Birgivi: Rendah Akhlaq Kerana Rendah Fikiran

birgivikabir

Abad ke-16 adalah abad cemerlang untuk Dawlah Uthmaniyyah. Banyak aspek ketamadunan yang mencapai ketinggian, mencapainya pada abad itu. Sultannya Suleyman al-Qanuni (Suleyman the Magnificent). Sheikh al-Islam pula Ebussuud Efendi. Senibina pula, pakarnya ialah Mimar Sinan. Ilmu pengetahuannya adalah Taşküprülüzâde. Demikian jugalah perihalnya dengan Barbaros Hayrettin Paşa (Khairuddin Barbarossa) dan tokoh-tokoh yang lain.

Tetapi Imam Birgivi khuatir dengan kemerosotan akhlaq.

Akhlaq bukan sekadar hal peribadi.

Akhlaq, seperibadi mana pun ia, mempunyai hubungan unik dengan kondisi ummah. Benda kecil yang membentuk benda besar. Kalau tidak, masakan Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam mengaitkan bersahur lewat dan berbuka awal, dengan baiknya keadaan ummah. Maka, dari kacamata Islam, akhlaq bukan eksklusif hak peribadi.

Imam Birgivi memperuntukkan bab yang sangat besar pada membicarakan tentang taqwa. Dan meletakkan di bahagian-bahagian awal mengenai taqwa, perbahasan tentang akhlaq.

Katanya:

الخلق ملكة تصدر عنها الأفعال النفسانية بسهولة من غير رَوِيَّة. و يمكن تغييره , لورود الشرْع به, باتّفاق العقلاء , و التجربة, وتختلف الإستعدادات فيه بحسب الأمزجة

Akhlaq itu adalah satu kekuatan yang berakar tunjang di dalam diri, terbit daripadanya perbuatan-perbuatan seseorang secara spontan dan mudah, tanpa memerlukan kepada fikiran dan pertimbangan (auto pilot). Ia adalah sesuatu yang boleh diubah-ubah, kerana adanya pembuktian Syara’ mengenai hal tersebut, malah turut disepakati oleh golongan pemikir serta melalui eksperimen / pengalaman. Persediaan orang ramai dalam mengubah akhlaq itu berbeza-beza mengikut kekuatan dan kelemahan mereka (dalam aspek yang akan diutarakan selepas ini)

Definisi ini mirip definisi yang diberikan oleh Imam Ghazali. Akhlaq adalah sesuatu yang spontan terbit sebagai perbuatan, yang tidak memerlukan kepada fikir-fikir dahulu. Nampak sampah di tanah, kutip. Berselisih, senyum. Tersilap, minta maaf. Semuanya dilakukan secara auto pilot kerana ia adalah perbuatan yang diulang-ulang hingga jadi tabiat dan kebiasaan.

Imam Birgivi menambah, bahawa akhlaq ini boleh berubah, bukan sahaja dari perspektif Syara’, malah ia adalah satu kesefahaman universal berdasarkan kajian serta pengalaman manusia.

Jalan Muhammad 8 - Akhlaq.004

Imam Birgivi​ menjadikan kekuatan fikiran sebagai satu daripada tiga asas akhlaq yang baik

Keelokan fikiran selari dengan keelokan akhlaq. Akal fikiran yang menepati apa yang sepatutnya, adalah al-HIKMAH.

Akal fikiran yang melampau, mahu meneroka benda yang mustahil diteroka, atau mencetus idea yang memudaratkan orang lain (sains untuk sains dan bukan lagi untuk berkhidmat kepada kemanusiaan), semua ini adalah AL-JARBAZAH.

Akal fikiran yang rendah, yang lembab, tidak dapat membezakan baik dan buruk, adalah AL-BALADAH.

Akal fikiran banyak dibentuk semasa kita di usia remaja. Apabila hidup zaman remaja kita dipenuhi dengan perkara-perkara yang merangsang akal, maka besarlah potensi remaja itu menjadi dewasa dengan akal yang sihat. Tambahan pula bahagian otak yang mendukung upaya hikmah itu, terbentuk di usia antara 14 ke 25 tahun, melalui pengalaman. Jika di usia sekolah menengah dan universiti, pengalaman anak muda hanya peperiksaan, tiada kejadian-kejadian di luar buku teks, persatuan tak aktif, badan dakwah cuma bentang sejadah di surau, tiada pena’kulan masalah ummah malah keinginan untuk bangkit, bersuara, mengkritik, melawan… justeru sukar sekali untuk orang sebegini membesar menjadi dewasa yang fikirannya bijaksana.

Demikian juga jika akalnya melampau, liar dan tidak terarah, mahu mencari jawapan muktamad tentang hal-hal mutasyabihat, mencetuskan idea-idea yang mengujakan walaupun ia melanggari etika dan mengancam kehidupan, manusia sebegini juga akalnya tidak sejahtera, cenderung kepada ekstrimisme.

Dan paling malang, apabila akal dilembabkan hingga suka dengan segala jenis kebodohan.

Suka lawak bodok, drama bodoh, lagu bodoh, filem bodoh, mahu buat orang ketawa dengan senget-sengetkan mulut dan jalan tempang yang dibuat-buat, suka Halimah Jongang, Apang Capang, Mat Rengkat dan segala yang bodoh. Hingga jadi loyar buruk, tidak tahu bezanya serius dan gurau, dan kabur terpinga-pinga sepanjang masa, cenderunglah mereka ini kepada fikiran yang lemah, malas, dan pasif.

Apa yang berkuasa pada masa ini lahir dalam bentuk ‘virality’ di media sosial. Loyar buruk, prank, troll, meme, adalah santapan utama harian masa kini.

Akhlaq buruk itu natijah kepada salah satunya ialah fikiran yang buruk, dan fikiran yang buruk, didikan serta pendidikan kena muhasabah kembali.

Apabila hari ini, di media sosial kita berbahasa buruk hatta semasa bercakap tentang agama dan membela agama, apakah semua ini merupakan petanda lemahnya akal fikiran kita?

1990

“Apa maknanya perangai elok, sembahyang tonggang tonggek, tutup aurat, tapi menentang hukum Allah? Sekular tu!” kata seorang lelaki.

Penyokong parti Islam yang memperjuangkan Islam.

2015

“Apa yang penting ialah menyokong hukum Allah. Perangai lain kira! Macam kau baik sangat!” kata seorang lelaki lain.

Juga penyokong parti Islam yang memperjuangkan Islam.

Putaran masa berjalan, menjadikan 25 tahun seperti sekelip mata. Dulu-dulu saya selalu berfikir tentang tahun 2015 sebab pada tahun tersebut usia saya 40 tahun. Bagaimana rupanya kehidupan manusia di tahun 2015? Bing dan Bong dalam program bahasa Inggeris Televisyen Pendidikan RTM1 yang hitam putih pada masa itu menggambarkan manusia masa hadapan duduk di rumah bulat seperti UFO dan makan pil pelbagai perisa menggantikan makanan.

Apa yang pasti, demi Allah, saya tidak pernah membayangkan pada 2015, kita berdepan dengan krisis akhlaq seperti sekarang ini.  Jika di tahun 1990, mereka yang memahami Islam biasa ‘memperlekeh’ nilai berakhlaq baik sebab berakhlaq baik itu perkara biasa, sedangkan Islam mengkehendaki kita menyokong perjuangan Islam. Melaksanakan hudud dan hukum Syariah yang lain. Mereka yang baik tetapi menolak hukum Allah disebut sekular.

Tetapi pada tahun 2015 ini, kita membela parti Islam dengan memaki hamun. Kita mempertahankan ulama dengan caci nista dan sindir gelaran. Kita memperjuangkan hudud dengan segala kelakuan haram yang Allah haramkan di dalam surah al-Hujurat. Dan kita masih ‘okay’ sebab kita menyokong perjuangan Islam, Ulama serta parti Islam!

Akhlaq?

“Macam kau baik sangat!” itu sahaja jawapannya.

Tidak sekularkah itu?

Memisahkan akhlaq daripada Islam dan perjuangannya?

HASRIZAL
Saifulislam.Com

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

6 comments

  1. Dunia akhir zaman, tanda-tanda kiamat. Keruntuhan akhlak berleluasa.

  2. ustaz,..saya ingin sekali membaca ulasan ustaz tentang hudud, politik semasa dan masalah negara dengan terperinci..sungguh…tidak tenteram rasa hati ini mengenangkan malaysiaku tercinta…

  3. Benar, terasa sesak nafas hidup ditengah-tengah masyarakat yang betah dengan krisis akhlak di akhir zaman ini.
    Kadangkala terfikir, jikalah kiamat masih lambat lagi..entah bagaimanalah tenatnya lagi suasana akhlak di masa-masa yang akan datang itu. Naudhubillahimindhalik..

    Kadangkala saya kehairanan, malah di kampung pun, pak imam berjubah serban seolah-olah tidak terasa apa-apa membawa motor dengan pemboncengnya anak angkat perempuan yang sudah remaja dibawa kesana sini.

    Di sini, AJK masjid, langsung tidak terasa pelik bermain bergu campuran badminton dengan anak-anak dara di pesta sukan.

    Saya ‘confuse’, adakah sebenarnya diri saya yang bermasalah dalam menafsir akhlak? Adakah saya yang terlalu paranoid, dan sebenarnya kejadian-kejadian seperti itu adalah tidak salah? Mungkin mereka benar-benar ikhlas dan tiada melibatkan perasaan yang bukan-bukan, makanya tidak mengapa untuk melakukannya? Wallahua’lam.

  4. Ini kerana mereka terlalu ghairah untuk mengerjakan dan memperjuangkan agama, tapi malas nak belajar hal-hal agama. Kefahaman agama mereka hanya dengan ‘rasa’ dan ikut-ikutan saja, bagi mereka itu sudah cukup membuahkan yakin. Malangnya yakin mereka itu yakin yang buta. Buta terhadap hakikat agama. Akibat ingin mengamalkan agama tanpa kesabaran untuk belajar.

    Dan mereka bertuhankan pimpinan-pimpinan mereka, bukan bertuhankan Tuhan. Cinta mereka adalah parti, ulama’ dan hudud, bukan kebenaran. Natijahnya, berlaku paradoks dalam tindakan. Kemungkaran cuba ditegah dengan cara yang mungkar. Secara tidak langsung mereka sendiri telah meyakini suatu hal yang dulu mereka tentang, bahawa, “Matlamat menghalalkan cara.”

  5. Ahmad Bakhtiar

    Alhamdulillah, menjadi senang hati saya membacanya.. jazakallahu khair us Hasrizal

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.