Berakhlak dan Berbahasa Sopan Bukan Angan-angan

Kecemerlangan akademik adalah ‘byproduct’ kecemerlangan akhlaq

“Shaping Excellent Character” adalah cogan kata sekolah kami. Pelajar kami adalah rata-ratanya anak KL. Di KMSS, akhlaq dan karakter positif yang mendasarinya amat penting. Maka tatasusila, berbahasa dengan betul, sebagai sebahagian akhlaq mahmudah, amat kami titik beratkan.

Guru-guru tidak dibenarkan sama sekali menggunakan bahasa menghina dalam komunikasi dengan pelajar. Mereka akan mengenang KMSS sebagai sekolah yang tidak mengaibkan pelajarnya. Ada pelajar mencuri, menceroboh, pihak sekolah siasat tanpa menjatuhkan air muka sesiapa dan disiasat sampai selesai. Kami sanggup batalkan kelas sehari dan gantikan dengan proses character shaping berdasarkan kes salah laku berkenaan. Sampai pelajar belajar jadi elok budi pekertinya.

Sudah berjayakah kami?

Belum.

Masih sangat jauh.

Malah jika dengar pelajar kami bercakap, kita mungkin akan kata “KMSS ni bohong je. Pelajar tak senonoh!”

Tetapi kami tidak berputus asa. Kami tidak mengalah. Dan kami tidak akan sekali-kali melakukan normalisasi bahawa “memang budi bahasa orang sekarang begitu”. Jika salah, salahlah ia dan sekolah akan berusaha memperbaikinya.

Jika pada tahun 2026 nanti anda berkahwin dengan lelaki atau perempuan yang merupakan graduan KMSS, koreklah memorinya, kerana di dalam mindanya ada kenangan beliau pernah dinasihat dengan penuh kasih sayang oleh guru-gurunya bahawa akhlaq mahmudah adalah bunga. Orang baik, orang jahat, semua suka bunga.

Hari ini saya sedih melihat komen-komen di internet tentang nasihat Prof Harlina Siraj dan saudara Syed Azmi tentang keperluan mengelokkan bahasa sesama kita dalam berurusan. Ramai yang menganggap mereka terlalu berkira. Dan menganggap permintaan agar berbahasa betul itu adalah gaya orang atasan.

Relakslah, ini 2016! Kata mereka…

Rasanya, saya sudah melepasi pengalaman itu. Mereka yang membaca blog saya semenjak 15 tahun yang lalu sudah tentu masih ingat dengan pelbagai pengalaman yang saya kongsikan ketika itu. Kadang-kadang rasa lucu misalnya apabila pelajar berana anta dengan saya yang 20 tahun lebih tua daripadanya. Sesekali nak terbakar hati apabila pelajar hembus muka dengan asap rokok. Banyak kali geram apabila minta kerja dengan emel “ad kj 0 ke kt tpt tn?” yang dihantar oleh itikcomel@gerammail.kom.

Ada mahasiswa mahasiswi krim atas krim yang baca surat khabar tak pedulikan ceramah saya.

Macam-macam.

Setelah cuba memperbaikinya melalui seminar, artikel, buku, ceramah, akhirnya saya pilih cara yang mungkin paling susah tetapi perlu iaitu melalui sekolah.

Saya katakan sekolah susah sebab sekolah bukan program motivasi satu sesi. Tetapi ia adalah hayat. Anak-anak remaja ini diamanahkan oleh ibu bapa dan mereka hidup di depan mata kita 24/7. Semalam mereka ok, hari ini mereka tidak ok. Kelmarin mereka teruk dan menyakitkan hati, lusa mereka jadi manis penyejuk hati. Nakal atau tidaknya mereka, bagi kami mereka tetap anak-anak kami.

Akhlaq bukan sekadar bahan leteran perhimpunan pagi, tetapi akhlaq diterap masuk secara sistematik ke dalam kurikulum akademik. Belajar fizik, tetapi soalan yang perlu pelajar teroka melalui pembelajaran fizik ialah bagaimanakah caranya dengan belajar fizik itu mereka boleh menjadi seorang yang lebih baik, membantu orang lain menjadi baik, dan berbakti memelihara alam sekitar agar baik dan diredhai Allah.

Pelajar kami sudah berbahasa sopan?

Jika dikutip foul language mereka, berbakul-bakul boleh kami kumpul. Tetapi pelajar tahu ia tidak diterima, ia tidak normal. Kami tidak rotan atau cabaikan mulut mereka walaupun sesekali ada juga imaginasi liar mahu melakukannya. Tetapi dengan izin Allah, sekali sekala ada pelajar menangis tidak mahu lagi mencarut. Ada pelajar datang jumpa guru minta nasihat macam mana nak berhenti mencarut. Ada juga yang jumpa pegawai psikologi sekolah buat perjanjian untuk ikuti sesi terapi sikap.

Kami sayang pelajar baik dan kami sayang pelajar nakal. Pelajar baik kami galakkan mereka meluaskan kebaikan. Pelajar nakal, kami jumpa di pejabat, bincang, cuba faham, marah tanpa menghina, tegur tanpa mengaib, dan moga Allah ampunkan kami terutamanya saya kerana sekali sekala terlajak juga.

Pelajar yang berubah perangai jadi tidak baik, akademiknya juga biasanya merosot sama. Pelajar yang mengubah perangai jadi baik, selalunya akademik beliau juga meningkat sama.

Sebagai guru, di belakang memori saya, saya sentiasa ingat semasa zaman persekolahan dahulu, apabila saya bahawa kawan-kawan balik ke rumah, arwah abah saya sentiasa membahasakan dirinya kepada kawan-kawan saya (anaknya) sebagai SAYA. Beliau tidak membahasakan dirinya pakcik atau uncle. Sebab abah sangat menghormati kawan-kawan saya dan dengan itu juga kami saling hormat menghormati.

Biar pun kenangan itu sudah berlalu lebih 20 tahun yang lalu, akhlaq terpuji sentiasa relevan dan menjadi penyebab utama manusia ke Syurga. Kami mahu anak murid kami masuk Syurga. Maka sebab itu biar pun mencarut dan berbahasa kurang ajar sudah dinormalisasi, kami tidak akan mengalah dan akan terus dengan izin Allah, memaniskan mulut anak murid kami dalam sejuta kepayahan.

Suatu ketika, Abu Hurairah radhiyallāhu ‘anhu berkata,

سئل رسول الله صلى الله عليه وسلم عن أكثر ما يدخل الناس الجنة فقال: تقوى الله وحسن الخلق، وسئل عن أكثر ما يدخل الناس النار فقال: الفم والفرج

Rasulullah sallallāhu ‘alayhi wa sallam ditanya, apakah yang paling banyak memasukkan manusia ke Syurga? Jawab baginda: taqwa kepada Allah dan akhlaq yang baik. Kemudian baginda ditanya lagi, apakah yang paling banyak memasukkan manusia ke Neraka? Baginda menjawab: mulut dan kemaluan. [HR Al-Tirmidhi]

Rasulullah SAW menyebut tentang akhlaq dan Syurga 1400 tahun yang lalu. Kita belum sampai ke zaman manusia dimasukkan ke Syurga. Maka akhlaq terpuji yang membawa manusia ke Syurga mesti dibawa daripada zaman silam, ke zaman semasa, hingga ke akhir zaman.

Akhlaq dan kesopanan diri bukan lapuk.

Lagi pun, bukankah salah satu Rukun Negara adalah KESOPANAN DAN KESUSILAAN?

Hilang satu rukun, tumbanglah sebuah negara, bangsa dan kemanusiaan sejagatnya.

Pernahkah anda melihat filem-filem berkaitan sekolah seperti Laskar Pelangi? Dalam tempoh 2 jam, tontonan kita bertemu dengan happy ending. Namun di alam realiti, usaha pendidikan memakan masa bukan 2 jam, malah 20 tahun dan mungkin selamanya. Akan tetapi ia usaha yang menggembirakan.

Kerana kejayaan bukan sebuah destinasi.

Ia adalah sebuah perjalanan.

Hasrizal Abdul Jamil
www.saifulislam.com
Setia Dengan Kebenaran

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

5 comments

  1. Ada kalanya isu berbahasa ini hadir kerana persekitaran. Segalanya adalah dari kitaran. Di rumah mungkin tidak diajar untuk berbahasa kesat, tapi bila ke sekolah, kawan-kawan terbiasa berbahasa begitu. Kawan-kawan ini pula belajar dari mana pula, keluarga.
    Kadang sedih bila mendengar ada ibu bapa yang marahkan anak-anak hingga keluar perkataan-perkataan tidak sepatutnya (jika bukan terhadap anak-anak tapi keluar perkataan tersebut di hadapan mereka). Anak-anak terus serap. Anggap, ayah aku selalu sebut B**I, C***I, apa-apa lah, mestilah mereka rasa boleh.

    Sendiri nak sebut pun tak berani. Sebab dari kecil dididik, tak pernah dengar ayah dan ibu sebut perkataan itu. Jadi kami adik beradik, rasanya perkataan mencarut ni sangat kurang. Pernah sekali ayah bercerita tentang abang, situasi ketika itu, kalau orang lain, terus sahaja cakap ‘Abang kamu tu Bodoh”, tapi cara ayah, “Abang kamu kurang cerdik”. Ternyata ayah menjaga percakapannya.

    Tidaklah kata kami semua sopan-sopan belaka, tapi rasanya dari segi bahasa, kami memang terjaga. Marah pun tidak pernah lagi la keluar perkataan tak elok, walaupun kerap juga marah-marah. Apapun pemilihan kawan-kawan akan mencorak bagaimana hidup kita. Berkawan dengan yang baik, baiklah kita. Berkawan dengan yang buruk, jadi 2 pilihan, samada buruk jadi baik, atau yang baik terikut yang buruk. Dan biasanya yang buruk kan lagi seronok dan mudah nak terikut.

    Langkah lain, sebelum anak keluar dari rumah, ingatkan dia, mana elok, mana tidak. Kemudian bergantung pada dia, mana lebih terbaik. Dah besar anak, nak menegur, gunalah cara berkawan, bukan marah-marah.

  2. Raudhah Mewangi

    Tepat !. Ya Ustaz doakan pelajar-pelajarmu ini dalam jeritan batinmu yang murni. Allah….teguhkanlah kami menghadapi pengaruh yg buruk, liar kerna kami perasan dipimpin oleh seorang lelaki yg persis Umar Al Khattab r.a pd akhir zaman ini. Janganlah kami jadi fitnah kepada islam hanya kerna satu perkataan yg disalahfahami seperti wasathiyyah pdhal kami ini melampau. Akhlak ke laut hilang dari radar alQuran dan sunnah,. Aku mencari alghazali, Imam2mu yg rabbani ke manakah kan cari ganti pertamata yg hilang dr umat ini. Allahu robbi….

  3. “Akhlaq dan kesopanan diri bukan lapuk.” Indeed. I wrote similar thing, 1st March:

    If our society deems being kind & polite to be backward & ketinggalan zaman & ‘kampung’, so be it.

    Let us all be that backward & ketinggalan zaman & ‘kampung’ person. Who cares what the trendy sunnah of our society/majority is.

    It’s the sunnah of our Prophet SAW that we’re after.

    • Ada salah taip pada perenggan yang bermula dari ayat “Sebagai guru”. ‘Bahawa’ sepatutnya ‘bawa’.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.