Mengungkapkan Erti Pendidikan Islam di Daerah Asing

kelasdiskusi

Saya tahu yang saya bukan membawa pendidikan Malaysia. Sebaliknya saya membawa pendidikan sekolah tempat saya berkhidmat. Dan di sekolah kami, pendidikannya adalah ‘pendidikan Islam’. Maka proses ‘mirroring‘ yang sering berlaku antara sistem pendidikan Finland dengan sistem pendidikan negara peserta program, meletakkan saya di kedudukan yang agak canggung.

So what about your country?” ia pertanyaan biasa pensyarah kepada peserta.

Tetapi untuk saya, “sekolah kamu pula bagaimana?”

Namun, ia tidaklah menjadi masalah. Biar pun kursus kami adalah Understanding Finnish Education, saya mengambil peluang sepenuhnya sepanjang keberadaan di Helsinki untuk mendalami pendidikan Malaysia itu sendiri. Membaca Akta 550 Pendidikan 1996, Blueprint Pendidikan Negara 2013-2025, artikel-artikel jurnal pendidikan tempatan dan antarabangsa mengenai Malaysia serta pelbagai dokumen berkaitan.

Semua itu, lebih kepada manfaat peribadi.

Namun untuk kursus di Finland, apa yang saya bawa di dalam kelas kami adalah berkenaan pendidikan Islam. Untuk itu, saya menjadi wakil tunggal untuk berbicara tentang pendidikan di dalam ethos yang berbeza. Bukan public education, tetapi satu bentuk pendidikan yang agak asing, kerana pendidikan Islam juga sulit untuk difahami oleh rakan sekuliah dengan sekadar mengkategorikannya bersama pendidikan Katholik serta agama-agama lain.

CABARAN KENDALI DIRI

Selain cabaran mengendalikan pergaulan, soal clubbing, mengelak aktiviti bersauna yang menjadi kemestian bagi sesiapa sahaja yang ke Finland, namun perlu berbogel sebagai menormalkan pembawaan diri, makan makanan yang Halal serta menjaga solat, cabaran yang lebih besar adalah pada mengekalkan keyakinan diri untuk bercakap sebagai Muslim, mengenai Islam, dalam bahasa yang engaging, dan bukannya seperti mahu menjalankan conversion. Apatah lagi dalam suasana Finland, bercakap tentang agama itu bukan sesuatu yang normal. Orang Finland, biar pun secara rasminya bermazhab Kristian Lutheran, tetapi rata-rata mereka tidak menzahirkan keberagamaan, malah tidak mempunyai vocab untuk berbual tentang agama. Agama adalah sesuatu yang sangat peribadi, antara diri dan Tuhan, membicarakannya secara terbuka mudah dilihat sebagai show off. Jika tujuannya dakwah, natijahnya mungkin terbalik. Bagi kebanyakan generasi muda, jika kamu bertuhan, maka kamu adalah believer. Dan jika kamu seorang believer, kamu itu mungkin Kristian Lutheran, Katholik, Ortodoks, Yahudi, Muslim, atau Hindu dan Buddha.

Syukur, pergaulan saya dengan Ville mendedahkan saya dengan cara membawa agama dalam persekitaran Finland. Hatta sesama kami pun, walaupun topik akademik kami larut hingga kepada soal-soal falsafah teologi antara al-Ghazali, Ibn Rushd, Jalaluddin al-Rumi, Ismail Ankaravi hingga ke ‘ahli Syariat’ seperti Imam Birgivi, tetapi apabila sampai ke daerah peribadi, bagaimana kami menanggap al-Haq, saya masih berhati-hati membicarakannya dengan Ville.

Sering, buah-buah aqidah, saya selitkan sepintas lalu dan saya tahu sepintas lalu itu ditangkap penuh oleh Ville. Orang Finland itu tabiatnya sangat berhati-hati dalam berkata-kata, menilai setiap perkataan. Pepatah Finnish menyebut, “take a bull by its horns and a man by his word” atau di dalam bahasa Melayu kita, “seekor lembu dinilai pada tanduknya, seorang lelaki dinilai pada perkataannya.”

MEREDAH HUTAN VANTAA

Sambil memetik berry di hutan Vantaa, saya dan Ville menyelang selikan antara perbualan dan hening sepi dengan meneroka dimensi peribadi kami dalam meneliti al-Haq di luar meja akademik.

“Mungkin lebih mudah bagi engkau untuk bersikap objektif, antara cara Ankaravi mengungkapkan asal kebenaran dan hakikat pertentangan, dengan idea ahli Syariat seperti Katip Celebi. Tetapi bagi aku yang merupakan penganut kepada agama Ankaravi dan Katip Celebi, mahu tidak mahu aku perlu meletak kakiku di daerah yang aku yakini sebagai daerah aku berhubung dengan Allah” saya berbicara.

Ville asyik mengutip kepingan kayu dari batang pohon birch yang akan menjadi pemula api nanti. Pohon birch mempunyai calorific value yang tinggi, sesuai untuk memulakan api memasak dan unggun apabila kita berada di dalam hutan. Bersungguh dia mengajak saya ke hutan. Lebih enak berbanding merayau di kota Helsinki. Katanya, dia mahu saya melihat Finland seperti dia melihat tanahairnya.

“Aku faham” jawab Ville ringkas.

Itu sikap tipikal orang Finland. Banyak berfikir, kurang berbicara. Dan perkataan yang disebut itu sudah difikirkan sebelum diungkap.

“Akademik tidak sama dengan devotion” sambungnya lagi.

Beliau menghulurkan saya segenggam berry merah yang tersisa di hujung musim.

berri

“Akademik mencari ketepatan analisis di meja baca. Hasil kajian, ada kepuasan. Bagiku, adakalanya aku hanya sujud. Dan sujud itu ada ketenangan. Ketenangan juga satu kepuasan” saya menyambung.

Ville tersenyum.

Kami kembali sepi, melangkah perlahan menikmati ruang, masa, sepi, di celah hutan Vantaa. Sesekali saya menjeling ke telefon untuk melihat jarak berjalan kaki. Selepas turun di stesen Tikkurila, hari ini saya sudah berjalan kaki sejauh 20km! Biar pun saya keletihan, ada assignment yang perlu disiapkan malam ini dan lusa pula peperiksaan akhir, permintaan Ville untuk meluangkan masa bersama saya di hutan, tidak dapat saya tolak. Ia tuntutan persahabatan.

Saya tahu, senyuman Ville itu bererti kami sudah sama-sama sampai ke sempadan perbualan berkaitan agama, ketuhanan dan kebenaran. Kami perlu saling menghormati sempadan itu, terutamanya saya, yang penting untuk tidak mengganggu daerah Ville mengembara di dalam musafir peribadinya.

Cukup dengan doa, seikhlas hati, mengharapkan hidayah, sebagai seorang sahabat, yang sesekali bergenang air mata, yang cepat-cepat kering sebelum kelihatan.

CABARAN DI DALAM BILIK KULIAH

Di Helsinki, saya perlu sentiasa berusaha mewujudkan peluang berpendapat dan menerima maklum balas. Tanpa segan silu saya sentiasa mengenengahkan Khalifah Model School Secondary untuk diperkatakan, dinilai, dikritik, kerana akhirnya itu yang terbaik untuk saya dan sekolah.

Di kelas, Prof Matti Merri berbicara tentang integrasi subjek di dalam kurikulum pendidikan Finland. Integrasi yang menjadi asas kepada phenomenon learning yang bakal diperkenalkan di dalam kurikulum 2016 akan datang.

Ia peluang saya bertanya.

“Matti, apakah motif kepada integrasi kurikulum yang Finland usahakan ini? Adakah kerana keperluan industri dan alam pekerjaan? Atau ada sebab lain, di peringkat yang lebih dalam seperti epistemologi ilmu?” saya bertanya.

“Boleh kamu huraikan soalan kamu?” Prof Matti datang mendekati meja saya.

“Di sekolah saya, kami integrasikan subjek kerana motif epistemologi. Kami mahu subjek kembali berhubung antara satu sama lain kerana semuanya bersatu di dalam teori kesatuan kewujudan yang menjadi asas Khalifah Method di sekolah kami. Misalnya apabila ada pelajar yang bertanya mengapa kalkulator memberi jawapan “error” apabila 0 dibahagikan dengan 0, pelajar itu berjalan daripada guru Matematik ke guru sejarah untuk meninjau sejarah kemasukan konsep sifar ke dalam Matematik Muslim. Juga guru Teologi untuk meluaskan perspektif. Apakah sebenarnya diwakili oleh sifar tersebut. Begitu juga subjek-subjek lain” saya menjelaskan.

“Apa? Ia sungguh rumit untuk pelajar sekolah menengah!” sampuk Kevin, rakan kami, guru dari Taiwan.

“Selagi pelajar boleh follow, ertinya ia okay. Cuma kita boleh cuba berusaha memudahkan penjelasan” saya menjawab usikan Kevin itu.

mattimerri

Prof Emeritus Matti Merri tersenyum.

Beliau tidak asing dengan soalan saya. Sebaik mendengar saya dan Pak Bambang adalah orang Malaysia dan Indonesia, beliau pantas mengalu-alukan kami dengan “selamat datang, apa khabar?”

Beliau pernah ke daerah kita. Sambil melancong bersama isteri, beliau juga pernah melawat sekolah di Melaka dan Pulau Pinang. Beliau lakukan perkara yang sama apabila melancong ke Pulau Bali dan Pulau Jawa. Kalau sudah ahli pendidikan, di mana-mana pun hatinya dengan pendidikan.

“Hmm… memang benar. Integrasi subjek adalah untuk membantu guru menyampaikan personal value mereka kepada pelajar. Pendidikan bukan untuk melahirkan pekerja. Tetapi ia adalah untuk mencari personal value masing-masing. Agar pendidikan membantu meneroka makna (meaning)” kata Prof Matti.

Saya memerhatikan vocab yang beliau gunakan.

Biar pun jawapan beliau tidaklah sepenuhnya menjawab pertanyaan saya, ia sudah cukup dan saya amat menghargainya. Teringat saya kepada ucapan Sheikh Hamzah Yusuf di Zaytuna College. Katanya, “without teaching people meaning & without teaching people purpose, you create monsters! Every civilization understood that learning was to make a better human being, learning was not to make more money; it was to make a better human being.

Perbualan  demi perbualan, perbincangan demi perbincangan, saya terus mencuba untuk meyakinkan diri membawa Khalifah Model School ke gelanggang perbincangan. Saya memberanikan diri untuk melakukan mirroring pendidikan negara dengan pendidikan yang saya bawa iaitu pendidikan sekolah.

Selain mahu belajar tentang Finnish Education, saya memang tekad menguji sekolah kami di pesada antarabangsa. Membuka ruang untuk sekolah kami yang masih kecil dan baru itu diulas, dikupas dan diuji landasannya.

“Bagaimana kamu rumuskan sekolah kamu?” tanya Emily, rakan saya dari Amerika Syarikat.

“Sekolah kami adalah ‘sebuah negara kecil’ yang menongkah arus pendidikan perdana. Ia adalah silent protest kami kepada pendidikan mainstream yang penuh cabaran. Dan cabaran saya ialah, untuk terus meyakinkan ibu bapa pelajar kami, bahawa it is okay to be different!” saya bercerita.

Silent protest? Saya suka itu” kata Emily.

Beliau sendiri adalah pemimpin Teacher’s Union di tempatnya.

Saya bangga membawa Islamic education.

Saya tidak preaching!

Saya tidak mencabar sesiapa jauh sekali membebel dalam ceramah.

Sebaliknya saya hanya menerangkan. Berusaha mencari vocabulary yang boleh difahami rakan semua, untuk mengungkapkan Islam sebagai rahmat, dalam sebuah model pendidikan.

Saya mahu Khalifah Model School membawa pendidikan Islam, tetapi pada masa yang sama pendidikannya adalah pendidikan paling maju dan berkompetensi meneroka abad ke-21, ameen!

Hasrizal
UH Pihjalamäki
Helsinki Finland

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

4 comments

  1. Salam.

    Saya anggap post ini menarik tetapi sukar untuk dihadam. Agak kabur dan terlalu puitis untuk post informatif sebegini. Walau bagaimanapun, teruskan menulis kerana ada yang membacanya. Syabas Hasrizal.

  2. Senyum manis meruntun kalbu

    The End of Education is………

    Balik rumah, makan, tidur dan buat anak…baitulMuslim katanya…
    tp org hebat ada disebalik itu tak cukup sampai di situ..renungilah !

  3. Alhamdulillah. Saya bersyukur saudara Hasrizal dianugerahi Allah motivasi, keyakinan padaNya serta kebolehan dalam menongkah arus demi meraih suatu model yang sejagat yang mudah-mudahan adalah yang terbaik untuk khalifah model school yang insyaAllah dapat memberi manfaat kepada masyarakat kita kelak.

    Namun, sepertimana saya ‘suka’ dengan ‘cara’ KSSR berbanding KBSR jika dilaksanakan dgn sebaik2nya, saya berpendapat peringkat cabaran saudara yang seterusnya adalah dalam melatih penyampai2 ilmu yang mereka sendiri kebanyakannya adalah penuntut-penuntut era KBSR/ era latih tubi (sedari hujung 80-an) / era menyerap ilmu untuk jawab soalan, yang tentunya akan mengambil masa untuk betah serta yakin dalam cara menyampaikan ilmu kepada pelajar2 dengan objektif bahawa pencarian ilmu itu (apapun disiplinnya) adalah demi untuk mendekatkan diri kepada al-Haq… bukannya gred.

    Mudah-mudahan usaha saudara, dipermudahkan oleh Nya.

  4. berdakwah walau dimana berada,dengan sesiapapun, apepun keadaannya…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.