Keraguan: Adakah Ia Jalan Islah?

age of anxiety

 

Perjalanan saya di dalam siri kuliah Modern History of Europe pada semester ini, menyebabkan saya banyak berfikir semula. Pengembaraan membongkar tingkah laku manusia semenjak di era pasca kejatuhan Constantinople pada tahun 1453, hinggalah kepada Eropah hari ini, menyebabkan saya jatuh kasihan kepada Eropah. Kasihan melihat suatu kumpulan manusia di bawah idea “Barat”, mencari jalan untuk cuba bertuhan dengan betul, tetapi asyik mengulangi pusingan kesilapan yang sama.

Saya tidak lagi boleh bersetuju jika ada yang menegaskan kepada saya bahawa Eropah itu membuang tuhan, seperti yang saya percaya selama ini. Di sepanjang zaman Eropah yang dapat dikesan dari sejarah bertulis, hanya dua kurun terakhir ini sahaja yang menyaksikan penguasaan trend membuang Tuhan dari kehidupan. Dan semenjak itulah, penyakit Eropah semakin tenat dan hilang kekuatan.

Ajaran Kristian yang diwarisi secara tradisi telah membentangkan syariat yang caca merba. Sikap gereja yang sombong, enggan menerima pendapat orang lain, dan mengambil langkah mudah dengan menghukum sesiapa sahaja yang bertentang pendapat, telah memakan diri mereka sendiri. Sekurun demi sekurun, gereja dan sesiapa sahaja yang bergantung pengaruh dengannya, termasuk golongan istana dan bangsawan, hilang kewibawaan, dominasi dan seterusnya renyuk dipijak kemarahan rakyat.

ZAMAN EROPAH JUMUD

Sesungguhnya agama yang diselubungi ketaksuban telah membunuh watak manusia yang berfikir. Mereka bertaqlid sama ada kerana kemalasan berfikir, atau bimbangkan tindakan pemuka agama yang berkuasa. Inilah kecelaan Kristian yang mengheret dunia Eropah ke zaman Gelap, kurun demi kurun.

Mendung itu akhirnya disapu pergi oleh kebangkitan golongan pembaharuan. Mereka mempersoalkan benda yang tidak pernah dipersoalkan, mereka menyemai benih keraguan di kalangan masyarakat agar kepercayaan masyarakat kepada kebodohan agama di Eropah itu tercabar dan terbongkar. Di atas keraguan itulah, akhirnya masyarakat Eropah berjaya memanfaatkan otak mereka untuk kembali menjadi manusia pemikir, dan berpemikiran, sebagai jati diri.

Gelap pergi, era Pencerahan menyinar lagi.

MERANGKAK MENCARI CAHAYA

descarte

Rene Descartes

Eropah cuba bangun kepada Pencerahan (Enlightenment) dan mereka bangun dengan pelbagai cara. Saya tertarik dengan jalan yang dipilih oleh seorang ahli falsafah Perancis iaitu Rene Descartes (31 Mac, 1596 – 11 Februari, 1650), atau juga dikenali sebagai Cartesius. Antara kata-kata Descartes yang masyhur sebagai asas era Pencerahan ialah:

Cogito, ergo sum
I think, therefore I am

Punca Descartes menimbulkan pencariannya itu adalah kerana beliau hidup di dalam dunia yang mengelirukan dan penuh keraguan. Agama yang mendominasi kehidupan masa itu, sungguh bertentangan dengan naluri kemanusiaan. Paderi yang manusia, boleh pula menjadi pegawai menghapus dosa manusia. Penjelasan mengenai Tuhan oleh gereja hanya mengundang kecelaruan pemikiran. Descartes ditimpa keraguan lantas akhirnya mengesyaki segala-galanya. Kerana itulah, kata-kata Descartes itu selengkapnya berbunyi:

I doubt, I think. I think, therefore I am

Apabila Descartes meragui semua benda termasuk hakikat dirinya, akhirnya beliau bertemu dengan “fikir”. Keupayaannya untuk berfikirlah yang menjadi satu-satunya “bekal yang ada yakin” untuk beliau mencari kebenaran. Falsafah Descartes ini akhirnya menjadi pendorong besar kepada masyarakat Eropah untuk merangsang diri mereka agar mempersoalkan semua benda dan idea yang wujud selama ini, dan memikirkan persoalan itu dengan “sebab musabbab” supaya akhirnya bertemu dengan apa yang diyakini sebagai kebenaran.

Tradisi berfikir itu telah menyebabkan gereja segera kelihatan bodoh di hadapan masyarakat. Jangan bercakap jika tidak logik. Tidak mungkin logik jika tidak bersebab lagi berdalil. Di era inilah ilmu Sains Kemanusiaan berkembang. Kesahihan sesuatu mesti ditentukan dengan disiplin Sains. Kaedah empirical studies yang dipopularkan oleh tokoh seperti John Locke (29 Ogos 1632 -28 Oktober 1704) menjadi teras penentuan di mana sesuatu fakta yang mahu diterima, hendaklah ditentukan menerusi eksperimen dan pemerhatian. Ada sandaran.

Sedikit demi sedikit, pemikiran saintifik menguasai masyarakat, menggantikan pemikiran agama yang dilihat sebagai dogmatik dan anti logik.

MENGAGUMI PENCERAHAN EROPAH

Sungguh hebat era Pencerahan di Eropah.

Sesiapa sahaja yang berjiwa Islah dan Tajdid akan mengaguminya. Sesiapa sahaja yang sudah bosan dengan keangkuhan tradisionalisma akan mengambil inspirasi dari era Pencerahan Eropah. Bukan sahaja pengkaji barat, malah tokoh-tokoh Islam juga mendapat suntikan semangat untuk menjalankan perubahan di kalangan umat Islam sendiri hasil pembacaan dan kajian mereka terhadap era Pencerahan Eropah.

Di situlah munculnya nama-nama seperti Jamal al-Din al-Afghani, Muhammad Abduh dan Rashid Ridha. Keinsafan yang terbit daripada memahami era Pencerahan Eropah juga mengundang Muhammad Shakib Arslan untuk melontarkan idea pembaharuan yang segar.

Dari Timur Tengah, kesedaran itu berkembang ke seluruh dunia. Ia terus berlangsung hingga ke hari ini. Tidak menghairankan, khususnya golongan profesional yang berpendidikan Barat tetapi berjiwa Islam, menyeru masyarakat kita hari ini agar mencontohi era Pencerahan Eropah. Tulisan-tulisan dan siri ucapan dari Forum Muslim Profesional misalnya, berulang kali mengajak generasi pembaharuan hari ini agar mencontohi strategi Martin Luther (10 November 1483 – 18 February 1546) yang mencabar tradisionalisma Katholik hingga berjaya mencetuskan reformasi agama bergelar gerakan Protestant.

MELIHAT DIRI SENDIRI DI CERMIN SEJARAH

Saya sering termenung di dalam kelas. Pada masa yang sama Prof. Abdullah al-Ahsan yang mengajar subjek ini juga seperti memahami apa yang saya fikirkan. Beliau selalu menjawab persoalan, sebelum saya menyoalnya.

Apa yang menjadi persoalan saya ialah mengapakah tindak tanduk orang Eropah di era Pencerahan ini semacam banyak persamaan dengan kita umat Islam? Semacam ada banyak pengulangan. Walhal, Eropah mewarisi masalah dan mengusahakan penyelesaian, kedua-duanya di dalam kerangka agama Kristian. Bagaimana kita yang Islam dan Muslim ini boleh ditimpa atau mengalami pengalaman yang sama? Masakan tidak, kekadang saya merasakan bahawa, perubahan masyarakat hari ini banyak menyerupai era Pencerahan Eropah itu.

DUA PENYOKONG ALIRAN SALAFI

Hari ini saya melihat, perkembangan aliran Salafi yang berlangsung di dalam masyarakat telah menarik sokongan dua pihak.

Golongan pertama, adalah golongan yang cintakan al-Quran dan al-Sunnah. Mereka tidak sanggup melihat al-Quran dicemar oleh tafsiran-tafsiran yang menghilangkan keindahan dan ketulenan al-Quran. Kumpulan ini juga tidak sanggup melihat Muhammad sallallaahu alayhi wa sallam dikhianati, apabila pelbagai hadith palsu disebar dan dinisbahkan kepada baginda. Menonton pendakwah popular bercakap songsang dan menisbahkan kesongsangan itu kepada Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam adalah seperti melihat kaum Quraish menyimbah perut unta ke tubuh baginda. Suatu penghinaan.

Golongan ini mendukung aliran Salaf kerana mahu memurnikan komitmen ummah kepada al-Quran dan al-Sunnah. Mereka sayangkan al-Quran dan al-Sunnah, dan mereka juga sayangkan Ummah. Al-Quran dan al-Sunnah hanya terzahir tinggi apabila dijunjung Ummah. Dan Ummah pula akan tinggi apabila menjunjung al-Quran dan al-Sunnah.

Manakala golongan kedua pula, adalah golongan ahli sains dan profesional. Mereka ini mudah untuk menerima seruan manhaj Salafi kerana ia bersesuaian dengan kerangka pemikiran saintifik. Mereka dididik dengan ilmu Sains, sama ada ilmu kejuruteraan, perubatan, sains politik, sejarah atau antropologi, di mana kesahihan sesuatu teori mestilah dengan justifikasi dalil dan sebab.

Tiada doktor yang bertaqlid dalam kedoktorannya kerana ia mengundang bencana. Tiada jurutera yang menerima teori kejuruteraan pensyarahnya semata-mata atas ketaksubannya terhadap pensyarah itu. Ia tidak mungkin berlaku kerana fakta perubatan yang ditaqlid dan teori kejuruteraan yang diterima atas ketaksuban, akan segera mempamerkan kesan negatifnya pada hasil kerja mereka di dunia, sebelum mati. Kaedah saintifik ini begitu meyakinkan. Menganalisa agama dengan pendekatan yang saintifik juga, menghasilkan keyakinan yang sama.

PEMIKIRAN SAINTIFIK DAN SALAFI

Orientasi begini bersesuaian dengan seruan Salafi. Tiada urusan agama yang wajar diwarisi tanpa kefahaman. Agama tidak ditanam melalui doktrinisasi atau penguatkuasaan. Ia perlu dibahas, ia perlu dimatangkan. Masing-masing mengemukakan hujah dan dalil. Hujah tersebut juga dianalisa dan perlu sahih. Hasilnya, kita memilih yang paling tepat.

Perbahasan ini, bagi dunia sains kemanusiaan, adalah lanjutan latihan Dialektik oleh Socrates.

Mungkin inilah punca, mengapa keterbukaan untuk menerima manhaj Salafi ini lebih mudah berlaku di kalangan orang sains berbanding dengan orang agama.

Malah orang agama pula yang bertindak menjadi penghalang kepada gerakan pemurnian ini.

GOLONGAN AGAMA

Saya terdiam.

Tidakkah di era Pencerahan Eropah dahulu, golongan agama juga bertindak sama? Mereka menyindir golongan saintis yang menjadi pesaing. Malah di masa-masa yang golongan agama ini mempunyai kuasa pemerintah, mereka menghukum sahaja saintis yang menyeru ala Descartes itu.

“Raguilah segala tentang agamamu. Tanyakan semuanya semula. Jangan takut dengan keraguan itu kerana kita manusia yang ada upaya fikir. Fikir, mana-mana yang terbukti oleh logik fikir, ia benar. Mana-mana yang tahyul, doktrin buta dan misteri, tinggalkan sahaja”

Golongan agama tidak menyetujuinya. Ada saintis dihukum, golongan yang menuntut pembebasan dari kekeliruan agama ini dilabel sebagai anti keamanan dan pencetus kacau bilau. Istana segera mengguna kuasa. Pemerintah dan rakyat bertempur, golongan agama tersenyum di gereja.

PERBANDINGAN YANG PAHIT

“Prof., saya amat terganggu dengan hal ini. Tidakkah ini jawapannya kepada masalah umat Islam kebelakangan ini?” saya bertanya kepada Profesor Abdullah al-Ahsan.

“Masalah yang mana?” Prof meminta kepastian dari saya.

“Masyarakat Malaysia semakin sinis kepada golongan agama. Kumpulan Islam Liberal lebih-lebih lagi. Mereka sedang memerhati golongan agama, seperti masyarakat Eropah melihat kerenah paderi-paderi mereka dahulu” saya meluahkan apa yang terpendam.

“Ia boleh jadi begitu, jika masyarakat Malaysia hari ini mendukung sistem nilai Eropah. Mereka menilai agama dan orang agama seperti Eropah menilainya” kata Prof kepada saya.

Patutlah terlalu sukar untuk menyuruh suara-suara liberal ini tunduk menghormati ulama dan mufti. Apatah lagi para ustaz. Mungkin di mata golongan ini (saya pun sukar hendak menamakan mereka), para ustaz ini adalah pencacai agama! Mereka menilai para ustaz seperti “ustaz Kristian” di Eropah. Kaki makan duit, ajar agama yang memundurkan, dan terlebih penting, terlalu rendah pemikiran ustaz ini sehingga mustahil untuk mereka faham tentang ketinggian nilai Moden a.k.a. Eropah ini.

Menjadi satu kekuatan kepada golongan liberal ini, dengan ramainya golongan ustaz yang tidak faham tentang Eropah, tidak tahu nilai Eropah dan tidak sekufu untuk bertanding menentang puak liberal ini. Kecerdikan golongan ini, ialah pada kejahilan seterunya.

SEJARAH MENGAJAR TENTANG MANUSIA

“Itulah tugas pelajar Sejarah. Sejarah bukan untuk dihafal nama dan tarikhnya. Sejarah adalah belajar tentang manusia. Jika psikologi menganalisa manusia secara individu, Sejarah pula menganalisa manusia secara kolektif, skala makro yang lebih besar” kata Prof.

Ya. Memang benar kata Prof. Setelah satu semester menghadam perilaku manusia di dalam Sejarah Eropah Moden, saya semakin yakin bahawa manusia tetap manusia. Tidak kira apa agamanya, penyakit-penyakit yang berpunca dari sikap, akan menimpa sesiapa sahaja. Manusialah yang menghidup serta mematikan watak dan idea Eropah. Manusia juga yang mendukung Islam. Walaupun menganut fakta yang berbeza, sikap mereka sama dan hasil sikap itu juga sama.

PENCERAHAN, POSITIF ATAU NEGATIF?

“Habis, kesan era Pencerahan itu positif atau negatif?” tanya Prof kepada kelas.

Jawapan yang berlegar di fikiran saya, tidak sesuai untuk saya lontarkan di hujung kuliah hari itu kerana kesuntukan masa. Kami sudah sampai ke penghujung semester dan Prof. perlu segera menghabiskan silibus subjek ini. Saya hanya diam, walaupun kepala ligat berfikir.

“Memang benar era Pencerahan itu telah menghasilkan pelbagai kesan yang positif. Paling dibanggakan oleh Eropah, adalah Revolusi Industri yang telah memberikan Eropah kewibawaan untuk memimpin dunia” kata Prof.

Saya juga bersetuju dengan Prof. Era Pencerahan Eropah yang berasaskan kepada kekuatan idea dan pemikiran itu, memang banyak kesan positifnya. Tetapi Prof sendiri mahu kami semua menilai, sejauh manakah kebaikan Revolusi Industri? Sejauh manakah kehidupan hakiki seorang insan menjadi lebih baik di era moden ini? Tuntutan komersil untuk menghasilkan apa yang menguntungkan manusia ramai, telah membinasakan alam ini dan semua terpaksa percaya bahawa kemusnahan alam dan keracunan persekitaran ini sebagai sesuatu yang terpaksa diadakan. Demi kemodenan.

Itu sudah cukup menjelekkan.

Tetapi, ada satu petikan kata yang membingungkan saya. Petikan yang menyebabkan saya gementar dengan realiti hari ini.

REASON PROMOTES DOUBT, ENFEEBLES THE WILL, AND HINDERS INSTINCTIVE, AGRESSIVE ACTION

Ini adalah kesimpulan Eropah terhadap kehancuran dan kebinasaan dunia selepas Perang Dunia Pertama. Kesimpulan ini sudah pun disebut oleh Nietsche jauh lebih awal dari itu tetapi selepas Perang Dunia Pertama, kebijaksanaan Eropah rupa-rupanya berakhir dengan kehancuran. Eropah sangkakan, dengan reason dan rationalism, mereka sudah cukup bertamadun. Tetapi “kepandaian” orang Eropah itu telah menjadi sebab mereka berlaga semasa mereka. Tidak pernah Eropah menyangka, bahawa bangsa mereka berupaya berkelakuan ganas dan kejam, menjelangnya Perang Dunia Pertama. Mereka sangat kecewa dengan diri sendiri dan akhirnya, mereka menyalahkan reasons, di samping punca-punca yang lain.

Segalanya bermula begini:

Eropah menyangkakan bahawa dengan tradisi Pencerahan yang berdalil itu, mereka sudah maju lagi bertamadun. Tetapi apabila tradisi Pencerahan itu disalahgunakan, ia telah mengundang bencana. Charles Darwin (1809 – 1882) telah mengimplimentasikan teori geologi datuknya kepada biologi kehaiwanan.

Tidak lama selepas itu, teori haiwan itu diaplikasikan pula oleh ahli kaji sosial kepada manusia. Jika spesis binatang bersaing untuk hidup, dan yang lemah akan pupus, maka ada pula manusia yang percaya bahawa spesis dan keturunannya lebih berhak untuk hidup berbanding dengan keturunan yang lain. “Penjajahan adalah fenomena biologi yang semulajadi” kata mereka.

Akhirnya, golongan Social Darwinist telah menyuntik kesombongan ke dalam diri bangsa Eropah. Renung sahaja kata-kata Karl Pearson, seorang profesor matematik British,

“Sejarah hanya menunjukkan kepada saya satu jalan. Iaitu satu-satunya jalan yang telah membawa kepada bangunnya tamadun yang tinggi. Jalan itu adalah jalan persaingan bangsa dengan bangsa, dan berakhir dengan kemenangan bangsa yang lebih baik mengatasi yang bangsa yang rendah” (National Life from the Standpoint of Science 1900)

Nilaikan pula kata-kata seorang senator Amerika Syarikat bernama Albert J. Beveridge:

“Kita mesti patuh terhadap ketentuan kualiti darah (kemuliaan bangsa) kita, lantas perlulah dikuasai pasaran-pasaran yang baru. Dan jika perlu, tanah air yang baru”

Daripada tradisi Pencerahan yang mencerdikkan Eropah, ia telah melahirkan manusia seperti golongan itu tadi. Fahaman Social Darwinism inilah yang mempromosikan kesombongan Anglo-Saxon (British dan Amerika) serta Teutonic (Jerman).

Lanjutan daripada itu, bermulalah gerakan-gerakan yang memporak-perandakan Eropah. Fahaman Nasionalisma berleluasa dan masing-masing mula percaya kepada teori Volkish bahawa setiap satu bangsa ada rohnya sendiri, yang lebih mulia dari roh bangsa lain.

Malang sekali, kesemua golongan ini masih merasakan bahawa mereka sedang menghidupkan tradisi Enlightenment yang dibanggakan walaupun rasional mereka sedang membinasakan masyarakat.

Sekiranya kita masih mahu mencontohi Pencerahan Barat, maka kita perlu berhenti sejenak untuk merenung kesimpulan Eropah terhadap tradisi Pencerahan itu.

REASON PROMOTES DOUBT

Seruan kita kepada masyarakat agar mereka mencari sandaran hujah kepada setiap urusan agama, tidak pernah dinafikan keperluan dan kebaikannya. Tetapi ia haruslah bersesuaian dengan keupayaan masyarakat untuk mengatasi keraguan itu. Jika kita hanya rancak menggalakkan keraguan, ia akan mengundang keresahan (anxiety) masyarakat dalam beragama. Ironinya, Eropah juga mengalami era yang disebut sebagai the Era of Anxiety. Daripada usaha murni mahu membetulkan masyarakat, ada sesuatu yang tidak kena hingga umat Islam hari ini, ditimpa keresahan, the Era of Anxiety. Keresahan Sosial (Social Anxiety) itu adalah “an experience of fear, apprehension or worry regarding social situations and being evaluated by others”. Maksudnya, “mengalami ketakutan, kekhuatiran atau kebimbangan berkaitan situasi masyarakat apabila sentiasa merasa dinilai oleh orang lain”.

Sahihkah agamaku selama ini?

Bagi penuntut agama, yang dekat dengan ilmu sumber buku, internet medan debat, mungkin ada yang ketawa bila masyarakat bertanya begitu.

“Hah, memang patut pun begitu. Senang hati sahaja mereka selama ini. Tak peduli sama ada amalan itu Sunnah ke Bid’ah” ulas seorang pendakwah di sebuah kampung.

Komen seperti itu sesuai untuk suasana persekitaran yang kaya ilmu dan maklumat. Tetapi untuk seorang pendakwah yang menjenguk kampung sebulan sekali dan kemudian melontarkan keraguan terhadap keberagamaan penduduk kampung itu, ia mengundang RESAH.

Mampukah pakcik-pakcik di kampung menelaah sendiri kitab Rijal untuk mengenal kredibiliti perawi hadith? Mudahkah untuk penduduk kampung memberhentikan bacaan Yasin pada waktu-waktu tertentu dan digantikan dengan surah yang lebih afdhal atau amalan yang lebih bersandaran?

Persoalan seperti ini tidak bermaksud menggesa pendakwah memberhentikan kerja Islah dan memurnikan keagamaan masyarakat. Tidak sama sekali. Tetapi ia lebih kepada menyeru pendakwah agar lebih bertanggungjawab terhadap dakwah mereka. Jangan hanya membuat persiapan ceramah pada tahap melontarkannya kepada ahli masjid. Tetapi perlu juga difikirkan sama, bagaimanakah kesan lontaran itu? Jangan pula kemungkaran yang mahu dihapus, menimbulkan kemungkaran dan mudarat yang lebih besar dan di luar kawalan (out of hand).

Saya berpendapat secara peribadi (2006), gerakan Islah bermanhajkan apa yang disebut sebagai aliran Salafi di Malaysia ini, bergerak melebihi had laju yang mampu ditampung oleh sebahagian masyarakat kita. Sebahagian yang mampu itu mungkin berada di Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Georgetown malah Kangar dan Seberang Jaya. Tetapi pendakwah perlu sedar bahawa ada sebahagian penduduk kampung seperti Kampung Changkat Larang, Kampung Tengah dan Kampung Teluk Sira yang keresahan. Pendakwah datang berkuliah sebulan sekali, meninggalkan penduduk kampung dalam keraguan terhadap keseluruhan agama mereka selama ini.

Di surau pakcik saya di Ipoh, orang-orang tua mengeluh, “kami pun dah pening kepala. Datang seorang ustaz, marah kami berqunut. Datang seorang ustaz yang lain, tegur kami sebab kami tak berqunut. Rasanya lebih baik kita batalkan sahaja aktiviti kuliah subuh sebab ada sahaja masalah yang timbul”.

Inilah keresahan sosial yang saya maksudkan.

MEMATIKAN KESUNGGUHAN MENCEGAH MUNGKAR

Kita sukar untuk bertindak sepenuh hati terhadap perkara yang dijangkiti keraguan. ‘Berbelah bagi’ menyukarkan tindakan. Keraguan menghalang hidayah. Kerana itulah di dalam al-Quran, Allah SWT menjelaskan bahawa al-Quran ini hanya boleh menjadi petunjuk kepada ahli taqwa, jika al-Quran itu diterima tanpa ragu (Al-Baqarah: 2)

Al-Mutanabbi juga pernah berkata:

إذا كنتَ ذا رأي فكن ذا عزيمة
فإنّ فساد الرأي أن تتردد

Jika kamu mahu menjadi seorang yang berpandangan, maka jadilah seorang yang berpendirian. Sesungguhnya kerosakan pandangan itu, adalah apabila kamu berbelah bagi

Masyarakat hari ini berhadapan dengan pelbagai kemungkaran. Ada kemungkaran yang berlaku di kalangan orang ramai, banyak pula yang dipelopori oleh pemerintah dan penguasa. Cara hidup Islam semakin terperosok di dalam lipatan sejarah, dan generasi hari ini semakin memandang asing kepada Islam. Gejala murtad merebak seperti selsema dan batuk kering.

Untuk umat ini bangun dan berdepan dengan kemungkaran ini, mereka perlu kepada keyakinan yang tinggi terhadap garis pemisah di antara Islam dan Jahiliyah. Seumpama seorang yang sedang ghairah berceramah tentang hutang dan keburukannya, tiba-tiba dewan ceramahnya didatangi oleh pegawai bank tempat beliau sendiri berhutang. Tentu sahaja hilang yakin dan ceramah pun menurun kualiti dan keberkesanannya.

Wacana ilmiah yang popular banyak mengkritik kebiasaan yang dikenali masyarakat. Ia seumpama mencabut-cabut skru dan komponen sebuah kenderaan kerana mahu menunjukkan anatomi dan menawarkan sebuah transformasi. Tetapi menyeluk pekasam tidak sampai ke pangkal lengan. Ghairah mencabut skru tetapi tidak rajin memasangnya kembali.

Akhirnya, sebagaimana Eropah menyesali over confident mereka kepada tradisi Enlightenment, kita juga mula dijangkiti kekhuatiran yang sama.

mperry

REASON PROMOTES DOUBT, ENFEEBLES THE WILL, AND HINDERS INSTINCTIVE, AGRESSIVE ACTION   [Western Civilization: A Brief History, Volume II: From the 1400’s by Marvin Perry]

Keraguan.

Adakah itu jalan Islah?

Saya masih memikirkannya.

HASRIZAL
www.saifulislam.com

Siaran asal: 5 November 2006

Facebook Notice for EU! You need to login to view and post FB Comments!

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

11 comments

  1. Apa yg boleh saya katakan lagi melainkan ‘terima kasih’.
    Terima kasih juga adalah perkataan yg saya ucapkan kpd Prof Tariq, when he watering down the complexity of the language while passed on the vast and complex knowledge to the public readers.

    Keraguan itu perlu.
    Itu pendapat yang masih saya pegang buat masa ini.
    If I’m using my perception based on what I understand from Prof’s words; doubt has to be handled with humility, that we don’t know everything. And we might understood something wrongly. It’s a way to humility, while searching for the truth.

    Kebiasaannya, tekanan dan beban itu terletak di atas bahu orang yg mempunyai ilmu yg lebih. Wisdom. Bagaimana mahu melaksanakan tanggungjawab, perkiraan masa yang sesuai, bahasa dan akhlak yang digunapakai – untuk melakukan sesuatu yang perlu dilakukan disamping sentiasa perlu untuk mencermin dan menilai diri sendiri. Memahami keresahan dan ketakutan org yg kurang memahami disamping perlunya kepada ketegasan dan keberanian apabila berdepan dengan org yg disebaliknya.

    Tulisan ini seperti menyimpulkan pengalaman hidup saya ^_^
    Cumanya, semasa saya masih kecil dan mentah, semasa bahan bacaan dan internet masih jauh daripada rutin hidup keluarga kampung yg mengamalkan ajaran islam seperti keluarga muslim yg lain, tidak perlu hujah dan pendapat yg intellek + ‘kontraversi’ untuk si-kecil-saya meragui agama dan hakikat kehidupan. Alhamdulillah, walaupun jalannya pahit berliku, tapi pengakhirannya manis.

    Mungkin org melayu tidak malas berfikir, tetapi mereka yg berfikir ini terpaksa menyembunyikan apa yg difikirkan kerana ianya dianggap tidak bermanafaat, bahaya dan tiada nilai untuk menyumbang kepada kejayaan kerjaya hidup mereka. Mungkin…mungkin juga tidak.

  2. Alhamdulillah.
    Terima kasih ustaz atas perkongsian ini.
    Sebahagian keraguan saya terjawab, sebahagian keresahan saya reda.
    Semoga Allah mengurniakan hikmah kepada ummat ini.

  3. setuju dengan ustaz… saya pun dah makin keliru. qunut, persentuhan suami isteri dalam keadaan berwuduk, dan lain2. tapi alhamdullillah saya mampu membuat rujukan2 asas. tapi kalau komplikated sangat.. 1 je yang saya pegang iaitu islam itu mudah.. jangan la di kelirukan kan lagi umat islam di malaysia ini. kita mempunyai pelbagai taraf pendidikan. terus berikan bimbingan.

  4. Mohd Dzulhuzmi Nasruddin

    Saya juga masih memikirkannya…..

  5. Alhamdulillah tsumma alhamdulillah.

    Wataknya pada 2013 sudah bertukar atau mungkin boleh dikira sudah bertambah, namun sikapnya itu, wataknya, perangainya..moga-moga Allah mengampunkan dosa kita dan memberikan kita keupayaan untuk membetulkan kesilapan masing-masing.

    Lebih parah lagi ada pula ustaz-ustaz begini yang sibuk menimbulkan persoalan-persoalan, tapi bila ditanya, disuruhnya kita cari sendiri jawapan. Kalau kita memang ada lampu suluh, bolehlah. Ini dibiarnya kita meraba dalam gelap. Dan dia pula syok sendiri kononnya dah mendidik dengan baik.

  6. Assalamualaikum Ustaz Hasrizal,

    Terfikir sy mengapa artikel ini dikongsi semula? Sy pernah membaca artikel ini dulunya dan perasaan ketika membacanya lain. Pada waktu itu, lebih terkesan dgn isu Salafi-Khalafi. Di kala itu, sememangnya terganggu sungguh dengan fenomena islam Salafi-Khalafi di Malaysia. Alhamdulillah, isu Salafi-Khalafi itu sudah sedikit reda di jiwa walaupun permulaannya adalah keraguan. Antara bacaan yg banyak memberi kesimpulan kepada banyakknya persoalan pada isu ini, adalah kertas kerja Dr Basit,- Memperkasa Ummatan Wahidah di Malaysia : Satu Tanggungjawab Bersama.

    Di saat membaca artikel ini kini, saya lebih terkesan dengan konsep ‘doubt’ itu sendiri. Terasa di hati, seperti, bukan doubt itu jalan Islah. Namun doubt adalah proses yang berlaku dalam Islah.

    Kebenaran itu jelas. Dan kebenaran tidak semestinya dikutip dari satu pihak sahaja. Bagi pencari kebenaran, konsep ulul-albab yang mendengar dan memilih yang terbaik itu begitu crucial. Sepanjang mendengar dan dalam proses memilih, keraguan pasti berlaku pada seorang manusia biasa.

    Jawapannya tetap ada pada pemilik jalan lurus. Akhirnya ia kembali kepada solat dan Al-Fatihah. Ke mana saja pusingan saya, akhirnya jawapannya tetap pada ‘meminta jalan yang lurus’, dan melepaskan pergantungan kepada sesiapa pun selain Allah.

    Pandangan peribadi saya, doubt bukan antecedent kepada Islah.
    Mencari kebenaran adalah antecedentnya.

    Bukan konsep ‘setiap perkara perlu ada reason’ itu yang perlu dipromosikan. Jika ‘setiap perkara perlu ada reason’, maka sememangnya akan terjadi ‘Pendalilan (yang keterlaluan) mempromosikan keraguan, melemahkan tekad, memperlahankan tindak balas spontan dan agresif’.

    Namun konsep ‘find the truth’ itu yang perlu dipromosikan. Dalam mencari kebenaran itu , mungkin ada reason yg perlu dibentangkan. Dalam reasoning, doubt turut berlaku. Namun pada akhirnya, kebenaran akan jelas kerana kebenaran itu wujud.

    Mencari kebenaran : Ia jalan Islah.

    Walahhualam.

    • Suka dan setuju dengan komen tuan!

    • Saya juga bersetuju dengan Think.
      Dalam ke”caca-merba”an akhir zaman dengan pelbagai isu yang kadangkala membawa kita kepada doubt dan lebih bahaya – despair, penawarnya sentiasa adalah apabila hati bertaut kembali kepada Allah yang Maha Esa.

  7. Banyak pengajaran penting yang dapat diambil melalui penulisan ini.

  8. UMAIR BIN ABDULLAH

    Jazakallah ust. Satu perkongsian nafas baru. Byk perkara dlm hidup kita yg perlu difikirkan kembali. Muhasabah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.