“Kita mulakan usrah kita dengan al-Fatihah” Abang Zam memulakan usrah.

Saya tersengguk-sengguk. Begitu juga dengan sahabat-sahabat yang lain. Boleh dikatakan sepanjang usrah itu kami semua mabuk antara tidur dan jaga.

Usrah berakhir hampir jam 5 pagi. Kami bingkas bangun menuju Musolla, mengambil peluang untuk bertahajjud sebelum menjelang Subuh.

Selepas solat Subuh, seperti biasa apabila tiada sesiapa bangun, saya akan berdiri untuk menyampaikan tazkirah pendek. Sudah menjadi kebiasaan saya sentiasa menyiapkan di dalam kepala satu tajuk. Jika ada sahaja keadaan di mana saya dikehendaki menyampaikan tazkirah, saya sudah bersedia. Habis sahaja tazkirah diberi, saya akan siapkan satu lagi tajuk sebagai persediaan untuk bila-bila peranan saya diperlukan lagi.

Habis tazkirah, saya pergi bertemu dengan Abang Zam.

“Assalamualaikum abang” saya bersalaman. Abang Zam menyambut salam dan tersenyum.

“Ana nak minta maaf sebab sepanjang usrah malam tadi ana tertidur. Letih sangat” saya dihantui rasa bersalah. Jarang benar saya mengantuk di dalam usrah.

Abang Zam tersenyum.

Katanya, “Tak apa Hasrizal. Ana buat usrah malam tadi bukan untuk menyampaikan ilmu. Tetapi sekadar nak menguji kesediaan anta dan ikhwah hadir dalam keadaan yang penat begitu. Kalau sudah sanggup bangun dan datang ke usrah, sudah selesai dengan sempurnalah silibus malam tadi!”

Saya terdiam. Begitu rupanya…

Tertelan air liur saya dibuatnya.

SHAPING PROCESS

usrah1991Nota usrah 1991. Entah mengapa ada ‘sakitnya hati’ di hujung nota

Usrah zaman itu, sangat serius. Isinya mungkin tidak seilmiah wacana ilmu dan falsafah hari ini. Tetapi zaman itu, pejuang Islam mesti ada karakter khusus yang dibentuk. Mindanya pro ilmu. Tetapi usrahnya bukanlah majlis ilmu sangat. Usrahnya adalah institusi melahirkan syakhsiah islamiyyah, kata orang dulu-dulu.

Usrah itu banyak kisah selanjutnya.

Saya dihantar ke utara tanah air seorang diri dengan misi mencari usrah-usrah lain seperti usrah kami.

Pada masa yang sama, jiwa saya juga berperang di dalam usrah berkenaan. Usrah yang turut menyebabkan saya kembali ke Izzuddin meninggalkan SMAP Labu. Usrah yang akhirnya menyebabkan Cikgu Bahasa Inggeris saya menasihatkan saya agar berhenti sekolah sebelum diberhentikan. Usrah yang menyebabkan sehingga sekarang poket baju saya masih ada sebatang pen dan kertas (walaupun kini sering diganti dengan peranti elektronik). Usrah yang menyebabkan saya tertanya-tanya, bagaimanakah keseriusan perjuangan usia belasan tahun dahulu, boleh diwariskan kepada generasi pelapis?

badar097

Dan di musim amilin gerakan Islam bercakaran sesama sendiri, saya suka mengingatkan, yang berjuang di dalam sebuah jemaah bukan hanya pemimpin. Ahli-ahli di bawah dan orang-orang yang tiada nama itu juga ada kisah, perjuangan, pengorbanan, luka dan keperitan masing-masing, yang Allah jadikan itu harga membeli redha-Nya, walaupun ia tidak punya sebarang harga di sisi amilin yang sibuk berjuang mengangkat kelompok dan ketua kecintaan masing-masing.

6_70

Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan ugama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah (mereka) dengan Al-Quran itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang ia telah usahakan (dari perbuatan yang buruk dan keji). Tidak ada baginya pelindung dan tidak juga pemberi syafaat yang lain dari Allah. Dan jika ia hendak menebus (dirinya) dengan segala jenis tebusan, (nescaya tebusan itu) tidak akan diterima daripadanya. Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang telah mereka usahakan. Bagi mereka disediakan minuman dari air panas yang menggelegak, dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka kufur ingkar (semasa hidupnya).[al-An’am 6: 70]

Jangan senang-senang menghalau orang dari jemaah, dakwah dan perjuangan.

Kita tidak tahu, siapa yang ‘hidangan’nya diterima oleh Dia.

HASRIZAL
43000 BSP

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

7 comments

  1. Ustaz, mungkin ini off-topic, tapi antara perkara yang menyebabkan saya kagum dengan Ustaz adalah tentang bagaimana ustaz masih lagi menyimpan nota-nota/catatan-catatan lama (mungkin sudah berdekad lamanya) dan boleh diceritakans semula satu persatu riwayat hidup dulu-dulu. Kalau saya, rasanya yang tinggal pun sijil SPM je lah kot. Yang lain-lain tu semuanya entah ke mana.

  2. Teh Raia Deli.

    Sebagai se orang marhaen dalam ilmu haraki rasa ralat,kecewa dan hampa melihat sikap dan gelagat pejuang bangsa dan agama bertingkah sesama sendiri yang bukan sedikit memalit titik hitam pada bangsa dan agama.Mempersenda dan memperlekeh kumpulan profresional kerana tidak sehebat mereka yang belajar agama punbegitu golongan yang diaibkan lebih baik akhlak nya dari segi penhayatan kerana mereka di”usrah’kan Ikhwan sendiri.

  3. Pertama kali dengar usrah bergelap gelita bukan sebab takde elektrik tapi memang sengaja. Perkongsian yang bermakna bagi saya.

  4. Pencarian sebenar

    Assalamualaikum ustaz…nak tanya ni related to the post tepi indirectly..
    Saya memang ikut Usrah, tp saya ada masalah dalam ke ‘thiqah’ an lps murabbi sy..dlm bab D&T insyaallah ok ilmunye, taujihatnya semua, tp bila kehidupan harian ni, susah sket untuk tuk berbincang dgn murabbi sy..slalunya mungkin exposure lain2…kondisi x sama..nak relate tu payah sket..
    End up sy x bincang sgt dgn murabbi ttg masalah sy, Sbb judgement tu slalu trus tanpa memahami…

  5. Subhanallah. Pengalaman usrah yg begitu sabar dgn situas. “Dan ingatlah dimana para malaikat melebarkan sayapnya ke atas org yg menghadiri majlis ilmu”

  6. Jazakallah ustaz kerana pernah jadi naqib ana at mu’tah.. walaupun sekejap tapi bermakna.. dah lama tak jumpa.. no phone pun dah hilang.. fadhlan peghok

  7. Bila saya baca entri ustaz di instagram dengan gambar Islam berdiri dengan hujah bukan sahsiah, saya teringat entri blog ustaz tajuk ni. Mungkin ada kaitan antara 2 entri tersebut. Wallahu a’lam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.